Ahad, 22 Julai 2018

SENI MUZIK TRADISI PERLU DIDOKUMENTASIKAN, KATA PROF MARGARET KARTOMI

Tags

SENI MUZIK TRADISI PERLU DIDOKUMENTASIKAN, KATA PROF MARGARET KARTOMI





JIKA tidak dikaji, diteliti dan didokumentasi, muzik tradisional akan hilang ditelan globalisasi. Sekarang sudah banyak yang hilang, tanpa kita sedari,” kata Profesor Margaret Kartomi, Profesor dalam bidang Muzik di Universiti Monash dan Pengarah Arkib Muzik Universiti Monash (MAMU). Wanita kelahiran tahun 1940 adalah seorang ilmuwan bertaraf dunia. Beliau menghabiskan lebih separuh usianya untuk mengkaji muzik dan budaya di Sumatera, Jawa, Kalimantan, Maluku, Flores, Irian Jaya dan sebagainya. Beliau adalah pelopor pengajaran dan penyelidikan bidang muzik Indonesia di Australia. Hingga kini beliau masih aktif membimbing pelajarnya untuk penyelidikan dalam bidang muzik di beberapa universiti seperti Universiti Adelaide dan Humboldt.


“Sekarang saya 77 tahun, saya tidak ada waktu, banyak tugas lagi yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu pada Rabu. Beliau berada di ibu negeri untuk menghadiri Simposoum ke5  The ICTM  Study Group on Performing Arts of Southeast Asea (PASEA) pada 16 hingga 22 Julai di Muzium Sabah.



Prof Margaret Kartomi, AM, FAHA, Dr Phil, B Mus, AUA, lahir di Adelaide Australia pada 24 November 1940. Beliau mendapat BA dalam bidang Muzik di Universiti Adelaide. Selepas memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ethnomusicology di Universiti Humboldt di Berlin pada 1968, beliau bertugas di Jabatan Muzik Universiti Monash sejak tahun 1969,bermula sebagai penyelidik, kemudian pensyarah, pensyarah kanan, dan kini bertugas sebagai Professor dan Ketua Jabatan Muzik Universiti Monash. Beliau pernah mendapat Piagam Penghargaan Kebudayaan dari Pemerintah Indonesia. Selain itu, beliau juga dianugerahkan gelar Ratu Berlian Sangun Anggun kerana komitmennya terhadap kajian kebudayaan di Sumatera.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN mewawancara beliau di Muzium Sabah ketika menghadiri Simposoum ke 5  The ICTM  Study Group on Performing Arts of Southeast Asea (PASEA). Turut serta dalam sesi wawancara itu ialah Dr Karen S Kartomi Thomas dan penulis, Nelson Dino.
UTUSAN BORNEO: Bagaimana mulanya Prof tertarik untuk menyelidiki bidang muzik di Asia Tenggara khususnya di Indonesia?
PROF MARGARET KARTOMI: Saya mula tertarik dengan Indonesia ketika berusia sembilan tahun apabila orang tua saya mengundang pelajar Indonesia yang mengikuti pengajian di bawah Rancangan Colombo untuk datang makan tengahari di rumah pada satu hari minggu.  Ketika itu, saya jatuh cinta dengan muzik gamelan.  Kemudian saya berkenalan dengan salah seorang pelajar itu, Hidris Kartomi, dari Banyumas, yang kemudian menjadi suami saya.


