TAK
ADA YANG KEKAL KECUALI PERUBAHAN
SIAPA
tidak kenal nama Datuk Haji Karim Ghani dalam arena politik Sabah?. Namanya hampir tidak dapat dipisahkan dengan
sejarah politik Sabah sejak beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) 1976. Lima bulan kemudian, beliau kalah 16 undi di Kawang dalam
pilihanraya yang diadakan pada tahun yang sama. Jatuh bangun dalam politik
tidak mematahkan semangat bekas Naib Presiden USNO ini. Malah beliau adalah
antara orang yang mula-mula mencadangkan kemasukan UMNO ke Sabah, yang
mengakibatkan beliau dipecat dan kehilangan kerusi. Selepas UMNO mengembangkan
sayapnya ke negeri ini, Datuk Karim Ghani dilantik sebagai Ketua Penerangan
UMNO Sabah. Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau pernah menjadi ADUN
dilantik, ADUN dipilih, ADUN dipecat dan kemudian pernah dilantik sebagai Ahli
Dewan Negara dari dari tahun 1999-2002.
Bagaimanapun
pada Oktober 2010, beliau mengambil tindakan drastik keluar daripada UMNO.
Beliau
kini adalah Pengarah Biro Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah selain
kegiatan sehariannya bercucuk tanam,
memelihara kambing dan lain-lain
Datuk
Haji Karim Ghani menerima pendidikan awal di beberapa daerah iaitu Sipitang,
Beaufort, Mempakul,Membakut,Bongawan, Keningau
kerana mengikut ayahnya, Abdul Ghani Pendek yang bertugas sebagai guru.
Selepas itu, beliau meneruskan pendidikan menengah di Sabah College (kini
Maktab Sabah) 1957-1961. Anak sulung daripada 13 adik beradik ini pernah
melanjutkan pelajaran di United Kingdom dalam bidang pentadbiran dan
undang-undang. Beliau juga pernah menjadi kerani di Jabatan Pelajaran, Penolong
Pegawai Daerah (ADO) Luar Bandar di Tawau, Keningau dan Tenom, Penolong
Setiausaha Perjawatan, Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Di
Pertua Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan banyak lagi.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual DATUK HAJI KARIM GHANI
pada satu pagi yang cerah di sebuah restoran di Jalan Gaya. Dalam sesi temubual
santai itu, beliau menceritakan
pengalamannya ketika masih kanak-kanak, remaja dan penglibatan awal
dalam bidang politik, pandangannya mengenai PRU-13.
UTUSAN
BORNEO: Sejak bila datuk minat dalam
bidang politik?
DATUK
KARIM: Bermula dari zaman
sekolah lagi. Saya pergi sekolah Melayu.Bapa saya cikgu. Itulah sebabnya saya
pindah banyak sekolah. Sipitang, Beaufort, Bongawan, Mempakul, Membakut.Dimana
bapa saya dipindahkan saya pun ikut. Lepas darjah lima tukar sekolah lagi.Balik
darjah 1 hingga tiga di St John Beaufort Apabila bapa tukar ke Keningau, balik darjah satu
lagi. Kemudian bapa mengajar di Kawang.Tahun 57 saya lulus darjah enam.Dulu
tidak macam sekarang. Waktu usia 17 tahun, saya baru tingkatan satu di Sabah
College.
UB: Siapa rakan sekolah datuk di Sabah
College ketika itu?
DK: Antaranya Bahari Aship, Vernon Skinner,
Dr Tham, Shirley Chin dan lain lagi.
UB: Banyaklah pengalaman datuk pindah-pindah
sekolah. Datuk anak keberapa dalam keluarga?
DK: Saya anak pertama dar 13 adik beradik.
Empat sudah meninggal. Ayah saya, Cikgu Abd.Ghani Pendek. Bapa saya datang dari
Malaya kira-kira 100 tahun yang lalu. Mungkin sebagai PTI juga waktu itu. Dia
masuk ke Sabah dan ditangkap oleh atuk
saya sebelah emak. Masa itu Sabah diperintah Chartered Company.
