JENAR
LAMDAH, DULU PERNAH JUAL SAYUR KINI PEMILIK HOTEL
BELIAU
bukan
saja pernah memegang jawatan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan
Perumahan
dan Bandar (LPPB) pada 2008 hingga 2011, malah beliau pernah
menghasilkan tiga
buku penting berupa rakaman sejarah pembangunan di negeri ini. Selain
itu,
beliau juga seorang intelektual Bajau yang banyak bercakap mengenai
sistem
nilai dan norma masyarakat Bajau. Tokoh ini memberikan sumbangan yang
bukan
sedikit kepada negeri ini dalam pelbagai kapasitinya. Kini beliau
menceburi perniagaan dalam bidang perhotelan di ibu negeri dan di Lahad
Datu.
Dato’
Sri Haji Jenar Haji Lamdah dilahirkan di Kota Belud, Sabah paada 5 Jun 1956.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Kota Belud mulai tahun
1963 hingga 1967. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah
Ghafar Baba, Masjid Tanah Melaka sehingga 1972. Beliau kemudian mendapat
biasiswa American Field Service International Scholarship USA dan melanjutkan
pelajaran ke Lyons Township High School di Illinois pada 1973/1974 melalui
program pertukaran penuntut Malaysia/Amerika Syarikat. Pada Julai 1974, beliau melanjutkan pelajaran
di YS ITM dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam dan Undang-Undang.
Bagaimanapun,
pada tahun 1975-1976, beliau menjadi
guru di Kinabalu Commercial College sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang
Penulisan Kreatif dan Deskriptif pada tahun 1977-1980 di Universiti Malaya.
Sekembalinya
ke Sabah, beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah Perjawatan Negeri di
Jabatan Ketua Menteri pada 1980. Jenar kemudian berpindah ke pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri sebagai Setiausaha Sulit kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Pentadbiran
Awam di Universiti Malaya dan merupakan anak tempatan Sabah yang julung kali
mendapat ijazah MPA dari universiti itu pada tahun 1989. Pada tahun 1983-1989, beliau menjawat jawatan
Penolong Pengarah di Institut Tadbiran dan Penyelidikan Sabah, Ketua Penolong
Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia (BPSM) 1989-1991. Kemudian pada
1991-1993 beliau menjawat jawatan Penolong Setiausaha di Suruhanjaya Siasatan
Sabah. Pada 1993-1995, beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran
Tawau dan kemudian menjadi Pengarah Biro Pengaduan Awam Negeri Sabah
1995-2004.Selepas itu, belaiu menjadi Timbalan Pengurus Besar Lembaga
Pembangunan Perumahan dan Bandar (2004-2008) dan kemudian menjadi Pengurus
Besar LPPB (2008-2011). Kini beliau menceburi bidang korporat dan kini menjadi
Pengerusi Eksekutif Habiba Suites. Atas
jasa dan khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan bintang Ahli Setia Darjah
Kinabalu (ASDK) dan Darjah Kebesaran Seri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang
membawa gelaran Dato’ Sri pada 18 jun 2011.Beliau mendirikan rumah tangga
dengan Datin Sri Hajah Habiba Haji Abdullah dan dikurniakan tujuh orang
cahayamata.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemui DATO SRI HAJI JENAR HAJI LAMDAH di Tingkat 6, Habiba
Suites untuk berkongsi pengalamannya
sejak berada di bangku sekolah, pengalamannya sewaktu 33 tahun berkhidmat dalam
kerajaan dan pandangannya terhadap industri pelancongan di Sabah. Ikuti petikan
temubual bersama beliau.
UTUSAN
BORNEO: Boleh jelaskan sedikit latar
belakang Dato’ Sri?
DATO’
SRI HAJI JENAR: Saya dilahirkan di
Kota Belud, pada 5 Jun 1956. Anak keempat daripada Sembilan orang adik beradik.
