Selasa, 30 September 2014

CIKGU MARANAM PERNAH DILARIKAN MUNDU

Tags



 

CIKGU MARANAM PERNAH DILARIKAN MUNDU

BUKAN semua orang pernah berhadapan dengan lanun atau lebih popular disebut Mundu di kalangan masyarakat Pantai Timur. Tetapi bagi Maranam @ Mohd Amin Muluk, bekas pendidik yang kini menjawat jawatan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bugaya, beliau bukan saja pernah berdepan dengan Mundu malah pernah dilarikan mundu ke selatan Filipina apabila bot yang mereka naiki dirampas dan dibawa ke pulau Maldanas. Maranam terpaksa tidur satu malam di pulau itu, sebelum menumpang perahu orang Bajau laut ke Pulau Sitangkai. Di sana, beliau terpaksa menghabiskan masa selama sepuluh hari sebelum berjaya melarikan diri balik ke Semporna, iaitu dua hari sebelum Hari Raya Aidil Adha pada tahun 1979.

Maranam @ Mohd Amin bin Muluk lahir pada 1948 di Kampung Bait Semporna. Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Bait pada tahun 1959. Selepas menamatkan darjah enam pada 1965, pada tahun berikutnya beliau dilantik sebagai guru pelatih di SRK Tungku dari tahun 1966 hingga 1970. Pada tahun 1970, beliau berpindah ke SRK Terusan Baru dan setahun kemudian berpindah lagi ke SRK Sulabayan pada 1971. Pada tahun 1972 ""Saya bersara dengan sendiri," katanya. Beliau mengalih perhatian untuk menceburi bidang perniagaan. Bagaimanapun, pada tahun 1979, bot yang dinaikinya dirampas dan dilarikan ke Pulau Maldanas, di selatan Filipina. "Pengalaman dilarikan mundu itu masih menjadi igauan sampai sekarang, " katanya mengenai peristiwa yang terjadi 35 tahun lalu. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) dari tahun 1982 hingga tahun 1990.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjadi Ketua Cawangan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Kunak dan kini dipilih sebagai Ketua Bahagian PBS di Bugaya bagi sesi 2014/2017. Beliau pernah memasuki Askar Wataniah dari tahun 1989 hingga 1990. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Daerah Semporna pada tahun 2008 hingga 2009.

Bagi mengenang jasa-jasanya,beliau dianugerahkan bintang Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2005 dan Kesatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 2006.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Cikgu Maranam @ Mohd Amin Muluk mengenai cebisan pengalaman beliau ketika bertugas sebagai guru di daerah Tungku dan Semporna. Beliau juga sempat menceritakan satu peristiwa mendebarkan dan menggemparkan ketika beliau dan rakannya dilarikan di Pulau Maldanas pada tahun 1979. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

MARANAM: Saya dilahirkan pada 1948 di Kampung Bait Semporna. Tahun ini umur saya 66 tahun. Nama saya ketika lahir ialah Maranam, tapi kerana selalu sakit, ibu bapa menukar nama saya kepada Mohamad Amin.Saya bersekolah di GPS Bait pada tahun 1959 iaitu empat tahun setelah sekolah itu dibuka pada tahun 1954. Saya menamatkan persekolahan dalam darjah enam pada tahun 1965.

UB: Selepas itu tuan sekolah di mana?

MARANAM: Saya kena panggil bertugas di SRK Tungku pada tahun 1966 hingga 1970. Cikgu Besar pada masa itu ialah Cikgu Adama Babul. Seorang lagi guru,namanya Cikgu Simon. Seorang lagi Cikgu Muhidin Alimuddin dan seorang lagi, Cikgu Hashim, orang Tungku. Masa itu, agak mudah menjadi guru. Lulus darjah enam, sudah boleh mengajar di sekolah.

UB: Mungkin ada antara anak murid cikgu yang berjaya?

MARANAM: Antara anak murid saya ialah Jamal Sulai, pernah menjadi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Sabah (JHEK), seorang aktivis seni dan pernah tanding dalam pilihanraya. Jamal, murid yang pandai. Ketika dalam darjah tiga, dia seorang pelajar yang pintar. Selain itu, Dr Baitun, kini bertugas di Jabatan Haiwan.

UB: Bagaimana tuan ke Tungku dari Semporna pada masa itu?

MARANAM: Pada masa itu saya ikut Elopura. Ikut kapal marin dari Semporna ke Lahad Datu.Kemudian naik motor ke Tungku.

UB: Berapa gaji pada masa itu?

