Selasa, 26 Januari 2016

PERCAKAPAN DENGAN SULAIMAN DARI PATAH PARANG

Tags


PERCAKAPAN DENGAN SULAIMAN DARI PATAH PARANG



Hampir satu tahun selepas Sulaiman mengaku keturunan Lanun Riau itu, barulah saya terbaca mesej yang dihantarnya melalui Messenger. Ketika saya menyemak semula senarai nama-nama yang memohon jadi rakan di facebook, pada 23 November 2015,barulah saya menyedari mesej dari Sulaiman itu.

Sulaiman menghantar mesejnya pada 3 Disember 2014. Ertinya sepuluh hari lagi genaplah satu tahun usia mesej yang dihantarnya itu kepada saya. Kemudian saya segera menghantar balasan, menyampaikan permintaan maaf kerana tidak nampak mesej yang dihantarnya itu.

Saya menunggu dengan perasaan bersalah kerana terlepas pandang mesej itu tambahan pula,agak lama tidak memeriksa laman FB. Sejak hari itu,setiap hari saya menyemak mesej, dan bertambah khuatir kerana Sulaiman lama tidak mengupdate statusnya, kali terakhir pada 9 Mac 2015.

Saya menghubungi orang-orang yang saya fikir  mengenal Sulaiman. Saya tidak tahu namanya yang sebenar kerana beliau menggunakan nama samaran. Akhirnya saya mendapat jawapan dari dua rakannya iaitu Pak Adam Mulhadi dan kemudian dari Ade Iskandar. Saya rasa gembira kerana sekurang-kurangnya saya tahu bahawa Sulaiman memang ada dan bukan fiktif.

Setelah menunggu beberapa lama, akhirnya tibalah jawapan dari Sulaiman pada Jumaat 22 Januari 2016.

Dari sinilah kisah itu bersambung.

Sulaiman mengaku keturunan lanun Riau dan ingin mencari sejarah asal usul mereka. 


“Sebab selama ni kami tidak tau di mana kampung kami berada, yang kami tau dari orang tua-tua bahwa kami berasal dari Mindanao dan Marawi. Kata orang tua-tua kami berada di Riau ni pada masa kerajaan Lingga, diundang untuk membantu perang Bintan datang menggunakan 40 buah kapal perang”.

Dari mana saudara mendapat tahu mengenai saya?, saya bertanya Sulaiman  yang kemudian saya panggil Che. Singkatan daripada perkataam Encik. Dia pun memanggil saya dengan panggilan Che juga.

“Saya mencari-cari di google mengenai kebenaran asal usul kami, kerana selama ini kami hanya tahu dari cerita tetua saja dan tidak ada bukti tersurat kalau kami benar-benar berasal dari Mindanao. Dan saya tidak sengaja kalau che sedang mencari sejarah keberadaan suku Tengku Sulung yang ayahnya berasal dari Tempasuk, dan saya sangat gembira apa yang kami cari mengenai kebenaran asal usul kami telah ketemu orang yang juga mencari keberadaan kami. 


Mengenai sejarah Tengku Sulung, katanya, kami yang ada di Patah Parang masih ada garis keturunan beliau. Perlu che ketahui Suku Melayu Timur di Kuala Patah Parang adalah sisa sisa pejuang Tengku Sulung dan keturunan datu datu yang yang diundang membantu Perang Bintan dan Perang Kelang, katanya..

Setahu saya Perang Bintan berlaku pada 1782-1784. Kerana kekalahan Sultan Mahmud III maka ia meminta bantuan Raja Tempasuk melalui utusan yang diketuai oleh Talib pada 1786. Selepas itu Angkatan Perang Tempasuk datang pada Mei 1787 dan berjaya mengusir Belanda dari Tanjung Pinang.Oleh sebab Khuatir diserang balas, Sultan Mahmud memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga.

Sebahagian anggota angkatan perang Tempasuk itu tidak pulang sebaliknya menetap di Lingga dan menurut sejarahwan Prof James F Warren, generasi ketiga dan keempat, keturunan  orang Iranun itu sudah berasimilasi dengan masyarakat setempat dan menjadi orang Lingga.

Sementara Perang Kelang itu berlaku kira-kira 1863 , dan menurut sejarah,angkatan Iranun itu terlibat  berlaku peperangan di Hulu Langat ketika zaman Tengku Kudin lagi.

