Khamis, 15 Ogos 2013

Fatimah Shara, pilih yang sederhana

Tags

FATIMAH SHARA,PILIH YANG SEDERHANA

KITA mesti sederhana dalam tindakan dan perbuatan. Kita harus pilih saiz M.Kalau pilih saiz S, takut agak sempit tapi kalau pilih saiz L, takut pula terlampau besar. Jadi pilih yang sederhana saja, kata Datuk Fatima Shara Ahmad Noor

Di Sabah, beliau merupakan satu-satunya tokoh wanita yang terpilih sebagai Naib Ketua Umno Bahagian. Beliau dikenali bukan saja sebagai seorang pemimpin politik tetapi juga sebagai seorang ahli korporat yang banyak terlibat dalam kegiatan sosial dan kemasyarakatan.

Datuk Fatimah Shara Haji Ahmad Noor dilahirkan pada 10 Julai 1963 di Semporna, Sabah. Anak sulung daripada tujuh adik beradik kepada pasangan Haji Ahmad Noor Haji Ramli dan Mubarak Jan Aslam Kan ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Pekan Kudat (1971-1976) kemudian melanjutkan pelajaran menengah di SM St Peter Kudat (1977-1981) hingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau juga pernah mengikuti kursus pengurusan perniagaan di Kolej Informatic.

Beliau mula terlibat dalam parti Usno sebagai ahli biasa. Ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, beliau dilantik sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Gaya (1992-1995). Selepas itu,beliau dilantik pula sebagai Ketua Wanita (penaja) UMNO Bahagian Tanjung Aru (1995-1997).

Di peringkat cawangan, Fatimah Shara menjadi Ketua Wanita Cawangan Kampung Ayer (1997-2001). Karier politiknya meningkat setapak lagi apabila terpilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Aru (2001-2006). Apabila berlaku persempadanan baru, beliau kemudian terpilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu (2006 hingga kini).

Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi III, Jentera Pilihanraya BN kali ke-12 Kawasan Luyang (2009-2010) selain menjadi Pengerusi Biro Ekonomi dan Usahawan UMNO Bahagian Kota Kinabalu (2010 hingga kini).

Dalam bidang korporat, Fatimah Shara yang memiliki lesen PKK Kelas A, Pukonsa Kelas A merupakan Pengarah Unik Pesona Sdn Bhd (1986-1990), Pengarah Borneo Target Sdn Bhd (1990-2000) dan Pengurus Besar Jasa Aktif Sdn.Bhd (2000 hingga kini).

Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Masyarakat Bumiputera Sabah (GABEM) (2009-2011) dan pernah memangku jawatan Pengerusi Gabem pada tahun 2010.

Dalam bidang keibubapaan, beliau pernah menjadi Naib Pengerusi PIBG Anglo Chinese Penampang dan sejak tahun 2010, Fatimah Shara menjadi Pengerusi PIBG Maktab Sabah.

Atas jasa baktinya yang banyak memberi sumbangan dalam bidang kemasyarakatan, keusahawanan dan politik, beliau dikurniakan sijil Jasa Bakti sempena Hari Jadi TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah (1994), Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada 2001, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2002 dan pada tahun lalu, beliau dianugerahkan bintang kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Fariz Abdullah Teo dan dikurniakan lima orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual beliau pada satu pagi Khamis di pejabatnya di Lintas Square.Ikuti petikan temubual bersama beliau sambil berkongsi pengalaman mengenai isu-isu keibubapaan, sekolah dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO: Sebagai seorang yang terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), tentu datuk mempunyai saranan kepada ibu bapa agar anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial selepas waktu sekolah. Apa saranan datuk?

DATUK FATIMAH SHARA: Kita hendaklah mengambil tahu mengenai hal ehwal dan perkembangan anak kita di sekolah. Jangan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mendidik anak hanya kepada guru-guru di sekolah. Ibu bapa harus terlibat memastikan anak-anak mereka bersekolah dengan baik.

UB: Mungkin datuk boleh jelaskan apa sumbangan yang boleh diberikan ibu bapa kepada PIBG?

