KEMISKINAN
TIDAK DAPAT DIATASI DENGAN JUMLAH WANG,KATA KIBIN HAJI SAMAD
KEMISKINAN
tidak dapat dibasmi menggunakan wang. Bukan jumlah wang atau banyaknya
peruntukan yang boleh mencegah
kemiskinan. Sebaliknya kemiskinan mampu diatasi dengan program-program yang
dilaksanakan secara tersusun dan sistematik dan melibatkan golongan miskin
untuk mengambil bahagian di dalamnya. Pembangunan
yang sebenar bukan hanya sekadar perubahan fizikal semata-mata tetapi juga
perubahan dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan meningkatnya sumber
pendapatan mereka, kata mantan Kordinator Konsultan di Institut Kajian
Pembangunan Sabah (IDS), Kibin Haji Samad.
Kibin
Haji Samad dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Rampayan Laut Kota Belud.
Beliau mendapat pendidikan rendah hanya dalam waktu tiga tahun di Sekolah Kebangsaan Nanamun pada tahun 1968
hingga 1971. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SM Sanzac pada 1972
dan tidak lama kemudian berpindah ke SMK Kota Belud sehingga lulus cemerlang
dalam peperiksaan SPM pada 1976, Selepas itu, beliau adalah antara pelajar
pertama aliran bahasa Melayu di SMK Menggatal dalam tahun 1977-1978.
Setelah
itu, beliau memasuki perkhidmatan kerajaan sebagai Kerani Akaun Bendahari
Negeri pada 1979 dan ditempatkan di Jabatan Kerja Raya. Pada tahun 1980-1981,
beliau menjadi guru di SM St Patrick Tawau sebelum dipindahkan sebagai guru di
SMK Merotai Besar Tawau. Antara jasanya di sekolah itu, ia mencipta lencana
sekolah. Selepas itu, Kibin menjadi Pegawai Latihan di Unit Penyertaan
Bumiputera di Bahagian Latihan Perniagaan. Masa itu, Unit Penyertaan Bumiputera
bekerjasama dengan Pusat Daya Pengeluaran Negara, Jabatan Belia Persekutuan
membentu Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Negeri dan menjalankan kursus-kursus
perniagaan dan Keusahaan EDP 1 dan EDP 2 Kementerian Pembangunan Industri pada
1982-1984.
Beliau
kemudian pangkat sebagai Pegawai Wilayah di Kudat selama setahun sebelum
memutuskan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan tiba di negara
Paman Sam itu pada 25 Disember 1984. Sewaktu belajar di American Languages
Institute, University of Toledo, Ohio, pernah mendapat Anugerah Dekan. Selepas
itu, beliau memperolehi ijanah sarjana muda
dan kemudian ijazah sarjana sains dalam ekonomi di Indiana State
University pada tahun 1989.
Kibin
pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Indiana State Universiti
dan pernah menjadi Presiden Majlis Pelajar Sabah.
Sekembalinya
ke Sabah pada tahun 1989, beliau bekerja
sebagai Pegawai Eksekutif Unit Perancang Ekonomi selama dua tahun dan kemudian
bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kuala Penyu. Beliau juga
pernah menjadi Setiausaha Politik di tiga kementerian antara tahun 1994-1999.
Selepas itu beliau dilantik menjadi kordinator Konsultan di Institut Kajian
Pembangunan Sabah (IDS) dan pernah bertugas sebagai Pensyarah di Open Universiti dan Timbalan
Pengarah Open University Malaysia di
Pusat Pembelajarann OUM di Tawau.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau di ibu negeri
kelmarin untuk berkongsi pengalaman beliau sewaktu menjadi pelajar, kakitangan
kerajaan dan pandangan beliau mengenai isu kemiskinan dan pembangunan di negeri
ini Ikuti petikan temubual secara santai dengan beliau yang lebih mesra dengan
panggilan Dok, sambil menikmati teh limau dan meehoon di salah sebuah hotel
terkemuka di ibu negeri.
UTUSAN
BORNEO: Boleh ceritakan sedikit
mengenai masa persekolahan Dok. Mungkin ada yang menarik?