Polis yang menangkap bapa saya itu,
akhirnya jadi mertuanya. Ibu
saya adalah cucu saorang Kadazan Papar…kg Tamoi. Nenek perempuannya mempunyai
10 adik beradik.Semuanya perempuan.Nenek perempuan saya Dusun/Kadazan dari
Membakut/KualaPenyu,berketurunan Dusun/murut/iban..
Atuk saya sebelah mama, kira-kira 160 tahun yang lalu dibawah oleh Chartered
Company. Oleh sebab itu, banyak darah mengalir ditubuh saya. Sewaktu kecil,
Kami tinggal di Sipitang, maka bolehlah saya bercakap Brunei. Kalau bercakap
dusun, emak saya masih Dusun. Cuma sekarang lidah agak kelat sedikit. Saya
bersekolah di Kawang, bolehlah saya bercakap Bajau.
UB: Bagaimana suasana persekolahan ketika di
sekolah menengah?
DK: Ketika bersekolah menengah, saya tinggal
di asrama. Boleh dikatakan saya mewah pada masa itu. Saya menulis cerita pendek
di Radio Sabah. Satu cerpen dibayar 15 ringgit, kalau dua cerita pendek, sudah
cukup lumayan. Selain itu saya jadi tukang kebun di rumah guru besar.Dapat upah
30 ringgit. Saya juga menulis di akhbar. K.Bali waktu itu pengarang Kinabalu
Sabah Times. Antara rakan yang menulis ketika itu, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf,
Tahir Hamid (Kisnawati), Saidi Lampoh (S.Mala) dan lain-lain.
UB: Apa respon pelajar ketika cadangan
penubuhan Malaysia dikemukakan?
DK: Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957. Pada
tahun 1961, ketika berucap di depan wartawan di Adelphi Hotel Singapura,
Almarhum Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia. Ketika itu, saua sudah bekerja
di Jabatan Pelajaran dengan gaji 150 ringgit sebulan. Dengan gaji itu, saya
dapat beli basikal raliegh secara pinjaman. Bayar-tiao-tiap bulan lima ringgit.
Ketika itu kami tinggal di rumah panjang di Tanjung Aru. Selepas Tunku
mencadangkan penubuhan Malaysia itu, Tun Mustapha memberikan sokongan penuh.
Kami para pemuda, pergi ke satu majlis yang diadakan di masjid Kampung Sembulan. Antara yang saya
ingat ada waktu itu ialah Sanin Pandin. Malam habis waktu isyak,Saya tanya Tun, apa jaminan jika masuk
Malaysia? Tun marah sampai buka baju, pakai singlet saja.Saya dituduh komunis.
Lepas itu, apabila diberitahu, bahawa saya anak cikgu Ghani, dia sebaliknya
mendekati saya, dan sayang kepada saya. Rupanya bapa saya dulu, di bawah ke
Kudat dan tinggal sama dia.
UB: Lepas itu datuk banyak terlibat dalam
proses pembentukan Malaysia?
DK: Pada hujung tahun 62, ada interview
divisyen 3.Saya ikut temuduga itu. Apabila bderjaya saya ditukar ke Tawau. Saya
dilantik sebagai Penolong Pegawai Luar Bandar. Ketika itu, Suruhanjaya Cobbold
mengadakan tinjauan. Ramai golongan rakyat yang hantar memorandum. Saya ditawar
untuk menjadi penterjemah. Jadi saya yang menterjemah memorandum itu dari
bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Sewaktu pembentukan Malaysia, saya menjadi
penterjemah IGC. Waktu itu saya menjadi ADO Tenom. Antara rakan saya yang lain
ialah Marcus Otigil, Haji Jasni Gindug, dan Datuk Alip.
Kerana
terlibat sebagai penterjemah itu, saya diberikan penghargaan oleh Setiausaha
Kerajaan Negeri. Selepas jadi ADO Tenom, saya dilantik sebagai ADO
Keningau.Satu bulan kemudian, saya ditukar lagi menjadi ADO Papar. Lepas itu,
saya bertolak ke London, belajar bidang pentadbiran di South Devon Technical
College, England.