FS: Ibu bapa boleh memberikan sumbangan dengan melibatkan diri dalam program-program anjuran sekolah dan PIBG.Bagi saya , melibatkan diri dengan PIBG adalah sumbangan saya kepada sekolah anak saya. Anak saya belajar di situ. Saya mahu menyumbang untuk kemajuan anak saya di sekolah. Saya mahu menyumbang untuk kemajuan anak-anak lain yang saya anggap seperti anak saya sendiri. Jawatan ini tidaklah bergaji.Sebagai Yang Di Pertua PIBG, saya anggap semua anak-anak yang belajar di sekolah itu sebagai anak sendiri.

UB: Sejak bila datuk menjadi YDP PIBG?

FS: Saya terpilih dan diberi kepercayaan sebagai Yang Di Pertua PIBG Maktab Sabah sejak tahun 2010. Sebelum itupun, saya terlibat dalam kegiatan-kegiatan PIBG sebagai ahli PIBG.

UB: Datuk menghantar anak sendiri ke sekolah?

FS: Setiap pagi saya menghantar anak ke sekolah. Saya ambil sendiri anak saya selepas waktu persekolahan. Saya tetap meluangkan masa untuk mengambil anak saya walaupun sibuk sebagai orang politik, suri rumah dan seorang usahawan.

UB: Apa langkah yang dibuat PIBG dalam mengurangkan gejala ponteng kelas di kalangan murid sekolah?

FS: Kami di PIBG Maktab Sabah ada melantik orang untuk menjaga dan memastikan anak-anak supaya tidak ponteng sekolah.Mereka juga bertugas untuk memastikan keselamatan anak-anak, jaga keselamatan mereka. Petugas ini juga memastikan tiada anak anak berkeliaran dan semua masuk kelas loceng dibunyikan.

Selain itu, selepas waktu sekolah, ibu bapa hendaklah tepat masa mengambil anak-anak mereka. Jangan biarkan anak mereka menunggu lama. Ini bagi mengelakkan kejadian membuli dan sebagainya. Macam-macam boleh berlaku.

Saya rasa di mana-mana sekolahpun, ibubapa perlulah ambil perhatian terhadap kedatangan anak mereka ke sekolah.Kita jangan beri beban sepenuhnya kepada guru. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka betul-betul ke sekolah dan tidak membelok ke tempat lain.

UB: Khabarnya Datuk juga pernah menyuarakan isu supaya sekolah perlu dipastikan agar mempunyai prasarana yang mencukupi. Boleh jelaskan sedikit mengenainya?

FS: Antaranya padang sekolah. Maktab Sabah patut mempunyai padang sendiri. Sekarang sekolah tidak mempunyai padang sekolah. Saya merayu kepada Timbalan Menteri Pendidikan , Datuk Mary Yap yang saya difahamkan bekas pelajar Maktab Sabah juga untuk membantu agar pihak kementerian bersedia membina padang sekolah untuk Maktab Sabah. Kita telahpun menghantar surat kepada kementerian , tapi sampai sekarang, kita masih berjuang untuk mendapatkan padang sekolah

Tanpa padang yang baik, agak menyukarkan pihak sekolah mengadakan kegiatan ko-kurikulum. Ini juga memberi kesan kepada perkembangan pelajar. Buat masa ini, jika ada sukan tahunan sekolah, kami terpaksa meminjam Kompleks Sukan Likas atau kompleks sukan UMS, yang terletak agak jauh dari sekolah.

Kita tidak mahu ini menjadi isu parti politik kerana setiap kali pilihanraya, pihak pembangkang menjadikannya salah satu isu kempen.

UB: Bagaimana pula mengenai sokongan ibubapa terhadap PIBG? Apa kaedah yang datuk gunakan untuk memastikan kehadiran ramai ibu bapa ke sekolah?

FS: Sokongan ibubapa terhadap program PIBG perlu ditingkatkan. Kehadiran ibu bapa dalam setiap program adalah amat penting untuk anak kita. Oleh sebab itu, kita menggalakkan agar setiap kali ada program atau mesyuarat agung, lebih ramai ibubapa dapat hadir. Kita menggunakan pelbagai pendekatan. Untuk memastikan kehadiran. ibu bapa, setiap kali mesyuarat agung PIBG, Kita mengadakan cabutan tiket bertuah

UB: Ada yang mengatakan masalah sosial di kalangan pelajar semakin teruk. Apa pendapat datuk?

