DR
MUTARIN BERCERITA EHWAL TERNAKAN DI SABAH
SAMBIL
menikmati kopi yang semerbak baunya di salah sebuah restoran terkenal di ibu
negeri, salah seorang pakar pemakanan ternakan di negeri ini, Dr.Ir.Mutarin
Haji Damshik bercerita mengenai masalah ternakan di Sabah, bidang ternakan yang
boleh dimajukan, keistimewaan kambing kacang sebagai ternakan warisan dan
sebagainya.
Dr.
Ir.Mutarin Haji Damshik lahir di Kampung Rampayan Laut Kota Belud pada 13 Julai
1957. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun,Kota Belud (1964-1969)
sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Ghafar Baba Melaka dari tahun
1970-1974. Selepas itu, beliau bekerja di Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai
Pembantu Cukai dari tahun 1975-1979.
Beliau
kemudian melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor (IPB) pada tahun 1981
hingga 1986. Selepas memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengeluaran
ternak monogastrik,Dr.Mutarin kemudian
bertugas di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak sebagai
Penolong Pegawai Haiwan pada tahun 1987 . Pada tahun 1992 hingga 1994, beliau
menyambung pengajian di peringkat sarjana (MA) dalam bidangan Makanan Ternakan.
Pada tahun 1999-2001, beliau meneruskan pengajian di peringkat doktor falsafah
(PhD) dalam bidang pengeluaran ruminan di universiti yang sama.
Pada
tahun 2002, beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelidik, pegawai Penyelidik
Kanan (2005) dan kemudian dilantik
Penolong Pengarah Penyelidikan dan Pemindahan Teknologi di Ibu Pejabat
Haiwan .
Wartawan
UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang-sembang dengan DR
MUTARIN HAJI DAMSHIK (DMHD) di sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya,
baru-baru ini.
UTUSAN
BORNEO: Sebagai orang yang boleh
dikatakan mahir dalam bidang penternakan, mungkin Dr boleh menjelaskan apa
masalah ternakan di Sabah?
DR
MUTARIN: Saya melihat masalah
penternakan di Sabah ialah produknya rendah berbanding keperluan kita.
Pengeluaran kambing, lembu, kerbau, biri-biri hanya memenuhi sekitar 24 peratus
keperluan sara diri, kalau saya tak silap. Masih banyak yang perlu dilakukan
untuk meningkatkan pengeluaran hasil ternakan di negeri ini.
UB: Apa yang menyebabkan pengeluaran rendah?
DMHD: Antara faktor yang menyebabkan
pengeluaran rendah ialah faktor pemakanan. Ternakan kekurangan zat makanan
protein dan energi untuk menunjang produksi, melahirkan anak yang banyak,
pengeluaran telur yang tinggi, pengeluaran susu yang banyak, peningkatan berat
badan dan sebagainya. Faktor pemakanan yang menyebabkan pengeluaran rendah.
UB: Ada faktor lain?
DMHD: Saya melihat masih terdapat kekurangan
pakar pemakanan ternakan di negeri kita. Dengan adanya pakar pemakanan,
produksi dapat ditingkatkan. Kepakaran sesorang itu tidak dimanfaatkan
sebaik-baiknya.Selain itu, saya melihat penempatan pegawai yang tidak
tepat.Ertinya pegawai yang mempunyai kelulusan dalam bidang tertentu tidak
ditempatkan pada tempat yang seharusnya. Umpamanya, bidang penternakan
sepatutnya diuruskan oleh seorang yang mahir dalam bidang ternakan, yang
merangkumi pemakanan (feeding)pemakanan (breeding,) dan pengurusan
(management). Ia berbeza dengan kemahiran yang dimiliki Doktor haiwan kerana
doktor haiwan selalunya menguruskan kesihatan ternak, penyakit, ubat dan
sebagainya bagi memastikan ternakan sentiasa sihat.
UB: Kalau menurut pendapat Dr, apa cara untuk
mengatasi masalah produksi yang rendah ini?