Ayah saya Haji Lamdah bin Sibul seorang petani manakala ibu saya Hajah Tang
binte Puteh, seorang surirumah. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah
Kebangsaan Kota Belud mulai tahun 1963 sehingga 1967. Saya menghabiskan
persekolahan di peringkat sekolah rendah selama lima tahun kerana lompat
darjah. Dari darjah tiga terus ke darjah lima. Saya dinaikkan darjah sebanyak
satu kali dalam sistem pendidikan ketika itu. Selepas lulus darjah 6, pada
tahun 1968, saya dianugerahkan biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan
pelajaran di Semenanjung Malaysia. Saya melanjutkan pelajaran menengah di
Sekolah Ghafar Baba, Masjid Tanah, Melaka sehingga tahun 1972.
UB: Waktu itu berapa ramai pelajar dari Sabah
yang dapat biasiswa?
DSHJ: Terdapat seramai 114 orang pelajar dari Sabah
yang mendapat biasiswa Yayasan Sabah.
Kami adalah angkatan pertama yang mendapat anugerah biasiswa itu, yang
merupakan satu program integrasi nasional di antara negeri Sabah dengan
Semenanjung Malaysia.
UB: Dato’ Sri masih ingat siapa rakan pelajar
dari Sabah yang menuntut di Sekolah Ghafar Baba?
DSHJ: Kalau tak silap saya, kami lima orang.Selain
saya ialah Sukandar Suwari, Lakim Galungan, Ahmad Madin dan Mohd.Din Awang.
UB: Apa perasaan Dato’ Sri ketika itu? Berapa
usia sewaktu mula bersekolah ke Semenanjung?
DSHJ: Waktu itu, saya baru berusia 12 tahun. Jauh
dari keluarga dalam usia sebegitu, memang membuat saya rindukan mereka. Namun
mengingatkan betapa pentingnya seseorang mempunyai pelajaran, apatahlagi kami
dari keluarga yang susah, membulatkan tekad saya untuk belajar
bersungguh-sungguh.
UB: Selepas tahun 1972 itu, selepas lulus
tingkatan lima, Dato’ Sri terus ke universiti?
DSHJ: Selepas tingkatan lima, saya mendapat biasiswa
American Field Service International Scholarship USA untuk melanjutkan pelajaran ke Lyons Township
High School di Illinois dalam tahun 1973 hingga 1974 iaitu di dalam program
pertukaran penuntut Malaysia/Amerika Syarikat.
UB: Selain Dato’ Sri, siapa lagi pelajar dari
Malaysia?
DSHJ: Di sekolah itu, hanya saya dan Jane Egbert
Ebaritus. Saya mewakili negeri Melaka ketika itu. Saya adalah “first very young
ambassador” pada masa itu. Saya masih
ingat ketika dibawa bertemu dengan Governor Walker, yang menjadi gabenor
Illinois ketika itu
UB: Apa pandangan orang luar khususnya orang
Amerika kepada Malaysia ketika itu?
DSHJ: Ada di antara mereka berfikir bahawa kita
masih belum ada tamadun. Mereka tidak tahu dimana letaknya Malaysia. Ketika
itu, mereka anggap negara kita mundur.
UB:
Dato’ Sri boleh berbahasa Inggeris ketika dihantar ke Amerika?
DSHJ:
Saya pelajar dari aliran Melayu. Tidak begitu mampu berbahasa Inggeris. Sesampainya
di sana, saya bawa Collins Dictionary selain menonton rancangan Tv setiap hari.
Akhirnya dalam tempoh tiga bulan, saya boleh berkomunikasi dalam bahasa
Inggeris. Ketika di sana juga tinggal bersama keluarga Amerika. Dalam peperiksaan Grade 12, setara
dengan tingkatan 6, saya lulus dengan cemerlang.
UB:
Pulang dari Amerika terus masuk
universiti?
DSHJ: Saya mendapat tawaran dari Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) di Jalan Gurney ketika itu dalam bidang juruukur
bahan. Tapi saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di YS-ITM di Kota Kinabalu
pada bulan Julai 1974 dalam jurusan Pentadbiran Awam dan Undang-Undang.
Bagaimanapun, tahun pertama saya gagal. Kemudian pada tahun 1975 hingga tahun
1976, saya bekerja sebagai guru di Kinabalu Commercial College. Kemudian ambil peperiksaan STPM secara persendirian.
