PATRICK
SINDU PERNAH KELILING DUNIA PANTAU ISU HAK ASASI DAN PENGGUNA
SEBUTLAH
apa saja isu berkaitan kepenggunaan, dari soal harga barang, penipuan, pajak gadai, dan sebagainya, semuanya pernah
diperjuangkan oleh Datuk Patrick Sindu, seorang tokoh yang banyak
memperjuangkan isu-isu pengguna di negeri ini. Beliau seorang yang
berpengalaman luas.Pernah melawat hampir semua negara di dunia ketika bertugas
sebagai diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beribu pejabat di
Geneva, Switzerland. Selain itu, di dalam negeri, beliau banyak memperjuangkan
isu-isu berkaitan hak asasi, pengguna dan alam sekitar dan sering mendapat
sorotan media.
Datuk
Patrick Sindu dilahirkan di Kampung
Bungug Papar pada 22 Februari 1956. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah
St.Joseph Papar hingga Tingkatan 3. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di
Maktab Sabah hingga Tingkatan 5. Kemudian beliau menuntut di Institut Teknologi
Mara (ITM) kini UiTM sehingga lulus
Diploma dalam Pentadbiran Awam. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti of
Keele, di United Kingdom dan dalam mengambil pengkhususan dalam bidang
kepenggunaan.
Beliau
pernah menjadi diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak
Asasi Manusia,Kepenggunaan dan Alam Sekitar yang beribu pejabat di Geneva,
Switzerland pada 1985-2010. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat
Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya (2000-2010), Ahli
Majlis Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2000-2010), Ahli
Panel Majlis Perundingan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (2000-2010), Ahli Majlis
Kawalan Tembakau Malaysia (2000-2010), Naib Presiden, Gabungan Persatuan
Pengguna-Pengguna Malaysia -FOMCA (1990-2010), Ahli Majlis Hal Ehwal Pengguna
Negeri Sabah (1990-2010), Pengerusi Majlis Hal Ehwal Pengguna Bandaraya
(2005-2010), Ahli Majlis Penasihat Majlis Daerah Papar (1995-2005), Presiden
Persatuan Pengguna Sabah dan WP Labuan (CASH) (1985-2009), dan Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) Consultancy Services & Training Centre for Consumerism,
Environmental & Human Rights dari Tahun 2010 hingga kini.
Beliau
telah menerima bintang Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa
gelaran Datuk, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Ahli Darjah Kinabalu (ADK)
dan Jaksa Pendamai (JP).
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN dan wartawan pelatih UMS, NURHAFIZAH
JEHAN JUMAT dan NOORHAZARITA GANGGAM AZLAN sempat mewawancara DATUK PATRICK
SINDU ketika beliau berkunjung ke pejabat Utusan Borneo di Tingkat 5, Wisma
KTS, baru baru ini. Ikuti petikan wawancara berkaitan penglibatan beliau dalam
isu-isu kepenggunaan, pengalaman beliau di luar negara dan sebagainya.
UTUSAN
BORNEO: Apa kerjaya Datuk selepas
tamat pengajian di Universiti?
DATUK
PATRICK SINDU: Selepas lulus dari
Universiti of Keele di United Kingdom, saya bekerja sebagai diplomat PBB yang
beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Saya dihantar bertugas di berbagai
belahan dunia seperti benua Afrika, di Amerika Latin, di Chile, di Brazil, di
Eropah dan sebagainya. Sebagai seorang diplomat PBB, ketika itu kami dibekali
pasport hijau. Saya juga pernah dihantar ke Dili, ibu kota Timur Leste selama
tiga tahun, ulang alik, ketika negara itu mencapai kemerdekaannya.
UB: Berapa gaji datuk ketika itu?
PATRICK: Saya dibayar elaun sebanyak $5,000
dollar US.
UB: Sepanjang bertugas sebagai diplomat PBB
itu, apa yang datuk saksikan di negara-negara yang datuk lawati?
PATRICK: Banyak masalah yang kita saksikan. Saya
bertugas di bawah suruhanjaya yang bertanggungjawab untuk hak asasi manusia,
kepenggunaan dan alam sekitar. Jadi sepanjang bertugas di negara luar itu, kita
dapat saksikan mengenai sistem politik mereka yang berbeza antara satu sama
lain, masalah-masalah etnik dan isu-isu perkauman yang melibatkan
pertelingkahan, pertentangan antara kelompok, ekstremis agama, militan. Saya
tengok ini adalah antara masalah yang dihadapi. Kini dengan adanya kemudahan
teknologi, internet, menyebabkan masalah semakin kompleks.
UB: Agaknya dimana tempat yang datuk rasa
paling menarik sewaktu bertugas di luar negara itu?
PATRICK: Bagi saya yang paling menarik ialah
ketika bertugas di Rio de Janeiro, Brazil.
