Khamis, 31 Ogos 2017

CIKGU DAYAH, HAMPIR LEMAS KETIKA NAIK RAKIT KE SEKOLAH

Tags



CIKGU DAYAH, HAMPIR LEMAS KETIKA NAIK RAKIT KE SEKOLAH


Peristiwa karam di sungai dan hampir lemas adalah salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Cikgu Dayah, kini berusia 81 tahun. Ketika itu beliau mengajar di Kampung Merabau. “Masa itu, hari -hari pakai arur atau dalam bahasa Melayunya dipanggil rakit bambu, untuk menyeberangi sungai dari Kampung Peladok.Tiba-tiba ketika sampai di tengah sungai, arur yang kami naiki terbalik. Kami semua jatuh ke dalam sungai. Saya cuba menyelamatkan murid tetapi saya pula hampir lemas. Dia orang (mereka)  pula yang tolong saya,” katanya Cikgu Dayah,  atau nama penuhnya Haji Mohd Dayah Dallah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pompod Kota Belud, pada Rabu.


Haji Mohd Dayah Dallah dilahirkan di Kampung Payas-Payas Kota Belud pada 16 Oktober 1938. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Timbang Dayang hingga lulus darjah enam. Selepas itu, beliau mendapat tawaran menjadi guru sekolah.
Beliau mula bertugas sebagai guru pada 1 Mei 1955 di sebuah sekolah sukarela rakyat NVS Kampung Labuan Kota  Belud. Beberapa tahun kemudian,, beliau memasuki Pusat Latihan Guru-Guru Bumiputera (N.V.S.T.T.C) di Tanjung Aru pada 1 Julai hingga 30 Disember 1962. Selepas tamat kursus perguruan, Mohd Dayah dilantik sebagai guru terlatih di NVS Kota Peladok, Kota Belud. Enam bulan kemudian beliau bertukar ke SRK Mengkabong Tuaran. Dari Mengkabong, beliau berpindah pula ke SRK Petagas sebelum berpindah semula ke SRK Timbang Dayang. Beliau pernah mengajar di beberapa buah sekolah lain seperti SRK Tamau, SRK Pekan Kota Belud.Beliau bersara pada 16 Oktober 1993 selepas berkhidmat selama 38 tahun 5 bulan dan 15 hari sebagai guru, Beliau mendirikan rumah tangga dengan Lailah Sudin dan dikurniakan tiga anak lelaki dan dua perempuan.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Haji Mohd Dayah Dallah atau lebih dikenali sebagai Cikgu Dayah di Kampung Pompod,Kota Belud. Sambil duduk di beranda rumahnya, Cikgu Dayah menceritakan kenangan sewaktu zaman persekolahan dan sedikit pengalaman beliau sewaktu bertugas sebagai guru.Dalam sesi temuramah itu, Abd.Naddin ditemani mantan Ketua Perhutanan Tawau, Jaya Dallah. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

UTUSAN  BORNEO: Bolehkah Cikgu  gambarkan suasana persekolahan pada masa itu?

CIKGU DAYAH: Masa itu paling sengsara. Kami terpaksa berjalan kaki ke sekolah di NVS Timbang Dayang. Tiada kasut. Pakai seluar pendek hitam.Baju putih lehernya hitam, Kalau dikenangkan, masa bersekolah dahulu memanglah susah jika dibandingkan dengan masa sekarang.
UB: Berapa bekal ke sekolah masa itu?
CIKGU: Kadang-kadang 10 sen, kadang-kadang lima sen, kadang-kadang tiada bekal ke sekolah.

UB: Apa yang dapat dibeli dengan 10 sen?
CIKGU:Dua sen sudah boleh beli kuih gelang gelang, kuih apam. Masa itu harga makanan jauh lebih murah berbanding sekarang.

UB: Jam berapa berangkat dari rumah?
CIKGU: Kami berangkat dari rumah jam 7.00 pagi. Sampai di sekolah jam 8.00 pagi. Sekolah kami terletak di kaki bukit. Antara cikgu kami masa itu ialah Cikgu Abd Majid Gajah, Cikgu Osman, Cikgu Gulamdin.

UB: Masa itu sudah ada buku tulis?
CIKGU:Di sekolah kami menulis menggunakan kalam batu. Tulisan itu dipadamkan dengan air.kalau tiada air, terpaksa dihapus dengan air ludah saja. Hanya mata pelajaran terakhir saja yang boleh dibawa balik ke rumah. Masa itu paling sengsara.

