JASMIH
GIGIH BERI KESEDARAN MENGENAI HAK ASASI
SUATU
hari, ada orang kampung datang ke pejabat Suhakam bawa batu , kata Setiausaha
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Jasmih Slamat. Mulanya
beliau agak hairan apa ada dengan batu
sebesar bola hoki itu. "Beginilah besar batu kerikil di jalan raya yang
terdapat di kampung kami,' kata orang kampung kepada Jasmih. Mereka datang
mengadu mengenai hak mereka untuk mendapatkan kemudahan infrastruktur. Dulu
pernah juga datang bawa air keruh dan memberitahu Suhakam mengenai air keruh
yang terpaksa diminum penduduk kampung, kata Jasmih yang telah berkhidmat
hampir 10 tahun di pejabat Suhakam Cawangan Sabah.
JASMIH
SLAMAT dilahirkan di Kampung Rampayan Menggatal pada 22 September 1962. Anak keempat dari 12 adik beradik ini
mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Darau, Menggatal
sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Maktab Sabah. Beliau kemudian
melanjutkan pelajaran di University of Illinois, Amerika Syarikat. Sekembalinya
ke Sabah beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Kanan di Permodalan Bumiputera
Sabah sebelum berkhidmat sebagai Setiausaha SUHAKAM Sabah.
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual SETIAUSAHA SUHAKAM
SABAH, JASMIH SLAMAT (JS) di pejabatnya
di Suite E1, Tingkat 8, CPS Tower, No.1, Jalan Centre Point Kota Kinabalu.
Ikuti petikan temubual dengan beliau mengenai pengalaman beliau sepanjang
bertugas di Suhakam dan ulasannya mengenai tahap kesedaran hak asasi manusia di
negeri ini.
UTUSAN
BORNEO: Sejak ditubuhkan di Sabah,
Suhakam telah banyak mengadakan program kesedaran mengenai hak asasi manusia.
Bagaimana sambutan masyarakat terhadap program-program Suhakam?
JASMIH
SLAMAT: Kesedaran mengenai hak asasi
manusia di kalangan rakyat semakin baik. Kalau dulu Suhakam yang datang ke
kampung-kampung di kawasan luar bandar untuk memberi penerangan mengenai fungsi
Suhakam dan menerapkan kesedaran mengenai hak asasi manusia. Kini semakin ramai
yang datang sendiri ke pejabat Suhakam. Ada yang mengirim surat, ada yang
mengirim emel , ada yang menelefon.Malah yang terbaru ada emel dari seorang
penduduk di Kinabatangan mengadu kepada Suhakam agar membuat penyiasatan kalau kalau ada pencabulan hak asasi dalam
pembahagian rumah untuk mangsa banjir di kampung Lintang, dan pelbagai jenis
aduan yang kita terima. Kini masyarakat kampung semakin proaktif terhadap asasi
mereka.
UB: Mungkin tuan boleh jelaskan dengan lebih
terperinci mengenai fungsi dan kuasa Suhakam?
JS: Sebagaimana yang termaktub dalam Akta
597, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, antara fungsi Suhakam
adalah untuk memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan
dengan hak asasi manusia; untuk menasihati dan membantu Kerajaan dalam
merumuskan perundangan dan arahan dan tatacara pentadbiran dan mengesyorkan langkah-langkah
perlu yang hendaklah diambil. Suhakam juga ditubuhkan untuk mengesyorkan kepada
Kerajaan berkenaan dengan penandatangan atau penyertaan dalam triti dan surat
cara antarabangsa yang lain dalam bidang hak asasi manusia; dan untuk menyiasat
aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia.
UB: Apa kuasa yang diberikan kepada Suhakam?
JS: Bagi melaksanakan fungsinya, Suhakam
diberikan kuasa Untuk memupuk kesedaran mengenai hak asasi manusia dan untuk
mengaku janji mengadakan penyelidikan dengan mengendalikan program, seminar,
bengkel untuk menyebarkan dan mengedarkan hasil penyelidikan itu.
Suhakam
juga berfungsi untuk menasihati kerajaan dan/atau pihak berkuasa yang berkaitan
mengenai aduan terhadap pihak berkuasa dan mengesyorkan kepada Kerajan dan/atau
pihak berkuasa itu langkah-langkah sesuai yang hendaklah diambil. Selain itu,
Suhakam juga diberi kuasa untuk mengkaji dan menentukan apa-apa pelanggaran hak
asasi manusia mengikuti peruntukan akta ini. Suhakam juga boleh menjalankan
kuasa untuk melawat tempat tahanan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh
undang-undang yang berhubungan dengan tempat tahanan itu dan untuk membuat syor
yang perlu.
Suruhanjaya
juga diberi kuasa untuk mengeluarkan pernyataan awam mengenai hak asasi manusia
apabila perlu dan untuk mengaku janji apa-apa aktiviti sesuai lain yang perlu
mengikut undang-undang bertulis yang berkuat kuasa, jika ada, berhubung dengan
aktiviti itu. Itu adalah antara kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suhakam.