Adapun Tengku Sulung, yang menjadi panglima besar Sulung dan terlibat perang di Reteh itu adalah Putera kepada Raja Maimunah, puteri Sultan Siak yang berkahwin dengan Tok Lukus, salah seorang panglima perang Iranun seperti yang tercatat dalam Tuhfat Al Nafis.

Saya beritahu Che Sulaiman bahawa kami sudah pernah ke Tanjung Pinang dan Pekan Baru untuk menelusuri jejak orang-orang Iranun Tempasuk itu. Dalam pencarian itu, kami (saya dan OKK Haji Masrin Hassin) sempat bertemu tokoh-tokoh budaya dan sejarah termasuk UU Hamidy, Dr Yusmar Yusuf dan sentiasa berhubung dengan Pak TA Sakti , pensyarah daripada Unsyiah Kuala. Beliaulah yang banyak membuat kajian mengenai Tengku Sulung. Malah Pak UU Hamidy sempat menulis mengenai misi pencarian kami di Riau Pos. Saya sendiri pernah diwawancara Batam Pos pada tahun 2010 mengenai usaha menjejaki jejak Iranun di Sumatera.

Di mana Encik sekarang? saya bertanya Sulaiman.

Che Sulaiman kini berada di Tanjung Balai, Karimun Kepulauan Riau. Orang tuanya berasal dari Benteng Reteh. Benteng Reteh ini adalah tempatnya Pahlawan Reteh bernama Tengku Sulung dengan gelar Tengku Panglima Besar.Setelah kalah perang di Benteng, kami buat kampung baru dengan nama patah parang, ertinya kalah perang.


Menurut Che Sulaiman, masih terdapat ramai keturunan suku Iranun di kampungnya Kuala Patah Parang, Indragiri Hilir.

“Tapi orang sini bilang kami suku Melayu Timur”, katanya.

Menurut ayahnya, asal keturunan mereka dari Maguindanao manakala ibunya keturunan Marawi. Nama `apuk’ saya Tok Ta’ Inokan.

Saya bernama Sulaiman. Ayah saya bernama Kaharudin. Sulaiman bin Kaharudin bin Burma bin Muntol bin Nawas bin Tok Kelauk bin Tok Inokan. To Inokan inilah yang berasal dari Maguindanao. Saya masih generasi keenam, kata Sulaiman.

“Kata datuk saya kami keturunan Sultan Zulkarnain ibni taubus dengan istrinya Putri Lindungan Bulan,” katanya.

Sulaiman menjelaskan, setiap keturunan mereka harus makan di atas kelong atau kelasak untuk mengenang datuk datuk mereka di Mindanao. Kelong atau taming memang peralatan dalam perang,digunakan untuk membentengi diri dari serangan lawan.

Keluarga Che Sulaiman masih menyimpan kampilan, pusaka dari nenek moyangnya dari Mindanao. Keluarga juga masih menyimpan sundang. Kampilan dan sundang adalah dua jenis alat senjata Iranun.

Namun dia meminta saya bertanya kepada pakciknya pak Alang Nor dan Che Idris, sekiranya saya ke Patah Parang, kerana mereka lebih tahu cerita dan kisah lama.

“Sejarah kami ini tersirat, tidak tersurat, jadi tak ada bukti,” katanya.

Bagaimana pula mengenai acara kesenian. Misalnya sewaktu majlis perkahwinan?

“Dalam suku kami kalau ada acara pengantin mengunakan musik kulintang dengan permainan gendang, anduk-anduk, kedidi, serama dan banyak yang lain..

Kulintangnya asli dari Mindanau, katanya.


“Tarian pencak silat dengan gendang serama yang dimainkan ketika Malam cecah inai. Istilah malam cecah inai, kedua pengantin tidak disandingkan, sebelum cecah inai pengantin laki laki duduk dipelaminan terus diadakan pencak silat 7 pasang setelah itu cecah inai 7 orang, selesai pengantin laki-laki diturunkan dari pelaminan

“Naik pengantin perempuan ke pelaminan terus pencak silat 5 pasang setalah itu cecah inai 5 orang.Acara silatnya pakai alunan permainan gong gendang dan kulintang,” katanya.

Di sana, ada suku lain yang memiliki kulintang?


Walaupun suku lain ada juga kulintangnya, suku lain kulintangnya beza dengan suku kami.