MARANAM: Gaji pada masa itu ira-kira RM105 ringgit. Tapi gula pada masa itu, satu kati 30 sen, ikan tin 40 sen. Satu gantang beras harganya RM2.80. Satu bulan saya boleh simpan kira-kira 70 ringgit. Kuih pau baru 10 sen. Harga minuman kopi baru 20 sen. Kalau tak ada duit, boleh masuk buku tiga lima. Buku hutang.

UB: Bagaimana kehidupan orang-orang kampung pada masa itu?

MARANAM: Kehidupan orang kampung boleh dikatakan mewah. Air tidak payah bayar. Banyak juga sumber hutan. Tidak payah beli kayu, ambil saja. Kalau tiada ikan, pancing saja kerana banyak ikan. Kalau perlu minyak gas, mungkin boleh beli satu botol. Saya fikir kehidupan pada tahun 1959 hingga 1960 an itu boleh dikatakan mewah. Tiada benda yang dibayar.Masyarakat pun hidup berdikari.

UB: Masa itu, ramai juga orang Semporna yang bertugas jadi guru di ?

MARANAM: Ada. Antaranya Haji Sahadan Haji Samsu, Haji Asiman, Mohd Yasin.

UB: Selepas itu, tuan pindah ke mana?
MARANAM: Pada tahun 1970, iaitu setelah empat tahun mengajar di SRK Tungku, di Dengan, saya kena tukar di SRK Terusan Baru, Semporna. Satu tahun disana, saya bertukar lagi di SRK Sulabayan Semporna, sebelum saya `bersara dengan sendiri' pada tahun 1972.

UB: Kenapa tuan berhenti?

MARANAM: Saya bersara dengan sendiri untuk beniaga pada tahun 1972.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan?

MARANAM: Banyak pengalaman menarik. Salah satunya terjadi pada tahun 1979, apabila bot yang kami naiki dirompak dan dilarikan Mundu atau lanun ke Pulau Maldanas, selatan Filipina. Masa itu, bot yang kamu naiki namanya Saliha Baru, berangkat jam 7.00 pagi menuju ke Lahad Datu. Perjalanan biasanya mengambil masa 5 jam kalau cuaca baik. Tetapi kira-kira jam 9.00 pagi,ketika berada dalam perjalanan itu, berdekatan Pulau Aral, bot kami kena dirompak. Ada satu perahu keluar dari Pulau Maganting menuju bot kami dan terus melepaskan tembakan. Satu orang mati dalam peristiwa itu. Kami rasa takut. Ingat Allah Taala saja.

UB: Berapa penumpang dalam bot itu?

MARANAM: Semuanya ada 40 penumpang. Mundu itu ada tiga orang bersenjata.

UB: Apa yang berlaku selepas itu?

MARANAM: Kami dilarikan mundu. Bot dirampas dan kami di bawa ke perairan Filipina. Empat jam kemudian, kira-kira jam 2.00 petang, kami tiba di Pulau Maldanas. Selepas itu, kami dibiarkan terdampar di sana sehingga jam 5.00 petang. Di pulau itu tiada orang, tiada rumah, kecuali orang yang menangkap ikan. Kami turun di situ, duduk duduk, sehingga jam 5.00 petang sebelum mundu datang semula ambil perahu dan dilarikan ke tempat lain. Kami terpaksa tidur satu malam di sana.

UB: Makan apa? Tidak lapar?

MARANAM: Kami tidak dapat makan apa-apa kerana tiada makanan. Dalam keadaan begitu, kami rasa kenyang saja kerana takut . Rasa mahu menangis mengenangkan keluarga, anak-anak yang kita tinggalkan.

UB: Selepas itu, apa yang berlaku?

MARANAM: Pagi-pagi keesokan harinya, kira-kira jam 5.00 pagi, kami menumpang perahu orang Bajau Laut, ikut pergi ke Pulau Sitangkai. Kami sampai di Sitangkai, kira-kira jam 3.00 petang. Sebelum membuat laporan ke Balai Polis dan mengadu kami kena `hijack', kami dijamu di rumah Kapten Bario,panggilan ketua kampung di sana. Selepas itu, barulah kami membuat laporan ke Balai Polis.

UB: Berapa orang yang menumpang perahu ke Sitangkai? Berapa yang tinggal di Maldanas?

MARANAM: Hanya enam orang dapat menumpang perahu bajau laut ke Pulau Sitangkai. Selebihnya terpaksa menunggu di Pulau Maldanas. Antara yang bersama-sama saya ke Pulau Sitangkai itu ialah Haji Bana,Haji Lumahan, Haji Balani dan satu orang pemuda, lupa namanya.

UB: Berapa lama di pulau Sitangkai?

