Khamis, 14 Jun 2012

Banyak perkara pelik dalam Perkara 20,kata D13

Tags



BANYAK PERKARA PELIK DALAM  PERKARA 20, KATA DATU TIGABELAS

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
 
KOTA KINABALU: Banyak perkara pelik dan tidak rasional yang terkandung dalam Perkara 20 jika kita menelitinya dengan saksama, kata Mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin.
Katanya, beliau menemui banyak perkara pelik dan aneh ketika mengulas satu persatu mengenai perkara-perkara dalam Perkara 20 yang kini menjadi polemik itu.
Beliau berkata, antara perkara yang agak pelik menurut pendapatnya ialah Perkara 2, 4,5,7,8,9,10,13,14,15,17,18, dan 19.
Mengulasnya satu persatu, Datu Tigabelas yang berpengalaman selama 13 tahun menjadi Pengarah Arkib Negeri Sabah berkata "Perkara 2 menyebut antara lain Bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa rasmi di Borneo Utara (Sabah) untuk semua urusan negeri atau persekutuan tanpa had waktu".
Katanya, adalah amat pelik, tidak rasional dan bukannya menjadi amalan serta tindakan biasa rakyat khasnya  pemimpin-pemimpin sesebuah negara yang bakal merdeka daripada penjajahan Barat seperti Borneo Utara mahu pula mengekalkan bahasa asing iaitu bertindak mencadangkan bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi negeri ini,sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa perhubungan atau `lingua franca' yang lebih luas digunakan oleh masyarakat di Borneo Utara ketika itu (sehingga masa kini) berbanding bahasa Inggeris.
"Perkara ini seolah-olah telah dikehendaki oleh pihak tertentu," katanya dalam kenyataan bertulis kepada Utusan Borneo.
Mengenai Perkara 4 yang menyebut "Ketua Persekutuan: Ketua Negeri Borneo Utara adalah tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan, beliau berkata, "Mengapakah pula kita khasnya para pemimpin kita ketika itu membuat syarat bahawa Ketua Negeri Sabah tidak layak untuk menjadi Ketua Negara.Dengan ertikata lain seolah-olah kita sendiri ketika itu yang mahu dan tidak membolehkan Yang Di Pertua Negara Borneo Utara menjadi Ketua Negara atau Yang Di Pertuan Agong.
"Perkara dan syarat sebegini sepatutnya datang daripada pemimpin Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang hanya mahu Ketua Negeri bergelar Sultan atau raja sahaja yang layak menjadi Ketua Negra bagi Persekutuan, bukannya syarat daripada kita.Ini jelas menunjukkan  bahawa syarata tersebut telahpun ditetapkan oleh pihak lain dan bukannya merupakan satu perkara daripada kita.
Perkara 5 berkaitan Nama Persekutuan: Malaysia dan bukannya Melayu Raya, Datuk Tigabelas berkata "Mengapa kita perlu menuntut supaya nama Persekutuan ini dinamakan Malaysia dan bukannya Melayu Raya?
"Adalah agak pelik untuk diketahui bahawa tuntutan perkara tersebut telah disuarakan terlebih dahulu oleh para perwakilan Singapura dan juga dituntut sama oleh Sarawak.Siapakah sebenarnya di belakang semua ini?
Mengenai "Perkara 7    Hak Pemisahan: Tidak wujud sebarang hak untuk berpisah daripada Persekutuan pula, beliau mengulas " Mengapakah pula kita sendiri yang telah mengemukakan tuntutan bahawa Borneo Utara tidak akan ada hak untuk berpisah daripada Persekutuan Malaysia.Adalah amat sukar untuk dipercayai bahawa tuntutan atau persetujuan sedemikian telah dibuat oleh para perwakilan Borneo Utara sendiri pada ketika itu.Ini juga menunjukkan bahawa ketetapan sedemikian telah dirangka oleh pihak ketiga dan bukannya oleh Borneo Utara.Perkara ini sememangnya pelik sebagai satu tuntutan dalam perkara 20.