“Jumlah
kulintang mereka hanya 2 buah.Cara mainnya pun tak sama. Mereka mainkan kulintangnya 2 orang dan tidak ada alat muzik gong dan gendangnya.

Kulintang kami jumlahnya 7 buah, bentuknya seperti gong tapi kecil, kulintang tersebut ditaruh pada tempatnya terbuat dari papan bentuknya 4 persegi panjang disusun berurutan. Terus yang memainkannya 1 orang, kulintang tersebut di iringi 2 buah gendang dan 2 buah gong alat gong dan gendang tersebut dimainkan masing masing 1 orang jadi jumlah orang yang mainkan alat muzik tersebut 5 orang.

Begitulah cara permainan kulintang dimainkan, katanya.Kalau pukulan gendang anduk anduk dulunya dimainkan pada saat mau berangkat perang, katanya.

Dulu suku kami sangat ditakuti kerana kerjanya merompak dan melanun Belanda menggunakan senjata kampilan. Kampilan ini sekali tebas leher langsung putus.

Makin jelaslah bahawa mereka adalah orang orang dari angkatan Tempasuk yang memilih tinggal di Lingga selepas peristiwa Mei 1787 itu. Mereka kemudian membentuk komuniti di Reteh dan selepas Reteh diserang dan mereka kalah dalam perang itu, akhirnya mereka meninggalkan Benteng Reteh dan berpindah ke Patah Parang. Kini orang di Tembilahan memanggil mereka dengan sebutan Suku Melayu Timur.

Berapa kira kira jumlah Suku Melayu Timur itu?

Jumlahnya ramai, kata Sulaiman. “Kalau di patah parang 500 orang lebih, Suku melayu Timur itu tersebar di pesisir pantai Tembilahan dan Tanjung Jabung,” katanya.

 Kuala Patah Parang adalah sebuah desa di Kecamatan Sungai Batang, Kabupaten Indragiri Hilir. Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai nelayan. Desa ini berdekatan Kabupaten Tanjung Jabung Barat (Kuala Tungkal), Provinsi Jambi.

Kalau Sulaiman mengatakan bahawa nenek moyangnya, Sultan Zulkarnain Ibnu Tarbus seperti yang diceritakan sendiri oleh apuknya, Apuk dalam bahasa suku Melayu Timur bermakna Datuk.

Selain di Patah Parang, terdapat juga Suku Melayu Timur di Kuala Tungkal dan Tanjung Jabung.Tetapi Suku Melayu Timur di Kuala Tungkal , yang terletak dalam Provinsi Jambi pula memiliki cerita yang sedikit berbeza. Berdasarkan cerita yang mereka ceritakan turun temurun, nenek moyang orang Melayu Timur di Kuala Tungkal, yang pertama kali datang ke wilayah mereka bernama Datu Kedanding, berasal dari Malabang, Mindanao, pada ketika kerajaan itu diperintah oleh Sultan Iskandar Bananai.

 Sebenarnya, walau terpisah di dua provinsi, kedua-dua tempat boleh dihubungi dalam perjalanan dengan bot yang mengambil masa kira-kira  sejam.

“Kalau suku kami yang di kuala Patah Parang berasal dari Magindanao, Marawi, Masliok. Tidak ada dari Malabang,” kata Che Sulaiman.

Dalam sejarah kami tidak ada. kami tidak tau silsilah keturunan itu, katanya lagi.

Malah Sulaiman berkata, walaupun cerita che ada kesamaan dengan cerita apuk apuk kami, , katanya, ada juga perbezaan.


 Menurut penuturan che, katanya kepada saya,  orang yang membawa pasukan ke Lingga itu ketuai oleh  Raja Muda sa Tebuk, sementara menurut cerita apuk kami, yang memimpin pasukan tersebut yang datang membantu ke Lingga itu adalah Datu Syahbudin syah.

Saya memberitahu beliau bahawa saya menceritakan kisah itu berdasarkan  sumber dari Kitab Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji.

Sejarah kami mengatakan yang datang membantu perang ke Lingga ada 2 suku iaitu suku Iranun dan sopeng, dan kata apuk kami Iranun dan Sopeng adalah saudara

"Soppeng tu orang bugis? Saya bertanya. “Ia betul Che. Soppeng orang bugis. Kata apuk kami, Iranun Soppeng saudara angkat, soppeng saudara muda Iranun saudara tua,” katanya.