UB: Sejauh ini, dimana tempat yang pernah
Suhakam pergi?
JS: Suhakam telah menjelajah hampir seluruh
Sabah. Kita telah sampai di Tongod, di tengah-tengah negeri Sabah. Suhakam juga
telah sampai ke Pegalungan, jauh di pedalaman. Suhakam telah sampai ke Banggi,
nun di utara Sabah, di Kalabakan. Long Pasia dan banyak lagi tempat-tempat di
luar bandar, sama ada dengan berkereta, berjalan kaki, mendaki bukit,
menyeberangi sungai dengan oerahu dan sebagainya, untuk memberikan penerangan
mengenai Suhakam dan hak asasi atau menyiasat aduan yang diterima. Masyarakat
telah mula sedar. Tahap kesedaran mereka terhadap hak asasi semakin meningkat.
Kalau dulu mereka agak susah untuk mencari pejabat Suhakam sehingga ada yang
terpaksa dihantar ke pejabat Suhakam oleh kereta peronda Polis yang terjumpa mereka
tersesat di ibu negeri. Kini rakyat pelbagai peringkat sedar mengenai hak asasi
mereka, hak mereka untuk mendapatkan pelajaran, hak mereka untuk kepada
pekerjaan, hak mereka yang memadai bagi kesihatan dan banyak lagi.
UB: Bagaimana tahap kesedaran mereka terhadap
hak untuk mendapatkan pelajaran?
JS: Tahap kesedaran masyarakat untuk mendapat
pelajaran semakin tinggi. Pendidikan merupakan asas untuk maju. Seperti pernah
dikatakan oleh mantan Timbalan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun,
Knowledge is power. Beliau banyak
mengajar dan mendidik saya. Tanpa pelajaran, saya tidak mungkin berada di sini.
Bapa saya seorang pemandu, tidak punya pelajaran. Bapa saya orang Bajau
Berungis, tidak ada sekolah. Ibu saya suri rumah. Juga tidak pernah ke
sekolah.Hanya dengan adanya pelajaran, mampu mengubah hidup kita. Sekarang
tahap kesedaran di kalangan masyarakat
luar bandar mengenai betap pentingnya pelajaran sudah meningkat maju.
Bagaimanapun, kita dapati bahawa hak mereka untuk mendapatkan pelajaran, mutu
pendidikan yang baik, prasarana sekolah yang memadai masih perlu ditingkatkan
lagi.
UB: Apa isu utama yang diterima Suhakam
sepanjang penubuhannya di Sabah?
JS: Pelbagai aduan kita terima. Antaranya
isu-isu berkaitan tanah, dokumen pengenalan, sistem penyampaian, hak terhadap
pendidikan dan sebagainya.
UB: Kalau dulu Suhakam sukar mendapat
kerjasama dari jabatan dan agensi kerajaan, bagaimana pula sekarang?
JS: Pada masa ini, program-program yang kita
adakan mendapat sambutan baik. Jabatan jabatan dan agensi kerajaan memberikan
kerjasama yang menggalakkan. Kalau dulu mentaliti mereka ialah apa saja isu
berkaitan hak asasi, datang dari pihak yang menentang kerajaan. Agak negatif
persepsi mereka, bahawa jika dibangkitkan isu hak asasi ia lebih kepada
pembangkang. Sebenarnya tidak
begitu. Kita melakukan pelbagai
pendekatan agar orang ramai sedar mengenai hak asasi. Respon daripada pelbagai
pihak semakin meningkat. Suhakam telah dijemput untuk memberikan ceramah kepada
rekrut polis mengenai hak asasi. Saya difahamkan pemahaman mengenai hak asasi
juga diselitkan kepada SPRM. Kita juga menyampaikan ceramah ke sekolah-sekolah
atas jemputan pihak sekolah, PIBG. Suhakam juga memberi ceramah kepada pihak
penguatkuasa seperti RELA dalam program kursus mereka.ini telah dimasukkan
dalam program mereka bagi menambah baik pemahaman mereka mengenai hak asasi
manusia. Malah Jabatan Peguam Negara
juga menjemput Suhakam menyampaikan ceramah mengenai hak asasi.
UB: Sebelum ini, Suhakam dilihat lebih fokus
kepada luar bandar?
JS: Kita fokus kepada rakyat di luar bandar,
yang serba kekurangan, , kita memberikan mereka pengetahuan, kesedaran mengenai
hak asasi.Hak asasi untuk semua. Kita mendapat banyak aduan mengenai pencabulan
hak asasi di luar bandar, dan banyak isu berkaitan hak asasi yang dialami oleh
penduduk luar bandar.
UB: Selama hampir 10 tahun di Suhakam, apa
aduan yang paling unik pernah diterima?
