DATUK HAJI MADLIS,
TOKOH MASYARAKAT DARI KANIOGAN
PENGABDIAN NYA kepada
masyarakat amat tinggi. Beliau seorang tokoh
yang sangat dikenali di Beluran dan Sandakan .Berhemahberhemah tinggi,
dedikasi dan berjuang untuk pembangunan bangsa duniawi dan ukhrawi. Walaupun jauh
terpencil, Pulau Kaniogan menjadi terkenal sebagai sebuah kampung yang layak
dicontohi, memiliki kemudahan infrastruktur elektrik, jalanraya, sekolah,
masjid, sekolah agama rakyat, klinik, balai polis dan sebagainya. Semua ini
tidak terlepas dari peranan yang dimainkan oleh seorang tokoh masyarakat yang
terkenal kerana komitmen yang tinggi. Keperibadiannya yang sederhana. Beliau
rajin dan peka dan berperanan merubah cara berfikir masyarakatnya.Dakwah Islam
dilaksanakannya dengan dakwah bil hal yakni dengan kerja kuat amal kebajikan
yang boleh menjadi contoh seorang peribadi yang sangat sederhana, disegani
serta disayangi oleh masyarakatnya.
Datuk Haji Madlis
Abdul Aziz dilahirkan di Pulau Kaniogan pada 6 April 1945. Selepas tamat darjah
enam di NVS Tetabuan, beliau terus bergiat dalam bidang politik dan
kemasyarakatan mengikut jejak ayahnya, Abd Aziz Maris. Ibunya,Jaliha binti
Japang meninggal sewaktu beliau masih kecil lagi.
Beliau bergiat dalam
Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sejak ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai
ahli biasa.Sebagai seorang yang dedikasi, beliau tidak pernah surut dalam
perjuangan dakwah sehingga terpilih sebagai Ketua USIA Bahagian Beluran sejak
tahun 2000 hingga kini.
Dalam kegiatan
kemasyarakatan, Datuk Haji Madlis sentiasa berkhidmat kepada masyarakatnya sama
ada atas kapasitinya sebagai Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Pemaju Mukim, Wakil
Ketua Anak Negeri iaitu jawatan-jawatan yang pernah disandangnya.
Dalam kegiatan NGO,
Beliau pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB). Di
samping itu, beliau juga penah aktif dalam perkhidmatan Askar Wataniah.
Ketika mula
melibatkan diri dalam politik, beliau bergiat dalam USNO. Selepas itu, beliau
pernah menjadi Ahli Jawatankuasa, Bendahari dan kemudian menjadi Ketua Bahagian
Berjaya Bahagian Semawang. Beliau juga bergiat dalam UMNO sejak parti itu
mengembangkan sayapnya ke Sabah dan kini beliau merupakan salah seorang Ahli
Jawatankuasa UMNO Bahagian Beluran.
Beliau seorang yang
gigih berjuang untuk kebaikan, kebajikan dan maslahat penduduk kampung di
daerah Beluran khususnya di Pulau Kaniogan. Bagi mengenang jasa baktinya,
beliau telah dikurniakan bintang dan pingat kebesaran iaitu Bintang Kinabalu
(BK), Bintang Setia Kinabalu (BSK), Ahli Darjah Kinabalu (ADK), Ahli Setia
Darjah Kinabalu (ASDK) dan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK). Selian itu
beliau juga dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) sempena Hari Keputeraan
Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.
Beliau mendirikan
rumahtangga dengan Datin Hajah Badaria binte Daisun dan dikurniakan sepuluh
orang cahayamata.
Wartawan UTUSAN
BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Datuk Haji Madlis
Abdul Aziz di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri bagi berkongsi
pengalamannya sebagaiseorang tokoh masyarakat dan penuturannya mengenai pulau Keniogan, iaitu tempat
kelahirannya.
UTUSAN BORNEO: Sejak bila datuk terlibat dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)?
DHM: Saya mula aktifdalam USIA sejak ditubuhkan
pada Ogos 1969. Waktu itu saya masih anak muda.Sejak itu saya terus bergiat
dalam USIA yang merupakan pertubuhan Islam yang terbesar di negeri ini.
