Khamis, 15 Ogos 2013

Awadnir Matanggal, tidak tahan melihat orang susah

Tags



 

AWADNIR, TIDAK TAHAN MELIHAT ORANG SUSAH

Sejak kecil lagi, bakat keusahawannya sudah terserlah. Malahan sejak berada di bangku sekolah, tokoh masyarakat yang terkenal ini sering membawa barang dagangan untuk dijual kepada rakan-rakannya. Beliau sering memperolehi pendapatan satu ratus ringgit sehari hanya dengan usaha kecil-kecilan yang dilakukannya. Yang Di Pertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Sabah, Awadnir Matanggal yang juga Naib Yang Di Pertua PKMM Malaysia merupakan seorang tokoh yang berjaya tetapi prihatin terhadap masyarakatnya.

"Saya tidak tahan melihat orang susah," katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud. Beliau juga merupakan Pengerusi Yayasan Awadnir Matanggal, sebuah organisasi yang ditubuhkan yang bergiat dalam bidang kebajikan.

Awadnir @Mohd Arudin bin Matanggal lahir di Kampung Tengkurus Kota Belud pada 10 Oktober 1952. Beliau mendapat pendidikan awal di Native Voluntary School (NVS) Tengkurus sehingga tamat darjah enam. Beliau sempat menduduki bangku sekolah menengah di Government Junior Secondary School (GSS) Kota Belud sebelum menceburkan diri dalam dunia keusahawanan. Awadnir pernah menjadi Ketua Kerani Amanah Tun Mustapha dan kemudian menjadi Penolong Pegawai Luar Yayasan Sabah. Beliau kemudian melibatkan diri dalam bidang politik, bermula sebagai ahli USNO seterusnya berkecimpung dalam UMNO sejak awal penubuhannya di Sabah dan kini menjadi Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud. Beliau juga merupakan Yang Di Pertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) dan Naib Yang Dipertua PKMM Malaysia. Selain itu, beliau juga adalah Pengerusi Yayasan Awadnir Matanggal, sebuah yayasan yang bergerak dalam bidang kebajikan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah sebuah premis di ibu negeri dan berkongsi pengalamannya dalam bidang politik, keusahawanan dan yayasan kebajikan yang ditubuhkannya. Ikuti petikan temubual bersama beliau

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

AWADNIR: Saya dilahirkan pada 10 Oktober 1952 di Kampung Tengkurus, Kota Belud. Kemudian saya bersekolah di NVS Tengkurus bermula 19 Julai 1964 sehinggalah tamat darjah enam. Saya sempat menduduki bangku sekolah menengah dalam kelas peralihan. Selepas itu, saya terus menceburkan diri dalam bidang politik dan keusahawanan.

UB: Bagaimana mula terlibat dalam politik?

Awadnir: Mulanya saya membantu ayah saya.Pada masa itu ayah saya merupakan bendahari USNO Cawangan Tengkurus. Beliau seorang yang tidak pandai menulis.Buta huruf. Waktu itu saya berada dalam darjah empat. Tahun 1968. Sayalah yang menjadi juru tulis. Tulis resit pembayaran yuran ahli-ahli. Setiap tahun mereka bayar satu ringgit. Pada masa itu, ahli-ahli benar-benar bayar RM1 untuk yuran keahlian. Jadi sayalah yang menjadi tukang tulis. Setiausaha USNO Bahagian pada masa itu ialah arwah Haji Mahsul Sinyor.

UB: Lepas sekolah terus masuk politik?

Awadnir: Saya mula terlbat dalam politik pada tahun 1970, selepas darjah enam. Saya dibawa oleh arwah Yahya Haji Zakaria. Dia yang bawa saya. Antara orang yang turut memberi galakan kepada saya ialah Datuk Haji Ismail Gimbad.

UB: Masih ingat ketika pertama kali tampil di podium?

Awadnir: Saya mula berucap di Kinasaraban. Saya ingat lagi. Dalam ucapan itu, saya tidak tahu apa yang mahu saya cakap. Saya cuma diminta berucap memberitahu bahawa Usno Cawangan Tengkurus menyokong calon dan kepimpinan parti. Selepas itu saya terus berucap mengenai perlunya perjuangan membela rakyat.

UB: Selepas itu?

Awadnir: Selepas itu, saya terus aktif dalam parti. Arwah Yahya Haji Zakaria bawa saya masuk kampung keluar kampung untuk aktiviti-aktiviti politik. Beliau mencari orang yang ada potensi dalam kepimpinan. Kebetulan beliau melihat saya mempunyai bakat kepimpinan yang boleh ditonjolkan.

UB: Pernah berkhidmat di jabatan kerajaan?