JS: Ada juga. Pernah seorang wanita datang
mengadu mengenai doktor gigi yang silap mencabut giginya. Doktor gigi mencabut
gigi yang salah. Gigi yang sakit tidak dicabut tetapi gigi lain pula yang
dicabut.
UB: Bagaimana Suhakam menghadapi aduan
seperti ini?
JS: Kita nasihatkan dia apa yang
sepatutnya.Kita rujuk kepada Jabatan Kesihatan. Kita tidak boleh diam.Kita beri
panduan kepadanya, apa yang perlu dilakukan. Di Suhakam, kita utamakan
manusia.Kita berhubung dengan pihak berkaitan. bayangkan seorang perempuan dari
pedalaman, datang beratus batu untuk mengadukan masalahnya.Kita ambil perhatian
dan bantu dia kerana bagi Suhakam, yang penting hak asasi manusia.
UB: Pernah terima aduan lain yang melucukan?
JS: Kita juga pernah menerima aduan daripada
seorang suami yang datang mahukan haknya untuk kahwin lagi. Dia buat aduan
terhadap isterinya. Orang ini berpendidikan. Kita berikan nasihat kepadanya
mengenai saluran yang sepatutnya.
UB: Aduan mengenai infrastruktur? Apa cerita
mengenai orang kampung yang membawa batu itu?
JS: Ada orang kampung datang ke pejabat
Suhakam bawa batu. Mereka memberitahu bahawa begitulah besar batu kerikil di
jalan raya di kampung mereka.Kerajaan telah berjanji untuk menbaik taraf jalan
raya tetapi masih belum melaksanakannya.Pengadu itu dari Kuala Penyu. Mulanya
hairan juga kenapa dia bawa batu sebesar hoki. Tapi dia menunjukkan mengenai
saiz dan bentuk batu yang terdapat di kampung mereka. Kita mahukan setiap aduan
mempunyai fakta.Barangkali mereka memikirkan bahawa mereka membuktikan fakta
dengan membawa batu ke pejabat Suhakam.
Kita tidak boleh salahkan mereka.Barangkali mereka sudah terdesak.
Ada
satu lagi aduan mengenai air yang keruh dalam satu bekas air. Mereka kata,
`tuan, inilah air yang kami minum'.
Kalau kita fikir, mereka mempunyai hak ke atas keperluan asas. Air
merupakan keperluan asas. Hak asasi merupakan keperluan bukan kehendak.
Infrastruktur seperti air, elektrik, jalan raya adalah keperluan asas. Itu hak
asasi mereka.
UB: Tuan masih ingatkah apa aduan pertama
yang diterima oleh Suhakam apabila membuka pejabatnya di Kota Kinabalu?
JS: Saya ingat, kes pertama yang diadukan
ialah mengenai buka kasut. Seorang warga tua mengadu, beliau diminta membuka
kasutnya apabila berkunjung ke sebuah pejabat kerajaan. Kita kemudian rujuk
kepada pejabat berkaitan, apa yang berlalku ialah sedikit salah faham.
UB: Siapa-siapa yang pernah buat aduan di
Suhakam?
JS: Kita menerima aduan dari pelbagai lapisan
masyarakat. Kita pernah terima aduan dari seorang petani di luar bandar
mengenai tanah. Kita terima aduan daripada semua pihak. Malah antara yang pernah buat aduan ialah bekas
Ketua Menteri, bekas pegawai polis, bekas penjawat awam, penduduk kampung, dan
sebagainya.
UB: Apa yang dibuat oleh Suhakam terhadap
aduan yang diterima?
JS: Selepas menerima aduan kita rujuk perkara
itu kepada pihak yang berkaitan sama ada jabatan atau agensi kerajaan dengan
niat baik, with good intention. Masyarakat mengharapkan Suhakam untuk membantu
menyalurkan permasalahan mereka kepada pihak yang berkaitan. Mungkin kalau
surat daripada orang awam, kurang diberi perhatian, tapi jika surat datang
daripada Suhakam, mereka perlu memberikan jawapan. Kita mahukan agar pengadu
membawa bukti-bukti aduan mereka, dokumen berkaitan, fakta mereka mesti jelas.
Kita berusaha untuk membantu setiap pengadu.Kita selami perasaan mereka. Ada
yang datang marah-marah, ada yang meluahkan perasaan kecewa mereka dan
sebagainya.Mereka sanggup datang dari jauh untuk kemuka masalah mereka. Kita
tak boleh salahkan mereka. tapi kita perlukan fakta yang jelas. Mereka ada hak
sebagai pengadu sementara pihak yang diadukan juga mempunyai hak untuk
memberikan penjelasan. Pengadu punya hak untuk mengadu, pihak yang diadukan
punya hak untuk berikan penjelasan. Kita memainkan peranan sebagai orang
tengah.Suhakam tidak berpihak kepada siapa-siapa. Suhakam hanya berpihak kepada
hak asasi manusia.