JIKA
KITA MAMPU BERFIKIR,FIKIRKANLAH YANG BAIK
Berkenalan
dengan CEO PBNS, Haji Baharuddin Ab Wahid
KEJAYAAN
Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) mendapat pengiktirafan empat bintang
dalam Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara dan beberapa kejayaan yang
dicapai oleh perbadanan itu tidak terlepas daripada peranan dan kepakaran yang
dimiliki oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBNS, Haji Baharuddin Ab.Wahid. Beliau
berjaya mengemudi PBNS sehingga perbadanan itu semakin dikenali dan mendapat
kepercayaan di kalangan masyarakat di negeri ini.
Haji
Baharuddin Ab Wahid dilahirkan di Semporna pada tahun 1954. Beliau mendapat
pendidikan rendah di SRK Bubul Semporna dari darjah satu hingga enam sebelum
melanjutkan pendidikan menengah di GSS Semporna hingga tingkatan tiga. Beliau
kemudian meneruskan pelajaran di SMK St Patrick Tawau hingga lulus MCE. Selepas
itu beliau melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi di YS-ITM Sabah
dan ITM Shah Alam. Selepas itu, beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk
mengikuti pengajian di Southern Illinois University (SIU) sehingga mendapat
ijazah sarjana muda dalam bidang pemasaran dan ijazah sarjana dalam pengajian
perniagaan.
Beliau
pernah bekerja selama 28 tahun dalam industri perbankan dan pengurusan kewangan
sejak 1983. Selain mahir dalam bidang kewangan, Haji Baharuddin juga mahir
dalam bidang keibubapaan. Haji Baharuddin juga pernah mengajar di UiTM Sabah sebagai
pensyarah sambilan selama lapan tahun 1995-2003.
Sejak
2000, beliau menumpukan perhatian terhadap amalan tadbir urus korporat dimana
beliau mengelolakan seminar bersama syarikat GLC dan syarikat swasta. Beliau
telah melatih lebih 1,000 pengarah syarikat dan syarikat berhad di Sabah. pada
tahun 2005, beliau diberi kepercayaan untuk menyusun semula Baitulmal Negeri
Sabah yang kini dikenali sebagai Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, ringkasnya
PBNS.
Selepas
tiga tahun, PBNS mencapai taraf empat bintang dalam Indeks Akauntabiliti oleh
Jabatan Audit Negara Malaysia.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual HAJI BAHARUDDIN AB
WAHID untuk berkongsi pengalaman dengan
tokoh tadbir urus korporat yang tidak asing lagi negeri ini. Berikut petikan
temubual bersama beliau yang diadakan pada satu petang di pejabatnya di Inanam
Khamis lepas.
UTUSAN
BORNEO: Boleh ceritakan sedikit kisah
sewaktu masih bersekolah dahulu?
HAJI
BAHARUDDIN: Saya mendapat pendidikan awal
di SRK Bubul Semporna pada tahun 1962. Saya antara anak murid pertama di
sekolah itu. Sekolah itu didirikan oleh orang-orang kampung secara bergotong
royong. Kebanyakan yang mengajar di sekolah itu adalah pakcik dan makcik saya.
Antara cikgu yang masih saya ingat ialah Cikgu Sh Ibrahim Sh Jaafar, yang juga
guru besar.Cikgu Rapiah, Cikgu Martah. Itu antara cikgu saya di sekolah rendah.
Kehidupan dulu agak susah.Saya terpaksa berulang alik sejauh enam batu ke
sekolah, dari Bugaya ke SRK Bubul.Jadi pulang balik saya terpaksa berjalan kaki
kira-kira 12 batu dalam sehari selama tiga tahun iaitu dari darjah empat hingga
enam. Ketika darjah satu hingga tiga, kami tinggal di Batu Dua yang agak dekat
dengan sekolah. Sewaktu di sekolah di SRK Bubul, saya selalu mendapat
nombor satu.
UB: Siapa rakan-rakan tuan haji sewaktu
bersekolah rendah dahulu?
HB: Kebanyakannya jadi Cikgu. Antaranya ialah
Cikgu Omar Ali, Cikgu Santa, Cikgu Abdul Wahid Toksu dan lain-lain.
