Sabtu, 19 Januari 2013

DATUK AINAL FATTAH UTAMAKAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

Tags



DATUK AINAL, UTAMAKAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT

KETOKOHAN dan keperibadian Datuk Haji Mohd.Ainal Fattah sebagai seorang pemimpin yang komited kepada perjuangannya untuk menanamkan kesedaran di kalangan masyarakat terhadap penghayatan terhadap ajaran Islam. Sebagai anak Bajau yang pertama lulus dalam bidang guaman di United Kingdom, Mohd.Ainal telah melalui pelbagai liku-liku pengalaman dalam hidupnya. Beliau pernah berkhidmat selama 23 tahun dalam perkhidmatan kerajaan sebelum menceburkan diri dalam bidang politik dan perniagaan hingga kini.

Datuk Haji Mohd Ainal Fattah dilahirkan pada 3 Januari 1956 di Kampung Balimbang, sebuah desa di Pulau Bum-Bum Semporna.Beliau mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Semporna pada tahun 1961 hingga tahun 1965. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SMK Abdullah hingga tahun 1967 sebelum berpindah ke Holy Trinity hingga tamat Tingkatan 5.

Kerjayanya bermula sebagai kerani di Pejabat Daerah Semporna kemudian dilantik menjadi ketua kerani,juga di Pejabat Daerah Semporna pada 1976. Beliau kemudian dinaikkan pangkat sebagai pegawai kerja sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tawau pada tahun 1977.

Bagaimanapun, berkat cita-cita dan semangatnya yang tinggi untuk menambah ilmu pengetahuan, beliau terbang ke United Kingdom pada tahun 1978 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di University of Buckingham,England pada tahun 1980 dengan mendapat kepujian kelas dua (2nd Class Honours). Pada tahun 1981, beliau mendapat Barrister at Law di Lincoln Inn, London. Beliau merupakan antara anak Bajau yang terawal dilantik sebagai peguambela dan peguamcara. Pada tahun 1983, beliau diterima sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo.

Selepas itu, Mohd Ainal dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang merangkap Chief of Inspektoriat atau Ketua Merinyu Perhutanan Sabah di Ibu Pejabat Perhutanan di Sandakan pada 1983. Setelah 23 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, beliau kemudian memasuki bidang politik pada tahun 1985 dan ditawarkan sebagai Calon BN di kawasan DUN Kunak dalam era pemerintahan Berjaya. Namun beliau kurang bernasib baik apabila kalah tipis dalam pilihanraya itu kepada Datuk Salim Bacho.
Ketika era pemerintahan PBS, beliau dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan Awam Kementerian Kewangan dan kemudian Setiausaha Perhubungan Awam Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Selepas itu, beliau banyak terlibat dalam NGO, menjadi Pengerusi Sabah Bajau Chambers of Commerce dan menumpukan perhatian dalam industri pembinaan. Kemudian beliau dilantik sebagai Juru perunding Korporat Antarabangsa (International  Corporation Consultancy and Advisory). Kini beliau adalah Setiausaha UMNO Zon 6 yang mengandungi 12 Adun dan 4 Ahli Parlimen dalam Residensi Tawau

Disamping tugasnya sebagai Ketua Cawangan UMNO di Kampung Balimbang, beliau kini aktif mempromosi kesedaran umat Islam di Semporna dengan memfasilitator mereka untuk menunaikan umrah dan ibadah haji hampir setiap tahun. Selain itu, beliau juga aktif dalam meningkatkan pembelajaran sepanjang hayat khususnya dalam bidang perundangan, pengurusan korporat, politik dan pengetahuan dalam agama Islam mencakupi pelbagai aspek seperti makrifatullah dan makrifatulrasul. Di tengah kesibukannya, beliau sempat menduduki pengajian untuk ijazah sarjana pengurusan perniagaan (MBA) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat mewawancara DATUK HAJI MOHD.AINAL FATTAH di salah sebuah café di Wisma Merdeka sambil menikmati kopi pada satu hari yang tenang sekembalinya dari lawatannya ke Singapura baru-baru ini.




UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga datuk?
DATUK AINAL:            Saya adalah anak sulung dari 19 adik beradik berlainan ibu. Ayah Haji Abdul Fattah Haji Hassan, seorang petani yang memiliki kebun luas dan juga memiliki kelong  manakala ibu,Hajah Fatimah Runniah Haji Yahya.Jika ditelusuri dari salsilah keluarga, bapa nenek saya berasal dari Hadramaut Yaman.Menurut ceritanya, Syed Al Alawi beliau mendarat di Johor sebelum meneruskan perjalanan ke Borneo untuk berdakwah di Semporna.Selain itu, ada juga di Filipina. Mereka ada kaitan dengan bani hasyim, keturunan Nabi.