Awadnir: Pada tahun 1971, Amanah Tun Mustapha diperkenalkan. Saya telah dapat peluang menjadi Ketua Kerani Amanah Tun Mustapha. Perlantikan itu saya terima kerana masa itu, ia masuk kampung untuk mendaftar orang-orang kampung yang menjadi penerima amanah.Gaji pada masa itu ialah RM210. Sebagai ketua kerani, ada elaun 5.00 satu jam.

UB: Bagaimana respon penduduk kampung pada waktu itu terhadap Amanah Tun Mustapha itu?

Awadnir: Ya, ada yang kurang yakin,Mereka tidak mendaftar.Mereka fikir tidak betul tetapi selepas itu ramai yang mendaftar.

UB: Lama jadi ketua kerani? Lepas itu ke mana pula?

Awadnir: Tidak lama. Selepas itu ada kekosongan jawatan Penolong Pegawai Luar Yayasan Sabah. Mulanya saya tidak dapat jawatan itu. Padahal sebagai ketua kerani, saya sepatutnya layak. Jadi apa yang saya lakukan ialah saya letak jawatan. Bagi saya tidak ada kerugian kerana saya boleh mendapat jumlah yang lebih besar daripada itu.Saya hanya ingin berkhidmat. Bila saya letak jawatan, Haji Ismail Daud, Pegawai Yayasan Sabah panggil saya walaupun tengah malam dan suruh saya berjumpa dengan Datuk Haji Ismail Gimbad.

Kemudian saya berjumpa beliau dan menjelaskan duduk perkara.Oleh kerana keberanian saya, mungkin itulah sebabnya saya dapat jawatan itu. Saya dilantik menjadi Penolong Pegawai Luar Yayasan Sabah menggantikan beliau yang pada masa itu dilantik sebagai Pembantu Menteri. Saya fikir dalam politik juga perlu berani.Kalau tidak berani mungkin saya tidak kena lantik.Ini politik, kita mesti berani tapi mesti jujur. Kalau kita fikir apa yang kita lakukan itu benar, kita mesti berani memperjuangkannya.

UB: Menarik sekali pengalaman tuan. Mungkin ada pengalaman lain yang boleh dikongsikan?

Awadnir: Satu ketika saya dipilih oleh parti untuk buat kajian. Ketika itu di penghujung era pemerintahan USNO, suasana politik bergolak. Enam ADUN parti itu menyertai Parti Berjaya yang baru ditubuhkan, antaranya kerusi Labuan, Datuk Harris, Kerusi Kinabatangan, Datuk Salleh Sulong, Tambunan, Datuk Anthony Gibon dan tiga lagi, saya kurang ingat. Pada masa itu, saya dipilih untuk buat kajian mengenai peluang parti untuk menang. Saya buat laporan mengenai respon rakyat. Ekoran itu, ada pilihanraya kecil di Kinabatangan dan Labuan.Masa itu saya sudah jadi penceramah. Di Kinabatangan masa itu, Datuk Pengiran Galpam mengalahkan Datuk Salleh Sulong. Itulah antara sebab mengapa pilihanraya diawalkan. Dalam pilihanraya iumum itu, USNO kalah, hanya mendapat 20 kerusi manakala Berjaya 28 kerusi.

UB: Apa pendirian tuan, pada masa-masa yang genting itu? Selepas Usno kalah?

Awadnir: Saya tetap dengan pendirian.Saya tidak lompat mana-mana parti sebaliknya terus berjuang dalam Usno.Saya terus membantu USNO di kawasan Kebayau. Walaupun kita tahu kita kalah, tapi kita terus berjuang.

UB: Pernah bertanding dalam pilihanraya?

Awadnir: Saya dipilih bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1990 dan 1994. Saya tahu tidak boleh menang dalam pilihanraya itu. Tapi saya diminta juga untuk bertanding. Mungkin kerana saya tidak terlalu bergantung kepada parti maka itulah sebabnya saya diminta bertanding. Tidak ada bantuan daripada parti. Saya keluarkan duit sendiri demi perjuangan.

Walaupun tahu saya tidak menang,apa yang saya pastikan ialah saya jangan hilang deposit atau wang pertaruhan kerana dua calon sebelum itu, hilang deposit. Alhamdulillah, walaupun saya kalah, undi bertambah dan paling penting tidak hilang deposit. Pada pilihanraya tahun 1994, saya dapat undi yang membanggakan iaitu lebih 2,000 undi.Kalau ada seminggu lagi kempen, saya yakin dengan cara kerja kita, keyakinan rakyat makin lama makin naik.

UB: Oh ya, beralih kepada soal keusahawanan pula.Bagaimana timbulnya minat dalam bidang perniagaan dan keusahawanan?