UB: Apa yang dibincangkan ketika itu?
PATRICK: Kita memperkatakan masalah yang
dihadapi dunia global. Ada persidangan yang dihadiri oleh NGO Ngo yang
membincangkan masalah masalah yang dihadapi bersama oleh masyarakat dunia. Daripada
situ, kita dapat simpulkan bahawa banyak masalah di dunia adalah disebabkan
oleh perbuatan manusia sendiri. Apa yang berlaku adalah bencana yang kita buat
sendiri, yang berpunca daripada salah laku kita.
UB: Bagaimana datuk mula-mula terlibat
memperjuangkan isu-isu kepenggunaan?
PATRICK: Pada masa itu belum ada NGO yang
benar-benar memperjuangkan hak kita sebagai pengguna.Kalau kita lihat di
negara-negara luar, persatuan-persatuan pengguna ini sangat kuat. Skop
perjuangan kita juga adalah luas. Asalkan ia melibatkan kita sebagai pengguna.
UB: Apa isu yang mula-mula datuk perjuangkan?
Masih ingat?
PATRICK: Di Sabah, kos sara hidup tinggi. Sering
berlaku penipuan tetapi tidak ada satu pertubuhan yang membantu menyelesaikan
masalah penipuan. Dia orang sendiri kena tipu. Tapi banyak yang bersikap tidak
apa. Bila kita bersuara hanya beberapa orang yang tampil menyokong. Orang tidak begitu prihatin mengenai isu
kepenggunaan. Bila saya terlibat dalam isu-isu berkaitan pengguna, banyak perkara
yang kita perjuangkan. Kita mengatakan bahawa perlu ada satu jabatan untuk
mengurus, memantau, menangani dan membantu menyelesaikan isu-isu pengguna. Kita
memperjuangkan bersama antaranya,SM Idris, Prof Hamdan Adnan, Mr Bishan Singh,
sehingga kemudian Kerajaan menubuhkan satu kementerian yang khusus menangani
soal-soal kepenggunaan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna (KPDNHEP).
Kita
juga mengusulkan agar pengguna dilindungi dengan memperkenalkan Akta
Perlindungan Pengguna. Ini sesuai dengan kata orang lama, kalaupun ada harimau,
ia tidak berguna jika tidak mempunyai gigi. Tidak guna ada harimau kalau tiada
gigi. Jadi Akta Perlindungan Pengguna ini
adalah untuk melindungi pengguna. Selain itu, hasil perjuangan kita
ialah apabila kerajaan menubuhkan Tribunal Tuntutan Pengguna untuk melindungi
hak hak pengguna dan membolehkan mereka menuntut jika mereka tidak berpuas hati
atas mutu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.
UB: Kalau tak silap, Datuk selalu beri komen
mengenai skim pajak gadai yang banyak didapati berleluasa di ibu negeri?
PATRICK: Pada pendapat saya skim pajak gadai,
urusan kewangan, pinjam memimjam perlu dikawal oleh Bank Negara bagi
mengelakkan kegiatan along. Ia mesti dijalankan dibawah Akta Bank dan Institusi
Kewangan (BAFIA) bagi melindungi pengguna.
UB: Satu lagi isu pengguna yang pernah datuk
suarakan dulu iaitu caj yang tidak
sepatutnya dikenakan kepada pengguna oleh pengendali iaitu syarikat
telekomunikasi?
PATRICK: Kita menerima rungutan daripada
pengguna telefon. Mereka mengadu dikenakan caj walaupun panggilan yang mereka
buat masuk ke peti suara. Saya fikir ini tidak adil kepada pengguna. Isu-isu
seperti ini perlu dikawal oleh Suruhanjaya Multimedua. Kerajaan mesti kawal
kerana pengguna yang menjadi mangsa. Sepatutnya mereka hanya dikenakan caj jika
mereka berjaya membuat panggilan.
UB: Ketika masih aktif dalam Persatuan
Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (CASH) dulu, apa antara aduan
yang diterima?
PATRICK: Kita banyak menerima aduan mengenai
penipuan yang dibuat oleh pekedai, kenaikan harga yang tidak sepatutnya,
barangan yang luput masa, kedai yang tidak meletakkan label atau logo
halal.Kita juga menerima aduan mengenai peniaga yang menjual barangan dengan
mencampurkan barangan halal dan tidak halal. Ini adalah antara isu-isu
kepenggunaan, yang telah kita perjuangkan.
UB: Apa yang membuat datuk peka terhadap
isu-isu kepenggunaan?
PATRICK: Saya datang dari keluarga yang susah.
