Rabu, 17 Oktober 2018

Sejenak di Kota Tarakan

Tags

WALAUPUN tempoh Kunjungan Ilmiah ke Kota Tarakan hanya tiga hari, tapi dalam waktu sesingkat itu, banyak kesepakatan dicapai dalam pelbagai bidang khususnya dalam pembangunan dakwah di antara Sabah Malaysia dan Kalimatan Utara Indonesia.
Program Kunjungan Ilmiah Kota Tarakan Sosek Malindo itu dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Tawau dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah di bawah Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK Malindo)
Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Haji Sipil yang mengetuai rombongan seramai  18 orang berkata beberapa perkara dibincangkan dalam kunjungan  ilmiah itu berkaitan sosial budaya, tatacara perkahwinan, zakat, pendidikan agama dan sebagainya.

Beliau berkata, beberapa agensi serta jabatan yang berperanan dalam pembangunan dakwah di kedua-dua wilayah bertukar-rukat pandangan mengenai kemaslahatan ummah. Rombongan juga dibawa berkunjung ke Pusat Islam Kota Tarakan, Maahad Tahfiz, Pesantren, Masjid serta sekolah.

Rombongan itu juga disertai Mufti Negeri Sabah, Sahibus samahah  Ustaz Datuk Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Zon Sabah, Haji Samin Haji Ongki, Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria.

Program Kunjungan Ilmiah itu berjaya menjalin hubungan dan kerjasama antara Sabah dan Kalimantan Utara khususnya Kota Tarakan.

Mufti Negeri Sabah, Ustaz Datuk Haji Bungsu @Aziz Haji Jaafar menyifatkan kunjungan itu berjaya merintis hubungan yang lebih bermakna pada masa hadapan dalam merancang kerjasama dalam pembangunan dakwah.

“Banyak yang boleh kita pelajari antaranya kejayaan mereka mendirikan banyak institusi Islam tanpa banyak bergantung kepada bantuan kerajaan, agihan dan pengurusan zakat serta komitmen mereka yang tinggi dalam menjalankan kerja-kerja dakwah tanpa mengharapkan imbalan dan hanya bergantung kepada keredaan Allah,” katanya.

Sebaik tiba di Bandara Internasional Juwata di Kota Tarakan, rombongan disambut di Bilik VIP oleh Wali Kota Tarakan, Bapak Ir Sofian Raga Msi. Rombongan kemudian mendaftar masuk di Tarakan Plaza Hotel, Jalan Yos Sudarso.
Selepas solat Zohor, rombongan dijamu di kantor Walikota Tarakan dan seterusnya  menghadiri taklimat sejarah dan pembangunan Kota Tarakan oleh Bapak Walikota, Ir Sofian Raga..

Rombongan Kunjungan Ilmiah itu kemudian mengadakan Forum Silaturrahim dan Diskusi di Dewan Masjid Baitul Izzah, Pusat Islam Tarakan.

Dalam majlis forum yang turut dihadiri Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kota Tarakan, Drs H Muhammad Anas, banyak isu yang dibincangkan termasuk soal sijil halal beberapa produk makanan yang diragukan aspek halalnya.

Selain itu, rombongan juga dibawa berkunjung ke beberapa organisasi yang berpejabat di Pusat Islam Kota Tarakan itu, antara MUI Kaltara,Sekretariat LPPTKA-BKPRMI dan Depot Iqro Kota Tarakan dan sebagainya.

Dari sana, rombongan dibawa ke Yayasan Pondok Pesantren Hidayatullah untuk menikmati jamuan makan seterusnya menunaikan solat maghrib di sana. Mufti  Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Ustaz Bungsu Aziz Jaafar juga diberi peluang untuk menyampaikan tazkirah kepada jemaah.

Pada hari kedua, rombongan berkunjung ke Pondok Pesantren Raudhatul Quran di Gunung Lingkas. Ustaz Ayub Handrihadi menyampaikan taklimat mengenai pembangunan ponpes Raudhatul Quran itu.

Dari sana, rombongan Kunjungan Ilmiah itu berangkat menuju Badan Zakat Nasional (BAZNAS) yang terletak di Selumit, Tarakan Tengah. Rombongan diberi taklimat oleh Wakil Ketua Baznas, H Eddy Djasmani SE.M.Ap.

Selepas itu, rombongan kunjungan ilmiah itu menikmati makan tengahari di RM Turi Ikan Bakar. Sebelum pulang ke hotel, rombongan sempat berkunjung ke Baloy Mayo Adat Tidung Tarakan. Kepala Adat Besar Tidung Kalimantan, Adji Pengiran H Mochtar Basry Idris berbesar hati untuk menyambut kedatangan tamu dari Sabah itu.

Pada sebelah malamnya, Mufti Negeri Sabah dijemput untuk mengadakan pengajian akbar di Masjid Baiturrahim Gunung Lingkas Kota Tarakan, yang menjadi acara penutup kunjungan ilmiah i di Kota Tarakan. Sebelum pulang ke hotel, rombongan sempat singgah makan malam di warung Teras, sebuah restoran yang pernah dikunjungi Presiden Jokowi sewaktu berada di Tarakan.
Kunjungan Ilmiah selama tiga hari itu, walaupun singkat berjaya mencapai kesepakatan dalam bidang sosial dan budaya khususnya pembangunan dakwah di antara kedua negara.