 Bukti senjata Kampilan itu dan Sundang itu menunjukkan memang aslinya dari Mindanao. “Rata rata orang Melayu Timur ada nyimpan kampil dan sundang di rumah mereka, kampilan dan sundang tersebut ada yang asli dari Mindanao dan ada yang di tempah di Singapore dan pandai besi di Reteh,” katanya.

Kampilan tersebut hanya suku kami yang pandai menggunakanya. Jika suku lain menggunakanya tangannya akan patah kerana tidak tau cara memegang dan menebasnya.

Dan kami tau jika kampilan tersebut ulunya di pasang suku lain, kerana ada teori cara memasang ulunya supaya jika kita menggunakannya tangan tidak patah.

Kampilan yang ada pada saya namanya Giam.Saya pun tidak tau apa arti giam tersebut, katanya.
 


Umurnya ratusan tahun dan saya generasi yang ke 6 mewarisi kampilan ini. Katanya.

“Satu lagi che senjata khas kami yg masih ada patah parang namanya Tabas.”Senjata tabas itu masih di simpan apuk saya,” katanya. Apuk dalam bahasa Melayu Timur bermaksud datuk.

Kembali kepada cerita Sulaiman, “Dalam sejarah kami Suku Melayu Timur di Patah Parang, yang pulang ke Mindanao hanya satu orang yang bernama Tok Sabarudin (Datu Sabarudin di kampungnya Masliok.”.Apuk Sulaiman adalah seorang yang ahli dalam ilmu pelayaran. 


"Apuk saya suka berlayar, " katanya.Mereka mengenal dengan baik ramalan cuaca kerana mereka menguasai ilmu astronomi.

Saya sempat bertanya kepada Sulaiman mengenai adat perkahwinan Suku Melayu Timur, sambil cuba mengesan sama ada masih banyak kesan-kesan budaya Iranun  yang masih tertinggal dalam budaya mereka

“Pengantin laki di julang di atas bahu.Kalau keturunan raja keris diatas tepak.Datu keris di samping tepak. Orang biasa keris dibawah tepak.

Terus yang menyambut tepak harus sama gara artiya kalau datu yang bawa tepak maka yangg menyambut tepak mesti keturunan datu juga.Kalau bukan sama gara yang menyambut tepak maka tepak itu di taruk di bawah tangga”


Adat kami jika pengantin laki laki bukan suku kami maka ia mesti beli bangsa di cukur di anak tangga dan memberi sebilah senjata kepada pihak perempuan yang di sebut dengan istilah bahasa timur bekupau.

Adat pengantin suku kami di rumah perempuan mekai payung bejuntai, ula ula, pemanai.

Pamanai? Saya teringat mengenai panji kecil yang dipacakkan sebagai penunjuk jalan ke rumah pengantin.

Pemanai itu panji atau bendera kecil? Saya bertanya.

“Panji yang segi tiga. Di sebut juga bendera kecil,” katanya. Peralatan itu tidak digunakan oleh suku kaum lain “ Ia khusus suku kami.
 Pakaian lain seperti tanjak, tajuk, pedal ayam, baju sadariah.Pedal ayam isinya sirih terbuat dari perak. Kain gumbang dan sebagainya.

Warna baju pengantin kuning rompi atau sadariah merah hati, tanjak corak batik warna merah hati.Pengantin perempuan menggunakan sanggul melintang, kain selempang, bedaknya terbuat dari kunyit..


Pengantin laki laki datang berjulang disambut dengan pencak silat musiknya kulintang permainan gendang serama, Setelah itu syair pihak perempuan dijawab pihak laki laki, setelah tabir dibuka pengantin pun duduk bersanding.Setelah duduk bersanding diadakan acara makan nasi damai.Besok pagi kedua pengantin dimandikan bersama sama, kami meyebutnya mandi sapat.Adat istiadat seperti ini hanya ada di suku kami saja., katanya

”Saya dan orang orang di Kuala Patah parang masih asli melayu Timur, kerana orang tua kami dulu bahkan masih ada sampai sekarang adat jika menerima atau melamar menantu mesti satu suku satu gara, jika ia laki laki suku lain mesti berbangsa/kuturunan raja, itu pun mesti diadakan adat bekupau artinya beli bangsa dengan cara cukur dianak tangga dan memberi sebilah senjata ke pihak perempuan

Bagaimana pula kalau adat kelahiran?

