Khamis, 31 Ogos 2017

MASDOR DIMAN, PERNAH HARUMKAN NAMA MALAYSIA

Tags



MASDOR DIMAN, PERNAH HARUMKAN NAMA MALAYSIA
-dari seorang atlit, beralih ke bidang pertanian, kini pengusaha restoran

LAHIR di kalangan keluarga petani tidak menghalang Masdor Diman untuk menjadi seorang ahli sukan. Walaupun terpaksa berlatih tanpa kemudahan dan kelengkapan yang mencukupi, beliau berjaya mencatat kejayaan  dalam olahraga.Masdor pernah dianggap kurang waras kerana berlari ketika dinihari  mengitari beberapa buah kampung di Kota Belud sekitar kampung Labuan seperti Wakap, Peladok, Merabau, Tamau, Pintasan, Kesapang, Jawi-Jawi dan balik ke kampung Labuan semula. Sejak kecil beliau terbiasa dengan cara hidup yang lasak, mengangkat berguni-guni padi dari tengah sawah ke rumah atau kadang-kadang menunggang kerbau untuk mengangkut padi.Hasil latihan yang keras itu, Masdor Diman meraih keunggulan apabila menang acara lari 800 meter mewakili negara dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada 1981.Itu antara sekian banyak kejayaan yang diperolehinya sepanjang berkecimpung dalam bidang sukan.

Masdor Diman dilahirkan di Kampung Labuan Kota Belud pada 2 Januari 1959.Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Labuan bermula 1964 hingga 1969. Selepas itu, beliau memasuki kelas peralihan di SMRK Taun Gusi pada 1970 sebelum  berpindah ke SMK Arshad Mota Belud hingga tingkatan lima.Kemudian menyambung pelajaran di SMK Likas untuk memperbaiki pencapaian dalam  SPM.
Prestasi dalam bidang sukan khususnya olahraga amatlah membanggakan.Sejak kecil lagi, beliau sering mewakili sekolah dalam acara lari 800 meter, Selain  sekolah,beliau juga daerah, zon dan negeri hingga pernah mengharumkan nama  negara dalam Kejohanan Terbuka Olahraga Singapura pada 1981 apabila muncul juara.
Sebelum menjadi seorang usahawan, Masdor pernah bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan  Sabah, Balai Polis Daerah Kota Belud, Perpustakaan Negeri Sabah  dan Jabatan Ketua Menteri (JKM) sebelum mengambil keputusan untuk menceburi bidang pertanian khususnya penanaman padi. Beliau antara orang pertama di Kota Belud yang mempelopori penanaman padi dua kali setahun. Beliau adalah bumiputera pertama yang memiliki jentera penuai padi.Namun beliau terpaksa meninggalkan bidang  usaha agro bisnis selepas pecah Perang Teluk menyebabkan harga minyak naik mendadak menyebabkan kos pengeluar semakin tinggi.
Masdor beralih kepada perniagaan restoran dan kini menjadi usahawan yang berjaya.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di premisnya di Stadium Likas. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang menceritakan pelbagai kisah pahit manis dalam kehidupan sebagai ahli sukan, pengusaha pertanian dan peniaga restoran.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit bagaimana tuan mula berkecimpung dalam sukan?
MASDOR DIMAN: Sebenarnya saya terlampau aktif sejak kecil lagi.Semasa sekolah rendah, di kampung, saya main semua jenis permainanan.Main bolasepak, main badminton,, maain rounders, apa saja aktiviti, tiada yang terlepas.Main gasing,main kidaban atau meriam buluh, main salagundi (layang-layang) sewaktu musim menuai.  Ada satu kesukaan ketika kecil,, saya suka menggali telaga .Musim kemarau susah dapat air di kampung. Tak ada paip. Saya korek telaga, selagi tak dapat air.Saya satu orang saja. Saya rajin menolong orang tua saya menanam padi. Meradu atau membajak tanah, nibur atau membuat permatang. Kehidupan di kampung sangat menarik. Saya rajin ke  emba’ suang atau kuala sungai untuk menangkap ikan , bantu ekonomi keluarga. Dulu saya pernah naik kuda, ikut berlumba.Kami sesama sendiri ikut berlumba, kuda mana yang lebih laju.

UB: Ibu bapa kerja apa?
MASDOR: Ayah saya berniaga kedai runcit. Haji Diman bin Taum  manakala ibu saya, Puan Nawan binti Datu Haji Shukur

UB: Dulu berlatih macam mana?