KIBIN
HAJI SAMAD: Saya mendapat pendidikan awal
di Sekolah Rendah Kerajaan Nanamun hanya dalam tempoh tiga tahun. Masa itu ada
sistem lompat darjah. Saya beberapa kali lompat darjah dari tahun 1968 hingga
1971. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SMK Sanzac pada tahun 1972.Ketika
itu, ia masih menumpang di SK Tanjung Aru Tidak lama kemudian, saya berpindah
ke SMK Kota Belud. Sekolah itu juga
masih menumpang di Sekolah Chung Hwa. Saya bersekolah di sana hingga tahun
1976. Ketika itu, saya satu-satunya pelajar yang mendapat gred 2 dalam
peperiksaan SPM, yang dikira cemerlang pada masa itu. Saya mendapat gred 2 dari
aliran sastera dan seorang lagi, Cikgu Liasin Kaloh dari aliran sains.
UB: Siapa rakan sekolah sewaktu di SMK Kota
Belud?
KHS: Antaranya Maijol Mahap, peguam dan mantan
Ahli Dewan Negara, Etong Terang, Pengarah Kebajikan, Ripin Soud, Sipin Dawat,
Yazim Maradim. Kami satu bilik di asrama kerana sama sama jadi pengawas. Selain
menjadi pengawas, saya juga ketua darjah.
UB: Berapa tahun tinggal di asrama?
KHS: Sewaktu dalam tingkatan empat dan tingkatan
lima, baru dapat tinggal asrama. Sebelum itu, saya pernah tinggal di Kota
Peladok, di rumah Datu Jamigul. Kami berbasikal ke sekolah. Bertolak dari rumah
kira-kira jam 9.00 pagi dan sampai di sekolah menjelang tengah hari. Kemudian
selepas sesi persekolahan tamat, kami berkayuh pulang dan sampai di rumah, hari
sudah malam. Tiap-tiap hari begitu. Saya sempat juga naik pick up dari Kampung
Rampayan, pickup Haji Daud, bercampur dengan ikan. Kecekalan pelajar dulu lebih
kuat. Ketika itu, guru menulis di papan hitam dan kita menyalinnya kerana tidak
ada buku rujukan.
UB: Selepas SPM 1976, di mana Dok melanjutkan
pelajaran?
KHS: Kami adalah pelajar pertama aliran bahasa
Melayu di SMK Menggatal pada tahun 1977. Antara rakan sekelas saya ialah Musli
Oli, Mohd.Said Hinayat, Omar Mamah. Junior kami pula antaranya Datuk Abdul
Rahim Bakri, kini Ahli Parlimen Kudat dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk
Japlin Haji Akim, ADUN Usukan dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar,
Prof. Dr.Mahmud Sudin, Prof Datuk Dr Kassim Haji Mansur.Dr Saijan Samit pula
rakan satu bilik di asrama. Dr Mansur Usir dan lain-lain lagi. Saya bersekolah
di SMK Menggatal dari tingkatan enam rendah hingga tingkatan enam atas. 1977
hingga 1978.
UB: Bagaimana keadaan sekolah pada masa itu?
KHS: Pengalaman saya pada ketika itu yang saya
tidak boleh lupa ialah kami pelajar tidak ada buku teks kerana menjadi pelajar
pertama aliran melayu Sijil Tinggi Persekolahan. Tidak cukup guru. Guru yang
mengajar pula mempunyai kelulusan yang hampir sama dengan pelajarnya. Hanya
seorang guru yang bertauliah iaitu pengetua, Cikgu Syahril Marzuki yang
mengajar kami sewaktu tingkatan enam rendah.
Sewaktu tingkatan enam atas, kami diajar pula antaranya Cikgu Azis Abas,
Cikgu Mary Theresa Kinajil.
UB: Dok terus kerja selepas STPM?
KHS: Mula-mula saya dilantik sebagai Kerani Akaun
di Bendahari Negeri pada 1979. Masa itu ditempatkan di JKR, untuk pemulihan
akaun (reconstruction of account) hingga tahun 1980. Selepas itu, saya bekerja
sebagai guru di SM St Patrick Tawau dan kemudian ditukarkan pula di SMK Merotai
Besar Tawau, yang ketika itu masih menumpang di sekolah rendah. Di sana, saya
yang mencipta lencana sekolah pada masa itu. Tahun 1981.Ketika itu, jalanraya
belum ada, letrik belum ada.