Mengulas mengenai Perkara 8.Borneosasi: Bagi perkhidmatan awam hendaklah dilaksanakan dengan sesegera mungkin", beliau berkata ".Jika tuntutan untuk orang tempatan atau anak negeri Borneo utara (Sabah) bakal mengambil alih jawatan perkhidmatan awam daripada para pegawai British mungkin sesungguhnya amat praktikal untuk diminta.
"Walau bagaimanapun mengapakah kita telah menuntut agar Perkhidmatan awam Negeri diborneosasikan? Bukankah itu bermakna bahawa orang orang dari Sarawak,Brunei,Kalimantan juga kita benarkan berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam Borneo Utara? Lagipun ketiga-tiga negeri tersebut adalah juga termasuk dalam wilayah Borneo.
Katanya,perlu dinyatakan bahawa ketika itu terdapat sebilangan kecil sahaja orang-orang malaya telah dilantik oleh Pentadbiran British.Di sebaliknya rekod Arkib menunjukkan ramai penjawat awam dalam Perkhidmatan Awam Borneo Utara telah dilantik oleh Pentadbiran British daripada Australia,New Zealand, India dan negara-negara Eropah khasnya daripada United Kingdom. Apakah sebenarnya motif serta tujuan kita untuk memborneosasikan perkhidmatan Awam kita pada ketika itu.
Mengenai "Perkara 9  Pegawai-pegawai British: Setiap usaha hendaklah dibuat bagi menggalakkan agar para Pegawai British kekal di dalam Perkhidmatan Awam sehingga tempat mereka boleh diambil alih oleh penduduk Borneo Utara yang sesuai dan berkelayakan.
"Adalah tidak rasional dan bukannya sifat biasa negeri dan orang bebas daripada penjajahan atau baka mencapai kemerdekaan untuk membuat tuntutan bagi membenarkan pegawai-pegawai penjajah khasnya Pegawai British supaya terus kekal berkhidmat di dalam Perkhidmatan Awam kita sehingga tempat mereka bolerh diambil oleh orang-orang Borneo Utara (Sabah) yang sesuai dan layak".
"Disebaliknya mengapakah kita semacam tidak pula mahu menerima sementara warganegara Malayusia kita dari lain-lain negeri atau wilayah seperti Persekutuan Tanah Melayu (Malaya)  bagi menggantikan segera dan membebaskan segera negeri ini daripada pengaruh pegawai-pegawai asing atau penjajah Inggeris.
"Siapakah sebenarnya yang punya idea dan ketetapan seperti ini? Macam `pelik bin ganjil' juga", tambahnya.
Datuk Tigabelas juga mengulas mengenai . Perkara 10.  Kewarganegaraan: Syor-syor di perenggan 148 (k) Laporan Suruhanjaya Cobbold hendaklah menjadi kuasa penentu hak kewarganegaraan penduduk Persekutuan Borneo Utara tertakluk kepada pindaan-pindaan berikut:(a)Perenggan (1) hendaklah tidak mengandungi peruntukan syarat permastautin selama lima tahun.
Katanya, mengapakah kita menuntut dan mencadangkan supaya tiada syarat bermastautin selama lima tahun diperlukan bagi seseorang yang memohon menjadi warga negara di Borneo Utara (Sabah).sebagai sebuah negeri yang menuntut kawalan kuasa untuk keluar masuk ke Borneo Utara (Sabah)
"Mengapakah kita mahu melonggarkan atau meniadakan syarat sedemikian untuk menjadi warga negara.Ia sudah tentu adalah pelik sebagai satu tuntutan atau persetujuan dalam Perkara 20.
Satu lagi perkara yang agak pelik,kata Datu Tigabelas iaitu Perkara 13 berkaitan Kerajaan Negeri:(a) yang menyatakan "Ketua Menteri hendaklah dipilih oleh para ahli tidak rasmi Majlis Perundangan"
"Mengapakah kita telah membuat ketetapan bahawa Ketua Menteri negeri ini dilantik oleh ahli-ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Negeri.Mengapakah tidak oleh Ahli-Ahli Rasmi Majlis Undangan Negeri (Dewan Undangan Negeri)? Siapakah pula Ahli-Ahli Tidak Rasmi Majlis Undangan Negeri itu? Apakah sebabnya perkara sedemikian dituntut atau dipersetujui dalam Perkara 20?
