CATATAN
SEORANG PEMINAT BOLASEPAK DARI KAMPUNG KAMI
Setiap
pukul 4.15 petang kami sudah duduk berkerumun di depan corong radio.
Ketika
itu penghujung tahun-tahun 70-an.Minat orang ramai terhadap bolasepak agak
tinggi. Tidak seperti sekarang ada siaran langsung di televisyen, pada masa
itu, kami hanya bergantung kepada siaran langsung perlawanan Piala Malaysia
melalui RTM Sabah.Pengulasnya Ismail Tahir.Kini sudah kembali ke rahmatullah.
Melalui
ulasan selari yang diberikan oleh arwah Ismail Tahir itu, kami mengenali
nama-nama seperti Hassan Sani,James Wong, Peter Rajah, Awang Sabtu, Razali
Zinin, Rashid Piut, dan ramai lagi pemain Sabah. Waktu itu, Sabah adalah antara
kelompok pasukan terbaik di negara ini dan bersaing dengan Selangor, Pahang dan
Singapura.
Nama-nama
pemain terkenal seperti Mokthar Dahari, R Arumugam, Isa Bakar, Shukor
Salleh,Jamal Nasir, Soh Chin Aun, G.Torairaju, Rusmaini Mohd.Shah, Abdah Aliff,
Khalid Ali, Santokh Singh, Bakri Ibni, Wan Jamak Hassan, Chow Chee Keong,Rashid
Hassan, dan ramai lagi sentiasa meniti di bibir peminat bola sepak tanahair.
Kedudukan
Malaysia dalam arena bola sepak Asia juga agak membanggakan.Seganding dengan
Korea Selatan, mampu mengalahkan Jepun,Thailand dan sebagainya.Malah Malaysia
layak ke Sukan Olimpik Moscow walaupun akhirnya menarik diri kerana
pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Jika
tidak ada perlawanan bola sepak, ketika itu saya masih berada di sekolah
rendah, akan berjalan kaki ke sekolah, melihat pemain-pemain kampung kami yang
bermain di padang SRK Tamau.
Kadang-kadang
saya ikut bermain bola walaupun jumlah pemain melebihi 11 orang satu pasukan.
Setiap orang yang datang, dibenarkan masuk padang dan bermain asalkan jumlah
setiap satu pasukan itu sama seimbang.
Tetapi
saya lebih banyak duduk di tepi padang, sebagai komentator untuk diri sendiri
dan rakan-rakan lain.Saya mampu membezakan permainan si anu dengan gaya
permainan pemain yang lain.Caranya melarikan bola, menggelecek lawan, menendang
ke jaring seterusnya menjaringkan gol.
Apabila
ada pasukan dari kampung lain datang bertandang ke kampung, kami dengan cepat
menjadi penyokong setia. Ramai pemain kami yang berkaliber ketika itu.
Antaranya Armawan, Akiah, Abdul Gais, Imbut yang dikenali sebagai wan ramli,
Sawi, Mokdin, Akmadin, Upok, Mukaris dan ramai lagi. Ketika itulah kami
mengenal, apa yang sekarang dikatakan nasionalisme walaupun sekadar
nasionalisme kampung.
Walaupun
pasukan kami kalah, kami tetap mendukungnya. Semangat patriotisme agak tinggi
juga waktu itu. Kami terus memberikan sokongan kepada kampung, kepada negeri,
dan kepada negara. Tidak kira apa keputusan perlawanan, kami tetap memberikan
tepuk tangan semangat untuk menang pada perlawanan berikutnya. Atas nama
maruah, atas nama martabat, atas nama tanahair tercinta.
Namun
makna nasionalisme dan kebanggaan itu bergeser setiap kali tibanya Piala Dunia
atau Piala Eropah. Seperti sekarang, saya bertanya kepada diri saya sendiri
mengapa saya menjadi penyokong pasukan Jerman? Apakah saya kurang memiliki
semangat nasionalisme?Mengapa rakan-rakan saya menjadi penyokong England,
Perancis, Belanda,Sepanyol, Itali yang kesemuanya pernah menjadi bangsa penjajah
dan mengembangkan kolonialisme di Asia?
Seorang
penulis pernah menulis sekiranya ada mahkluk UFO turun ke bumi pada jam 3.00
pagi, dia akan hairan melihat betapa ramainya orang-orang yang tersihir kerana
asyik melihat bagaimana sebiji bola diperebutkan oleh 22 orang dalam sebuah
padang di Eropah sana. Sungguh menakjubkan.
Ya,
mengapa saya memilih Jerman? Mohon maaf kepada rakan-rakan lain yang meminati
pasukan lain.Saya memilih Jerman bukan kerana ia pernah menang Piala Dunia
1954,1974,1990 atau menjadi tiga kali juara Piala Eropah pada 1972,1980,1996.
Mungkin juga kerana pasukan itu pernah melahirkan pemain-pemain seperti Franz
Beckenbauer,Gerd Muller,Juergen Klinsmann,Rudi Voeller,Oliver Kahn,Michael
Ballack, Lukas Podolski dan sebagainya.
Salah
satu sebabnya saya fikir ialah selepas
menyaksikan Lothar Matthaus, kapten pasukan Jerman pada 1990, dijatuhkan
lawan dan terjerembab ke padang tetapi beliau masih boleh bangun sambil
tersenyum menyalami pemain yang membentes kakinya.
Saya
tidak ingat nama pemain itu. Namun saya
tahu bahawa saya bertepuk tangan, atau memekik menyatakan sokongan kepada
pasukan yang bermain baik, dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi,
mempunyai gaya permainan yang memukau,dan yang penting sekali mampu
menjaringkan gol dan memenangi satu-satu perlawanan. Selain itu, ia mempunyai
pemain yang tidak tamak dan memonopoli perlawanan dengan sikap individualistik
dan sebagainya, dan sebagainya.
Kadang-kadang
saya terlupa bertepuk untuk siapa. Tapi saya tahu bertepuk untuk apa.