UB: Di mana tuan haji bersekolah Menengah?
Kemudian
saya berpindah ke Government Secondary School of Semporna (GSS Semporna) yang
kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Panglima Abdullah. Saya bersekolah di
sana hingga tingkatan 3. Oleh kerana tidak ada aliran sains di sekolah itu, saya
berpindah ke Tawau, ke sekolah SM St Patrick Tawau dari Tingkatan empat hingga
lima.
UB: Siapa rakan-rakan tuan haji ketika itu?
HB: Antaranya Datuk Haji Ujang Haji Sulani, (kini
Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) rakan dari tingkatan
satu hingga tiga, Datuk Haji Salsidu Ibrahim (Pencetak Kerajaan) Mr Koh Kiang Wah, rakan baik saya dari
tingkatan satu hingga lima dan ramai lagi. Mengenai Mr Koh ini, `my best
friend’ beliau kini adalah CEO Dupont
Chemical di Shanghai Cina. Mr Koh pandai bercakap Bajau walaupun dia Cina.
Sewaktu beliau belajar di Leeds, di England ,saya pernah melawatnya.Begitu juga
ketika saya menikah, beliau datang ke Amerika untuk meraikan majlis perkahwinan
saya.
UB: Selepas tingkatan lima, tuan haji belajar
dimana pula?
HB: Selepas tingkatan lima, saya mengajar
sementara di SM St Patrick dalam mata pelajaran matematik. Saya menjadi guru
sementara sebelum masuk ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM), dulu dikenali
YS-ITM selama satu tahun sebelum melanjutkan pelajaran di ITM Shah Alam dalam
jurusan pengajian perniagaan. Setelah lulus tahun 1978, saya balik ke Sabah dan
bekerja di Unit Penyertaan Bumiputera dari bulan Julai hingga November.
UB: Kenapa begitu singkat?
HB: Saya terbang ke Amerika Syarikat.Saya
bertekad untuk melanjutkan pelajaran.Waktu itu belum ada biasiswa.Saya pinjam
RM10,000 dari Yayasan Sabah dan pinjam daripada keluarga.Sepatutnya saya
belajar di sana dalam dua tahun dalam bidang pemasaran antarabangsa.Kemudian
saya ditawarkan biasiswa sehingga di peringkat sarjana di Southern Illinois
University (SIU). Saya anak Semporna pertama yang memperolehi ijazah sarjana
(MSc).
UB: Tentu banyak pengalaman sewaktu belajar
di Amerika?
HB: Saya pernah buat kerja sambilan.Cuci
piring, menjaga perpustakaan, berniaga nasi lemak dan sebagainya. Ketika
belajar itu, saya menikah dengan isteri saya di sana. Selepas itu, setelah
tamat belajar, saya balik ke Malaysia.
UB: Kemudian kerja di mana?
HB: Selepas balik ke Malaysia, saya bekerja
dengan Bina Wood sebuah syarikat milik Tan Sri Majid Khan. Kemudian saya
berkhidmat dengan Malayan Banking di Jalan Yong Chok Lin di Petaling Jaya.
Selepas itu saya ditukar ke Kota Kinabalu kira-kira satu tahun. Bagaimanapun
saya terpaksa meletakkan jawatan di Maybank kerana terbang semula ke Amerika.
Isteri saya melahirkan anak pertama, Noor Hanef, yang kini jadi pilot.Ketika
itu majikan tidak memberi cuti.Terpaksalah saya meletakkan jawatan.
UB: Apa kerja tuan haji di sana?
HB: Di sana saya bekerja sebagai `graduate
assistant’, tutor kalau istilah di sini, selama satu tahun sambil menunggu
isteri menghabiskan ijazah sarjananya.
UB: Selepas itu?
HB: Kami balik ke Malaysia. Saya menyertai
Public Bank di Shah Alam pada tahun 1985.Pada tahun 1986, saya dilantik sebagai
Penolong Pengurus Cawangan Public Bank di Sandakan. Waktu itu, saya merupakan
bumiputera Islam pertama dilantik sebagai sebagai pengurus bank di Sabah dan
Sarawak.