DMHD: Salah satu cara untuk meningkatkan
pengeluaran ternak ialah membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang.
Kita buat perancangan jangka panjang dalan tempoh 10 tahun, kita buat
berdasarkan ternakan yang ada sekarang. Berapa induk, berana yang kita
hasilkan. Berapa yang kita import dan sebagainya.Ini semua masuk dalam
perancangan kita. Jika kita tidak membuat perancangan yang baik, kita terpaksa
berbelanja berbilion ringgit untuk import bagi memenuhi keperluan kita di
seluruh negara. Kita terpaksa berbelanja besar untuk import induk ternakan
berbanding jumlah produksi yang dihasilkan. Ini yang perlu kita perbaiki.
UB: Di Sabah, apa jenis ternakan yang boleh membawa pulangan lumayan jika diusahakan?
DMHD: Kalau menurut pendapat saya, penternak
boleh menternak kambing kacang, itik penelur dan ayam pedaging. Ini
mendatangkan pulangan lumayan. Kambing kacang, misalnya, sesuai diternak di
negeri kita kerana iklimnya sesuai. Cepat dewasa. Kalau kambing jantan seberat
25 kg berharga kira-kira RM800. Kalau kambing betina 20 Kg berharga RM800.
Berbanding dengan kambing bor, untuk 20 kg bernilai kira-kira RM1,000 tetapi
lebih sukar diternak. Kambing kacang cepat membesar, pandai cari makan sendiri
dan mudah membiak. Selain itu, permintaan untuk kambing kacang ini agak tinggi.
Kambing ini amat diperlukan untuk kenduri kahwin, orang berkhatan, kenduri
akikah dan sebagainya. Bahkan kambing jenis ini paling laris. Di sesetengah
tempat seperti Tawau, kambing kacang yang baru berusia dua bulan pun, sudah
ditempah orang.
Menternak
kambing ini berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan lumayan untuk penternak.
Satu lagi yang paling sesuai diternak untuk meningkatkan sumber pendapatan
penduduk ialah itik penelur. Ia boleh menjana pendapatan. Selepas lima bulan,
itik penelur akan bertelur setiap hari. Bayangkan kalau kita mempunyai ternakan
itik sebanyak 500 ekor. Menurut pemerhatian, 80 peratus daripadanya bertelur.
Ini bermakna kita memperolehi sekitar 400 telur itu sehari. Kalau satu bulan,
bermakna kita boleh mendapat kira-kira RM12,000 sebulan berdasar harga telur
masin sekarang. Itik penelur bagus untuk dimajukan.
Selain
itu, ayam pedaging juga boleh mendatangkan hasil yang tinggi. Ayam pedaging
boleh dijual selepas tujuh minggu.Selepas tujuh minggu, ayam pedaging boleh
mencapai berat kira-kira 2.8 kilogram. Ia boleh mendatangkan hasil yang cepat.
UB: Saya agak tertarik dengan soal kambing
kacang yang Dr sebut tadi. Sebenarnya apa itu kambing kacang Dr?
DMHD: Kambing Kacang merupakan kambing
tempatan Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia ianya merupakan ternak pusaka.
Ianya warisan dari zaman berzaman dari nenek moyang kita. Kambing Kacang dapat
juga dijumpai di Filipina maupun Taiwan serta negara-negara Asia Tenggara yang lain.
UB: Apa ciri-cirinya?
DMHD: Kambing Kacang pada kebiasaanya berwarna
hitam, kadangkala bercampur putih maupun coklat. Pada hari ini kebanyakan
Kambing Kacang memiliki tiga warna tersebut yakni hitam, putih dan coklat atau
berwarna putih dan hitam atau putih dan coklat juga coklat hitam, tetapi warna
Kambing Kacang berwarna kombinasi hitam putih kelihatan lebih asli.