UB: Bagaimana keadaan sekolah masa itu?
HMDD:: Keadaan sekolah amat daif, tiada kemudahan asas.Guru-gurunya terlalu sedikit dan kurang kelayakan. Tiada kenderaan pengangkutan. Murid-murid terpaksa  berjalan kaki, menunggang kerbau atau kuda. Sangat berbeza dengan keadaan sekarang. Kebanyakan murid hanya bersekolah hingga tamat sekolah rendah sahaja. Kerajaan penjajah masa itu tidak prihatin terhadap kebajikan murid-murid dan guru. Tapi sekarang jauh berbeza. Kerajaan Malaysia menyediakan kemudahan infrastruktur yang baik, bangunan sekolah, peralatan mengajar , guru-guru yang cekap dan terlatih. Keadaan ini jauh berbeza dengan masa dulu.

UB: Cikgu sekolah sampai darjah berapa?
CIKGU: Saya bersekolah sampai darjah enam. Selepas lulus darjah enam kami diambil bekerja sebagai guru. Antara rakan sekolah saya ialah Cikgu Haji Abd Rashid,Cikgu Duraim, Cikgu Sulaiman Suyau dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, selepas bekerja sebagai guru, saya berusaha untuk mengambil peperiksaann Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dengan belajar sendiri. Saya berjaya lulus dengan cemerlang dalam SRP.

UB: Apakah kerajaan tidak memberi galakan untuk pelajar bumiputera bersekolah ketika itu?
CIKGU:  Sistem persekolahan pada zaman pemerintahan British agak berbeza. Mereka tidak menyediakan persekolahan menengah untuk pelajar aliran Melayu. Itu sebabnya, kebanyakan yang lulus darjah lima atau enam hanya ditawarkan sebagai guru. Pelajar aliran Inggeris pula berpeluang menyambung persekolahan di sekolah-sekolah Mission yang menyediakan pendidikan hingga Senior Cambridge, peperiksaan yang setaraf dengan tingkatan lima atau Form 5. Sekolah Mission ini didirikan di tempat yang jauh. Itu sebabnya kebanyakanm pelajar bumiputera tidak dapat melanjutkaan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

UB: Selepas lulus darjah enam, Cikgu terus bertugas sebagai guru. Dimana  cikgu mula mengajar?
CIKGU:Saya mengajar di NVS Labuan. Selepas itu, barulah saya ditugaskan di beberapa buah sekolah lain.

UB: Antaranya?
CIKGU: SRK Timbang Dayang. Ketika mengajar di SRK Timbang  Dayang, antara murid saya ialah arwah Talikop Lamsin, mantan Pegawai Daerah dan Pengurus Besar Ko Nelayan,  Mohd Salleh Lamsin, graduan pertama Iranun, Salisi Ukoh, Presiden Persatuan Bumiputera Iranun Sabah, Ismail Sidik, bekas guru yang kini jadi setiausaha Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI). Ramai lagi.Itu antaranya yang saya boleh ingat.

UB: Siapa antara rakan setugas ketika mengajar di Timbang Dayang?
CIKGU: Antara rakan saya mengajar masa itu ialah Cikgu Umpuh, Cikgu Abin. Di SK Timbang Dayang saya dibantu oleh Cikgu Hajat Haji Lasin.
Kemudian saya ditukarkan ke SK  Mengkabung, Tuaran .Guru besar masa itu bernama Cikgu Sani. Selepas kira-kira dua tahun mengajar di Mengkabung, dari Tuaran, saya dipindahkan pula  di SRK Petagas. Dari Petagas saya dipindahkan semula ke Kota Belu dan akhirnya bersara ketika betugas sebagai guru di SRK Timbang Dayang.

UB: Apa perasaan cikgu ketika ditukarkan ke sekolah lain?
CIKGU: Bagi saya tidak ada sebarang masalah. Dalam menjalankan tugas saya sebagai pendidik, saya tidak pernah engkar walaupun ditugaskan di tempat yang jauh dari kampung halaman saya. Dimanapun kita ditugaskan mengajar, kita harus laksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai guru dalam mendidik anak-anak bangsa tidak kira dimana berada.


UB:  Berapa gaji guru masa itu?
CIKGU: Gaji guru masa itu hanya RM85, diberikan oleh orang tua kampung
Sebab sekolah sukarela. Selepas menjalani latihan di NVSTTC baru gaji naik RM105.

