Isnin, 3 September 2012

SMS DARI DATU TIGABELAS

Tags



SMS DARI DATU TIGABELAS

SAYA selalu teruja setiap kali menerima kiriman sms dari Datu Tigabelas. Isinya hanya berupa gurauan atau kata-kata jenaka. Tujuannya untuk menghibur tetapi kadang-kadang pesan sms yang dikirimkannya itu mampu mengusik minda. Walaupun persoalan-persoalannya yang dikemukakannya agak ringan namun ia tetap menarik untuk difikirkan.

Datu Tigabelas bukan sebarang orang. Beliau pernah menjadi  Pengarah Arkib Negeri Sabah selama 13 tahun. Selain itu, Datu Tigabelas juga  pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dalam perkhidmatan kerajaan negeri termasuk menjadi pegawai daerah, setiausaha tetap kementerian dan pernah pula menduduki Majlis Arkib Antarabangsa.

Ketika ramai orang ribut soal Perkara 20, Datu Tigabelas tampil memberikan penjelasan mengenai isu Perkara 20 itu, tentang perkara-perkara pelik yang terdapat dalam Perkara 20 dan sebagainya. Beliau seorang yang peka soal sejarah, soal budaya, soal bahasa dan sebagainya. Jika ada perkara yang mengusik jiwa, beliau selalu ingin mengongsikannya dengan sahabat, rakan dan kenalan beliau.

Saya tidak mampu mengingat semua isi sms yang pernah dikirimkan oleh tokoh yang prihatin terhadap sejarah, bahasa dan budaya bangsanya ini. Tetapi saya teringat satu sms yang beliau kirimkan mengenai perkataan `Ngedeng'.

Apa itu Ngedeng? Saya bertanya kembali kepadanya. Menurutnya, ngedeng adalah perkataan bajau yang "bioso ni binuat leh peranak diki atau pedondoon remaja yang nangis-nangis manja sambil ngayun kedua dua betis ni amun ruun paku ni". Katanya, Ngedeng biasanya dibuat oleh anak-anak atau gadis remaja yang buat-buat menangis sambil menghentak hentak kakinya jika ada perkara yang dimintanya. Lebih-lebih lagi jika ia tidak dipedulikan.

Selain perkataan Ngedeng itu, sebenarnya banyak lagi perkataan dalam bahasa Bajausama yang menjadi perhatian beliau. Kebanyakan perkataan itu sudah jarang digunakan lagi. Melalui sms-sms yang dikirimkannya juga, ia berjaya membangkitkan minat kita untuk mendalami bahasa Bajau. Kata Datu Tigabelas, bahasa Bajau mempunyai perbendaharaan kata yang kaya.

Bahasa itu mempunyai khazanah kata yang mampu menggambarkan alam pemikiran dan budaya bangsanya. Bagaimanapun, bahasa Bajau juga menghadapi ancaman bahaya kepupusan jika generasi muda sekarang tidak lagi mampu bertutur dalam bahasa itu. Sekalipun jumlah penutur bahasa Bajau masih ramai lagi, tetapi bahasa itu, jika tidak dipulihara, boleh hilang dan lenyap.

Kosakata bahasa bajau yang dikirimkan Datu Tigabelas itu, walaupun pendek, mampu memperkaya pengetahuan penutur-penutur bahasa Bajau. Ia merangsang kita untuk mencari dan menggali makna sesuatu perkataan, yang klasik, malah boleh menjadi bahasa arkaik kerana jarang digunakan lagi.

Beliau pernah juga  melontarkan persoalan mengenai kalang sama, iaitu bahasa yang digunakan dalam seni berunsai. Kalang sama dianggap bahasa klasik. Datu Tigabelas  memberitahu bahawa dia masih ingat benar pertanyaan seorang peserta kursus di Timbang Mengaris pada tahun 1990, berkaitan runsai yang menjadi warisan budaya sama sejak dahulu. Orang itu bertanya mengapa orang bajau mengakui runsai milik mereka sedangkan bahasa yang disangka orang bajau, bahasa klasik itu, bukan bahasa bajau tetapi lebih kepada bahasa kagayan?

Saya fikir, persoalan ini boleh menjadi wacana yang boleh difikirkan bersama. Dalam bahasa bajau, kalang sama yang digunakan dalam runsai itu telah pupus dan tidak dipakai lagi dalam pertuturan seharian, sebaliknya ia hanya tertinggal dalam seni kalang sama. Namun demikian, bahasa yang puitis dan penuh makna itu masih dapat difahami oleh orang Kagayan, walaupun kagayan atau jama mapun itu, tidak digolongkan dalam kelompok Bajausama Pantai barat.

Kaitan bahasa yang erat ini, memperjelas bahawa sebenarnya terdapat hubungan yang kuat antara sukubangsa-sukubangsa di nusantara atau alam Melayu ini. Adalah sesuatu yang amat menarik jika dikaji bahasa-bahasa yang dikelompokkan dalam Bajau, dan sebagainya.

Selain itu, aspek lain yang boleh dikaji ialah beberapa persamaan yang terdapat dalam bahasa melayu Berunai di Brunei dengan bahasa banjar di Kalimantan selatan, persamaan antara bahasa Aceh di Aceh dan bahasa Campa di Vietnam dan Kampuchea, sejarah bahasa Iranun yang dikelompokkan dalam kelompok Danao yang kemudian berkembang menjadi bahasa Iranun di Sabah,  bahasa Maranao dan bahasa Magindanao di Mindanao.

Datu Tigabelas juga mendapati terdapat beberapa persamaan kosa kata bahasa bajausama Pantai Barat dengan bahasa Jawa di Pulau Jawa. Sebelum ini, terdapat beberapa kajian dibuat mengenai persamaan dan perkaitan ini oleh beberapa penulis dan sarjana.Salah satunya pernah dibuat oleh Johari Haji Alias dalam disertasinya yang dibuat untuk Universitas Nasional Indonesia. Selepas itu, memang terdapat banyak kajian mengenai beberapa persamaan antara bahasa Bajausama dan Bahasa Jawa.

Katanya, dalam bahasa Bajausama, pisau disebut Lading, begitu juga dalam bahasa Jawa. Makan disebut mangan dalam bahasa bajausama dan mangan juga dalam bahasa jawa. Datu Tigabelas juga menyenaraikan perkataan yang sama maknanya antara bahasa Bajausama dan bahasa Jawa. Antaranya Gentian, Tembuil, Pegad,Moto.Lengon,Bujak, Boyo,Manuk,Roto,Sabuk,Rojo, Kemenakan,Poso,Telu,Limo,Enom,Pitu, walu, sepu dan sebagainya. Mungkin banyak lagi perkataan lain yang sama ertinya.

Kadang-kadang, sms Datu Tigabelas yang penuh gurauan dan jenaka itu, menyedarkan kita betapa banyak lagi khazanah budaya bangsa yang belum dikaji, diselidik dan diteliti. Ia juga menyedarkan kita betapa bahasa ibunda kita perlu dipelihara, aspek sejarahnya perlu dikaji, budayanya perlu diamalkan supaya jati diri tidak hilang ditelan zaman.

1 comments so far

Dear sir, we do the blog listing and syndicating your content Via autofeeder for the benefit of Sabahan bloggers and readers. A little support from you in a form of link exchange if possible, tq