UB:       Siapa yang menjadi pendorong Datuk sewaktu kecil?
DATUK AINAL:            Sewaktu kecil saya banyak terdorong oleh azam untuk mencapai kehidupan yang lebih senang dan selesa.Kehidupan kami susah ketika itu.Tapi atas didikan agama kedua obubapa saya ketika itu. Kalau tidak mengaji  dipukul oleh bapa.Kalau malas ke sekolah pun dipukul juga. Ini membuat saya lebih berdisiplin, patuh kepada nasihat ibu bapa.

UB:       Khabarnya Datuk juga aktif bersukan satu ketika dulu?
DATUK AINAL:            Hidup saya banyak dipengaruhi oleh aktiviti sukan. Di sekolah dulu saya dikenali sebagai seorang pelari pecut, 100 meter, 200 meter, malah pernah menjadi wakil Sabah. Di peringkat negeri, saya jatuh no.2. No 1 waktu itu Inspektor Zainuddin. Tapi saya tidak teruskan untuk ingin fokus pada pelajaran.

UB:       Bagaimana pula penglibatan dalam bolasepak?
DATUK AINAL:            Dalam sukan bola sepak juga, sewaktu berusia 16 tahun, saya sudah menjadi striker. Waktu itu ramai peminat saya dalam bolasepak. Mereka menjeritkan nama Ainal setiap kali saya membawa bola. Itu tahun 70-an. Tapi saya tetap mengutamakan peningkatan dalam bidang pelajaran.

UB: Datuk mula bekerja dimana?
DATUK AINAL: Saya mula bekerja sebagai kerani di Pejabat Daerah Semporna kemudian dilantik menjadi ketua kerani,juga di Pejabat Daerah Semporna pada 1976. Kemudian dinaikkan pangkat sebagai pegawai kerja sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tawau pada tahun 1977.
Pada tahun 1978, saya terbang ke England untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di University of Buckingham,England sehingga mendapat  Barrister at Law di Lincoln Inn,pada 1981.Kemudian  diterima sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Borneo.

Selepas itu,Saya  dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang merangkap Chief of Inspektoriat atau Ketua Merinyu Perhutanan Sabah di Ibu Pejabat Perhutanan di Sandakan pada 1983. Pada tahun 1985 dan ditawarkan sebagai Calon BN di kawasan DUN Kunak dalam era pemerintahan Berjaya.

UB:       Ertinya datuk kerja dulu, baru melanjutkan pelajaran sebagai peguam?
DATUK AINAL:            Sewaktu menjadi ADO Tawau, ketika mengikuti peperiksaan dalam bidang undang-undang kerajaan negeri, saya lulus keputusan cemerlang dalam Criminal law, civil law dan general law. Semua dapat first class. Sebab itu, Kerajaan Negeri memberi biasiswa untuk belajar undang-undang di England.

UB:       Siapa antara pelajar Sabah yang menuntut di England waktu itu?
DATUK AINAL: Antaranya Datuk Anifah Aman (kini Menteri Luar Malaysia) , Datuk Nurchaya Arhad, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin (Timbalan Ketua Menteri). Ketika itu  Tun Hanif Omar (mantan Ketua Polis Negara) juga belajar di sana.

UB:       Sebenarnya apa kelebihan lulusan guaman dari UK?
DATUK AINAL:            Dengan kelulusan barrister at law itu, saya boleh mengamalkan khidmat guaman di merata negara komanwel yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

UB:       Apa kegiatan Datuk sekarang?
DATUK AINAL:            Sekarang saya giat dalam industri pelaburan dan berusaha memajukan industry pelancongan dan industri pertanian sesuai dengan halatuju Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman. Dalam berurusan, saya hanya perlu berhadapan dengan dua pemimpin.Kalau yang melibatkan projek persekutuan, saya terus berurusan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.Kalau projek negeri, saya terus berurusan dengan Yang Amat Berhormat, Ketua Menteri Datuk Musa Haji Aman.Itu konsep yang saya amalkan.Maka saya rasa mudah.Saya melihat pemimpin-pemimpin kita prihatin kepada keperluan rakyat.Contohnya yang melibatkan jalan raya, projek dan sebagainya.