UB: Bila pula tu?
DK: Mulanya saya pergi tahun 64, belajar
Public Administration di South Devon Technical College. Pada tahun 1968, sekali
lagi saya ke London untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran.Pada
tahun 1970, saya ke London semula untuk mempelajari bidang undang-undang.
UB: Oh ya, Boleh ceritakan sedikit pengalaman
datuk dalam bidang kerjaya?
DK: Mula-mula selepas tamat persekolahan,
saya kerja sebagai kerani di Jabatan Pelajaran. Kemudian apabila ada temuduga
untuk jawatan divisyen tiga, saya menyertai dan lulus. Kemudian saya dilantik
sebagai ADO Luar Bandar di Tawau, Tenom, Keningau dan Papar. Pada tahun 1964,
saya bertolak ke South Devon Technical College,Selepas balik dari London, saya
dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua
Negeri Sabah pada tahun 1966. Ketika itu, Tun Ahmad Raffae yang menjadi Yang Di
Pertua Negeri.
UB: Selepas itu?
DK: Tahun 1967, ada pilihanraya. Tun Mustapha
datang minta tolong untuk memenangkan USNO. Jadi Mulkiaman (Sherzeman Mulkiaman
Sherzeman) tanding di Bongawan manakala
Jumah Sallim tanding di Papar. Dua-duanya menang. Sebelum itu, tahun 1966, ada
pilihanraya majlis daerah. Saya di keningau. Madi, bapa si Emin, satu orang disana
dia menang sebagai calon USNO.
UB: Lepas itu datuk berkhidmat dimana?
DK: Selepas pilihanraya 1967, saya dilantik
sebagai Penolong Setiausaha Perjawatan. Datuk Dzul (Dzulkfli Abdul Hamid)
ketika itu DO Tuaran dipanggil untuk menjadi Assistant Special Secretary (ASS)
tapi kerana dia tidak suka singkatan jawatan itu, maka jawatannya ditukar
kepada Special Asistant Secretary (SAS).
Sebagai
pegawai kerajaan, kita datang pejabat jam 8.00 pagi dan pulan jam 4.00 petang.
Sebagai pemimpin kita memberikan contoh yang baik.
UB: Lama berkhidmat di sana datuk?
DK: Pada tahun 1970, saya ditukar ke
Sipitang. Tapi saya tidak jadi ke Sipitang sebaliknya,saya terbang ke London
untuk belajar undang-undang di Royal Public Administration London. Baru satu
tahun lebih disana, saya dapat telegram suruh pulang. Saya dapat telegram jam
9.00 pagi, jam 10.00 pagi, Crown Agent datang bawa tiket. Selepas pulang saya
dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan Kerjaya dari tahun 72
sampai Julai tahun 75. Waktu itu saya
rapat dengan datuk Harris dan Tun Fuad. Mereka jemput saya sertai Berjaya, tapi
saya bilang tidak.
Kemudian
pada tahun 1976, saya dilantik sebagai Adun dilantik dan menjadi ayam sabung dalam
dewan. Lima bulan kemudian ada pilihanraya kecil. Saya tanding lawan Datuk Fred
Sinidol. Saya kalah 16 undi. Datuk Fred Sinidol dapat 2,260, saya dapat undi
2,244 undi.
Tahun
1986, saya tanding N.34 Bongawan atas tiket USNO dan menang. Kalau berdasarkan rekod, tahun 76, USNO dapat
20 kerusi, tahun 81 dapat tiga kerusi, tahun 85 dapat 16 kerusi, tahun 86
tinggal 12 kerusi.
UB: Apakah itu sebabnya yang membuka laluan
kepada UMNO untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah?
