Ahad, 22 Julai 2018

SELAMAT BAKU DAPA. INI MANADO PUNYA CIRITA

Tags

SELAMAT BAKU DAPA. INI MANADO PUNYA CIRITA


SEJAK jam 4.00 pagi lagi, hari Rabu 11 Julai, kami sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk Check in. Pesawat Batik Air ID7168 Tujuan Jakarta terbang tepat  jam 6.00 pagi dari Kota Kinabalu. Penerbangan mengambil masa kira-kira dua jam 55 minit dan dijangak  dijangka tiba kira-kira jam 8.55 minit pagi atau jam 7.55 Waktu Indonesia Barat (WIB).
Selepas itu, kami transit beberapa jam di Bandara Internasional Soekarno Hatta, sebelum berpindah  ke Terminal 2  untuk penerbangan ke Kota Manado . Pesawat ID2680 berangkat kira-kira jam 12.30 tengahari WIB dan tiba di Bandara Sam Ratulangi kira-kira tiga jam 10 minit kemudian atau jam 4.50 petang Waktu Indonesia Timur. (waktu Manado sama waktu dengan Sabah).
Setibanya kami di Bandara Sam Ratulangi, hari sudah petang. Rombongan Fam Trip seramai 12 orang  diketuai Ibu Hendro Retno Wulan dan disertai oleh agen dan syarikat pelancongan dari Sabah disambut oleh Ketua Asita (Association of Indonesian Tour and Travel Agencies) Sulawesi Utara, Ibu Merry Karouwan dan ahli jawatankuasa Asita.

Selepas urusan mengambil bagasi selesai, kami merakamkan gambar kenangan sebelum memasuki perut bas berkeliling kota Manado sambil melanjutkan perjalanan ke Restoran Star di Manado Town Square3 atau lebih dikenal Mantos..
Pemandu pelancong kami,, namanya Pak Mario atau nama lengkapnya Mario Salomo Ben Gavriel Sarinsang Pantow. Orangnya masih muda dan memiliki banyak maklumat dan pengetahuan mengenai Kota Manado dan sejarahnya.
Di dalam perjalanan itu, beliau memberikan kuih tradisional manado yang dikenali sebagai kuih `cucur’. Kalau di Sabah, kuih ini dinamakan kuih pinjaram di kalangan masyarakat Bajau atau kuih Amik dalam bahasa Iranun.

Kami memberitahunya mengenai persamaan itu. Ada lagi beberapa persamaan lain dengan beberapa bahasa tempatan seperti Ama’ (bapa), Ina’ (Ibu), Paniki (kelawar) dan banyak lagi perkataan lain. Tetapi ini tidak terlalu menghairankan kerana bahasa manado tergolong dalam bahasa Melayu Austronesia.
Sepanjang perjalanan kami, Pak Mario memberitahu mengenai beberapa keistimewaan Kota Manado, yang menjadi ibu negeri bagi Provinci Sulawesi Utara.
Selamat Baku Dapa, katanya dalam bahasa Manado yang bermaksud Selamat Datang. “Manado punya Cirita” sangat banyak. Oleh sebab itu “Marijo ka Manado”.
Di  Manado ada pulau Bunaken, Pasir Pantai Siladen,Pulau Lihaga,Gunung Api Mahangetang,Air Terjun Tumimperas, Bukit Doa Timohon, Bukit Kasih Kanonang dan sebagainya.







Sepanjang perjalanan itu, dapat disaksikan Kota Manado sedang membangun dengan pesat. Manado memang sebuah kota yang mengagumkan. Tidak lama kemudian kami melintasi jambatan yang boleh berubah warnanya kepada pelbagai warna khususnya pada waktu malam. Jambatan Soekarno itu sudah menjadi mercu tanda Kota Manado sejak sekian lama. Kami berhenti sebetar untuk mengambil gambar untuk kenang-kenangan sebelum melalui jalanan yang agak sesak tidak jauh dari kawasan Mantos 3.
Di Manado Town Square 3 itu kami dibawa ke Restoran Mantos dan dijamu dengan pelbagai jenis makanan. Saya memilih makanan berasaskan ikan, kerana favourit saya memang ikan.


Suasana majlis makan malam itu penuh ceria. Selepas itu, kami merakamkan lagi foto kenangan sebelum bergegas ke Hotel Peninsula, tempat penginapan kami pada malam pertama di Manado.
Beberapa hari lagi, Kota Manado dengan tema  Manado Cerdas, Manado Rukun akan merayakan ulang tahun yang ke 395. Kota Manado yang dikenal kota Tinutuan itu lahir pada tahun 1623, adalah sebuah kota yang amat terkenal dan dianggap sebagai kota yang paling toleransi di Indonesia.
Saya cuba mencari buku sejarah mengenai Kota Manado tetapi tidak jumpa ketika singgah di toko buku Gramedia. Saya menanyakan buku mengenai Dr Sam Ratulangi, atau apa saja mengenai Manado, namun tidak sempat dicari kerana harus bergegas ke hotel. Esok harinya harus bangun awal kerana kami meneruskan lagi perjalanan dari Kota Manado ke Tutuyan.