MASDOR: Ketika itu,aa saudara saya yang berkhidmat dalam tentera. Beliaulah yang memberi galakan.Sidin Suhor, seorang yang aktif. Badannya tegap.Saya sering melihatnya berlatih. Saya pun ikut berlatih. Ikut bergayutan seperti latihan tentera.Waktu itu usia saya sekitar 14 dan 15 tahun.

UB: Apakah tidak rasa terbeban, memandangkan masa itu masih kecil?
MASDOR: Tidak menjadi masalah bagi saya. Saya biasa mengangkat padi. Kadang-kadang berkarung-karung. Kalau musim menuai, padi diangkut dari tengah sawah ke rumah menggunakan kerbau. . Jaraknya agak jauh. Bayangkan dari sawah padi di Jawi-Jawi diangkut sejauh kira-kira 3 kilometer ke kampung Labuan. Lepas itu padi  diangkat ke rumah.

UB: Bila tuan rasa paling menyerlah dalam sukan?
MASDOR: Ketika bersekolah di SMK Arshad saya mula menyerlah dalam sukan. Kebanyakannya saya  berlatih sendiri. Jurulatih pertama saya ialah Cikgu Matlin Jadi. Dialah yang mula mengajar saya. Satu orang lagi, cikgu Param mengajar pendidikan jasmani.

UB: Bila tuan mula mencatat kejayaan?

MASDOR: Pada tahun 1978, ketika bertanding di kejohanan olahraga MSSS di Kompleks Sukan Likas,saya berjaya memecahkan rekod MSSS dalam acara 800 meter dengan catatan 2.01 memadamkan rekod lama. Saya jadi wakil Sabah ke MSSM di Kelang. Pada 1979, ketika menyambung semula persekolahan  di SMK Likas, saya terus ikut pertandingan. Saya menang tempat ketiga  peringkat Kebangsaan. Saya adalah pelari pertama MSS yang memecah rekod.Catatan saya masa itu ialah 1:56 saat sungguhpun hanya tempat ketiga di peringkat kebangsaan. Tahun itu saya tidak terpilih walaupun sebenarnya saya layak jadi wakil.Tahun 1980 saya tidak menyertai tetapi pada tahun 1981,saya menang Singapore Athletics Open. Saya  bersaing dengan pelari pelari negara Asean dan lain-lain.Saya jadi juara 800 meter dengan catatan 1:57 saat.

UB: Siapa jurulatih masa itu?
MASDOR: Saya banyak berlatih sendiri. Saya bernasib baik kerana ketika itu mendapat perhatian  seorang jurulatih iaitu Hang Mokhtar. Beliau  seorang anggota polis FRU yang bertugas di Kota Belud dalam pilihanraya 1981. Waktu itu saya bertugas di Balai Polis Kota Belud. Apabila beliau melihat saya berlatih, dia menawarkan untuk melatih saya. Saya berlatih di bawah bimbingan beliau kira-kira dua bulan.Saya juga pernah berlatih di bawah Henk catle dari US Academy. Saya juga ada berlatih di bawah jurulatuh Jerman, jurulatih Sabah, Datuk Dilbagh Singh Kler.
Tetapi kemudian saya berhenti berlatih pada tahun 1984. Alasannya tidak cukup dana untuk berlatih. Selain pemakanan yang baik,cukup vitamin, disiplin yang kuat dan sistem  latihan yang baik mampu melahirkan juara.

UB: Terus berhenti jadi atlit?
MASDOR: Tidak. Kerana selepas kembali berlatih, saya tukar event dari acara 800 meter kepada acara 400 lompat  berpagar. Saya terpilih mewakili Sabah ke peringkat Kebangsaan dan menang pingat perak.

.Pada tahun 1988, saya sempat berlatih tiga bulan  di Perth Australia sebagai persediaan menghadapi kejohanan kebangsaan. Namun sepulangnya dari sana saya terpaksa melupakan karier sukan kerana terpaksa fokus kegiatan ekonomi dan berniaga.Padahal ketika itu stamina saya masih kuat, malah dijangka boleh mengalahkan Kenny Martin. Dalam acara lompat berpagar, sebenarnya saingan saya ialah Hasan Ayub dari Sarawak. Kami yang rangking masa itu.