Kita telah memainkan peranan dan tanggungjawab kita dalam mengembangkan
syiar Islam selain berusaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat kita
khususnya di Beluran, yang menjadi daerah kelahiran saya. Saya telah dipilih
sebagai Ketua USIA Bahagian Beluran sejak tahun 2000.
UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai latar
belakang datuk?
DHM: Saya dilahirkan di Pulau Kaniogan pada 6
April 1945. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tetabuan , yang
ketika itu dikenali sebagai Native Volunteer School (NVS) Tetabuan. Jumlah
pelajarnya hanya sekitar 40 hingga 50 orang sahaja.Pada waktu itu, hanya itulah
sekolah yang ada. NVS Tetabuan terletak tidak jauh dengan Pulau Kaniogan.Orang
menamakannya Kaniogan kerana di situ tumbuh banyak pokok kelapa yang ditanam
oleh nenek moyang kami. Sehingga bila ditanya, kamu mahu kemana, maka selalu
dijawab kami mahu keniog. Niug dalam bahasa Suluk bermakna kelapa. Dalam bahasa
Melayu, kelapa juga dipanggil Nyiur. Jadi lama kelamaan pulau itu dikenali
sebagai Keniogan.
Selepas tamat darjah
enam, saya terus ikut arwah ayah, Abdul Aziz bin Maris untuk menceburkan diri
dalam kegiatan politik dan kemasyarakatan. Kami dua belas adik beradik. Apabila
ibu saya,Puan Jaliha binti Japang meninggal, ayah saya kahwin lagi, dan
dikurniakan 12 orang lagi adik beradik. Jadi keluarga kami cukup untuk dua
pasukan bolasepak.
UB: Berapa jauhnya Pulau Kaniogan dari
Beluran?
DHM: Kalau menggunakan bot biasa, dari Pulau
Kaniogan ke Beluran memakan masa kira-kira tiga jam. Tapi kalau naik bot biasa
ke Sandakan, perjalanan boleh memakan masa lima hingga enam jam. Sekarang jika
kita mahu ke Pulau Kaniogan dari Kota Kinabalu, ikut jalan baru Pitas ke Paitan
memakan masa kira-kira empat jam. Dari Paitan ke jeti IJM Sabang, kita boleh
menyusuri sungai dan dari jeti IJM it memakan masa kira-kira 15 minit untuk
sampai ke Pulau Keniogan.
UB: Apa perubahan yang berlaku di Kaniogan,
jika dibandingkan dahulu dan sekarang?
DHM: Banyak perubahan yang berlaku. Kalau
dahulu, pada tahun-tahun 60-an, jumlah penduduk adalah antara 200 hingga 300
orang tetapi kini jumlah penduduk mencecah hingga 1,000 orang.
Kalau bercerita soal
kemudahan, Alhamdulillah, banyak kemudahan asas seperti dewan, klinik desa,
sekolah agama rakyat, sekolah rendah telah didirikan oleh kerajaan. Nilai
kesemuanya itu boleh mencecah RM20 juta
Kerajaan juga telah
membina rumah-rumah PBR, lebih 100 buah, jambatan, lorong yang boleh digunakan
untuk berbasikal mengelilingi pulau. Inilah antara nikmat yang dirasai penduduk
kampung.
UB: Berapa luas pulau Kaniogan?
DHM: Sebenarnya keluasan pulau Kaniogan hanya
sekitar 20 ekar tanah bergeran. Kalau dicampur dengan tanah lain yang tidak
bergeran, jumlah keluasannya hanyalah sekitar 30 ekar tang, yang dikelilingi
oleh pokok-pokok bakau.
UB: Apa pekerjaan penduduk yang utama?
DHM: Kebanyakan penduduk bekerja sebagai
nelayan tradisi. Menangkap ikan, udang , ketam adalah kerja harian mereka. Ada
pula yang menanam tanaman kontan, pisang, ubi kayu dan sebagainya.
UB Bagaimana pula cerita sehingga
wujudnya sekolah di Pulau Kaniogan?
