Isnin, 9 Januari 2012

dari majlis gunting rambut hingga pemecatan hassan ali

Tags

Bermula dari majlis bergunting rambut anak jiran sebelah rumah, ahad kelmarin adalah antara hari yang agak sibuk. Selepas bacaan berzanji, kami disuguhkan hidangan lauk pauk pelbagai jenis. Antaranya kari kepala kambing, yang diletakkan di depan imam.

Hidangan kepala kambing itu mengingatkan saya satu peristiwa ketika lawatan ke Manila, dua tahun lalu, ketika kami diraikan dalam satu majlis jamuan oleh Sultan Ganie Batua.

Sambil makan saya sempat berbual dengan jiran mengenai pelbagai topik, antaranya Lee Chong Wei yang akan bertarung dengan Lin Dan dalam Final Terbuka Korea. (Chong Wei menang akhirnya ke atas musuh ketatnya Lin Dan).

Jiran kami, Rosdin, baru pulang dari cuti. Beliau bercerita mengenai kemajuan Makassar, yang katanya, tiga kali lebih besar dari KL. Juga mengenai perjalanan yang ditempuhi dari Tarakan ke Pare-Pare, menaiki kapal besar selama satu hari dua malam.

Selepas itu, kami bergegas pula ke Flat Sri Titingan untuk meraikan anak bang Pin, Basri yang akan ke Marang, Terengganu, memasuki Maahad Tahfiz di sana.

Petang selepas itu, saya ke Restoran Yassin Curry House untuk pertemuan dengan Pakcik Jaya Dallah dan Sdr Sabri Haji Ahmad mengenai Komuniti Masyarakat Iranun Tawau (KMI) yang bercadang untuk mengikuti Festival Antarabangsa Kebudayaan Tawau.

Pekerja restoran itu agak sibuk kerana perasmian satu lagi premis restoran Yassin pada sebelah malamnya oleh YB Datuk Tawfiq dan YB Datuk Syed Abas. Jadi selepas itu, pakcik Jaya membawa kami ke Tanjung Batu Keramat, sambil jalan-jalan, melihat pemunggahan kelapa sawit menggunakan bot di pengkalan itu.Buah Sawit itu dari Semendalan?, depan Pulau Sebatik.

Menyaksikan perahu-perahu yang tertambat, dan sungai, dan pokok bakau, juga menatap Bukit Gemuk dari kejauhan, kami bercerita banyak hal. Antaranya mengenai diaspora Iranun, mengenai kemajuan dan pembangunan di Tawau juga peluang menanam cili, yang punya pasaran yang baik di Tawau kerana ada kilang yang membelinya untuk dijadikan sos.

Selepas menghantar Saudara Sabri di Stesen Pertanian Tawau, pak cik Jaya menghantar saya ke Ice Box, sebelum pulang ke Taman Suhima Bal3.

Selesai solat Maghrib, saya tak sempat menonton tv mengenai berita pemecatan YB Datuk Dr.Hassan Ali serta merta daripada PAS.