Antara kenangan manis saya ialah ketika membawa mendiang Soo Soong Ping kembali  aktif dalam sukan.Ketika itu beliau baru balik belajar dari England, saya bawa beliau untuk berlatih. Mulanya beliau enggan dengan berbagai alasan termasuk tidak ada lagi kelengkapan.  “Kasutpun tiada” Saya tanya apa sizenya.Bila saya belikan dia kasut adidas, dia agak terkejut. Dia ingat saya main-main. Selepas dia aktif semula, beliau sempat lagi mewakili negara ke Sukan Sea. Pada masa yang sama saya pula sering mewakili Sabah dalam sukan Insurans Insuran ke peringkat nasional, acara 400,800, 1500, saya selalu menang, malah saya selalu pecahkan rekod.

UB: Pernah ikut dalam kejohanan olahraga veteran?
MASDOR:Pada tahun 2000, saya menyertai Kejohanan Olahraga Veteran di Singapura. Ikut acara 200 meter dan menang perak.Saya ingat pada masa itu, Selepas balik dari Australia untuk menonton Sukan  Olimpik Sydney, saya terus turun untuk bertanding di Singapura.

UB: Sering menonton sukan Olimpik?
MASDOR: Sebenarya saya suka menonton olimpik secara langsung. Saya sanggup terbang ke Sydney ketika Sukan Olimpik di sana. Begitu juga ketika, ketika sukan olimpik diadakan di Athens Greece, saya juga datang menonton. Ketika Kejohanan Olaharaga anjuran IIAF diadakan di Osaka, Jepun, saya juga terbang ke sana demi kerana minat saya dalam bidang sukan.

UB: Selepas berhenti berlatih, dan fokus dalam bidang ekonomi, bidang apa yang tuan pilih?
MASDOR: Saya ;pilih bidang pertanian. Saya rasa tidak ada masa depan bekerja di jabatan kerajaan, waktu itu saya kerja di JKM, lebih baik saya menceburkan diri dalam  bidang pertanian.Saya ingin benar memajukan bidang pertanian dengan mengajak masyarakat membangunkan pertanian, menggalakkan mereka menanam padi. Saya beli traktor. Saya galakkan penduduk untuk tanam padi. Sayalah yang mula-mula ajak petani `double cropping’. Menanam padi dua kali setahun. Saya terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk menambahkan hasil tuaian dengan kaedah menanam padi dua kali setahun sebab  saya ada traktor yang mahu dibayar. Saya mesti cari sumber pendapatan.Satu tahun ada 12 bulan, kalau musim padi hanya kira-kira empat bulan, jika tidak buat tanam dua kali setahun, pendapatan tidak dapat menampung untuk bayar traktor.
UB: Sejak bila minat dalam pertanian?
MASDOR:Sejak dulu lagi.Sebelum itu, ketika aktif dalam sukan lagi, dan ketika berpeluang melawat Semenanjung, saya tidak melepaskan peluang melawat sistem jelapang padi di Kedah jelapang padi di Selangor dan lain-lain. Saya ingin tahu bagaimana sistem tanam dua kali setahun dijalankan. Saya lawat beberapa tempat di Semenanjung. Kawan saya masa itu ialah Saudara  Muddin Beting.Membangun pertanian bukan kerja mudah. Sengsara.Saya lihat sistem taaman padi kita perlukan perubahan. Sistem perparitan mesti baik,bekalan air mesti cukup. Masa itu, sistem kurang teratur. Bila kami tanam padi, orang berebut-rebut, ada ketikanya terpaksa berbalah kerana bekalan air.
UB: Dimana tuan mulakan sistem tanam padi dua kali setahun?
MASDOR:  Saya mulakan projek tanam dua kali setahun di tanah Haji Kisab di Kampung Tawadakan. Arwah Haji Sepion tidak dapat ikut serta kerana masalah taliar. Lepas itu barulah sistem `double cropping’ itu diterima oleh petani. Apabila penanaman padi semakin maju, saya terpaksa beli jentera penuai atau jentuai. Sayalah anak  pertama bumiputera yang bawa mesin  jentuai tahun 1990.

UB: Mungkin tuan ada maklumat, berapa  keluasan sawah padi di Kota Belud?
MASDOR: Ketika itu ada 10,000 ekar  tanah. Pada masa itu , Bank Pertanian banyak membantu usahawan petani. Masa itu hubungan kami agak rapat ambil peluang yang disediakan kerajaan.