Kambing
Kacang memiliki ciri-ciri tertentu iaitu memiliki tanduk yang bengkok dan
tajam, melengkung ke atas dan ke belakang pada kedua jantan dan betina.Memiliki
telinga yang pendek, tegak lurus mengarah ke atas depan. Kambing kacang jantan
memiliki janggut tetapi kadangkala terdapat juga pada betina.Memiliki
ketinggian antara 56-65 cm. Kambing ini sangat subur, beranak dengan kembar dua
merupakan perkara biasa.Purata perkelahiran 1.7. Kacukan Kambing kacang lebih
mirip kepada baka induk atau pejantannya.
Masa
baligh Kambing Kacang pada umur 6 bulan, yang jantan 7 bulan. Menurut kajian
para pakar ternak kambing kacang dan kacukannya di Indonesia termasuklah
Prof.Dr.Haji Rachmat Herman, umur dewasa kelamin bagi Kambing Kacang betina
ialah 10 bulan dan jantan 12 bulan dalam erti kata penternak di dua kawasan
tersebut sering mengahwinkan kambing mereka sekitar pada umur tersebut.
UB: Menarik. Jadi kambing dikahwinkan pada umur
10 bulan?
DMHD: Umur pertama induk beranak ialah 12-13
bulan dengan kelahiran kembar yang tinggi.Kembar tiga juga biasa terjadi dan
kembar 4 pula banyak dilaporkan menurut hasil penyelidikan Herman dan
kawan-kawannya di Indonesia pada 1983.
Di
Malaysia dilaporkan purata umur beranak Kambing Kacang beranak dan jarak waktu
beranak ialah 62 minggu dan 240 hari. Di Indonesia, populasi kambing lebih
tinggi dibanding ternakan lain.
UB: Boleh jelaskan sedikit kegunaan kambing kacang?
Apa istimewanya?
DMHD: Penduduk memiliki kambing pada umumnya
untuk kegiatan sosial dan keagamaan. dalam beberapa perkara, penduduk Indonesia
lebih menyukai daging kambing dibanding ternak lain, sehingga nilai daging
kambing sangat berharga dan mempunyai sumbangan yang nyata untuk keperluan
protein.
Keistimewaan
kambing Kacang ialah antara lain,efisien dalam menggunakan air, kambing di
daerah tropika sangat baik beradaptasi dengan kekurangan air.
Pada
suhu panas 38 C, keperluan air kambing kacang setengah dari keperluan air
biri-biri. Kambing Kacang tidak berpeluh dan kehilangan sedikit air melalui
feses dan air kencing.
keistimewaan
Kambing Kacang ianya mudah dibiakbaka, harga per ekor murah, dapat hidup dengan
pengurusan yang berubah-ubah serta daapat beradaptasi dengan iklim setempat
juga sangat selektif dalam memilih makanan.
UB: Jika tak silap, Dr pernah buat kajian
mengenai kambing kacang. Apa yang Dr selidik kita buat penyelidikan mengenai
kambing kacang?
DMHD: Di dalam penyelidikan Kambing Kacang,
antara faktor pengeluaran yang diuji
ialah Konsumsi makanan, konversi makanan, pertambahan berat badan,
pengaruh makanan terhadap berat organ tubuh dan pengaruh makanan terhadap
pertumbuhan tulang, otot dan lemak.
UB: Khabarnya, kambing kacang makin pupus di
Sabah. Apa puncanya Dr?
DMHD: Faktor penyumbang kepada kepupusan
Kambing Kacang di Sabah ialah kerakusan orang tengah unntuk menjual kambing
hidup ke negeri seberang sebagai daging konsumsi negara berkenaan.
Kerakusan
ini terjadi kerana pihak pembeli menawarkan harga kambing hidup dalam ringgit
Brunei yang memiliki tukaran yang dua setengah kali ganda lebih tinggi
dibanding Ringgit Malaysia.