FS: Kita pun ada dengar mengenai masalah sosial ini. Saya rasa kita perlu perkukuhkan institusi keluarga. Kebanyakan ke berpunca dari diri sendiri. Diri pelajar sendiri, Mana ada ibu bapa yang mahu anak mereka terlibat dalam gejala sosial. Kita juga tidak boleh salahkan ibubapa.

UB: Apa nasihat datuk?

FS: Kita mesti beri tumpuan kepada pelajaran.Masa depan pelajar banyak ditentukan oleh pelajaran.Kita susah cari kehidupan tanpa pelajaran. Pelajaran penting bagi diri sendiri.

UB: Apa antara aktiviti PIBG SM Maktab Sabah? Mungkin ada yang boleh dikongsikan?

FS: PIBG banyak mengadakan aktiviti. Sebagai contoh, sepanjang bulan Ramadan yang lalu, kta mengadakan pelbagai aktiviti antaranya bacaan surah yasin selepas solat subuh, berbuka puasa bersama-sama.Ini untuk memperkuat aspek kerohanian pelajar.Selain itu kita adakan banyak program agama, memberikan sumbangan kepada pelajar pelajar miskin.

PIBG juga sering mengadakan pasaria, dan program yang bertujuan mengumpul dana untuk keperluan dan kemajuan pelajar. Kita juga mengadakan gotong royong, dan sebagainya.

UB: Khabarnya PIBG turut memberi sumbangan untuk menaikkan nama sekolah di peringkat antarabangsa?

FS: Ceritanya begini. Maktab Sabah diundang untuk menyertai Pesta Tarian Antarabangsa.Kita membantu sehingga pelajar berjaya menyertai Pesta Tarian Antarabangsa di London dan kita mendapat kejayaan dalam pesta itu.Ini sudah tentu bukan saja berjaya mengangkat nama Maktab Sabah tetapi juga sekaligus nama negeri dan negara.Jadi kita berharap pihak kementerian memberikan perhatian dengan memberikan bantuan terhadap kesenian. Bidang kesenian juga mampu membentuk sahsiah pelajar.

UB: Sewaktu sekolah dulu, datuk aktif juga dalam persatuan pelajar?

FS: Memang dari sekolah dulu, saya sudah aktif dalam persatuan.Saya aktif dalam Pesatuan Pandu Puteri, persatuan tarian dan sebagainya.

UB: Oh ya, boleh ceritakan penglibatan dalam politik?

FS: Saya mula terlibat dalam parti Usno sebagai ahli biasa. Ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, saya dilantik sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Gaya pada 1992 hingga 1995. Selepas itu, dilantik pula sebagai Ketua Wanita (penaja) UMNO Bahagian Tanjung Aru dari tahun 1995 hingga1997

Di peringkat cawangan, saya menjadi Ketua Wanita Cawangan Kampung Ayer Kemudian saya terpilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Aru dari tahun 2001 hingga 2006. Selepas itu, saya terpilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu iaitu dari tahun 2006 hingga kini.

UB:Kalau boleh tahu, apa yang menyebabkan datuk menceburkan diri dalam politik?

FS: Saya bergiat dalam politik kerana niat saya mahu tolong orang susah setakat kemampuan saya.Kebahagiaan saya ialah apabila dapat membantu anak yatim, golongan tidak berkemampuan dan sebagainya.

UB: Dapat dorongan dari suami dalam politik?

FS: Suami saya memberi dorongan. Katanya asalkan saya boleh buat,"as long you happy", katanya dan boleh beri manfaat dan boleh bantu orang lain, suami saya tak ada halangan. Malah beliau adalah "man behind the scene" orang di sebalik tabir yang banyak memberikan dorongan dan bantuan jika diperlukan.Beliau seorang yang sangat baik dan `open minded',mindanya terbuka.

UB: Sebagai pemimpin Umno di kawasan bandaraya, apa isu-isu yang dihadapi di kawasan Bandaraya khususnya yang dihadapi golongan bumiputera?

FS: Isunya kos sara hidup yang tinggi, masalah perumahan, masalah kemiskinan dan sebagainya. Kita harus ambil perhatian golongan bumiputera, meningkatkan kemudahan dan fasiliti mereka. Di Kawasan bandar ini sebenarnya banyak lagi orang yang susah.

