DATUK MASRANI PARMAN, SENTIASA DISENANGI RAKYAT
MESKIPUN beliau pernah menjadi seorang Ahli Yang Berhormat dan pernah pula menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Masrani Parman tetaplah seorang personaliti yang serba sederhana. Beliau sentiasa disenangi rakyat kerana beliau sentiasa mendengar keluh kesah, suka duka dan aspirasi mereka dan sentiasa memperjuangkan nasib rakyat yang diwakilinya. Beliau adalah seorang pemimpin yang senang didekati. Bahkan rakyat tidak pernah terasa ada jurang antara beliau dengan rakyatnya kerana beliau sentiasa berdamping dengan mereka. Perjuangannya bermula ketika menjadi guru sebelum menceburkan diri dalam arena politik atas desakan masyarakat. Walaupun pernah kalah dalam Pilihanraya Umum 1990 ketika bertanding di DUN N3 Bengkoka, tetapi kerjayanya dalam politik terus meningkat setelah memenangi DUN Bengkoka bermula tahun 1994 hingga tahun 2008 apabila beliau memberi laluan kepada Datuk Bolkiah Haji Ismail, seorang ahli perbankan dan kini Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian. Kini Datuk Masrani Parman mengisi masa lapangnya dengan berkebun sawit dan kadang-kadang membantu isterinya di Dataran Bengkoka.
DATUK MASRANI PARMAN dilahirkan di Kampung Salimpodon Pitas pada 15 September 1947. Beliau mendapat pendidikan awal di NVS Pingan-Pinggan Pitas dari tahun 1959 hingga 1962. Beliau kemudian meneruskan persekolahan di SM Kudat dari tahun 1963 hingga 1965. Selepas tamat tingkatan tiga, beliau memohon kerja sebagai guru pelatih dan ditugaskan di SK Bandau Kota Marudu hingga tahun 1967. Pada 1968 hingga 1970, beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran. Selepas mendapat sijil perguruan, beliau dilantik sebagai guru di Sekolah Rendah Inggeris Lodong Kudat pada tahun 1970. Kemudian pada tahun 1974, beliau ditukarkan di SK Rosob Pitas. Pada tahun 1977, beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas sebagai guru besar. Kemudian beliau ditukarkan ke Unit Peperiksaan sebagai Penyelia Peperiksaan SRP pada tahun 1983.Pada tahun 1987, beliau bertukar semula di Pitas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di SMK Pitas. Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1989, beliau meletakkan jawatan sebagai guru dan menceburkan diri dalam politik.
Selepas menceburkan diri dalam politik, beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi LPKP, Pengerusi Ko-Nelayan. Kariernya dalam politik terus meningkat apabila dilantik sebagai Pembantu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dan kemudian sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah. Beliau juga pernah menjadi sebagai Pengerusi Safoda sebelum melepaskan jawatan dan kini menumpukan sepenuh masanya untuk berkebun dan kadang-kadang membantu isterinya menguruskan restoran di Dataran Bengkoka.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di Dataran Bengkoka untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman beliau sejak sekolah rendah, kemudian menjadi seorang pendidik hingga dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Ikuti petikan temubual bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datuk?
MASRANI: Saya lahir di Kampung Salimpodon Pitas pada tahun 1947, 15 September. Saya anak keempat. Seibu sebapa ada empat orang. Ayah saya Parman bin Dolah, seorang mandur ladang manakala ibu saya Azizah binti Aman, seorang surirumah.Satu bapa lain ibu, ada tiga orang lagi. Saya mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School (NVS) Pinggan-Pinggan dari tahun 1959 hingga 1962. Sekolah NVS Pinggan-pinggan ditubuhkan pada tahun 1957. Saya mula bersekolah pada tahun 1959 iaitu dua tahun kemudian. Sekolah Sukarelawan Rakyat itu ditubuhkan atas semangat gotong-royong, Gaji guru dibayar oleh ibu bapa. Separuhnya oleh kerajaan. Kebanyakan guru masa itu tidak terlatih disebut oleh guru pelatih.