Kemudian pada tahun 1977, saya diterima untuk memasuki Universiti Malaysia dan
lulus Sarjana Muda Sastera dengan kepujian dalam bidang Penulisan Kreatif dan
Deskriptif, yang baru diperkenalkan ketika itu.
UB: Berapa ramai pelajar yang mengikuti program itu masa itu?
DSHJ: Untuk pengambilan pertama, kami seramai 20
orang ditawarkan untuk mengikuti program itu. Saya merupakan pelajar Sabah yang
mengikuti program itu selain saudara Mohd.Hekam Terimo.
UB: Dimana Dato’ Sri menghasilkan buku
biografi Datuk Harris Salleh? Ketika di Universiti?
DSHJ: Buku biografi “Datuk Harris Dengan Politik
Sabah” itu diterbitkan tahun 1991. Ia sebenarnya berasal dari tesis saya
sewaktu di Universiti. Ia merupakan sebuah buku yang mencatatkan sejarah
perjuangan Datuk Harris Salleh, bekas Ketua Menteri Sabah, sebagai pemimpin
negeri Sabah khasnya dan Malaysia amnya dan memaparkan sejarah negeri Sabah
yang boleh dijadikan rujukan dan bahan sejarah.
UB: Apa kegiatan sewaktu di Universiti? Dato
Sri aktif dalam kegiatan mahasiswa?
DSHJ: Semasa di universiti, saya pernah menjadi
Ahli Majlis Kolej Kedua dan keempat 1979/1980 dan terlibat juga dalam Majlis
Perwakilan Mahasiswa Universiti 1979/1980.
UB: Siapa rakan seuniversiti Dato Sri ketika itu?
DSHJ: Antaranya Ketua Setiausaha Kementerian
Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dato’ Nurul Ainur Mohd.Noor.
UB: Pensyarah? Waktu itu siapa pensyarah
untuk program Penulisan Kreatif dan Deskriptif?
DSHJ: Antaranya Prof.Dr Lutfi Abas, Prof Datuk
Abdul Latif Bakar, Prof Dr Abu Bakar Hamid, Haji Subky Latiff, sebagai
pensyarah jemputan.
UB: Dato’ Sri aktif dalam sukan juga? Pasukan
beruniform? Kegiatan lain?
DSHJ: Semasa di bangku sekolah menengah, saya
bergiat aktif di dalam pelbagai bidang termasuk sebagai Ketua Pengawas Sekolah,
Ketua dan Sarjan Polis Kadet, Ketua Perpustakaan, Pengerusi Badan Bahasa
Malaysia, Pengerusi Badan Sejarah dan Ketua Sukan Sekolah ke Majlis Sukan
Sekolah-sekolah Negeri Melaka. Selain daripada itu, saya pernah mewakili
sekolah di dalam pelbagai pertandingan pantun, menyanyi dan drama pentas dan
pertandingan pidato. Dalam bidang sukan, saya pernah mengambil bahagian di
dalam acara termasuk bolasepak, olahraga, pingpong, badminton, lembing dan
sepaktakraw.Malah saya difahamkan, ketika saya diberikan penghormatan
merasmikan perayaan Jubli Emas pada September lepas, rekod dalam acara 100
meter sewaktu di Sekolah Ghaffar Baba masih bertahan sampai sekarang.
UB: Oh ya, selepas keluar universiti, Dato
Sri kerja dimana?
DSHJ: Saya mula bertugas sebagai Penolong Pengarah
Perjawatan Negeri di Jabatan Ketua
Menteri pada Mac 1980. Waktu itu, Pengarah Perjawatan ialah Tan Sri Datuk
Khalil Datu Jamalul. Kemudian saya berpindah ke pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri menjawat jawatan sebagai Setiausaha Sulit/Khas kepada Setiausaha
Kerajaan Negeri (SK N), ketika itu Tan Sri Hamid Egoh menjadi SKN.
UB: Selepas itu?