Kambing
kacang tidak boleh dilihat dari aspek komersial sahaja tetapi lebih kepada rasa
tanggungjawab terhadap ternak warisan ini. Kita berharap akan timbul kesedaran
di kalangan masyarakat dan pemimpin negeri di negeri ini akan betapa
berharganya sekiranya kita memiliki sikap untuk melestarikan kambing kacang
sebagai ternak warisan kita yang tak bakal ditelan zaman.
UB: Oh ya, beralih kepada soal lain. Saya
tertarik dengan pengalaman Dr. Kalau tidak silap saya, Dr adalah seorang yang
mempunyai kepakaran dalam pemakanan ternakan. Lagipula, Dr adalah antara orang
pertama dalam masyarakat Iranun yang memiliki PhD dalam bidang teknikal. Boleh
ceritakan sedikit pengalaman Dr sewaktu menuntut di universiti khususnya di
Indonesia?
DMHD: Saya bersyukur kerana berpeluang
melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor (IPB) atau Bogor Agricultural
University, yang merupakan salah satu universiti terbaik di Asia dalam bidang
pertanian. Pada tahun-tahun awal berada di sana, iaitu ketika tahun peralihan,
agak sukar juga untuk mengikuti subjek atau mata ajaran sains, fizik, biologi,
matematik dan sebagainya. Standard matematiknya agak tinggi. Selepas itu,
ketika memasuki fakulti, saya menjurus dalam bidang pengeluaran ternakan untuk
ijazah sarjana muda. Lulusan bidang pertanian dan penternakan di sana layak
mendapat gelar Ir atau Insinyur. Setelah lulus pada 1986, Pada 1987, saya
berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak. Kira-kira
lapan tahun kemudian, saya meneruskan pengajian dalam bidang makanan ternakan
untuk ijazah MA pada 1992-1994. Empat tahun kemudian, saya melanjutkan
pelajaran untuk ijazah PhD dalam bidang
pengeluaran ruminan.
UB: Jadi bidang Dr menjurus kepada pengeluaran
ruminan?
DMHD: Di peringkat yang lebih tinggi, kita
semakin menjurus kepada kepakaran.Kita punya kepakaran. Kita membuat kajian
menyeluruh, bukan sepotong-sepotong. Kita harus benar-benar menguasai bidang
kita. Misalnya untuk tujuan penyelidikan kambing , kita sembelih, kemudian kita
kupas kulitnya, kita belah dua, Belahan yang satu dibelah tujuh, kita selidik berapa jumlah daging dan berapa jumlah
tulang.Berapa berat karkas, berat badan, kita akan dapat hasil perbandingan.
Ini untuk penyelidikan pengeluaran ruminan. Di peringkat sarjana, kita buat
makanan ternakan.Bagaimana rumput diubah jadi makanan.Kita menyelidiki secara
menyeluruh.
UB: Sangat teknikal tu Dr. Satu lagi, apa
kelebihan belajar di Indonesia khususnya dalam bidang pertanian menurut
pandangan Dr?
DMHD: Kalau bagi saya, di sana kita mudah
kerana iklimnya sama dengan kita, jenis tanah sama, jumlah taburan hujan, pun
sama, sehingga apa saja yang boleh tumbuh di sana, boleh juga ditanam di sini,
begitu sebaliknya. Jadi kita tidak perlu transfer atau ubah suai apa yang kita
pelajari. Kita boleh terapkan terus dalam bidang kita. Selain itu, dari aspkek
budaya, sosial, kita tidak jauh berbeza.Bahasanya senang kita faham kerana
serumpun. Pada saya, kebanyakan pelajar di sana, melahirkan semangat yang lebih
patriotik dan tahan mental dan sebagainya. Kita tidak jauh berbeza, ilmu yang
kita pelajari khususnya dalam bidang pertanian mudah kita terapkan dalam dunia
kita.
UB: Terima kasih Dr kerana sudi
bersembang-sembang secara santai dengan kami. Sedikit sebanyak kami dapat
maklumat mengenai bidang penternakan di Sabah yang agak asing bagi kami.
DMHD: Terima kasih.