UB: Selepas itu, Dok ke mana?
KHS: Saya bertugas pula di Unit Penyertaan
Bumiputera di Bahagian Latihan Perniagaan. Masa itu bekerjasama dengan Pusat
Daya Pengeluaran Negara, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan terlibat dalam
Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Negeri. Kami menjalankan kursus-kursus
perniagaan keusahawanan yang dipanggil Enterpreneur Development Program (EDP 1
dan EDP 2) iaitu pada 1982-1984. Saya sempat bertugas sebagai pegawai wilayah
Unit Penyertaan Bumiputera di Kudat sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika
Syarikat.
UB: Bila Dok ke Amerika?
KHS: Saya tiba di Amerika Syarikat, saya masih
ingat lagi ialah pada 25 Disember 1984. Ngam-ngam Krismas. Ada satu orang,
orang Amerika, namanya John, membawa saya ke rumahnya. Itulah pengalaman saya
merayakan krismas ketika mula melanjutkan pelajaran di Amerika iaitu di
University of Toledo, Ohio.
UB: Berapa lama di sana?
KHS: Lepas satu tahun di Ohio, saya berpindah
pula ke Universiti Negeri Indiana. Antara sebabnya ialah kos sara hidup di
Ohio, lebih tinggi, sewa rumah mahal, bil letrik tinggi. Itu sebanya saya
pindah ke Indiana, iaitu negeri yang berjiran dengan Ohio yang dipisahkan
dengan empat hingga lima jam perjalanan.
UB: Tentu banyak pengalaman di sana?
KHS: Saya menuntut di Indiana State University
sehingga berjaya mendapat ijazah sarjana muda sains dalam bidang ekonomi dan
sarjana sains dalam bidang ekonomi dengan pengkhususan pembangunan dan
perancangan pembangunan bandar pada tahun 1989. Seingat saya, saya adalah anak
Iranun pertama mendapat ijazah MA pada ketika itu.
UB: Ada yang memberi galakan untuk belajar di
USA?
KHS: Semasa bertolak ke Amerika, Tan Sri Pandikar
Amin Haji Mulia tanya saya berapa lama belajar di Amerika? Katanya dua kali
lagi pilihanraya baru kau balik. Selain itu, Salleh Lamsin juga beri galakan.
Arwah Talikop Lamsin juga menasihatkan saya untuk pergi belajar. Saya juga
mendapat galakan daripada Henrynus Amin, Ebin Sabin, Datuk Karim Abdul Rahman menggalakkan
saya pergi belajar dan lain-lain lagi.
UB: Terlibat dalam kegiatan pelajar di sana?
KHS: Sewaktu belajar di sana, saya terpilih
sebagai Presiden Indiana State University Malaysia Student Assocoation
(ISUMSA).Ketika itu terdapat seramai kira-kira 400 pelajar Malaysia di sana dan
menjadi Presiden Majlis Pelajar Sabah (Sabah Student Council). Selain dua
pertubuhan itu, dua lagi pertubuhan yang agak aktif di sana ialah MISG dan
ABIM.
UB: Bagaimana tentang prestasi pelajar
Malaysia di sana pada ketika itu?
KHS: Prestasi pelajar Malaysia pada masa itu
amatlah terpuji. Malaysia pernah mendapat anugerah daripada International
Student Affair Award. Masa itu, setiap minggu, kita adakan majlis makan
tengahari dengan Datuk Bandar Vigo County. Antara aktiviti yang kita adakan
ialah gotong-royong membersih kawasan sehingga kita dianugerahkan surat
penghargaan.
Pelajar
Malaysia juga dilihat sebagai satu kumpulan pelajar yang serius dalam menimba
ilmu pengetahuan sehingga ada satu professor menyatakan Malaysia akan cepat
membangun kerana banyak kalangan rakyatnya yang mengecap dan terdedah kepada
pendidikan.