Mengenai Perkara 14 berkaitan berkaitan Tempoh Peralihan yang menyebut 'Selama tujuh tahun dan dalam tempoh tersebut kuasa perundangan hendaklah terletak kepada Borneo Utara mengikut Perlembagaan dan bukannya setakat diamanahkan kepada Kerajaan Negeri oleh Kerajaan Persekutuan'.
Datuk Tigabelas berkata,  mengapakah kita (Borneo Utara) perlu menuntut tempoh peralihan selama tujuh tahun untuk peralhian kuasa tidak boleh diganggu oleh kuasa perundangan Persekutuan.Apakah ianya ada kaitan dengan tempoh pengekalan Sistem British dan pegawai-Pegawai British di Negeri Borneo Utara (Sabah)selepas menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.Siapakah sebenarnya yang punya tuntutan dan yang telah mencadangkan ketetapan seperti ini.
Mengulas mengenai Perkara 15  iatu berkaitan Pelajaran: Sistem pelajaran di Borneo Utara hendaklah dikekalkan dan atas sebab itu ia hendaklah diletakkan di bawah kawalan negeri.
"Sebagai sebuah negeri yang telah merdeka dan bebas daripada penjajahan British,mengapakah kita perlu menuntut agar sistem pendidikan penjajahan iaitu English dikekalkan.Mengapakah kita tidak menuntut agar kita mempunyai sistem yang berlandaskan kepada Sistem Persekutuan Malaysia?
 Mengenai Perkara 17 mengenai Perwakilan dalam Parlimen Malaysia yang menyebut "Ia seharusnya mengambil kira bukan sahaja jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga mengambil kira keluasan dan potensinya serta dalam apa keadaan sekalipun bilangannya tidak seharusnya kurang daripada perwakilan Singapura"
"Mengapakah kita telah menuntut agar bilangan perwakilan kita dalam Parlimen persekutuan diukur dengan jumlah perwakilan Singapura? Apakah ianya masih praktikal dan relevan jika kita ambil kira jumlah Ahli Parlimen Singapura pada masa kini?", kata Datu Tigabelas lagi.
Mengenai Perkara  18 pula mengenai Nama Ketua Negeri dinamakan Yang Di Pertua Negara, beliau bertanya"Apakah perlu kita mengemukakan tuntutan dalam Perkara 20 bahawa Ketua Negeri Borneo Utara (Sabah) itu dinamakan Yang Di Pertua Negara sedangkan gelaran sedemikian sudah tentulah bakal disamakan dengan Sarawak dan Singapura pada ketika itu dan kini gelaran itu telah diubahsuai dan disamakan juga dengan melaka dan Pulau Pinang iaitu negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia yang tidak mempunyai Ketua Negeri bergelar Sultan atau Raja.
Mengenai Nama Negeri iaitu  Sabah yang terkandung dalam Perkara Nombor 19, Datuk Tigabelas berkata,"samalah juga dengan Sabah sebagai satu tuntutan dalam Perkara 20.Bukankah ianya satu perkara yang sepatutnya telah diterima dengan sendirinya.Dengan erti kata lain ia adalah terlalu remeh untuk perlu kita tuntut," katanya.
Katanya, jika tuntutan atau persetujuan berkaitan Perkara 20 itu masih sah dan relevan, apakah 10 perkara iaitu Perkara 1,2,9,10,11,13,14,1517,18 itu masih sesuai, sah dan relevan pada masa kini.

dengan ihsan UTUSAN BORNEO 14 JUN 2012



1 comments so far

Saya rasa D13 seolah-olah mengenepikan intelektual pemimpin2 terdahulu. Adakah pemimpin2 terdahulu cetek pemikirannya ? kalau cetek tak kan mereka menuntut kemerdekaan, cubalah fikir sendiri ? Kewujudan pihak ke-3 seperti yang didakwa oleh D13 juga tidak berasas kerana secara terang-terangan melihatkan pemimpin Borneo Utara pada masa itu ingin mengekalkan ke istemewahan kaum pribumi Borneo Utara sebagaimana keistemewaan bangsa Melayu di Semenanjung Malaysia dan apa yang pastinya ia juga dipersetujui oleh Pemerintah2 Persekutuan Tanah Melayu. Malangnya pemimpin2 terdahulu telahpun meninggal dunia tanpa mendapat penjelesan rakyat moden Borneo Utara. Keadaan ini memberi ruang kepada pemimpin2 BN-UMNO meneguk di air keruh. Saya sayang Malaysia (bukan BN-UMNO). Terima kasih.