“Kalau budaya kelahiran saya hanya tau sedikit dan seingat saya ini dimulai ketika bayi dalam kandungan berumur 7 bulan diadakan adat makan kelong, artinya makan diatas taming beralas daun pisang dengan lauk ayam bireng dan sayur labu.

Nasi ditarok 4 tumpuk kanan kiri kelung. si ibu yang makan kelung duduk di kepala taming terus bomoh memegang kampilan sambil membaca doa menyebut nama nama datu datu di tanah timur/mindanau yang kami sebut dengan sebutan tunung. Setelah bomoh membaca doa lalu mengelilingi kelung 3 pusingan terus bomoh menuju depan pintu rumah lalu menebas batang pisang dan tebu rinjung yang di gayut/gantung di tengah pintu mengunakan kampilan tadi.

Setelah bayi lahir ditaruh didalam talam terus diadakan pemotongan tali pusat menggunakan sembilu buluh beralas wang koin, bayi dimandikan lalu dibedung terus diazankan lalu gusi si bayi digosok pakai emas dan tepung tawar.

Upacara ini diharapkan supaya gigi si anak kuat, sementara uri uri dimasukkan kedalam kelapa muda setelah 3 hari ditanam didepan rumah dan di kasih penerangan dian/lampu minyak ini diharapkan agar si anak hatinya terang fikirannya cerdas.

Setelah ibu melahirkan dimandikan terus dipakaikan baju dan songkok suami lalu didudukkan bersandar dibantal beralaskan upih pinang.Setelah ibu selesai masa nifas diadakan upacara adat cuci lantai artinya mandi nifas yang dimandikan oleh bidan yang membantu proses persalinan. Setelah selesai mandi tempat mandi tadi dicakar cakarkan pakai kaki ayam.


Sedangkan sianak sebagian ada juga yang membuat adat timbangan, dacingnya tebu.panjangnya kira-kira 1 meter.Buai diikat kiri kanan. Anak dimasukkan  dalam salah 1 buai tersebut, buai yang satunya lagi di masukan beras/gula banyaknya sama berat dengan sianak.

Mengenai bidan yang membantu proses persalinan, ia sudah ditempah semasa bayi berumur 5 bulan dalam kandungan.. “Ini saja sebagian yang saya tau dan masih banyak lagi kebiasaan yang biasa dibuat,” kata Sulaiman.

Ceritakan sedikit mengenai adat kematian?

“Adat kematian setelah jenazah dikuburkan di talqinkan, malamnya diadakan khatam al-qur'an. Malam ke3 diadakan tahlilan disebut niga, terus nujuh, 20,40,100 hari, dah tu setahun sekali disebut haul..

Jika si mayat meninggalkan anak yang masih kecil sewaktu mau dibawa kekuburan sianak nyuruk/lewat dibawah jenazah, ini supaya si anak tidak teringat ingat kepada almarhum..

Adakain putih diikat di nisan. Jika ia turunan syaid/sharif kainnya warna kuning.

Apakah masih ada suku Melayu Timur yang pandai membuat parang? Masih ada pandai bertenun?

“Melayu timur di  kuala Patah Parang dari dulu tak ada yang pandai buat parang.. Sedangkan orang yang buat tenun masih ada yang pandai tapi saat ini tiada lagi yang bikin sebab faktor biaya dan masa mengerjakanya lama dan kalah saingan harga dengan kain buatan mesin,” katanya.


Kalau perahu atau kapal berapa jenisnya. Apa bentuk perahu?

Masa sekarang ni di Patah Parang tiada lagi yang buat perahu sebab bahan kayu tidak ada dan mereka beli dengan suku lain. Bentuknya sesuai daerah asal kapal dibuat.


Istilah bahasa yang ada diperahu kami sebut: 
Tajuk : kepala depan/luan perahu 
Nama nama perahu kami dulu:

1. Sampan kulek

2. Sampan nade

3. 3. Sampan ciau

Katig bahasa melayu timur : sunggar

sampan yang mengunakan sunggar hanya sampan ciau, kalau Melayu Pulau kepri ciau itu dayung ..

Tali layar : bahasa timur bom atas bom bawah.. Dipatah parang tidak ada lagi sampan menggunakan sunggar karna tidak ada lagi yang berlayar ke Malaysia dan Singapore dan di Patah parang gelombangnya tidak kuat.

Apa ciri makanan khas Suku Melayu Timur?