UB: Masih ingat nama-nama pensyarah di NVSTTC waktu itu?
CIKGU: Antara pensyarah kami ialah Datuk Haji Ismail Abbas (Allahyarham), Datuk Haji Mohd Dahli Elias, Datin Hajah Hasnah Abdul Rahman, Cikgu Mohd Aslie Luttah, Cikgu Majusin..

UB: Berapa harga  beras masa itu?
CIKGU: Harga beras masa itu lima ringgit segantang. Gila pula hanya 55 sen sekati.

UB: Mungkin ada peristiwa yang tidak dapat dilupakan? Boleh ceritakan sedikit?
CIKGU: Salah satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika saya bertugas di NV Kampung Merabau. Masa itu, hari -hari pakai arur atau dalam bahasa Melayunya dipanggil rakit buluh, untuk menyeberangi sungai dari Kampung Peladok.` arur' atau rakit daripada buluh yang ditarik menggunakan tali yang diregangkan di kedua belah sungai.

Tiba-tiba ketika sampai di tengah sungai, arur yang kami naiki terbalik. Kami semua jatuh ke dalam sungai. Saya cuba menyelamatkan murid tetapi saya pula hampir lemas. Dia orang (mereka)  pula yang tolong saya,”

UB: Berapa orang yang menaiki `arur’ masa itu?
CIKGU: Kalau tidak silap, kira-kira 20 orang. Antara mereka ialah Masuit, Umpal, Cikgu Andin dan lain-lain lagi. Saya tak ingat nama yang lain.  Murid sekolah masa itu sudah besar-besarMereka lebih pandai berenang daripada saya. Dia orang (mereka) yang menolong saya.. Saning yang berbadan besar, dialah yang tarik arur iyu.

UB: Kenapa naik `arur’?
CIKGU: Masa itu tidak ada jalan lain kecuali menggunakan arur. Jalan dari Merabau ke Peladok masa itu belum ada lagi. Kemudian apabila sekolah NVS di Merabau itu roboh, kerana keadaan sudah sangat daif,Pemimpin-pemimpin kampung masa itu mencadangkan sekolah NVS di bina di Kampung Peladuk. Penduduk bergotong-royong membina sekolah. Antara yang saya ingat Arwah Amai Tiawi, Ukoh bapa kepada Salisi, Sharif Baba.Sharif Junit Itu antaranya.  Penduduk kampung membina sekolah sukarela. Atapnya nipah. Berdindingkan bulu. Mereka juga membina rumah kediaman guru. Masa itu, Cikgu Hajat juga bertugas di NVS Peladok. Kami buat dua sidang, sidang pagi dan sidang petang. Kemudian pegawai orang putih, Tuan Pias datang buat lawatan ke sekolah. Dia bilang `good ! good!”, memuji sekolah kami.

UB: Sewaktu masih sekolah dahulu, apa cita-cita Cikgu?
CIKGU: Saya ingat, dulu saya sekolah, saya hanya mahu belajar agar dapat kerja. Bagi saya, tidak boleh jadi kalau tiada sekolah. Bagaimana saya mahu hidupkan anak isteri, keluarga kalau saya tiada sekolah. Kerja tanah, saya tidak pandai. Jadi saya bersekolah, untuk dapat kerja  kerajaan, supaya saya ada sumber pendapatan untuk menghidupkan keluarga.

UB: Sudah berapa lama bersara?
CIKGU: Saya sudah bersara hampir 24 tahun. Saya bersara pada 16 Oktober 1993 selepas berkhidmat selama 38 tahun, lima bulan dan 15 hari.

UB: Bagaimana cikgu menghabiskan masa lapang?
CIKGU: Saya lebih  banyak menghabiskan masa bersama keluarga, kunjungi mengunjung sesama keluarga jika keadaan kesihatan mengizinkan.

UB: Apa motto hidup yang selalu jadi amalan cikgu?
CIKGU: Sentiasa berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain. Kita harus sentiasa tolong menolong antara satu sama lain , sentiasa berganding bahu untuk menjayakan sesuatu pekerjaan.

UB: Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Semoga temuramah ini bermanfaat dan perkongsian pengalaman ini jadi bahan dokumentasi dan renungan generasi muda di kemudian hari.

CIKGU: Terima kasih banyak juga kerana sudi datang bertandang ke rumah kami.