Awadnir: Sejak berada di bangku sekolah lagi, saya sudah minat dalam bidang perniagaan.Masa sekolah , saya beli gula-gula dan kemudian jual dengan rakan-rakan sekolah.Saya beli saya bungkus dengan harga satu ringgit, kemudian jual di sekolah.Selain itu, saya jual pais-pais ubi, pais jagung, pais pisang dan sebagainya. Setiap hari saya boleh untung dalam dua ringgit hingga tiga ringgit. Setiap hari dari hari satu hingga hari Jumaat, saya ada dagangan.

UB: Ayah kerja apa?

Awadnir: Beliau juga berniaga. Dia beli sirih kemudian menjualnya.Beli pinang jual pinang, beli kirai jual kirai dan sebagainya.

UB: Jadi bermakna, tuan mula berniaga sejak remaja lagi?

Awadnir: Sejak di bangku sekolah lagi. Tahun 1969, saya sudah berniaga menjual sup di Tamu Linampai, yang sekarang terletak di sempadan Tambulian, Nahaba dan Kampung Tengkurus. Selain itu, antara kegiatan saya untuk menambah pendapatan ialah menyuluh ikan di sungai, bersama rakan Sungodau bin Kurundan. Pendapatan menangkap ikan di sungai boleh mencecah RM90 ringgit satu kali jual. Jumlah itu amat besar pada masa itu. Selain itu, saya juga memiliki kedai runcit di kampung. Jadi satu bulan, saya ada pendapatan RM1,000 ringgit.

Kegiatan saya tidak terhenti setakat itu. Saya juga ikut mengetam padi, dan hasilnya saya jual. Pendapatannya agak lumayan. Bagaimanapun, tiap-tiap hari selasa, saya tidak dapat pergi sekolah. Sebabnya kerana pada tiap hari selasa saya pergi ke Tamu Samut, kalau tidak ke Tamu Kabidahan atau Tamu Guriun, atau ke Tamu di kampung Tekulung. Itu adalah antara tamu yang popular pada masa itu. Saya bawa barang dengan menunggang kuda. Saya menunggang kuda yang saya beri nama Pelanduk. Sebenarnya kuda saya ini asalnya adalah kuda lumba. Saya beli dengan seekor kerbau.Itulah kenderaan saya ke tamu. Pada masa itu, belum ada kenderaan seperti sekarang. Semua barangan yang saya bawa laku dijual. Barangan yang tidak laku, saya tidak bawa balik. Saya jual lelong saja kerana sudah ada keuntungan.

UB: Ke sekolah naik kuda?

Awadnir: Tidak. Sewaktu sekolah di GSS Kota Belud,Saya menumpang di pejabat UPKO, yang terletak dekat tamu. Pada masa itu, saya nampak Taukeh Kinsiong. Saya bertanya sama ada beliau mahu kasih kebun. Saya ambil kontrak dengan beliau dengan upah RM50 ringgit untuk membersih kebun.Kemudian saya minta rakan-rakan saya, yang waktu itu ambil LCE untuk membersih kebun.Saya berikan mereka RM30, saya masih untung RM20.

UB: Wah, rupanya bakat keusahawanan sudah bermula sejak zaman sekolah lagi.

Awadnir: Ada lagi satu pengalaman lain. Iaitu ketika dalam perjalanan ke sekolah, kami terpaksa merentasi sungai Gurung-Gurung.Ambil peluang untuk mandi dan membersihkan diri sebelum ke sekolah.Di sana, saya pernah juga terjumpa pukat di tepi sungai Gurung-gurung, yang sudah dibuang orang.Pukat itu saya ambil, jahit dan pasang merentangi sungai. Saya dapat banyak ikan. Ikan bulan-bulan, ikan lumi dan sebagainya. Saya sempat jual ikan itu kepada orang Cina di kampung berdekatan, dan saya dapat pendapatan sampai RM50 ringgit. Itulah antara pendapatan awal saya.

UB: Apa kerjaya selepas sekolah?

Awadnir: Selepas lulus darjah enam, saya dapat tawaran untuk menjadi guru. Tapi gaji guru pada masa itu ialah RM105 sebulan.Sedangkan pada masa itu, saya berpendapatan RM100 satu hari termasuk hasil pendapatan kedai saya di kampung Jadi saya menolak tawaran itu. Saya sempat sekolah peralihan, bridge one selama enam bulan tetapi kemudian tidak melanjutkan. Pada masa itu, saa sempat beli ikan yu di pasar, saya pikul bawa balik di kampung.Tiga ekor sebelah depan, tiga ekor sebelah belakang. Ikan yu ini berharga 50 sen sebesar paha. Jadi semua harganya RM3.00. Sampai di rumah, ikan yu ini saya potong-potong. Sepotong ikan yu ini boleh tukar dengan segantang padi. Satu kerat ikan yu untuk satu gantang padi. Hasil daripada itu,setelah dikumpul, saya pernah dapat RM5,000 ringgit. Diisi dalam 3 lori enam tan. Hasil daripada ini inilah saya beli tanah, yang terletak berdekatan SMK Arshad sekarang ini.Mula-mula satu lot kini seluas 9 ekar.