Makanan khas melayu timur:

1.Mencalok terbuat dari udang pepai/udang kecil yang proses membuatnya seperti membuat tapai, raginya nasi.

2. Petis terbuat dari kepala udang yang direbus, air rebusan tadi dimasak hingga kental.

3. Pais : ikan pakai kunyit dan lengkuas dibunkus daun pisang lalu dibakar/dikukus .

4. Sambal lengkong: ikan direbus terus dagingnya digaul pakai ampas kelapa lalu digoreng..

Makanan kue:

 1. Serabai
 2. Dudol 
3. Wajid 4. Tambang buaya..

4.Nama yang ada dikampilan: di ujung kampilan bentuknya seperi cula badak disebut ia candik, ikatan kepala disebut ia salut, antara kepala denga mata kayu yang melintang disebut ia ampak, mengasah kampilan disebut ia gilir ..Dipatah parang tidak ada lagi sampan menggunakan sunggar kerana tidak ada lagi yang berlayar ke malaysia dan singapor dan dipatah parang gelombangnya tidak kuat..

Boleh Che Sulaiman beri maklumat sedikit mengenai bahasa suku Melayu Timur?

”Bahasa bahasa dulu yang masih kami gunakan kami pun tak tau che. Tapi banyak bahasa lama yang digunakan neneki moyang kami.Antaranya:

Gerubuk : lemari

Sudu : sendok

Pinggan : piring

Pasu : mangkok besar

Beledi : alat mengambil air

Cibuk/cintung : alat mengambil air dalam beledi

Sikat kerap : sisir rapat

Perenggan : perbatasan

Jongkong : sampan kecil

Leca : tilam

Capal : selepa/sandal

Ketil : cubit

Piat : cubit kuping

Lempang : tampar

Leng/sukat : alat mengambil beras

]Semitek : minyak rambut

Giwang : kancing baju

Kerabu : anting anting

Pelicak : pembuangan air

cucian Cikel : tombak kecil

\Gubik : alat penumbuk sirih

Kacep : pemotong pinang

Talam : tempat hidangan makanan

Unggis : memotong makanan pakai gigi

Bucu/ceruk : sudut

Perecak : kain lap/sapu tangan

Sengkirek/incar : alat peluba kayu/bor

Peniti : jembatan penyemberangan

Teperesuk : kaki masuk kedalam lubang

Teradak : nabrak
Mamut : wangi

Bedanu : busuk

Upur : bedak

Lawa/cumel : cantik

Uduh : tidak cantik

Dudi : belakangan Lekas : cepat

Pengentit : pencuri

Cumut : kotor

Mamek : sangat masak

Gepek : dompet

Culak : tas

Pengedal : penakut

Juak : gembira



Tapuk : sembunyi

Ambur/Lenting : loncat

Luta : lempar

Simba : siram

Tukak : kudis

Kela : iris/sayat

Jabu : nakal

Gerigit : geram


Suku kami kalau menggunakan bahasa lama sebagian orang lain tak mengerti kerana jauh beza bahasanya dengan bahasa Indonesia/Malaysia:

contohnya : Geser : insut

Bangun : bungkas Topi : terindak

Sedikit : sekelemut

Banyak : belambun

Celana pendek : seluar simpak

Celana dalam : cawat

Buta : picak

Pekak : selingat

Dan masih banyak lagi bahasa lama yang jarang kami gunakan sehingga orang muda suku Melayu Timur pun tidak mengerti. Seperti hipan yanuk che boleh bantu tak kata orang tua saya itu bahasa Mindanao saya pun tidak ngerti..

Nasi : nasik

Air : aer

Tidur : tidur kasarnya mbuta

Periuk : belanga

Tuala : cukin Kain : pelikat

Ayam dulunya disebut manuk sekarang tidak ada lagi yang menyebut manuk Suku Melayu Timur dalam menyebut hurup r tidak jelas r tersebut diucapkan ditenggorokkan seakan akan seperti berdahak.

Saya sempat mengirimkan beberapa foto mengenai masyarakat Iranun di Kota Belud dan Iranun di Mindanao. Saya mengirimkan gambar senjata, tarian tradisi, usunan, majlis kulintan dan sebagainya.

Ini jawapan Sulaiman.