DSHJ: Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah
Sarjana pada tahun 1983 di Universiti Malaya. Saya merupakan anak Sabah pertama
yang dianugerahkan Sarjana Pentadbiran Awam (Master of Public Administration)
dari Universiti Malaya pada 1989. Saya
membuat tesis, Perubahan politik Sabah sebelum merdeka. Antara pemeriksa tesis MPA saya ialah mantan Menteri Kehakiman, Datuk
Dr.James Ongkili yang oernah menjadi professor sejarah di UM, dan Datuk
Dr.Firdaus Abdullah.
UB: Kerja dimana waktu itu?
DSHJ: Waktu itu, iaitu pada tahun 1983/1989, saya
menjawat jawatan sebagai Penolong Pengarah di Institut Tadbiran dan
Penyelidikan Sabah (Sinar). Ketika itu pengarahnya Dr.Azizan Hussin manakala
timbalannya, Datuk Dr.Zaki Haji Gusmiah. dan kemudian menjadi Ketua Penolong
Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia (1989/1991) Jabatan Ketua Menteri. Pada
tahun 1991/1993, saya dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Suruhanjaya
Siasatan Sabah yang pada masa itu diketuai Datuk KY Mustafa.Kemudian pada tahun
1993 hingga 1995, saya dilantik sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Tawau dan
kemudian sebagai Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) Negeri pada tahun
1995/2004. Ketika itu juga saya menjadi pensyarah sambilan di UiTM Sabah.
UB: Apa aduan yang diterima sepanjang jadi
pengarah di BPA?
DSHJ: Sewaktu di BPA, saya fikir satu tugas yang
amat mencabar juga.Kami mendapat laporan mengenai kerenah kakitangan awam yang
bertugas di jabatan kerajaan, disiplin, aduan lambat datang kerja,tatacara
kerja, aduan mengenai pegawai yang main golf pada waktu perjabat, itu menjadi
isu ketika itu, ketika ramai yang main golf itu adalah pegawai tinggi. Kami
juga menerima aduan mengenai permohonan tanah yang mengambil masa 25 tahun
untuk diselesaikan. Ini saya fikir unik juga kerana permohonan tanah mengambil
masa yang begitu lama diproses. Banyak juga pengalaman dan cabaran sewaktu
bertugas di BPA Negeri.
UB: Selepas itu, Dato Sri pindah kemana pula?
DSHJ: Saya dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar
Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dari tahun 2004 hingga 2008.
Kemudian dari tahun 2008 hingga 2011, saya dilantik sebagai Pengurus Besar
LPPB.
UB: Bagaimana Dato Sri melihat masalah
perumahan di Sabah? Boleh beri komen sedikit?
DSHJ: Masalah perumahan di kalangan rakyat memang
memerlukan perhatian daripada kerajaan. Lebih 50,000 pemohon rumah membuat
permohonan untuk mendapatkan rumah mampu milik tetapi kita hanya mampu membina
kira-kira 200 hingga 500 unit rumah setahun. Oleh sebab itu ia tidak mencukupi.
UB: Mengenai harga rumah yang tinggi, apa
komen Dato’ Sri?
DSHJ: Kos harga rumah yang tinggi adalah disebabkan
antara lain ialah kerana kita terpaksa mengimport bahan-bahan binaan. Simen
kita import, peralatan binaan kita import, besi kita import kerana kita tidak
punya kilang besi.Mozek kita import dan sebagainya. Ini juga disebabkan dasar
kabotaj dimana setiap barang yang diimport perlu melalui Pelabuhan Kelang. Inilah
senarionya mengapa kos rumah di Sabah agak tinggi. Selain itu, ia disebabkan
juga oleh harga upah buruh yang tinggi, yang turut menyebabkan harga rumah yang
tinggi.
UB: Dari LPPB, Dato Sri bertugas dimana pula?
DSHJ: Selepas 33 tahun berada dalam perkhidmatan
awam, saya bersara dan menceburi bidang perniagaan. Sekarang saya menjadi
Pengerusi Eksekutif Kumpulan kepada perniagaan keluarga dan memiliki dua hotel
iaitu Habiba Suites di Kota Kinabalu dan Tang Inn di Lahad Datu Sabah.Selain
bidang perhotelan, saya juga menceburi bidang penternakan burung walet.