DHM: Kewujudan sekolah di Kaniogan itu,
antaranya adalah kerana inisiatif arwah bapa. Beliau mahu sebuah sekolah
diwujudkan di Pulau Kaniogan. Waktu itu, peralatan dan kelengkapan sekolah
belum ada. Kemudian arwah bapa jumpa DO, Pegawai Daerah yang waktu itu dijawat
oleh Tuan Linggam. Setelah dipersetujui, beliau memanggil seorang guru yang
tamat latihan, Bahuddin Mudin untuk mengajar di Kaniogan. Setiap keluarga
diknakan RM3.00 untuk membantu pembiayaan operasi sekolah itu. Dengan adanya
sekolah itu, barulah mentaliti masyarakat berubah.
UB: Bagaimana pula perkembangan pendidikan
di pulau itu?
DHM: Sekarang kita dirikan Sekolah Agama Rakyat
sejak tahun 2000. Kini ramai anak-anak pulau yang boleh membaca dan mengaji
al-Quran. Malah kita telah adakan majlis khatam Quran beramai-ramai. Termasuk
yang ikut khatam Quran itu ialah orang-orang tua yang dulu tidak berkesepatan
kerana kesibukan kerja turun ke laut untuk mencari sumber rezeki. Ada seorang
tua, 80 tahun yang ikut khatam. Dia belajar sebulan dua bulan, selepas itu
boleh membaca.
UB: Datuk terlibat dalam politik sejak
waktu masih muda. Apa peristiwa yang agak mengesankan dalam diari kehidupan
datuk sebagai seorang tokoh politik dan masyarakat?
DHM: Saya terlibat dalam politik sejak muda
lagi, ikut arwah bapa. Selepas tamat darjah enam, saya terus aktif dalam
politik kerana masyarakat kita masih memerlukan pembelaan agar mereka dapat
keluar daripada belenggu kemiskinan. Salah satu peristiwa yang saya masih ingat
ialah pertemuan dengan Allahyarham Tun Datu Mustapha. Beliau seorang yang amat
rajin menjelajah hingga ke Ulu Sugut, ke Muanat dan sebagainya.Kawasan kwasan
terpencil pun telah dikunjunginya semata-mata untuk menghayati kehidupan rakyat
secara langsung.
UB: Apa jawatan yang pernah Datuk pegang
dalam politik?
DHM: Saya mula bergiat di peringkat cawangan,
jadi ahli jawatankuasa, kemudian ketua pemuda, ketua cawangan ketika bergiat
dalam USNO. Selepas itu ketika era Berjaya, saya pernah menjadi Bendahari dan
seterusnya Ketua Bahagian Parti Berjaya di Semawang. Sewaktu dalam parti
Berjaya, saya sempat berjuang bersama Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Datuk
Hassan Alban Haji Sandukong, James Willie, Abu Bakar Mendoza, Datuk Salleh Otik
dan lain-lain lagi.Kini setelah kemasukan UMNO ke Sabah, saya bergiat sejak
mula lagi sebagai Ketua cawangan dan kini merupakan salah seorang Ahli
Jawatankuasa UMNO Bahagian Beluran.
UB: Perbezaan politik dahulu dan sekarang?
DHM: Saya rasa agak berbeza zaman dulu dan
sekarang. Sekarang banyak kemudahan dan fasiliti jika kita mahu berjuang.Tidak
lagi macam dulu, kita terpaksa tenaga yang banyak, berjalan kaki untuk berkempen.
Tidak macam sekarang maklumat berada di hujung jari. Benda yang tidak
disangka-sangka pun boleh ada. Sekarang ada pihak yang berjuang semata-mata
untuk cari kelebihan dan untuk kepentingan tertentu. Tidak macam dulu.
UB: Kalau tak silap saya, Pulau Kaniogan
sering mendapat kunjungan dari tokoh-tokoh pemimpin kita?
DHM: Hampir semua Ketua sejak era Tun Datuk Seri Panglima Tun
Sakaran Dandai, Datuk Seri Panglima Dr.Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri
Panglima Musa Haji Aman, mereka semua pernah menjejakkan kaki ke Pulau Kaniogan
untuk melihat sendiri keadaan kampung. Kita berasa bahagia dan gembira dengan
kunjungan pemimpin-pemimpin utama negeri.Pada masa inilah kita menyuarakan
keperluan dan kepentingan penduduk.
UB: Mungkin ada kenangan manis yang tidak
boleh dilupai?