”Saya sangat terkesan melihat foto yang che kirimkan, sundang bentuknya sama tidak ada beza dengan yang ada di kuala patah parang, Begitu juga kulintang gong dan gendang, cara mainkan gendang sama seperti suku kami iaitu berhadap hadapan, dan ula ula, pemanai/panji sama yang ada di rumah apok saya warnanya merah tepinya warna putih, hiasan di kepala perempuan bentuknya pun sama terbuat dari tembaga..

Ciri khas warna melayu timur kuning dan merah hati, baju kuning, kain selempang didada juga warna merah hati begitu juga gumbang atau kain songket yang diikat di pinggang warnanya merah hati bercorak corak, corak atau motif ada namanya..

Dalam adat kami ada cara memakai gumbang atau kain di ikat di pinggang, jika orang muda memakai gumbang batasnya di atas lutut dan jika ia orang tua maka batas gumbangnya dibawah lutut,

Jikalau orang tua itu memakai gumbang diatas lutut artinya ia sombong bahasa timurnya bongkak.


Semasa saya kecil dulu ada permainan seperti di foto itu tapi sekarang permainan itu tidak ada lagi.

Che nanti kalau saya pulang ke Patah Parang saya kirimkan juga foto foto acara pengantin suku Melayu Timur,” katanya..

Informasi ini amat bermakna bagi kami. Saya sedang menulisnya untuk blog dan koran di sini. Moga bermanfaat untuk kita semua. Begitu saya jelaskan kepadanya.

Sekarang ni saya lagi menghubung orang tua tua di patah parang dulu saya pernah dengar apuk saya cerita tentang adat istiadat semua itu ada artinya.

Apuk saya mengatakan adat itu apa beradat itu apa yang di adab itu apa dan lembaga adat .

Apa masalah ini dulu apuk saya pernah menjelaskannya.

Sayang sekali masa itu saya tidak mencatatnya, sekarang ni apuk saya sudah tiada., katanya.


Sulaiman sudah meminta pakciknya Arbain untuk mengumpulkan data-data daripada tetua  yang pandai tentang Suku Melayu Timur seperti adat perkahwinan, Kelahiran, Kematian yang pernah Che tanyakan.

"Saya ini pak sedare Sulaimana Marawi.Kami satu keturunan sama keras..." kata pakciknya ketika kami bertukar mesej kemudian.
 
"Kami berdualah yang mencari sejarah Melayu Timo kata orang Riua menyebutnya. Saye memang berminat betol, saya sudah buat sulsilahnya.Kebanyakan orang yang mengaku Melayu Timo, padahal lemah.Kalau kami ini asli dari Datuk Moyang kami , tak boleh kawin segare" saya sengaja mengutip sepenuhnya ejaan dan percakapan saya dengan Arbain bapak Saudara Sulaiman.  .

"Saye sangat gembire sekali ade sedare yang jauh mencari kami sampai dikate orang timo tak ada kampung. Saya bilang kami punya kampung di Mindanao.Bapak saya cerite tempat di maguindanao. Kami cari di internet, tak salah memang betul. Senjata same semua, sampai kelong pun same", katanya.

Kami keturunan yang keenam.Name saye Arbain bin Nurman bin Niatan bin qulupan bin Datu Inokan.Datu Inokan inilah yang datang pertama ke Riau"

Che Arbain mengirimkan tiga keping gambar majlis perkahwinan di Kuala Patah Parang.
   
Foto yang dikirimkan Pakcik saya itu adalah foto perkahwinan kakak saya,kata Sulaiman. namanya pakaian adat timur dan tidak boleh dipakai oleh suku lain. Jikalau suku lain memakai pakaian itu maka ia akan merasa keberatan lalu pengsan. Ini pernah terjadi beberapa kali.

Sulaiman berjanji untuk menghantar foto-foto permainan kulintang, pencak silat menggunakan sundang, ula-ula, pamanai dan panji-panji.  

Sesungguhnya percakapan dengan Che Sulaiman dan bapa saudaranya Arbain, membuka satu lembaran penting dalam hubungan antara Iranun di Sabah Malaysia dan Suku Melayu Timur di Indragiri Hilir.

Pencarian sejak 2010 untuk menjejaki jejak-jejak keturunan Iranun di Sumatera akhirnya menunjukkan jalan terang. Saya fikir kami sudah dapat memberikan jawapan dalam ruang teka silangkata sejarah di Nusantara. Tetapi masih banyak lagi yang belum terjawab.
 

 

26 Januari 2016, Kota Kinabalu, Sabah