UB: Setelah menceburi bidang perhotelan,
mungkin Dato’ Sri ada pandangan mengenainya?
DSHJ: Tidak ramai kalangan bumiputera yang menceburi
bidang perhotelan. Bukan mudah bagi golongan bumiputera. Itu sebabnya hampir 99
peratus pemilik hotel adalah kalangan bukan bumiputera. Persaingan memang kuat
tapi bukan juga sukar sangat. Yang penting kita harus survival. Industri
perhotelan berkait rapat dengan industri pelancongan. Ia sangat berpotensi
untuk diterokai. Dari kecil kita memang saya pernah berjual sayur di tamu, jual
air kelapa dan sebagainya. Bezanya sekarang, industri perhotelan memang mencabar
tetapi saya yakin boleh bersaing dan memajukan lagi perniagaan dalaam bidang ini.
UB: Kalau tak silap, Dato’ Sri juga minat
dalam seni?
DSHJ: Saya pernah terlibat dalam bidang seni
teater.Kami pernha mengambil bahagian dalam pertandingan teater bersama Saudara
Marzuki Ali. Kami pernah menang pertandingan drama pentas pada tahun 1977.
Menjadi naib johan melalui drama Anak Derhaka. Saya turut berlakon, sebagai
adik kepada seorang abang.Abang ketika itu dilakonkan oleh Jamrin Wahit
manakala watak Ayah dilakonkan oleh Masbak Haji Rumashid.Kami berlakon di Dewan
Masyarakat. Malah saya juga banyak mengikuti kursus drama pentas dan
sebagainya.
UB:
Dato’ Sri juga sering membentang kertas kerja dalm seminar?
DSHJ: Saya pernah membentang kertas kerja Sistem
Nilai dan Norma Masyarakat Bajau dalam Seminar Antarabangsa mengenai Bajau. Selain
itu saya juga pernah menghadiri pelbagai kursus, seminar, symposium dan latihan
serta membentangkan beberapa kertas kerja dan menjadi panel di dalam beberapa
persidangan di negeri Sabah dan Kebangsaan.
UB: Apa jawatan yang pernah dipegang dalam NGO?
DSHJ: Saya pernah memegang jawatan dalam Ngo seperti
Naib Presiden Persatuan Kakitangan Awam Islam Kerajaan, Setiausaha Agung
Persatuan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sabah, Pekida Malaysia, Ahli UMNO,
Ahli Majlis Tertinggi USIA dan sebagainya.
UB: Sering melawat ke luar negeri?
DSHJ: Pernah melawat di 40 buah negeri seperti
Anerika Syarikat, Thailand, Sweden, Jepun, Korea Selatan,China, Hong Kong,
Indonesia, Arab Saudi di Mekah dan Madinah, Singapura, Perancis, England,
Australia dan Netherland.
UB: Selain buku biografi Datuk Harris, apa
lagi buku yang pernah dihasilkan?
DSHJ:
Saya pernah juga menulis buku Perkembangan Politik di Negeri Sabah 1976/1981
dan Halatuju dan Pembangunan Negeri Sabah
pada tahun 2003.
UB: Dato Sri banyak pengalaman. Banyak yang
boleh ditulis dalam bentuk buku. Ada pengalaman lain?
DSHJ: Saya juga pernah menjadi wartawan Utusan
Melayu dan pernah menghasilkan beberapa buah cerpen yang disiarkan dalam
suratkhabar tempatan. Pengalaman sebagai anak petani juga banyak. Saya pernah
menjual sayur-sayuran di tamu Kota Belud, pernah jual air kelapa muda di tepi
jalan perkuburan Limatok, berjalan kaki enam hingga tujuh kilometer untuk
belajar mengaji di Masjid Pekan dan sebagainya.
UB: Apa agaknya kata-kata yang menjadi selalu
menjadi pedoman Dato’ Sri?
DSHJ: Dalam mencapai sesuatu, kita mesti kerja keras
dan selalu bertawakal kepada Allah.