UB: Ada pengalaman menarik di sana?
KHS: Saya mempunyai keluarga angkat Amerika,
seorang veteran tentera yang sangat sukakan makanan antarabangsa. Kami agak
rapat, sehingga apabila saya telah balik ke Malaysia, ketika veteran tentera
itu meninggal, saya turut diberitahu oleh keluarganya. Selain itu saya fikir,
antara kelebihan dan kebaikan di sana, ialah tentang kebajikan warganya.
Seorang wanita yang mengandung, akan dipastikan mendapatkan susu percuma
sehingga dia melahirkan anak.
UB: Apa lagi kelebihan yang Dok nampak
sepanjang berada di sana?
KHS: Indiana adalah sebuah negeri di Amerika yang
mengharamkan perjudian. Di sana tidak ada loteri, nombor empat ekor, tiada
pusat perjudian dan sebagainya. Mereka yang mahu membeli nombor terpaksa ke
Ohio atau Illinois.
Di
sana juga ada sebuah masjid.Itu yang menarik, selain ia tidak jauh dari Chicago
yang mempunyai sumber makanan halal yang banyak. Di Indiana juga ada Malaysia
Grocery Stall atau kedai runcit yang menjual barangan Malaysia, yang dimilik
orang Islam Kampuchea.
UB: Bagaimana hubungan antara pelajar pada
masa itu?
KHS: Hubungan pelajar Malaysia ketika itu, amat
rapat. Kami bangga menjadi rakyat Malaysia.Kita semua bangga sama ada Melayu,
Cina, India dan masyarakat bumiputera y6ang lain. Kebanggaan kita sebagai
rakyat Malaysia amatlah tinggi. Perpaduan rakyat Malaysia amat teguh dan kuat.
UB: Sekembalinya ke tanah air, Dok bertugas
di mana?
KHS: Saya ditugaskan di Unit Perancang
Ekonomi Jabatan Pembangunan Negeri.
Selepas itu, saya dilantik pula sebagai Penolong Pegawai Daerah Pembangunan (ADO)
Pembangunan di Kuala Penyu dari tahun 1991-1994.
UB: Ke mana selepas 1994?
KHS: Saya mula bergiat dalam politik. Walaupun
ketika itu PBS menang tetapi saya memberitahu kawan kawan bahawa pada ramaloan
saya, ketika itu PBS akan jatuh. Jadi selepas BN membentuk kerajaan, saya
dilantik sebagai Setiausaha Politik. Kami adalah kumpulan terakhir yang dibayar
pencen mengikut enakmen yang dibentangkan dalam DUN. Selepas itu, pencen hanya
dibayar ketika mencapai waktu bersara. Saya berkhidmat sebagai Setiausaha
Politik sehingga 1999.
UB: Apa tugas yang Dok lakukan selepas itu?
KHS: Saya bertugas pula di Institu Kajian
Pembangunan Sabah (IDS) sebagai
kordinator dan konsultan pembangunan industry asas tani di Sabah. Antara
sumbangan saya yang diterima ialah pewujudan jelapang padi di Sabah. Saya
percaya kajian asas pembangunan penternakan juga menjadi asas kepada
penbangunan agro politan. Saya juga dilantik oleh Mardi Tech untuk menjadi
konsultan kajian semula polisi padi dan beras negara di bawah Kementerian Pertanian
Malaysia. Saya satu-satunya orang Sabah yang dilantik sebagai konsultan pada
masa itu, dan dalam menjalankan kajian itu saya mendapat dukungan dari
Kementerian Pertanian dan Asas Pemakanan di Sabah khususnya Jabatan Pertanian.
Selepas
dikaji dan ditapis, kita cadangkan tiga jelapang padi ialah jelapang padi
Tambunan, melibatkan Tambunan Keningau dan Tenom, Jelapang Padi Penampang
melibatkan Penampang, Papar, Membakut dan Beaufort manakala cadangan kita yang
ketiga ialah jelapang padi Kota Belud melibatkan Kota Belud, Tuaran, Kota
Marudu dan Pitas. Pada masa itu, hanya cadangan untuk mewujudkan jelapang padi
Kota Belud yang diterima dengan sedikit pengubahsuaian. Kota Belud dijadikan
jelapang padi melalui Integrated Agro Development Programme yang diwujudkan
oleh agensi-agensi kerajaan secara bersepadu dan diberikan peruntukan.