UB: Selepas itu, dimana datuk melanjutkan pelajaran?
MASRANI: Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kudat. Kami ke Kudat menggunakan perahu berlayar dari Pitas. Masa itu di kawasan Residen Kudat, hanya ada sebuah sekolah menengah. Iaitu SM Kudat. Ketika Sabah Merdeka menerusi pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, saya masih belajar di SM Kudat. Pada tahun yang sama, Presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy, mati ditembak.
UB: Siapa rakan-rakan datuk ketika bersekolah di SM Kudat?
MASRANI: Antaranya YB Datuk Saibul Subu, Wilson Malingka, Michael Madinal, Datuk Abdul Latif Kandok.
UB: Berapa jam pelayaran dari Pitas?
MASRANI: Kami mengambil masa empat jam untuk merentasi Teluk Marudu untuk ke Pekan Kudat. Masa itu, saya dapat biasiswa Kerajaan Negeri untuk perbelanjaan seharian dan makanan.
UB: Sampai tingkatan berapa bersekolah di SM Kudat?
MASRANI: Saya bersekolah sampai tingkatan tiga di S MK Kudat hingga tahun 1965. Pada tahun 1966, saya dilantik menjadi guru di SK Bandau (Kini Kota Marudu).
UB: Siapa rakan Datuk yang sama -sama bertugas di sekolah itu?
MASRANI: Antaranya, Haji Abd Aziz Manggong, Haji Ruhimin Adzim.
UB: Lepas SK Bandau, dimana datuk bertugas?
MASRANI: Pada tahun 1967, saya memasuki Maktab Perguruan Kent, Tuaran untuk mendapatkan sijil perguruan. Antara rakan semaktab saya waktu itu ialah mendiang Datuk Baggai Basirun.
UB: Selepas tamat maktab, dimana datuk ditugaskan?
MASRANI: Saya ditugaskan di Sekolah Rendah Inggeris Lodong Kudat pada tahun 1970. Saya menjadi guru Bahasa Malaysia. Pada tahun 1974, saya ditukarkan di SK Rosob Pitas. Ramai murid saya yang pernah menjadi pemimpin masyarakat sama ada sebagai pengerusi JKKK, ada yang jadi Ketua Kampung dan sebagainya. Pada tahun 1977, saya ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas sebagai guru besar. Kemudian pada tahun 1983, saya ditukarkan ke Unit Peperiksaan sebagai Penyelia Peperiksaan SRP. Saya pernah satu pejabat dengan arwah Bolkas Hasbollah. Kemudian, pada tahun 1987, saya bertukar semula di Pitas sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di SMK Pitas. Pada tahun 1989, saya meletakkan jawatan sebagai guru dan menceburkan diri dalam politik.
UB: Apa reaksi keluarga?
MASRANI: Keluarga memang agak terkejut dengan keputusan saya meletak jawatan jadi guru. Malahan ketua saya di Jabatan Pendidikan ,Datuk Khamis Noyo masa itu bertanya apakah saya sudah memikirkan masak-masak keputusan saya sebelum beliau menerima surat peletakan jawatan saya. Ketika itu, saya hanya memberanikan diri, berjuang untuk membela nasib rakyat yang agak ketinggalan dalam pelbagai segi.
UB: Apa sebabnya datuk memilih untuk menceburkan diri dalam politik masa itu?
MASRANI: Saya menceburkan diri dalam politik atas permintaan masyarakat. Saya sendiri tidak terfikir menjadi wakil rakyat. Saya sendiri tidak tahu sejauh mana kemampuan saya.Kita tidak dapat menilai diri kita, orang yang boleh menilai diri kita.
UB: Kemudian datuk bertanding pilihanraya?
MASRANI: Pada tahun 1990, bulan April saya dicalonkan sebagai Calon USNO di N3 Bengkoka. Tapi pada masa itu, saya kalah kepada calon PBS, Paul Tom Imbayan. Antara calon USNO yang turut kalah pada tahun itu, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.
