SEKADAR TRANSIT SEBENTAR DI BALIKPAPAN, SEBUAH KOTA DI KALIMANTAN TIMUR
PAGI ITU, 7 OKTOBER, selepas lima hari berada di Kota Banjarmasin, ibu kota Kalimantan Selatan, akhirnya tiba juga masa perpisahan itu. Saya hanya sempat melelapkan mata kira kira dua jam kerana lewat pulang ke hotel. Selepas acara membaca puisi di Menara Pandang, tengah malam itu,Pak Zulfaisal Putra membawa kami menikmati Lontong Orari.
Setibanya di Hotel Cahaya, Jalan Kapten Pierre Tandean, saya sengaja mengemaskan beg dan buku buku yang sempat dibeli di Gramedia di Duta Mall. Saya terbangun, mandi sekejap, dan solat Subuh tetapi mendapati kereta sudah menunggu. Rombongan dari Negara Brunei Darussalam, Dr Jeffri Arif bersama da rakan yang lain, sudah bersedia untuk ke Bandara Syamsudin Noor di Banjarbaru.
Mereka akan terbang ke Jakarta sebelum pulang ke Brunei. Saya memilih penerbangan dari Banjarmasin ke Tarakan di Kalimantan Utara tetapi pesawat itu transit ke Balikpapan terlebih dahulu.
Pesawat Wings Air W-1384 berangkat kira-kira 9.25 pagi. Waktu Banjarmasin sama dengan waktu di Kota Kinabalu. Penerbangan mengambil masa satu jam 10 minit sebelum tiba di Lapangan Terbang Sepinggan, Balikpapan. Saya sepatutnya hanya transit 35 minit di Balikpapan sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Juwata, tetapi kerana khuatir pesawat `delay’, saya memilih penerbangan sebelah petang dari Balikpapan.
Waktu yang ada itu, saya manfaatkan untuk berkunjung ke pusat kota. Ini kali pertama saya ke Balikpapan. Kepada pemandu teksi, saya minta dihantarkan ke Balikpapan Centre. Di Plaza Balikpapan itu, saya sengaja singgah di toko buku Gramedia untuk membeli buku, sebagai kenang-kenangan kerana sempat berkunjung ke kota yang dikatakan kota paling mahal di Indonesia.
Balikpapan adalah sebuah kota di Provinsi Kalimantan Timur (Kaltim). Terkenal sebagai pengeluar minyak dan gas. Balikpapan juga terkenal sebagai kota industri, perdagangan dan paling maju di seluruh Kalimantan. Balikapan adalah kedua terbesar di Kaltim selepas Samarinda. Penduduknya sekitar 778,908 orang atau 21.6 peratus dari seluruh penduduk Kaltim. Ia juga kini makin maju dalam sektor pelancongan.
Kota itu terletak di pinggir laut. Saya sempat bertanya kepada pemandu teksi, yang sempat menceritakan pengalaman merasai gegaran kecil ketika berlakunya tragedi gempa bumi dan kemudian tsunami di Donggala, Sigi dan Palu. Balikpapan tidak terjejas walaupun ramai juga yang merasai gegaran itu.
Sepanjang perjalanan ke Plaza Balikkpapan itu, saya tertarik dengan nama Balikpapan itu. Mengapa tempat itu dipanggil Balikpapan. Pemandu teksi tidak dapat menjawab dengan tepat. Selepas bertanya profesor Google, saya mendapat beberapa versi asal usul Balikpapan.
Satu masa dahulu, mengikut cerita rakyat, ada sepuluh keping papan kembali ke Jenebora. Sepuluh keping papan ini adalah daripada 1,000 keping papan yang diminta oleh Sultan Kutai , Sultan Muhammad Idris, sebagai sumbangan untuk membina Istana Baru Kutai Lama. Tetapi entah kerana terlepas ikatannya, sepuluh keping papan yang hanyut itu kembali ke Jenebora, iaitu sebuah wilayah yang kini disebut Balikpapan. Orang Kutai menyebutnya Balikpapan Tu.Kejadian ini dikatakan berlaku pada 1739, mengikut buku F Valenijn.
Bagi suku asli Balikpapan, Suku Paser Balik, aadalah keturunan datuk dan nenek bernama Kayun Kuleng dan Papan Ayun. Itu sebabnya daerah di sepanjang Teluk Balikpapan oleh keturunannya di sebut Kuleng-papan yang bereerti Balikpapan.