UB: Sebelum itu banyak peristiwa yang
terjadi. Pada tahun 1985, Tun Dr.Mahathir mengumumkan akan timbul tenggelam
bersama Berjaya. USNO membuat pakatan bersama PBS melawan Berjaya dalam
pilihanraya 1985. Kira-kira jam 10.00
malam ketika keputusan diumumkan, saya telefon Herman Luping (Tan Sri) supaya
sediakan paper kabinet. Saya telefon dia tidak jawap. Saya rasa perjanjian sebelum itu tidak
ditepati.Saya kemudian telefon Datuk Harris, Datuk Majid Khan yang jawap.Saya
tanya apakah dia boleh jamin ADUN Berjaya, dia kata boleh. Kemudian dia datang
ke rumah Tun Mustapha, Datuk majid Khan dan Datuk Malik Chua. Mereka kemudian
naik ke bumbung rumah Tun untuk berbincang. Tun suruh saya supaya tidak
perbincangan itu. Selepas mereka pulang, TYT Tun Adnan Robert telefon minta Tun Mustapha datang pergi
istana. Ketika itu, TYT boleh melantik ketua menteri, siapa yang dia fikir
mendapat sokongan majoriti. Dia setuju
angkat sumpah bentuk kerajaan pukul tiga pagi. Ketika itu ada kouta ADUN
dilantik. Tiba-tiba, Majid Khan mahu dilantik menteri kewangan.Tun Mustapha
tidak setuju.Dia orang pulang. Kemudian Tun Musa Hitam beri keputusan, Pairin
angkat sumpah. Begitulah lebih kurang senario ketika itu.
Kalau
Tan Sri Herman Luping, jawap telefon ketika itu, mungkin sejarahnya lain.
UB: Oh begitu!
DK: Kemudian dalam pilihanraya yang diadakan
setahun kemudian, kita hanya mendapat 12 kerusi. Ketika itu, kita berasa kita
dikhianati. Kerana itu kita bawa UMNO masuk ke Sabah. Pada akhir tahun 86, kita
bawa usul untuk membawa UMNO masuk ke Sabah. 46 bahagian USNO menyokong, hanya
dua iaitu Penampang dan Pensiangan yang menolak. Kita rasa ada keperluan untuk
membawa UMNO masuk ke Sabah ketika itu. Bagaimanapun akhirnya saya dipecat .
Kemudian Tun Mahathir mempelawa Tun Mustapha menyertai UMNO. Ungkapan Allahyarham
Tun ketika itu ialah berpindah dari kapal kecil ke kapal besar.
UB:
Maknanya datuk terlibat membawa UMNO
ke Sabah?
DK: Benar, saya yang mencadangkan supaya UMNO
di bawah masuk ke Sabah pada 1986. Tapi ketika UMNO masuk ke Sabah tahun 1991,
saya tiada kena mengena.Waktu itu saya berada di luar USNO. Di peringkat
cadangan saya terlibat, di peringkat pelaksanaan saya tidak terlibat. Selepas
di pecat itu, saya terpaksa kosongkan kerusi. Kalau tidak dipecat mungkin
sejarahnya lain. Tapi saya tidak masuk Berjaya atau PBS, saya hanya masuk UMNO
apabila parti itu mengembangkan sayapnya ke Sabah. Saya dilantik Ketua
Penerangan UMNO Sabah.
UB: Apa peranan datuk ketika pilihanraya 1994
itu?
DK: Saya dilantik pengarah gerakan pengundi
luar. Saya memastikan dimana pengundi membuang undi.Dimana dia orang
mengundu.Yang di Kudat, pulang ke Kudat. Saya yang atur mereka mengundi.Kami
cari senarai pengundi yang ada dalam buku daftar, dan kita aturkan mereka
mengundi.
UB: Rasa ingin tahu juga, apa pendapat Datuk
mengenai pilihanraya kali ini?