UB: Kalau tak silap tuan haji pernah jadi
pengurus Public Bank di Kota Belud?
HB: Ya. Saya pernah menjadi pengurus Public
Bank di Kota Belud.Barangkali dalam sejarah Public Bank, saya menjadi orang
yang masuk dua kali berkhidmat di bank itu.Kemudian, ketika krisis kewangan,
saya berniaga sekejap sebelum masuk perkhidmatan perbankan semula.Kali ini
berkhidmat pula dengan Affin Bank sebagai Pengurus cawangan Kota Kinabalu.
Kemudian saya meletak jawatan dan kemudian dilantik sebagai pengurus Credit
Guarantee Corportion (CGC) sebuah anak syarikat Bank Negara. Kemudian selepas
itu, saya ditawarkan pula untuk memasuki sektor awam. Saya ditawarkan sebagai
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) pada Disember
2005 sehingga sekarang.
UB: Selain pengalaman 28 tahun dalam sektor
perbankan, apa lagi tugas yang penah tuan haji laksanakan?
HB: Saya pernah menjadi pensyarah sambilan
dalam bidang pengurusan dan pemasaran di UiTM Sabah dari tahun 1995 hingga
2003. Saya juga bergiat aktif sebagai penceramah panel dalam Program Latihan
untuk pengarah syarikat khasnya dalam Isu Tadbir Urus Korporat sejak tahun
2000. Selain itu, saya juga menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah
dan Pengerusi Audit dan Tadbir Urus di beberapa buah syarikat milik Kerajaan
Negeri sabah. Di samping itu, saya juga sering menjadi penceramah Motivasi
Institusi Keluarga dan Kepimpinan Asas pelajar-pelajar universiti.
UB: Khabarnya tuan haji juga menulis buku?
HB: Saya juga menulis buku. Setakat ini saya
telah menghasilkan empat buah buku kecil mengenai keibubapaan, institusi kekeluargaan,
motivasi dan sebagainya.
UB: Nampaknya semakin ramai kalangan anggota
masyarakat yang menaruh kepercayaan dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan
PBNS Holding? Boleh cerita sedikit?
HB: PBNS Holding adalah badan pelaburan
Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) Apa yang kita buat ialah menjalankan
perniagaan insuran takaful, pajak gadai Islam. Kita juga telah dapat lesen
untuk mengelolakan perkhidmatan BSN,Skim Ar Rahnu.Kita juga sedang berunding
dengan Amanah Raya Berhad (ARB) untuk menjalankan penulisan wasiat.Kita akan
konsentrasi kepada kewangan.Kita juga menjalankan latihan untuk ibu tunggal,
peniaga kecil, motivasi pelajar. Kita mahu meningkatkan amal jariah kita. Saya
juga berharap dapat bekerjasama dengan jabatan lain menjalankan tadbir urus
korporat.Selain itu, kita menjalankan modul tadbir urus institusi keluarga.
Selain
itu, saya juga menulis dan menerbitkan buku.Buku-buku yang saya terbitkan itu,
semua hasilnya kepada Baitulmal. Kalau kita sudah berhenti, kita tinggalkan
kepada mereka amal jariah.
UB: Kalau boleh tahu, apa cita-cita tuan haji
sewaktu kecil dahulu?
HB: Ada tiga impian saya. Yang pertama, saya
suka tercatat pencapaian akademik di belakang nama saya. Alhamdulillah ini
sudah tercapai. Yang kedua ialah saya suka berucap di khalayak ramai.Ini pun
sudah tercapai kerana saya sering diundang untuk berceramah, dan sebagainya dan
yang ketiga, saya mahu menulis buku. Sekarang saya telah berjaya menghasilkan
empat buku.
UB: Mungkin ada orang yang tuan haji jadikan mentor atau idola?
HB: Idola saya sewaktu kecil dahulu ialah
Datuk Tahir Jaafar, anak Semporna pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke
universiti. Beliau pernah menjadi Timbalan Pengarah Yayasan Sabah. Beliau
adalah mentor saya.
UB: Mungkin ada cita-cita tertentu ketika
berhijrah dari Semporna dulu?