UB:       Oh ya. Apa agaknya falsafah yang banyak mempengaruhi datuk?

DATUK AINAL:            Saya terpengaruh oleh satu falsafah yang sering diucapkan oleh Presiden John F.Kennedy iaitu Jangan Tanya apa yang negara boleh sumbangkan kepada anda tetapi tanya sebagai warga negara yang boleh kita sumbangkan kepada negara.

UB:       Dalam proses menuntut ilmu ini, saya suka dengan pendapat datuk yang menyatakan menuntut ilmu itu satu kewajiban?
DATUK AINAL:            Selain itu, kita juga berpegang kepada hadis rasul yang mementingkan elemen ilmu yang berbunyi `talabul ilmi faridatul ala kulli muslim’ iaitu menuntut ilmu itu wajib untuk orang Islam. Sebab itu, bagi saya ilmu itu tidak harus terhenti di situ saja. Ia harus diamalkan dan proses pembelajaran juga harus sepanjang hayat.Itu yang saya amalkan.
Sekarang sudah sampai masanya untuk sedar bahawa seseorang mesti berilmu pengetahuan dan berpendidikan tinggi sebab hanya ilmu yang bermanfaat yang boleh menjamin kemajuan, kesejahteraan, perdamaian dan keadilan di dunia. Itu yang pen ting


UB:       Apa antara kelemahan orang kita menurut pandangan Datuk?
DATUK AINAL:            Antara kelemahan kita ialah kurang disiplin.Akibatnya mereka ketinggalan dari sudut usaha peningkatan ekonomi.Jadi akhirnya ramai yang jadi miskin.Tidak sedia bersaing sebab tiada disiplin, tiada ilmu, tiada ketekunan, bersikap sambil lewa, bersikap apa yang dipanggil `tidak apa’.Mungkin mereka tidak punya perasaan didorong untuk maju, tidak rajin berusaha. Sebenarnya, Tuhan mencipta semua manusia dengan keupayaan dan anggota yang sama. Orang kaya mempunyai dua tangan, sepuluh jari, dua belah kaki. Orang miskin pun sama. Tiada bezanya.Hanya perbezaannya ialah kerajinan dan ketekunan untuk  berusaha.


UB:       Sebagai seorang yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri, mungkin ada personality atau tokoh yang datuk anggap terbaik sepanjang berkhidmat?
DATUK AINAL:            Bos saya yang terbaik ialah Datuk Haji KM Mastan.Pendekatanya bijak selesaikan konflik, pentadbir, berdisplin, He Is The Best. Selain itu, Residen Tawau dulu, Datuk Albert Watson, beliau juha seorang bos yang baik, yang sedia memberikan tunjuk ajar

UB:       Bagaimana datuk boleh menyusun buah fikiran dengan teratur?
DATUK AINAL:Saya pernah menjadi speech writer kepada MP Mohamad Salleh Dato’ Haji Panglima Abdullah (pernah menjadi Ahli Parlimen Darvel kemudian dikenali kawasan Silam), Datuk Mohd.Gan,Sewaktu jadi penasihat undang-undang, majistret, pendakwaraya Jabatan Hutan saya banyak menulis
Selain itu, saya pernah menulis juga untuk akhbar Kinabalu Sabah Times dan Daily Express.Untuk memperbaiki bahasa saya, saya belajar sendiri bahasa Melayu

UB:       Dari mana Datuk belajar menulis?
DATUK AINAL:            Saya banyak membaca karya Prof Hamka atau nama sebenarnya Prof Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Saya masih ingat beliau menulis untuk saya dalam diari. Buya Hamka berkata, alangkah sunyi senyapmnya dunia ini jika hanya diduduki oleh orang-orang tua sahaja tetapi alangkah kucar kacirnya dunia jika hanya diduduki oleh orang-orang muda sahaja. Justeru itu, tenaga tua dan muda perlu digembeling untuk kemajuan dan kesejahteraan dunia.

UB:       Selain itu? siapa lagi pemimpin dunia yang lain yang datuk baca?
DATUK AINAL: Saya ingat Presiden Sukarno. Beliau berkata, jika saya diberi 100 orang tua, saya boleh memimpin bumi Indonesia. Tetapi jika saya diberi 10 orang belia, saya boleh menggoncang dunia. Belia begitu kuat. Oleh itu mereka hendaklah diperkasa.Belia adalah permata dan masa depan negara.Pesan saya kepada belia agar mereka jangan terlalu taksub, mereka mestilah fleksible, toleransi, sabar dan jangan terlalu  melihat kepada kesukuan. Kita perlu melihat aspek keseluruhan kepada keperluan pembangunan negara berpaksikan modal insan yang berkualiti.Itu penting. Tidak guna kita ramai jika tiada kualiti.Walaupun sedikit kalau ada kualiti maka masyarakat akan maju dalam semua aspek sosial, ekonomi dan politik.