DK: Kita tengok sejarah. Ketika pilihanraya
kecil Batu sapi, ketika itu slogan ini kalilah selalu disebut oleh rakyat. Kita
tengok sejarah.Tahun 1976, slogan rakyat ialah Berjaya! Berjaya!, hasilnya USNO
kalah. Tahun 1985, PBS dan USNO lawan Berjaya, slogannya tukar Baju. Akibatnya
berjaya kalah. Pada 1994, tiada apa apa slogan, PBS Tumbang apabila Datuk
Lajim, Datuk Rubin melompat kepada UMNO. Kali
ini slogan `Ini kalilah’ semua orang Sabah tahu, di KL pun orang selalu
sebut.
UB: Apa ramalan datuk?
DK: Dalam pilihanraya ini kali, pembangkang
boleh menang. Cuba tengok, USNO kalah tahun 76. Tujuh campur enam, jawabnya 13.
Angka 13 bagi orang Cina atau orang barat dianggap tidak bagus. Cuba lihat
lagi. Berjaya kalah tahun 85. Lapan campur lima, jawabnya 13, Kemudian tahun
94, sekali lagi bertukar kerajaan, Sembilan tambah empat, jawabnya 13. Kalau
kita lihat, tahun ini 2013. Benar-benar angka 13.Ini membawa isyarat yang tidak
bagus kepada BN. Satu campur tiga, jawabnya empat.Empat dalam bahasa Cina,
bunyi Se, yang maksudnya mati.
UB: Apa yang datuk harapkan, kalau PR
ditakdirkan menang?
DK: Cita-cita saya sederhana sekali.Harga
kelapa sawit naik sikit, harga baja turun sikit, syukur Alhamdulillah.
UB: Apa agaknya harapan yang boleh dicapai
lagi?
DK: Saya sedang mencari pokok, yang kalau
kita tanam sekarang berbuah lima puluh tahun kemudian. Sekarang kalau kita
tanam, pokok durian, lapan tahun sudah berbuah. Kalau kita tanam pokok
bambangan, Sembilan tahun sudah berbuah. Saya mahu mencari pokok yang berbuah
lebih lama.
UB: Nampaknya datuk juga aktif ber`facebook?’
DK: Ya. Cuma saya nasihatkan kepada orang
muda, supaya mereka lebih berani memberi pandangan.jangan takut.Guna nama
sendiri.jangan bersembunyi di sebalik nama.
UB: Apa nasihat datuk?
DK: Alam sabah ini belum diteroka
sepenuhnya.Kita memiliki kekayaan alam yang taiada taranya. Lautan kita luas,
hidupan marin kita pelbagai dan banyak lagi. Kita Cuma perlu mencari cara
bagaimana kita menjinakkan burung tekukur, atau burung punai untuk
dikomersilkan. Kita telah berjaya untuk memelihara burung puyuh.Saya fikir ilmu
penternakan perlu diperhebatkan lagi.
Nasihat
saya supaya kita menceburi bidang yang kita kuasai. Kita berniaga apa yang kita
tahu. Kalau tidak, nanti kita berniaga kambing rugi, pelihara ayam rugi, tanam
tanaman tidak menjadi kerana kurang ilmu.
Buat kerja yang kita sudah mahir.
UB: Kata-kata akhir daripada datuk?
DK: Tak ada yang kekal di dunia ini kecuali
perubahan. Kita kena menyesuaikan diri dengan perubahan.Perubahan saja yang
kekal. Umpamanya, kalau dulu, kita minum hotel lima bintang, sekarang kerana masa sudah
berubah, kita biasakan diri minum di kedai kopi. Kalau dulu kita mampu naik
mersedez, kita kena sesuaikan diri dengan masa.Kalau tidak tidak kita boleh
jadi gila. Tak ada yang kekal di dunia ini kecuali perubahan.Ingat
itu.Perubahan saja yang kekal.
2 comments
Salam Sdr Abd.naddin,
Temuramah anda dengan Datuk Karim Ghani amat baik sekali. Imformatif dan penuh dengan peristiwa sejarah
ya terima kasih cikgu atas apresiasi. semoga saya dapat menemuramah lebih ramai lagi tokoh untuk melengkapkan catatan sejarah kita