Sabtu, 14 Januari 2012

Dr James Alin bicara soal ekonomi Sabah

Tags

DR JAMES ALIN, pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS) lebih suka dikenali sebagai pengkaji ekonomi dan seorang ahli akademik. Beliau mempunyai pemerhatian yang tajam terhadap persoalan-persoalan ekonomi di negeri ini. Namun sebagai seorang yang sederhana dan bersahaja, Dr James yang telah mengelilingi banyak negara untuk tugas-tugas penyelidikan ini suka merendah diri.

Beliau merupakan anak pertama daripada empat adik beradik. Dilahirkan di WP Labuan, beliau mendapat pendidikan awal di Kuala Penyu ketika tinggal bersama neneknya. Selepas itu, beliau menduduki bangku sekolah menengah di Maktab Sabah sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia dalam bidang sejarah dan ekonomi. Setelah lulus pengajian, beliau bekerja sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di salah satu jabatan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dr.James kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yokohama Jepun sehingga lulus MA dan PhD dalam bidang ekonomi. Beliau bukan sekadar penganalisis ekonomi tetapi juga seorang art collector, penikmat seni yang meminati karya-karya seni lukis dalam pelbagai aliran. Selain itu, beliau juga seorang penggemar jazz dan sering menyempatkan diri untuk menghadiri festival jazz di negeri ini. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan banyak terlibat dalam penyelidikan mengenai masyarakat terpinggir, bukan saja mengenai masyarakat Bajau Laut di Sabah tetapi di negara-negara Asean.

"Saya mengkaji semua masyarakat yang hidup menangkap ikan," katanya ketika ditanya mengenai minatnya yang mendalam terhadap masyarakat terpinggir yang turut menjadi bidang kajiannya. Oleh sebab itu, Dr James mengenali budaya suku-suku terasing di Malaysia, Indonesia, Filipina dan sebagainya.

Sesuatu yang menarik ialah beliau pernah mengunjungi hampir semua pesisiran pantai dari Pulau Banggi ke Kuching Sarawak apabila turut terlibat dalam penyelidikan selama dua tahun atas pembiayaan Petronas.

Bagaimanapun dalam sesi temubual ini, wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN menemuramah DR JAMES ALIN berkaitan soal-soal keadaan ekonomi menjelang pembentukan Persekutuan Malaysia, dan persoalan dan isu-isu ekonomi di negeri ini.

Berikut adalah petikan temubual yang diadakan di pejabat Utusan Borneo,Tingkat 5, Wisma KTS, dan dilanjutkan sambil menikmati makan malam di Pasar Malam Kota Kinabalu.

UTUSAN BORNEO: Mengapakah kebanyakan tulisan berkaitan dengan ekonomi Malaysia termasuk buku akademi pengajian tinggi, buku teks sekolah menengah dan karya jurnalistik rata-rata hanya membicarakan isu-isu ekonomi di Semananjung dan mengabaikan perkembangan ekonomi di Sabah dan Sarawak?

DR JAMES ALIN: Saya bersetuju dengan pemerhatian saudara. Buku terbaru suntingan Profesor Dr. Rajah Rasiah bertajuk —Malaysian Economy-Unfolding Growth and Social Change (2011) misalnya mempunyai 11 bab tetapi hanya menyebut Sabah dalam Gambarajah kadar kemiskinan dan di (disebut bersama-sama Sarawak) dalam satu perenggan membincangkan pengeluaran petroleum.

Sebenarnya ramai pakar ekonomi di Semenanjung telah, sedang dan akan menulis berkaitan dengan ekonomi Sabah dan Sarawak tetapi pembacanya masih lagi terhad di kalangan warga menara gading dan pengawai tinggi pentadbiran. Mungkin juga kurang atau tidak ada permintaan terhadap buku ekonomi bercorak umum dimana bahasa dan penyampaiannya mudah dan tidak menggunakan istilah khas atau matematik.