UB:  Berapa hasil seekar?
MASDOR: Setiap ekar boleh menghasilkan antara RM1,500 hingga RM3,000. Terdapat kira-kira 10,000 ekar tanah di Kota Belud. Katakanlah setiap ekar boleh menghasilkan RM1,500, bayangkan kalau luas tanah 10,000 ekar? Berapa wang yang mengalir di Kota Belud.

UB: Apa yang tuan lakukan selepas musim menuai? Jentera sudah pasti tidak beroperasi kerana tiada tanah yang dibajak?
MASDOR: Saya tawarkan kepada penduduk kampung Labuan, dan kampung-kampung di sekitarnya , Kampung Wakap, Kota Peladok, Merabau, Tamau, Kesapang untuk membajak tanah mereka, kira-kira setengah ekar setiap orang secara percuma untuk menggalakkan mereka menanam buah-buahan dan sayur-sayuran. Ada orang bertanya, apakah saya tidak rasa rugi, saya bilang , `daa kau padul’, jangan peduli.Saya berikan benih buah-buah seperti betik, Saya tanam benih betik kira-kira 5000 anak benih. 500 anak benih saya tanam. Selebihnya saya berikan pada orang kampung.

UB: Apa lagi yang tuan lakukan masa itu?
MASDOR: Saya juga pastikan bantuan subsidi baja yang diberikan kepada mereka tidak disalahgunakan atau dijual semula. Saya galakkan mereka menjadikan pertanian sebagai satu bidang yang boleh meningkatkan sumber ekonomi. Malahan di Eropah sendiri, pernah ada yang dinamakan Revolusi Pertanian. Di tempat kita sendiri perlu ada revolusi pertanian.. Banyak tanah pertanian, berjuta ekar, sepatutnya kita tidak mengimport beras dari luar negar. Mengapa kita mesti import, sedangkan kita tidak  negara pertanian? Ilmu pengetahuan perlu dibangunkan. Terlampau banyak yang perlu dibuat, memajukan pertanian, bekalan air mesti cukup, sistem saliran perlu diperbaiki.
UB: Bagaimana kehidupan petani selepas mereka mengamalkan penanaman padi dua kali setahun?

MASDOR: Bila ramai orang amalkan tanam dua kali setahun, kehidupan mereka makin berubah, ada yang dapat perbaiki rumah. Pokoknya kehidupan keluarga mereka berubah.

UB: Bagaimana kedudukan tanah-tanah terbiar yang belum diusahakan?
MASDOR: Masa itu saya pastikan agar tanah-tanah terbiar diusahakan semula untuk tanaman padi. Sebelum itu, apabila Lembaga Padi Sabah (LPS) menghentikan operasi dan ditutup oleh kerajaan kerana rugi, maka terdapat hampir 500 ekar tanah terbiar. Ini yang kami majukan untuk menanam padi.

UB: Khabarnya dulu tuan mempunyaoi jentera pembajak yang besar dan mampu membajak tanah yang luas?
MASDOR: Sebenarnya saya mengubah suai mesin jentuai menjadi mesin membajak yang sesuai untuk tanah yang luas tetapi tidak sesuai untuk tanah yang kecil.Usaha mengubah suai mesin jentuai itu berjaya, walaupun memakan kos hampir RM100,000.Tetapi percubaan itu berjaya sehingga kemudian ia banyak diikuti di tempat-tempat lain. Masalahnya, apabila mesin  itu jatuh diparit dan bengkok, saya tidak larat lagi untuk membaikinya.

UB: Boleh dikatakan tuan banyak mempelopori usaha untuk memajukan bidang pertanian di Kota Belud khususnya penanaman padi. Sanggup mengeluarkan modal besar membeli traktor dan jentera penuai. Saya ingin tahu mengapa tuan tinggalkan bidang pertanian?
MASDOR: Saya terpaksa  mengubah haluan dalam perniagaan  kerana perubahan ekonomi global yang berlaku akibat Perang Teluk. Selepas Perang Teluk, ia memberi kesan terhadap ekonomi. Harga minyak naik, alat ganti naik dan semuanya kurang menggalakkan sehingga saya terpaksa menukar haluan berniaga.

UB: Apa bidang usaha yang tuan ceburi sekarang?
MASDOR: Sekarang saya menceburi bidang perniagaan restoran. Alhamdulillah, dalam setiap usaha pasti ada cabarannya. Tapi jangan pedulikan itu. Kita berusaha saja, pasti berjaya.

UB: Terima kasih banyak kerana sudi meluangkan masa untuk sesi Sembang Sabtu Utusan Borneo.
MASDOR: Terima kasih banyak.