MARANAM: Kami berada selama 10 hari di Pulau Sitangkai. Tapi kemudian, apabila berlaku tembak menembak di Sitangkau, saya bersama seorang lagi, orang bujang, saya lupa namanya, dapat keluar dari Sitangkai dan balik ke Semporna. Yang lain dibawa ke Bongao, Tawi-Tawi. Saya tidak kena bawa kerana terlebih dahulu dapat melarikan diri.

UB: Bagaimana nasib mereka yang berada di Pulau Maldanas?

MARANAM: Mereka pandai pandai cari jalan pulang balik ke Semporna. Sementara yang lain dibawa ke Bongao. Mereka yang dibawa ke Bongao itu, kemudian diringi balik oleh Tentera Filipina ke sempadan perairan negara sebelum diambil balik tentera kita. Masa itu , nama pesuruhjaya polis, Mohammad Shair. OCPD Semporna ada masa itu, namanya Abdul Hassan. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Datuk Harris Mohd Salleh (kini Tan Sri). Beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Filipina yang pada masa itu dipimpin Presiden Ferdinand Marcos. Oleh sebab itu, orang-orang yang jadi mangsa rompakan oleh mundu itu dihantar pulang menggunakan kapal tentera Filipina.

UB: Bulan berapa kejadian itu berlaku?

MARANAM: Saya ingat tahunnya, tahun 1979. Saya tidak ingat bulan berapa, tapi kami dapat melarikan diri dan sampai ke Semporna, dua hari lagi,hari raya haji.

UB: Rupanya kejadian pencolekan ini bukan perkara baru?

MARANAM:Bukan perkara baru. Dulu merampas`hijack'. Sekarang mencolek untuk tebusan. Dulu sekadar mundu, bot dirampas dan sebagainya.

UB: Apa nama bot yang tuan naiki ketika dirompak dalam perjalanan dari Semporna ke Lahad Datu itu?

MARANAM: Namanya Saliha Baru. Semua orang Semporna tahu itu .Nama pemiliknya Haji Abdul Jalil Haji Namni, pakcik kepada Datuk Mohd Ainal Fattah, seorang peguam dan tokoh korporat di Semporna.

UB: Apa reaksi masyarakat ketika kejadian itu?

MARANAM: Keluarga rasa sedih.Kami dianggap sudah mati. Kami dirompak oleh orang bersenjata. Heboh Semporna masa itu.

UB: Pasti pengalaman dilarikan mundu, satu pengalaman yang menakutkan?

MARANAM: Nasib baik panjang umur. Masa itu kami ingat mati. Saya berdoa hanya kepada Allah saja untuk menyelamatkan kami.

UB: Selepas peristiwa itu, tuan kerja apa?

MARANAM: Pada tahun 1982, saya bekerja sebagai seorang pemaju masyarakat Kemas. Saya hanya berhenti sebagai kakitangan KEMAS, apabila PBS, pada masa tu mengambil tindakan keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1990. Selepas itu, saya bertugas sebagai pemaju Mukim di Kunak.

UB: Oh ya, beralih kepada soal penglibatan dalam politik. Sejak bila tuan menceburkan diri dalam politik?

MARANAM: Saya menceburkan diri dalam politik khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika parti itu ditubuhkan pada tahun 1985. Saya menjadi ahli PBS. Kemudian menjadi ketua cawangan di Kunak. Selepas itu, saya menang tanpa tanding sebagai Ketua Bahagian PBS Bugaya dari tahun 2014-2017.

UB: Sebagai seorang pemimpin mungkin tuan mempunyai pandangan mengenai ciri-ciri menjadi pemimpin yang baik?

MARANAM: Seorang pemimpin haruslah pandai mengambil hati orang yang dipimpinnya. Mereka harus bijak.Pemimpin tidak boleh pilih kasih sebaliknya ia memberikan layanan yang sama kepada semua orang. Mereka hendaklah sentiasa melayani rakyat biasa, hormati menghormati antara satu sama lain, tidak kira pangkat dan darjat.

UB: Apa hobi tuan, kalau ada masa lapang?

MARANAM: Saya suka menyanyi. saya suka lagu Rinto harap, Broery Marantika, Kadir Jailani, A.Ramlie. saya juga suka bermain gitar. Dulu saya pesan gitar dari Singapura. Masa itu di Tungku, ada Chief Clerk namanya Ahmad Tanjung, kami sama-sama pesan gitar dari Singapura.

UB: Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dengan pembaca Utusan Borneo.

MARANAM: Terima kasih banyak kerana sudi memberi peluang kepada saya menceritakan pengalaman lalu. Mungkin ada manfaatnya.