Tinggal jauh di kampung. Kami tujuh adik beradik. Sewaktu di kampung, saya
menyaksikan bagaimana penduduk-penduduk kampung mudah dieksploitasi, mudah
ditipu kerana mereka tidak tahu. Contohnya, saya pernah ternampak orang jual
kain dengan harga RM200. Padahal harga sebenarnya hanyalah RM20 ringgit. Jadi
kita melihat betapa orang kampung menjadi mangsa. Selain itu kita melihat kedai
pajak gadai. Orang kita ada emas.Gelang emas mereka gadai. Tapi mereka gadai
misalnya dengan RM200 tapi mereka membayar kadar bunga yang tinggi sehingga
harga berlipat-lipat ganda. Ini menyebabkan pengguna sengsara. Sepatutnya
perkara ini dikawal oleh kerajaan.
UB: Oh ya! Saya tertarik dengan perjalanan
kerjaya datuk yang pernah keliling dunia
ketika bertugas dengan PBB. Sebanyak-banyak tempat yang pernah datuk lawati,
mana tempat yang memberi kesan?
PATRICK: Antara yang banyak memberi kesan ialah
perjalanan ketika melihat Kaabah, walaupun dari tempat yang jauh, Juga
perjalanan ke Jerusalem. Sebagai seorang diplomat PBB kita berpeluang melawat tempat
seperti itu, yang memberikan kita ketenangan. Bahawa ada Tuhan, ada Allah yang
menyaksikan kita. Ini memberikan ketenagan fikiran. Ada banyak perkara yang
membuat hati kita tenang.Misalnya bila kita membuat sesuatu untuk membantu orang, kita rasa
gembira.
UB: Apa hobi ketika masa lapang?
PATRIC:
Jika ada masa lapang, saya selalu membaca buku.
UB: Buku terkini yang Datuk baca? Mengenai
apa?
PATRICK: Saya membaca buku mengenai kemungkinan
masa depan, ke mana kita mengarah atau menuju. Ini yang menjadi minat saya.
Kita harus memberikan makna kepada kehidupan kita.Berbuat sesuatu yang lebih
baik. Ada satu kata-kata Mahatma Ghandi yang selalu saya ingat. Dunia ini cukup
untuk kita, tapi tidak cukup untuk orang yang tamak atau rakus. Yang kedua
ialah Dunia ini begitu bahaya untuk hidup jika orang yang baik hanya melihat kejahatan
tapi tidak buat apa apa.
UB: Sekarang datuk masih terlibat dalam
kepenggunaan?
PATRICK:
Saya masih aktif dalam usu-isu
kepenggunaaan dan hak asasi manusia. Sekarang saya sering membangkitkan
kesedaran mengenai isu isu hak asasi manusia, kepenggunaan dan alam sekitar,
melalui konsultansi yang tubuhkan.Selain itu, saya juga sering diundang untuk
berbicara di hadapan mahasiswa universiti mengenai isu-isu kepenggunaan.
B: Mungkin ada aduan yang melucukan yang pernah datuk terima?
PATRICK:
Kita ada menerima laporan daripada seorang wanita mengenai baju pengantin yang
tidak siap dan tidak sesuai dengan pengantin perempuan yang menjejaskan
persiapan majlis perkahwinan mereka. Kami juga pernah menerima aduan mengenai
makanan basi dan sebagainya.
UB: Apa nasihat datuk kepada pengguna yang
kena tipu?
PATRICK: Kalau ada penipuan, buat laporan polis.
Ini sangat penting.Mesti buat laporan polis. Kerana ada juga kes dimana ada
pihak kita adukan membalas dendam, dengan mengemukakan saman dan menuduh
pengguna melakukan pembohongan. Itu sebabnya, kita perlu membuat laporan polis
jika kita merasa ditipu.
UB:
Datuk sangat bertuah kerana
berkesempatan berkeliling dunia. Apa pengajaran yang kita peroleh dengan
melawat tempat orang.Mungkin ada yang menarik?
PATRICK: Kita melihat perkara-perkara yang
baik dan tidak baik yang berlaku, di
negara orang. Saya pernah melihat Timur Tengah, Kanada, Rusia,China, dan banyak
lagi negara lain. Kalau dari segi pemandangan, saya suka pemandangan kota
Vienna, Austria, sebuah kota yang indah yang terletak di sebuah lembah yang
dikelilingi perbukitan.
UB: Apa nasihat kepada generasi muda
PATRICK: Hidup kita ini satu impian. Ada satu
yang kita impikan. Kita harus berusaha meraih impian kita itu. Apa yang telah
berlalu biarkan berlalu. Apa yang kita boleh perbaiki kita perbaiki
Selain
itu, nasihat saya kepada golongan muda, jangan mudah terpedaya pujuk rayu.Kita
sudah tahu mana yang baik dan mana yang tidak baik.Pergunakan masa muda kita
sebaik-baiknya.