DHM: Kenangan manis cukup banyak. Tetapi dalam
hubungannya dengan masyarakat, kita sentiasa memperjuangkan dan memberi
keutamaan kepada keperluan penduduk kampung. Kita bersyukur kerana pihak
kerajaan sering memberikan bantuan. Penduduk kampung khususnya golongan nelayan
telah menerima bantuan enjin sangkut dan sebagainya. Demin memperjuangkan
kepentingan rakyat, kita menemui wakil rakyat, bahkan kita minta tolong hingga
ke peringkat negeri, malah kita bawa ke Kuala Lumpur sehingga berhasil. Kita
selalu fikirkan untuk kebaikan masyarakat kita.
UB: Biasanya, jika bersama masyarakat, apa
yang sering datuk katakan kepada mereka?
DHM: Saya selalu menyeru agar anggota
masyarakat sentiasa membuat kebaikan. Saya memberi galakan agar mereka selalu
bergotong royong. Supaya sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim.Sebab itu
penduduk tinggal dalam keadaan harmoni. Apatahlagi kampung itu dari hujung ke hujung, mempunyai
hubung kait kekeluargaan.
Saya suka
mengingatkan mereka agar memahami tujuan hidup mereka sebagai seorang Islam,
iaitu mengerjakan amal makruf dan meninggalkan segala yang dilarang. Di kampung
kami, di Kanioganm suda terlihat banyak perubahan. Kalau dahulu banyak perkara
khurafat seperti mandi safar, permainan judi, minuman keras tapi sekarang semua
itutidak ada lagi. Semua perkara mungkar tidak ada kerana masyarakat semakin
sedar.
UB: Apa cabaran yang dihadapi ketika
melakukan seruan amar makruf dan nahi mungkar itu?
DHM: Banyak juga cabaran yang kita terima.Malah
ada diantaranya mencabar kita dan mengatakan kepada kita, “ini bukan duit bapa
kamu” Ada juga yang mengatakan kalau mahu masuk syurga, masuklah, kami biarlah
neraka” sampai begitu sekali cabaran yang kita terima tetapi kita nasihatkan
dengan baik-baik mengenai bahaya judi. Lama-kelamaan cara ini berhasil kerana
akhirnya mereka sedar. Itu sebabnya bola kita tegur dengan keikhlasan, akhirnya
mereka boleh terima.
Kalau dahulu,
permainan judi berleluasa.Kalau ada perjudian, orang yang tidak ada duit boleh
jadi ada duit kerana diberi pinjam oleh kawannya. Sekarang kita teruskan usaha
untuk membimbing masyarakat. Kalau dilihat sekarang, judi semakin berkurang.
UB: Mungkin ada sesuatu lagi yang datuk
mahu katakana?
DHM: Kita harus bersyukur dan dan tahu
menilai.Kerajaan banyak memberi bantuan.Kita
diberi kemudahan, kita diberi banyak bantuan untuk menjaga kebajikan
rakyat, ini semua kita harus syukuri dan jangan lupa tanggungjawab kita. Dalam
keadaan yang serba kekurangan, kerajaan sentiasa prihatin untuk memberikan
pelbagai kemudahan kepada rakyat. Ini semua kita harus syukuri dengan
mengekalkan semangat perpaduan dan kasih sayang di kalangan rakyat.
UB: Sebagai seorang yang berpengalaman dan
mempunyai pengetahuan luas dalam masyarakat, mungkin ada kata pepatah dalam
masyarakat kita yang boleh dijadikan semacam pedoman, panduan dan sebagainya.
DHM: Saya teringat satu pepatah dalam bahasa
Suluk yang berbunyi `sa daging-daging insik, madaging pasin unod.” Peribahasa
ini bermakna sebaik-baik tulang,lebih baik lagi isi”. Ertinya isi tetap yang
lebih baik berbanding tulang. Satu lagi peribahasa, mangan nya mangan, asal
kurung-kurung, ini peribahasa yang selalu digunakan sukukaum Bajau di Kaniogan.
Maksudnya lebih penting muafakat, lebih penting berjumpa-jumpa atau bertemu
walaupun tidak makan. Dalam dialek bajau di Kaniogan juga, ada menyebut, kalau
kiti bahani, kiti manang. Ertinya kalau berani, kita boleh menang.