MESKIPUN
MASIH SAMAR, KEDAMAIAN BOLEH DIKECAPI DI MINDANAO
PERDAMAIAN
nampaknya masih samar-samar di Mindanao. Belum ada kepastian yang benar-benar
pasti mengenai masa depan Wilayah Autonomi Islam di Mindanao yang dihuni
kira-kira 4.1 juta orang itu. Tetapi yang jelas, kedua-dua pihak, Kerajaan
Filipina (GPH) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sedang berusaha seinci
demi seinci untuk mencipta kedamaian yang berkekalan di wilayah yang bergolak
itu.
Sehingga
nota ini ditulis, belum ada pengumuman
rasmi mengenai hasil rundingan antara GPH dengan MILF yang berakhir kelmarin di
Kuala Lumpur kelmarin. Perundingan yang diadakan buat kali yang ke-31 itu
diharapkan setidak-tidaknya membuka jalan yang lebar untuk membolehkan rakyat
Mindanao menikmati udara pagi yang lebih segar dan tidur yang lebih nyenyak
dalam suasana yang aman, tanpa dentum senjata, tanpa perseteruan dan sengketa.
Mohagher
Iqbal mengetuai panel pendamai MILF manakala Marvic Leonen, seorang ahli
akademik, pakar undang-undang yang
berwibawa mengetuai panel pendamai Filipina dalam rundingan yang diadakan pada 5-8 September di Kuala Lumpur. Pertemuan
yang sepatutnya diadakan pada 27-30 Ogos lalu terpaksa ditangguhkan untuk
memberi laluan kepada pengkebumian Jesse Robredo, Setiausaha Luar Bandar dan
Kerajaan Tempatan (DILG) yang maut dalam tragedi kapal terbang terhempas di
Masbate pada 18 Ogos.
Perundingan
di Kuala Lumpur itu dijangka menarik kerana ia membincangkan mengenai
perkongsian kuasa, perkongsian sumber alam, kawasan geografi, isu normalisasi
dan isu perlembagaan yang menjadi sebahagian daripada agenda perundingan 'The
31th GPH-MILF Exploratory Talks'.
Hasil
rundingan antara kedua pihak itu sedang dinanti-nanti oleh pelbagai pihak,
bukan saja di Mindanao, di Manila tetapi di seluruh dunia Islam. Mampukah
konflik yang telah berkepanjangan sejak ratusan tahun itu diselesaikan melalui
perundingan? Apakah solusi yang digunakan di Helsinki antara GAM dan Jakarta
boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah di Mindanao?. Apalah tawaran MILF
untuk mendapatkan `substate' sebagai jalan penyelesaian untuk menamatkan
konflik itu diterima atau apakah bentuk cadangan balas yang akan dikemukakan
oleh GPH dibawah kerajaan Presiden Benigno Aquino III?
Persoalan
bangsamoro ini tentulah menarik. Bukan saja kerana ia merupakan salah satu
konflik terpanjang dalam sejarah khususnya di Asia Tenggara tetapi juga ia
mengandungi prospek yang menjanjikan. Mindanao mempunyai sumber alam dan hasil
bumi yang belum diteroka.
Kawasan
itu berpotensi mengeluarkan minyak dan gas malah pada masa ini, Mindanao
menyumbang sebahagian sumber pendapatan
Filipina. Mindanao memiliki simpanan mineral, tembaga dan emas yang paling
banyak, sumber hutan juga masih kaya tetapi semua itu tidak akan dapat
dinikmati tanpa perdamaian.
Namun,
konflik dan kemelut yang melanda Mindanao, yang telah berjuang bagi daulat dan
martabatnya sejak penjajahan Sepanyol, Amerika, dan berjuang untuk mendapatkan
pengiktirafan sebagai bangsa yang merdeka sejak 70-an lagi, tidak mudah
diselesaikan tanpa mengambil kira semua aspek. Jika diambil kira keluasan ARMM
(Wilayah Autonomi Muslim Mindanao) yang mempunyai keluasan 12,288 km persegi
terdiri dari Wilayah Maguindanao, Lanao Del Sur, Tawi-Tawi, basilan (Kecuali
Isabela City) dan Bandaraya Islam
Marawi.
ARMM
mentadbir sebanyak 712 kampung di pulau Mindanao saja..Purata kemuskinan di
wilayah itu ialah 45.4 peratus pada 2003, iaitu hampir dua kali ganda
berbanding purata di peringkat kebangsaan iaitu 24.4 peratus. Bagaimanapun
wilayah Lanao del Sur mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 26.9 peratus, Tawi
Tawi dan Sulu mengurangkan kemiskinan antara 18 dan 17.6 peratus.Pada tahun
2003, semua empat wilayah ARMM merupakan antara 10 wilayah termiskin di
Filipina tetapi pada 2003, Lanao del Sur, Sulu dan Tawi-Tawi terkeluar dari
senarai wilayah termiskin itu, menjadikan hanya Maguindanao sebagai wilayah
kedua termiskin di Filipina.
Oleh
sebab itu, rakyat khususnya bangsamoro menunggu dengan penuh harap akan hasil
perundingan yang dijalankan di Kuala Lumpur itu. Sementara sebahagian besar
rakyatnya sangat dahagakan perdamaian, tidak kurang juga yang bersedia untuk
menghadapi segala kemungkinan andainya perundingan itu menghadapi jalan buntu.
Meskipun
demikian, selagi ada jalan damai, selagi ada ruang untuk berunding, mereka akan
memilih jalur itu. Walaupun sehingga kini belum ada kepastian mengenai hasil
rundingan itu, ramai yang yakin akan menemui cahaya selepas melalui kegelapan
terowong. Mereka percaya, selepas ribut taufan, mereka boleh melihat
langit biru.
Tetapi
inilah masanya yang tepat untuk menyelesaikan persoalan bangsamoro. Seperti
yang dikatakan Ketua Perunding, Mohagher Iqbal, peluang hanya datang sekali.
Beliau melihat inilah masa yang terbaik kerana pertama, Bangsamoro sedang dalam
suasana untuk menamatkan konflik itu, kedua, pentadbiran Aquino masih menikmati
kepercayaan rakyat, dan Presiden Aquino dilihat memberikan dorongan untuk
menjayakan proses damai, ketiga, kepimpinan MILF yang kukuh, konsisten dan
pragmatik, keempat, masyarakat antarabangsa yang mendesak supaya kedua pihak
mengakhiri konflik secepat mungkin, kelima, konflik di Laut Cina Selatan yang belum selesai dan keeanam, MILF sendiri
telah membuktikan bahawa ia rakan yang boleh dipercayai dalam proses damai.
Semoga
dua pihak yang bersengketa itu tidak kehilangan momentum untuk menyelesaikan
persoalan Bangsamoro di Mindanao. Kita yakin sekiranya kedamaian berkekalan
dinikmati oleh masyarakat di Mindanao, semua warga Nusantara akan dapat
menikmati kemajuan dan kedamaian dan cita-cita mewujudkan Komuniti Asean 2015
akan lebih mudah dicapai.