UB: Ramai orang mengenali tuan sebagai seorang yang dermawan. Apa yang menyebabkan tuan suka menderma?

Awadnir: Dari dulu memang saya suka bantu orang. Saya tidak tahan melihat orang susah.Asal saya lihat orang susah, saya mesti bantu, tidak kira kaum, bangsa atau agama,

UB: Bagaimana pula timbul idea untuk menubuhkan Yayasan Awadnir Matanggal?

Awadnir: Yayasan Awadnir Matanggal ditubuhkan pada 19 April 2002 dan diluluskan pada 13 Mei 2003. Idea ini timbul kerana saya tidak lari daripada sikap saya yang suka membantu orang. Jadi lebih baik, bantuan itu disalurkan melalui yayasan dan ini dipersetujui oleh isteri dan anak-anak saya.

UB: Boleh terangkan sedikit mengenai tujuan penubuhan yayasan itu?

Awadnir: Yayasan Awadnir Matanggal adalah sebuah badan amal yang tdak mencari keuntungan yang dinamakan "The Registered Trustees of The Awadnir Matanggal Foundation".

Antara tujuannya ialah untuk menjalankan semua jenis kerja-kerja kebajikan sebagaimana Lembaga Pemegang Amanah sifatkan sesuai untuk faedah Rakyat Malaysia yang dilahirkan di kawasan luar bandar atau menetap di kawasan luar bandar terutamanya di Kota Belud.

Selain itu, Yayasan itu ditubuhkan bertujuan untuk meningkatkan dan menyokong kerja-kerja kebajikan melalui bantuan kewangan yang sewajarnya ataucara-cara yang sesuai untuk faedah mereka yang kurang bernasib baik yang tinggal di Kota Belud khususnya yang sakit, miskin kurang upaya dan mangsa-mangsa bencana alam tanpa mengira bangsa, pegangan, kepercayaan dan agama mereka.

Ia juga bertujuan untuk menganjurkan, menjalankan dan menyokong apa-apa skim untuk meringankan penderitaan manusia, meningkatkan tahap kesihatan dan rawatan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman mereka. Selain itu, ia juga bagi menggalakkan dan meningkatkan semua jenis pendidikan dalam apa jua cara dari semasa ke semasa, memberikan bantuan peajaran, kelengkapan seperti bangku,meja,almari, komputer untuk sekolah, kolej dan institusi pengajian di daerah Kota Belud.

UB: Setakat ini, apa program yang dijalankan oleh Yayasan Awadnir?

Awadnir: Antara program yang berjalan ialah mendermakan beberapa keping tanah untuk diwakafkan untuk pembinaan masjid surau. Antaranya Di Kampung Podi, Lumpius, Takulung,Kabidahan, Kondis, Butung, Tangkurus, Kampung Tanjung Batu Usukan , dan tapak sekolah Kemas di Kampung Tangkurus.

Kita juga mewakafkan tanah seluas 45 ekar di Kampung Tengkurus Abadi untuk tapak sekolah sekolah agama, sekolah tahfiz, Kita akan meyantuni anak-anak yatim, saudara-saudara baru dan sebagainya.

UB: Dari mana Yayasan dapat sumber pendapatan?

Awadnir: Kita gunakan sumber pendapatan dan aset yang kita miliki.Yayasan ini tidak bergantung kepada kerajaan. Ia menggunakan sumber yang dimiliki oleh yayasan sendiri untuk memberi bantuan.

Selain itu, kita tubuhkan koperasi yang akan membuka banyak peluang pekerjaan.Sekurang-kurangnya keluarga saya tidak lagi menyusahkan kerajaan kerana yayasan dan koperasi ini boleh membina lapangan kerja untuk mereka yang memerlukan.

UB: Kalau tak silap, Yayasa juga memberi bantuan kecemasan kepada orang yang kurang berkemampuan?

Awadnir: Melalui yayasan ini, sayajuga memberikan bantuan kepada orang-orang yang kurang berkemampuan, kurang upaya dan sebagainya. Selain itu bantuan kecemasan untuk mangsa-mangsa bencana alam, kebakaran . . Yayasan yang saya pengerusikan ini banyak membantu orang-orang yang tidak berkemampuan. Saya tinggal di luar bandar dan saya memahami masalah yang mereka hadapi.

Kta juga mempunyai banyak perancangan yang jauh ke hadapan.Kita berharap dapat menjayakannya.

UB: Terima kasih keraa sudi berkongsi pengalaman dengan kami

Awadnir: Terima kasih