Bagaimanapun, sampai sekarang jelapang padi belum diiktiraf sebagai jelapang
padi negara yang membolehkannya berada dalam arus perdana. Sepatutnya jelapang
padi Kota Belud itu mendapat `share’ dalam pembangunan. Saya ingat pada masa
itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika itu Menteri Pertanian (kini Timbalan
Perdana Menteri) mengumumkan peruntukan RM200 juta tetapi ia tidak dapat
dilaksanakan mengikut rancangan awal kerana berubah-ubah.
Ketika
menjawat Setiausaha Politik juga, saya mencadangkan agar Skim Getah Kota Belud
dilaksanakan. Kita cari tempat yang sesuai.Lembaga Tabung Getah sudah bersetuju
untuk mewujudkan skim getah. Tapak semaian sudah ada tetapi tidak ada follow
up.
UB: Pindah dari IDS, Dok kemana pula?
KHS: Saya bekerja sendiri. Kemudian menjadi
pensyarah di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) selama dua tahun dan dilantik
sebagai Penolong Pengarah cum Timbalan Pengarah OUM di Tawau, di Pusat
Pembelajaran di Tawau sehingga tamat kontrak.
UB: Mungkin Dok ada pandangan tersendiri
mengenai kegiatan berpersatuan?
KHS: Apabila kita melibatkan diri dalam kegiatan
berpersatuan itu, kita harus mengikis pandangan dan sikap bahawa persatuan
boleh melakukan sesuatu untuk peneraju.Sebaliknya ahli-ahlilah yang
memperkuatkan persatuan.Persatuan berjaya kerana ahli-ahlimnya memainkan
peranan proaktif.Persatuan harus menjadi kenderaan kepada ahli-ahlinya untuk
mencapai matlamat.Ini sudah terbalik. Dalam jangka masa panjang, sesuatu persatuan
yang kuat adalah kerana ahlinya yang proaktif.
UB: Pendidikan kita semakin maju tetapi kita
lihat masih gagal melahirkan kualiti
yang diharapkan?
KHS: Bagi saya pendidikan adalah salah satu
daripada unsur memajukan fikiran tetapi saya nampak penyusupan ideology politik
yang keterlaluan, bahkan sejak sekolah rendah malah sejak tadika lagi,
kanak-kanak sudah ditarbiyah dengan politik. Saya kira penyusupan faham politik
yang keterlaluan merencatkan kemajuan fikiran kita.
UB: Apa pandangan Dok mengenai kemiskinan di
negeri ini dan bagaimana kita membasminya.
KHS: Kemiskinan tidak dapat dibasmi menggunakan
wang. Bukan jumlah wang atau banyaknya yang boleh mencegah kemiskinan.
Sebaliknya kemiskinan mampu diatasi dengan program-program yang melibatkan
golongan miskin untuk mengambil bahagian di dalamnya. Ada di kalangan kita bila ditanya isu
kemiskinan, lantas menyebut jumlah wang yang diperuntukkan untuk menangani
kemiskinan, itu jawapan yang tidak tepat. Sebaliknya, kemiskinan dapat diatasi
melalui program-program yang berjaya, dilaksanakan dengan teraur dan
sistematik. Pada saya pembangunan bukan saja perubahan fizikal tetapi ia harus
disertai dengan peningkatan pendapatan anggota masyarakat dan kenaikan taraf hidup
rakyat. Kalau ada perubahan fizikal tapi tidak diikuti dengan peningkatan
pendapatan rakyat, saya kira itu gagal membasmi kemiskinan.Rakyat akan terus
miskin meskipun kerajaan memperuntukkan jumlah wang yang banyak untuk membasmi
kemiskinan kerana wang itu tidak sampai kepada golongan sasar. Itu sebabnya,
saya berpendapat kemiskinan dapat diatasi melalui program-program yang
bermanfaat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.