Sebagai pelajar di Universiti of Adelaide, saya menulis tesis saya untuk ijazah sarjana muda BA mengenai muzik tradisi Jawa itu.Usia saya ketika itu 18 tahun. Minat saya bertambah dalam ketika menyiapkan tesis PhD di University Humboldt Berlin juga mengenai muzik tradisional.
Selepas itu saya meneruskan minat saya dalam bidang muzik. Selepas berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Etnomusikologi dari Universiti Humboldt di Berlin pada tahun 1968, saya terus bekerja di Jabatan Muzik di Universiti Monash.Mula-mula sebagai Felo Penyelidik, kemudian pensyarah, pensyarah kanan dan selepas itu sejak tahun 1989, saya menjadi Profesor dan Ketua Jabatan Pengajian Muzik di Universiti Monash.
Saya adalah Profesor Muzik di Faculty of Arts, Monash University dengan pengkhususan  Indonesia dan Asia Tenggara, dengan kepakaran  muzik Sumatera. Selain itu, Koordinator penelitian di School of Music-Conservatorium. Penelitian saya  akhir-akhir ini berfokus pada kultur musik di Aceh, Kepulauan Riau, dan Lampung. 
Selain itu, saya pernah menjadi Panitia Simposium International Musicological Society di Melbourne (1988, 2004, dan 2017).,Anggota dewan Society of Ethnomusicology (2007),Anggota American Musicological Society (2004).Anggota Fellow of the Australian Academy of the Humanities (1989).
Pada tahun 1970, saya menggagas pengajaran dan penelitian muzik Asia di Australia dan membangun arkib muzik Sumatera dan Asia di Monash University.
UB: Sebagai ahli etnomusikologi, organologi dan historiografi Indonesia dan Asia Tenggara, sudah tentu prof sudah menghasilkan banyak karya. Mungkin boleh sebutkan apa antara karya yang prof hasilkan?
PROF: Saya menulis banyak artikel, buku dan karya-karya etnografi muzik yang diterbitkan dalam bentuk rakaman atau Compact Discs. Antara buku yang saya hasilkan ialah Gamelan Digul and the Prison Camp Musician who Built it: An Australian Link with the Indonesian Revolution. Bersama suami saya, Hidris Kartomi, saya mengunjungi dan mengkaji muzik di seluruh Indonesia selama lebih 40 tahun. antaranya Kalimantan, Sulawesi, Maluku, Irian Jaya dan sebagainya. Saya juga menghasilkan  buku “Musical Journeys in Sumatera” setebal 480 halaman pada tahun 2012.
UB: Apa sebabnya  Prof banyak memberikan tumpuan kepada Sumatera?
PROF: Saya fikir dari seluruh dunia, Indonesia paling kaya dalam hal musik tradisional. Bagaimanapun, saya melihat saat itu muzik budaya di Sumatera seolah dipinggirkan. Kita boleh membaca banyak buku dan kajian mengenai muzik di Pulau Jaya tetapi tidak di Sumatera.
UB: Setakat ini, apakah prof sudah menulis mengenai soal muzik di seluruh pulau Sumatera?
PROF: Saya sudah membuat penyelidikan di enam daripada 10 provinsi atau wilayah di Sumatera. Antaranya ialah  Aceh, Sumatera Utara,Riau, Sumatera Barat, Sumatera Selatan dan Bangka Belitung.
.Buku mengenai Muzik tradisi di Kepulauan Riau akan di terbitkan di Denmark manakala penerbitan mengenai Muzik  Lampung kini sedang diusahakan.  Banyak sekali yang perlu dilakukan. Saya sudah mengabdikan diri dalam kajian ini sejak berusia 19 tahun. Kini saya sudah 77. Saya tidak banyak waktu lagi.
UB: Bagaimana minat yang ditunjukkan oleh mahasiswa terhadap pengajian muzik di universiti?
PROF: Pelajar dan mahasiswa menunjukkan minat yang sangat besar terhadap muzik tradisi.. Ada ribuan jumlahnya. Untuk itu kami membeli gamelan, talempong, angklung dan lain-lain lagi.
UB: Menarik sekali Prof. Sepanjang kajian tentu sekali banyak muzik tradisional yang prof kumpulkan.
PROF: Kami memiliki puluhan koleksi alat Muzik, rakaman, video mahupun suara muzik tradisional Indonesia.Kini tersimpan rapi di Arkib Muzik MAMU dan menjadi rujukan ramai orang.
UB: Bagaimana dengan proses globalisasi? Mungkinkah ia megancam kedudukan muzik tradisional?
PROF: Saya khuatir akibat globalisasi, muzik-muzik tradisional akan hilang. Kerajaan mesti membantu mendokumentasi dan marakamnya. Ada banyak muzik tradisi  yang sudah hilang.Saya fikir perlu lebih banyak penyelidikan, dan semua pihak perlu menyimpan dan membuat arkib muzik, silat, sandiwara dan lain-lain yang tersebar di berbagai daerah. Kalau ini tidak dilakukan, maka semuanya akan hilang begitu saja.
UB: Saya difahamkan  Prof banyak juga melakukan kajian di Lampung Sumatera Selatan?
PROF: Di Lampung, banyak seni muzik tradisi yang perlu diketengahkan. Masyarakat antarabangsa juga sangat tertarik dengan berbagai festival yang diselenggarakan bupati Lampung Timur seperti Festival Way Kambas, Festival Melinting, Fastival Panen Padi dan Festival Musik yang diselenggarakan ibu bupati.
UB: Prof ada jua menyebut Tupping. Boleh jelaskan sedikit?
PROF: Sebelumnya Tupping Kuripan tidak boleh sembarangan dipertontonkan di khalayak umum kerana mengandungi nilai sejarah dan dianggap suci, Tapi kini masyarakat umum suda diperbolehkan untuk melihatnya. Ini satu langkah yang baik agar masyarakat boleh mendalami sejarah Tupping dan Lampung Selatan, ini letaknya di Sumatera Selatan.Menurut saya, sejarah kebudayaan dan kesenian ini perlu diperkenalkan kepada masyarakat luas.
Usaha-usaha perlu banyak dilakukan. Ini untuk menyelmatkan generasi muda Lampung di masa yang akan datang mengenai tradisi dan asal usul mereka.
UB: Apa yang menarik di Indonesia mengikut pandangan prof selama 40 tahun mengadakan penyelidikan di sana?
PROF: Saya suka dengan keramahan, kebaikan rakyat Indonesia dari semua peringkat usia, tua muda  ketika bertanya kepada mereka mengenai seni, dan kehidupan mereka. Saya suka makan durian, dan banyak lagi jenis buah-buahan,, lauk pauknya, cuasa dan iklimnya dan pemandangan yang cantik khususnya di pulau-pulaunya.

UB: Selain Indonesia, dimana lagi di Asia Tenggara ini yang pernah Prof Kunjungi?
PROF:Saya pernah diundang ke Marawi City olh Prof Dr Jose Maceda lebih 30 tahun yang lalu. Kami keliling Mindanao untuk merakamkan muzik tradisi di sana. Saya belum sempat menulis mengenainya. Ia masih tersimpan dengan baik di Arkib Muzik di Monash University, di MAMU. Sesiapa yang berminat mengakji muzik tradisi silakan datang buat kajian di sana.
UB: Boleh saya tahu tanggapan Prof mengenai Sabah?
PROF: Sabah sangat kaya dengan muzik dan tarian tradisional. Saya baru pertama kali kali ke Sabah dan baru beberapa hari berada di sini. Saya sempat menyaksikan sepuluh jenis tarian tradisional. Unik sekali.Luar biasa.sangat bagus pakaian dan kostumnya.

UB: Terima kasih prof kerana sudi diwawancara.
PROF: Terima kasih banyak.Jumpa lagi.