HB: Cita-cita saya ialah saya nak mengubah
nasib.Itulah sebabnya kenapa saya tinggalkan kampung.Kehidupan waktu itu amat
susah.Saya mahu mengubah nasib dengan belajar melalui pendidikan.Saya
UB: Apa buku-buku yang tuan haji suka baca?
HB: Saya suka membaca buku-buku biografi
seperti biografi jutawan terkemuka, Aristotle Onassis, Adnan Khassoggi.Juga
autobiografi oleh John F Kennedy,, kalau di Malaysia saya suka membaca Pendeta
Zaaba, Ahmad Boestamam, Tan Sri Dr.Tan Chee Koon, Tun Dr.Ismail Abdul Rahman
yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tun Ismail Ali, mantan Gabenor
Bank Negara. Saya juga suka membaca Revolusi Mental oleh Datuk Senu Abdul
Rahman, di dalam buku itu juga Tun Abdullah Ahmad Badawi ada menulis. Jangan
cerita Buya Hamka, memang semua bukunya saya minati. Saya juga baca Desa
Pingitan karya Ibrahim Omar, Buku-buku tulisan Bey Arifin juga saya banyak
baca.
Sewaktu
di sekolah dulu, ada buku Look And Learn, buku itu juga turut mendorong saya
untuk mencintai ilmu pengetahuan.
UB: Kalau penyanyi pula?
HB: Kalau penyanyi saya suka John Lennon kerana
dia seorang yang membawa perubahan, seorang pendesak ke arah perdamaian
sehingga lagunya yang antara seni katanya `just give peace a chance’ itu mampu
turut menggoncang hingga turut mendorong terhentinya Perang Vietnam.
Di
Malaysia sudah tentu saya peminat Seniman Tan Sri P.Ramlee penyanyi sepanjang
zaman.
UB: Tuan haji banyak menulis mengenai institusi keluarga?
HB: Saya percaya kepada institusi keluarga. Saya
rasa sekarang pun masih bercinta dengan isteri saya. Saya khaskan nombor dan
telefon untuknya. Tadi pagi saya selepas
sembahyang tahajud, saya mengirim sms kepadanya. Insya Allah, kami akan menunaikan
Umrah tidak lama lagi bersama rakan baik kami. Bagi saya persahabatan adalah
sesuatu yang amat penting. Looking for a friend is a choice but maintaining
friendship is a responsibility.
UB: Menarik sekali. Boleh cerita sedikit
mengenai pertemuan dengan isteri?
HB: Panjang ceritanya. Tapi kami menikah
sewaktu menuntut di Amerika. Iaitu pada 17 Ogos 1981 Waktu itu isteri saya
berumur 19 tahun.Dari dulu sampai sekarang, saya merasa kami masih bercinta. Alhamdulillah, kami telah dikurnia
empat anak.Yang pertama Noor Hanef, juru terbang, Anak kedua Nor Dyanna, kini
bertugas di UMS, anak ketiga Nor Hannani, belajar dalam bidang pelancongan
manakala Norhidayah mengambil jurusan kejururawatan.
Setiap
hari saya mengirim SMS kepadanya. Apatah lagi isteri saya sekarang bertugas di
SMK Sindumin sebagai Pengetua, Hajah Norulashikin Haji Mohd.Taib. Jika ada
kelapangan, kami selalu menghabiskan masa lapang bersama.Dalam institusi
kekeluargaan, sikap maaf memaafi, toleransi adalah sesuatu yang penting.Saling
hormat menghormati, saling menyayangi akan menjadikan kehidupan lebih indah dan
sempurna.
UB: Mungkin ada sedikit kata-kata atau
pesanan kepada pembaca?
HB: Mengakui kesilapan dan berusaha untuk
membetulkannya akan dapat membantu anda menjadi insan yang berkualiti dan
dihormati.Tanamkan dalam jiwa keinginan untuk maju, betulkan sikap dan buatlah
keputusan untuk maju ke hadapan. Jika mampu bercakap, katakanlah yang benar,
dan jika mampu berfikir, fikirkanlah yang baik.
Akhir
kata, gunakanlah ilmu dan pengalaman yang sedia ada untuk membantu dan mendidik
diri, keluarga dan generasi yang akan datang.