Legenda lain menyebut mengenai seorang puteri yang masih kecil, dihanyutkan ayahnya dengan diikatkan diatas beberapa keping papan dalam keadaan terbaring supaya ia tidak terlepas ke tangan musuh. Papan itu kemudian dibawa arus, diterpa ombak, Kemudian ditemui terdampar ditepi pantai dalam keadaan terbalik. Puteri itu, dikatakan bernama Putri Petung dari Kerajaan Pasir, sehingga pantai tempat puteri terdampar itu, hingga kini dinamakan Balikpapan.
Akhirnya saya tiba di Plaza Balikpapan, salah satu kompleks belibelah terbesar di Balikpapan. Namun agak sukar untuk mencari tempat tukaran wang. Ada seseorang menunjuk satu blok kedai, katanya di sana ada money changer tetapi kerana hujan, saya menangguhkan niat untuk ke sana. Di Lapangan Terbang Sepinggan juga, tidak ada money changer, walaupun tahun lalu pernah ada, kata seorang penjual bakso di lapangan terbang.
Minyak mulai digali di Balikpapan pada 10 Februari 1897. Tarikh itulah yang disepakati oleh peserta seminar sejarah sebagai hari jadi kota Balikpapan. Tetapi sekarang bulan Oktober, tak banyak perkara yang menarik di kota itu, dalam persinggahan yang singkat itu.
Kemudian selepas membeli buku tanda mata di Gramedia, saya memesan Grab untuk kembali ke Lapangan Terbang Sepinggan.
Pemandunya Andrew Hadiono,seorang yang ramah dan baik juga, Kadar tambang grab dari Plaza Balikpapan ke Sepinggan adalah Rp48k atau RM13.60 sen.
Saya sempat merakamkan beberapa foto, yang sebahagiannya kurang jelas kerana hujan.
Lapangan Terbang Sepinggan atau nama penuhnya Bandara Internasional Sultan Aji Muhammad Sulaiman Sepinggan Balikpapan.
Sultan Aji Muhammad Sulaiman yang bergelar Al-Adil Khalifatul Amirul Mu’minin Kartanegara Ing Martadipura ke-17 berkuasa antara tahun 1850 hingga 1899. Ketika berkuasa, Sultan Aji Muhammad Sulaiman dan Asisten Residen, Evaartd Hoope, mewakili Hindia Belanda menandatangani kontrak politik yang disebut Lange Contract pada tahun 1873 yang menyatakan Kutai bersifat Zeef Besrtaur atau pemerintahan autonomi. Pada tahun 1894, Sultan Aji Muhammad Sulaiman memberikan konsesi minyak kepada syarikat BPM di Balikpapan. Pada ketika inilah timbul rancangan untuk membina lapangan terbang di Sepinggan. Ketika pemerintahan sultan inilah Kerajaan Kutai memasuki zaman keemasan dalam bidang ekonomi seiring dengan kebijaksanaan sultan untuk membangunkan sumber alam khususnya minyak dan sumber hutan untuk kesejahteraan rakyat.
Kerana mengenang jasanya, lapangan terbang Sepinggan dinamakan Bandara Internasional Sultan Aji Muhammad Sulaiman Sepinggan.
Selain bahasa Paser, bahasa daerah yang turut digunakan di Kota Balikpapan yang memiliki lima kecamatan dan 27 kelurahan itu ialah bahasa Banjar, Bahasa Bugis, Jawa, Kutai, Madura tetapi yang dominan tetap bahasa Indonesia.
Sebenarnya banyak hal menarik di Balikpapan. Destinasi pelancongan seperti Taman Agrowisata di Jalan Soekarno Hatta, Wana Wisata, Jambatan Ulin Kariangau, Kebun Raya Balikpapan, Perkebunan Salak,, Penangkaran Buaya, tetapi semua itu, mana mungkin dapat dikunjungi dalamm waktu singkat itu.
Saya hanya membacanya di brosur pelancongan ketika tiba-tiba orang ramai di lapangan terbang itu riuh menyambut ketibaan pasukan bolasepak Persib dari Bandung. Mungkin ada perlawanan bolasepak di sana tetapi saya terus saja check-in untuk menunggu pesawat Lion Air ke Lapangan Terbang Juwata Tarakan. Keesokan harinya, saya akan menyambung perjalanan dari Tarakan ke Tawau seterusnya ke Kota Kinabalu, dan kemudian tenggelam dalam rutin harian, menulis dan menulis seperti biasa.