UB: Bagaimana dengan buku berkaitan dengan isu-isu ekonomi setempat terbitan Institute Development Studies (IDS)?

DJA: Kecuali artikel akademik yang dimuatkan dalam jurnal Borneo Review, kualiti isi kandungan tulisan umum IDS tidak sebegitu baik kerana kebanyakannya berbentuk rentitan fakta walaupun kadangkala berunsur pedagogi namun tidak diulas secara kritikal. Atau dengan kata lain ianya tidak mendorong pembaca berbicara dalam minda, berfikir apatah lagi berdebat(not engaging).

UB: Bagaimana pula dengan kajian terhadap ekonomi Sabah yang telah diterbitkan oleh UMS ,UITM cawangan Sabah dan UNIMAS di Sarawak?

DJA: Ya, memang banyak tetapi kesemuanya berbentuk akademik yang lazimnya dibaca oleh para pelajar dan pengkaji ekonomi. Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan sistem kenaikan pangkat pensyarah universiti yang tidak memberi pemberat (weightage) kepada penerbitan bacaan umum.

UB: Sekiranya Dr.James diberi peluang menerbitkan buku ekonomi untuk pembaca awam, apakah isi kandungan utama buku tersebut?

DJA: Saya akan bermula dengan menyorot kembali keadaan ekonomi negeri kita menjelang penubuhan Persekutuan Malaysia 1963.

UB: Adakah manfaat ekonomi salah satu pertimbangan utama yang mendorong pemimpin negeri ini bersama-sama membentuk persekutuan Malaysia. Mohon penjelasan Dr.James….

DJA: Mungkin tidak, sebab manfaat ekonomi yang dijanjikan oleh sistem Persekutuan itu banyak berkaitan dengan gabungan pendapatan kesemua 14 negeri anggota (13, selepas Singapora dikeluarkan dari Malaysia oleh pemimpin Malaya tanpa persetujuan pemimpin Sabah dan Sarawak. Pendapatan Negeri kaya berdasarkan KDNK (yakni, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah)akan diagihkan oleh kerajaan persekutuan kepada pembangunan negeri-negeri miskin (KNDK Terengganu pada masa itu ditangga ke-10).

UB: Kita negeri ketiga terkayalah berdasarkan KDNK pada tahun 1960s?

DJA: Betul tu…menjelang dan lima tahun selepas pembentukan Malaysia, ekonomi Sabah mengalami ekonomi boom dengan kadar pertumbuhan 10% setiap tahun sama keadaannya seperti Malaysia 5 tahun sebelum Krisis Matawang Asia 1997. Keluaran Dalam Negara Kasar Sabah atau ringkasnya KDNK(Negara Sabah wujud selama 16 hari dari 31 August ke 16 Semptember 1963)per kapita dianggarkan $770(nilai pada tahun 1960s). KDNK bermaksud keseluruhan pendapatan dalam Negara yang bernilai $400 juta dibahagikan kepada 515,051 penduduk Sabah pada tahun tersebut.

UB: Jadi, maksudnya Negeri kita begitu kaya raya pada masa itu lantas tidak memerlukan bantuan dari two anggota persekutuan terkaya- KL dan Selangor? Setiap rakyat Sabah telahpun mempunyai pendapatan sebanyak $64.1 setiap bulan…

DJA: Pemimpin-pemimpin bumiputera khasnya Tun Mustapha, Tun Fuad Stephen, Datuk Peter Mojuntin, Datuk Sundang, dan lainnya berasal latarbelakang kurang berada dari luarbandar. Mereka pastinya memahami erti kemiskinan dan memang memahami bahawa ekonomi boom itu tidak dirasai oleh kebanyakan rakyat Sabah. Walaupun KDNK sabah masa itu tinggi tetapi pemimpin-pemimpin kita faham bahawa Sabah masih jauh ketinggalan berbanding dengan Malaya.

UB: Maksud Dr, James wawasan mereka memang munasabah dari kacamata ekonomi.