Kita juga meminta kerajaan agar banyak membantu kawasan yang kalah kerana majoriti pengundi khususnya bumiputera memberikan sokongan mereka kepada BN.Nasib mereka juga perlu dibela.

UB: Oh ya, bagaimana Datuk membahagikan masa antara tugas dan tanggungjawab sebagai seorang suri rumah, seorang usahawan, seorang ahli politik dan giat pula dalam kegiatan kemasyarakatan?

FS: Bagi saya tiada masalah.Saya telah menempuhinya sejak bertahun tahun yang lalu.Saya sudah biasa.Saya selalu mencatatkan program dan temujanji, mesyuarat dalam diari.Jadi tak ada masalah antara tugas sebagai suri rumah, usahawan, pengerusi PIBG dan sebagai Naib Ketua Bahagian. Sebagai seorang usahawan, saya terpaksa mencari sumber untuk penghidupan. Di Maktab Sabah, saya telah membuat pejabat PIBG untuk memudahkan ibubapa berurusan dengan pihak sekolah, dan mempunyai banyak fungsi.

UB: Apa komen datuk mengenai kesedaran pendidikan di kalangan ibu bapa dulu dan sekarang?

FS: Agak berbeza.Masa dulu, kalau anak perempuan mahu belajar, ibubapa tidak membenarkan.Itulah sebabnya dulu golongan wanita agak ketinggalan terutamanya pada era sebelum merdeka. Tapi sekarang situasinya jauh berbeza.Kaum wanita sudah setanding dengan kebolehan kaum Adam. Sebagai contoh Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang juga merupakan Gabenor Bank Negara.

Peranan wanita kini semakin dihargai. Malah kita amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman yang sentiasa mengenang dan menghargai jasa wanita dan sering menyebutnya dalam setiap kali beliau menyampaikan ucapan. Hargai wanita, beliau selalu berkata begitu.

UB: Apa nasihat datuk kepada generasi baru?

FS: Saya selalu nasihatkan anak-anak supaya dalam bertindak supaya selalu pilih size M sebab sederhana.Kalau pilih saiz S, takut agak sempit tapi kalau pilih saiz L, takut pula terlampau besar. Jadi pilih yang sederhana saja.

Saya juga menasihatkan bahawa sebagai seorang anak kita mesti menghormati orang tua. Kalau zaman kami dulu,kanak-kanak dahulu takut ibubapa.Jangan bilang dengar suara dengar bunyi telapak kaki, murid sudah takut tapi sekarang berbeza.

Satu hari kelak, kalau kita jadi tua, anak kita tidak akan mempedulikan kita jika kita jahat kepada ibu bapa. Oleh sebab itu, Kadang-kadang bila ada kesempatan, saya selalu membawa anak-anak saya ke rumah orang tua-tua.Saya mahu memperlihatkan kepada mereka apa yang berlaku kepada orang tua yang terlantar.Saya ajak anak membersih tempat tidur, menyapu dan sebagainya, supaya mereka ingat bahawa satu hari nanti kita akan tua.

UB: Sebagai seorang usahawan dan Timbalan Presiden Gabem, apa saranan Datuk kepada kerajaan mengenai kontraktor bumiputera?

FS: Kita juga meminta kerajaan supaya membantu golongan kontraktor bumiputera, memberikan mereka peluang kerja-kerja pembinaan, penyelenggaraan dan sebagainya. Kita minta orang Sabah diberikan keutamaan.. Golongan usahawan dan kontraktor bumiputera yang layak wajar diberikan bantuan oleh kerajaan.

UB: Mungkin ada ucapan orang tua yang menjadi pendorong dalam kehidupan?

FS: Saya selalu ingat nasihat nenek saya. Kataya, "Nak,biar kita bertahan ada, jangan kita bertahan tiada".

UB: Apa maksudnya?

FS: Maksudnya banyak. Salah satunya ialah supaya kita menyimpan sewaktu ada, ketika kita berkemampuan, berjimat sebab nanti bila kita kehabisan, kita boleh gunakannya.Satu lagi, katanya, biar kita miskin dari segi wang, asalkan kita banyak kawan