UB:       Kalau tak silap datuk baru balik dari Singapura? Menurut datuk apa yang boleh kita pelajari dari Singapura?
DATUK AINAL:            Malaysia patut belajar disiplinnya yang begitu indah.Semua tandas sama ada di kompleks beli belah, di lapangan terbang, semuanya bersih. Selain itu tidak ada checking atau pemeriksaan sewaktu dalam Bandar. Kita bebas kemana sahaja.Polis berada di merata tempat dengan pakaian awam.Jenayah tiada.CCTV dipasang di banyak tempat. Orang-orangnya tidak merokok, dipantau CCTV. Dari segi keselamatan, semua penguatkuasa begitu mesra kepada pelancong.Senyum berhemah.Sedia membantu menunjukkan jalan dan sebagainya. Itu antaranya yang kita boleh pelajari.
UB:       Apa yang datuk lakukan untuk kelihatan sentiasa sihat?
DATUK AINAL:            Untuk menjaga kesihatan, saya bangun awal pagi. Saya selalu menyempatkan diri untuk bersenam dan berjoging di Tanjung Aru.

UB:       Apa agaknya yang mengecewakan datuk, kalau boleh cerita sedikit?
DATUK AINAL:            Kekecewaan saya ialah apabila melihat daerah Semporna tempat kelahiran saya mundur walaupun setelah hampir 50 tahun merdeka sementara daerah-daerah lain semua maju dari segi pembangunan infrastruktur.

UB:       Sebagai seorang pemimpin yang disegani, apa pesanan datuk kepada masyarakat di negeri ini?
DATUK AINAL:            Kita perlu memelihara keamanan negara dan memupuk perasaan kasih sayang serta hormat menghormati antara satu sama lain. Tingkatkan kesabaran dan toleransi dalam hubungan kemasyarakatan.Hapuskan perasaan hasad dengki dan fitnah.Jangan salahkan pemimpin kita jika kita kelaparan , tapi berusaha rajin mencari rezeki yang halal. Sebaliknya jangan pula menjadi lilin hangus terbakar luluh menerangi orang lain.Dulu orang pakai lilin sebab  belum ada lampu elektrik. Kini biarlah kiya bersifat seperti seperti `bulb’ lampu elektrik yang boleh di `on’ dan boleh di `off’ tanpa merosakkan diri sendiri. Kata-kata Lord Butner dari England “A Clever man learn from his own mistake but a wiser man learn from somebody’s mistake”.

Elakkan pertembungan dalam hubungan masyarakat.Pertembungan (confrontational)boleh membawa peperangan dan kekecewaan. Rundingan atau consensus di meja bulat perlu dibuat pendekatan yang boleh menyelesaikan masalah di semua peringkat.Perang dunia pertama, perang dunia kedua, perang di Vietnam dan sebagainya tidak mempunyai sebarang kebaikan dan penyelesaian tapi yang ada hanya kematian atau korban jutaan rakyat yang tidak berdosa.

UB:       Apa kata-kata akhir dari datuk?
DATUK AINAL:            Saya amat percaya  kepada ketakwaan kepada Allah, berpegang kepada Al-Quran dan sunnah rasul. Dimanapun saya berada. Alhamdulillah, saya sudah naik haji lima kali, umrah 9 kali,malah saya pernah umarh ke masjidil Aqsa di Baitul Maqdis.Semuanya dapat dilakukan kerana saya amat percaya kepada ketakwaan kepada Allah.saya yakin itu.

3 comments

Assalamualaikum...

Bagaimana saya boleh berhubung dengan Datuk Ainal Fattah?

Terima kasih.

Dk Rozlina
Pusat Alumni
Universiti Malaysia Sabah

Assalamualaikum...

Bagaimana saya boleh berhubung dengan Datuk Ainal Fattah? Mohon agar tuan dapat membantu.

Terima kasih.

Dk Rozlina
Pusat Alumni
Universiti Malaysia Sabah

Assalamualaikum, macam mana saya boleh Berhubung dengan datuk saya?