DJA: Ya, KDNK hanya memberitahu pendapatan keseluruhan atau dengan kata lain jumlah Perbelanjaan, Pelaburan, Belajawan kerajaan, export (yakni barangan dan perkhidmatan yang dijual ke Negara asing) ditolak dengan import. Pada realitinya, KDNK tidaklah diagih samarata kepada setiap orang. Disebalik pertumbuhan ekonomi yang pesat pada 1960s, adalah dianggarkan lebih separuh penduduk Sabah Miskin Dari Segi Pendapatan dan buta huruf manakala 20% berpendapatan menengah, manakala kurang dari 10% mempunyai pendapatan tinggi dan hidup dalam kemewahan.

UB: Maksud Dr. James…KDNK tidak boleh mengukur tahap kesejahteraan rakyat (well being)atau bukan petunjuk sahih tahap kebahagian (happiness of the people)?

DJA: Ya tepat sekali. Di sebalik KDNK yang tinggi, separuh daripada penduduknya menderita pelbagai wabak dan penyakit lazim di kalangan orang miskin. Jangka hayat bagi perempuan dianggarkan 55 tahun (lebih 5 tahun berbanding lelaki). Indek Pembangunan Insan berkaitan dengan kaum wanita juga amatlah menyedihkan. Kadar kematian masa lahir 62.3% dan kadar kematian bayi baru lahir 20% dilaporkan akibat ketidaan kemudahan hospital diluar bandar (% penduduk tinggal di luarbandar),rawatan masa hamil dan selepas bersalin dan pemakanan yang tidak cukup dari segi kuantiti dan kualiti.

UB: Bagaimana pula dengan indek lain misalnya indek kebebasan penyertaan dalam politik?

DJA: Walaupun Sabah masih tanah jajahan British namun kerajaan kolonial melalui Legislative Council pada Jun 1962 telahpun meluluskan Local Government Elections Ordinance untuk tujuan mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan. Pilihanraya pada 16 Desember 1962 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dimana 90% daripada pengundi berdaftar telah datang mengundi calon masing-masing.

Institusi yang penting ini malangnya diisytiharkan digantung oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada Mac 1965. Walaupun kebimbangan terhadap ancaman konfrontasi, tuntutan Filipina ke atas Sabah, ancaman komunis dan zaman darurat telah lama berakhir namun institusi ini masih belum dihidupkan kembali.

UB: Adakah kemungkinan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan diadakan semula pada masa depan?

DJA: Ya, tanpa pilihanraya kerajaan tempatan, sistem demokrasi Persekutuan Malaysia akan sentiasa tempang. Rekod sejarah juga menunjukkan disebalik kemiskinan dan jurang perbezaan pendapatan yang besar, rakyat Sabah yang keluar mengundi dalam pemilihan perwakilan kerajaan tempatan kelihatan lebih gembira dan bahagia.

UB: Barangkali banyak lagi persoalan yang belum disentuh dalam temuramah yang singkat ini. Jika ada masa, mungkin kita boleh lanjutkan nanti.

DJA: Saya bersedia.Malah mungkin saya boleh membicarakan isu yang dijangka menjadi hangat dalam kempen pilihanraya akan datang. Kenapakah KDNK Sabah jatuh ke tangga ke-10 mengambilalih tempat Terengganu sebagai negeri ketiga termiskin di Malaysia (juga berdasarkan kadar kemiskinan isi keluarga). Apakah sebab utama Sabah ditinggalkan jauh oleh Terengganu (sejak tahun 2000 adalah negeri kedua terkaya selepas KL)?

UB: Tentu sekali menarik. Kami di Utusan Borneo mengucapkan terima kasih atas kesempatan dan peluang yang sangat berharga, yang diberikan kepada kami dalam sesi temubual ini.

DJA: Terima kasih. Ekonomi Sabah kini semakin meningkat dan kita boleh bincangkan mengenai isu-isu dan permasalahan ekomoni