UB: Selepas kalah pilihanraya, apa yang datuk lakukan?
MASRANI: Saya terus berkecimpung dalam politik. Berjuang terus menerus. Saya terus aktif. Ketika kalah buat pertama kalinya, hanya isteri yang tahu, perasaan yang agak kecewa. Tapi saya berjuang terus menerus.Walaupun kalah di negeri tetapi BN masih memerintah di peringkat pusat. Selepas itu, saya dilantik sebagai Penyelia KEMAS untuk meneruskan perkhidmatan kepada rakyat. Kemudian dalam pilihanraya berikutnya,tahun 1994, saya bertanding lagi atas tiket UMNO-BN dan menang.
UB: Apa yang mendorong UMNO ke Sabah?
MASRANI: Senario politik masa itu. USNO sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib dan kepentingan golongan bumiputera Islam dilihat kurang mampu untuk mempertahankan kepentingan rakyat terutamanya golongan bumiputera Islam. Kita lihat, UMNO boleh memperjuangkan nasib golongan bumiputera Islam. Itu antara sedikit lagtar belakang mengapa UMNO ke Sabah.
UB: Oh ya, boleh ceritakan sedikit penglibatan dalam UMNO?
MASRANI: Apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, Tun Mustapha menjadi Ketua Penaja Bahagian UMNO Marudu dan saya diminta menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian. Saya ditunjuk oleh Tun Mustapha. Selepas beliau meninggalkan UMNO kerana sesuatu perkara yang mengecewakan beliau , saya dilantik sebagai memangku Ketua Bahagian. Saya menjadi Ketua Bahagian Marudu hingga 2008
UB: Apa antara nikmat pembangunan yang dirasai oleh masyarakat Pitas selepas Datuk terpilih sebagai wakil rakyat?
MASRANI:Banyak projek pembangunan yang dapat dibawa ke Pitas. Pembinaan jambatan Pitas berharga RM10 juta menggantikan perkhidmatan feri. Banyak keperluan rakyat, kemudahan asas seperti jalanraya dari Kota Marudu ke Pitas berjaya diturap, hospital , bekalan elektrik, air dan sebagainya dapat dinikmati. Sebagaimana yang kita tahu, satu masa dulu daerah Pitas adalah sebuah daerah yang termiskin malah termundur di Malaysia. Tetapi kemudian, banyak berlaku perubahan sedikit demi sedikit dan kini taraf hidup rakyat sudah semakin maju.
UB: Sepanjang berada dalam arena politik, apa antara peranan atau jawatan yang pernah datuk pegang?
MASRANI: Saya pernah menjadi Pengerusi LPKP, Pengerusi Ko-Nelayan. Kemudian saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dan kemudian sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar . Selepas tidak lagi wakil rakyat, saya dilantik sebagai Pengerusi Safoda tetapi kini tidak lagi.
UB: Apa cita cita datuk sewaktu kecil? Pernah terfikir jadi wakil rakyat?
MASRANI: Tiada cita-cita masa kecil. Ayah saya mahukan saya menjadi doktor. Saya tidak pernah terfikir jadi wakil rakyat Ini semua ketentuan Allah. Segalanya Tuhan yang tentukan.. Ia terjadi kerana ketentuan ilahi.
UB:Apa kenangan pahit dan manis yang pernah datuk alami?
MASRANI: Banyak kenangan pahit dan manis dalam politik. Kenangan manis apabila menang dalam pilihanraya DUN N3 Bengkoka dan dapat menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional. Semasa menjadi wakil rakyat, saya sentiasa memastikan berada di tengah-tengah masyarakat yang saya wakili agar dapat mendengar aspirasi mereka. Saya sentiasa memastikan banyak masa saya berada di kawasan .
Ahad, 18 September 2016
DATUK MASRANI PARMAN, SENTIASA DISENANGI RAKYAT
✔
abd naddin
Diterbitkan 9:11 PG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)