Keluar dari perut pesawat, jam sudah menunjukkan 9.55 malam. Penerbangan dari Kota Kinabalu terlambat kerana tertangguh akibat hujan lebat. Tetapi di Tawau cuaca agak baik.
Saya mengeluarkan telefon dengan tergesa, khuatir isteri rasa bimbang kerana sepatutnya kami sampai setengah jam tadi.
“Abang dah di mana?” Demikian bunyi sistem mesej singkat (SMS) yang masuk sebaik saya menghidupkan handphone.
Saya meminta mereka menunggu di KFC dekat Wakaf.Isteri saya beria-ia mengambil saya di Airport, tetapi saya berdalih lebih elok mereka menunggu di Bandar, kerana jarak airport ke Bandar itu agak jauh, apatah lagi hari hampir jauh malam.
Pemandu teksi yang saya tumpangi itu bernama Amir.Usianya 46. Anak Empat.Yang paling tua sudah tingkatan 3 manakala yang bungsu baru satu tahun.
“Sudah berapa trip hari ini?” saya bertanya basa basi.
Baru dua trip, katanya. Tambang teksi dari Lapangan Terbang Tawau ke Bandar RM45.00. Setiap hari beliau membayar sewa teksi RM40 iaitu RM35 sewa dan RM5 lagi, untuk insuran.
Amir, membayar sewa teksi itu secara sewa beli, dan mungkin selepas tujuh tahun, lebih kurang begitu, teksi itu menjadi miliknya sendiri.
“Berapa tambang teksi dari Airport ke Lahad Datu?”
“RM150”.
Kalau Semporna, berapa pula tambangnya?
“RM95”
“Kenapa begitu?”
Jarak Air Port Tawau ke Lahad Datu lebih jauh, memgambil masa dua jam berbanding Semporna hanya mengambil masa satu jam.
Beliau sudah lima tahun bawa teksi.Belum ada simpanan, katanya. Harga minyak mahal, anak-anak sekolah, macam mana mahu menyimpan?. Amir berharap anak-anaknya berhasil.
Katanya, menurut cerita di KL, teksi menggunakan gas dengan harga lebih murah iaitu RM8 yang boleh digunakan untuk jarak 100 km.
“Saya dengar begitu bang,”katanya memanggil saya bang, kerana menyangka saya orang Semenanjung.
Saya memberitahu usia saya empat tahun lebih muda.Tapi beliau sudah biasa memanggil orang begitu, kerana baginya lebih elok memanggil menggunakan bang daripada memanggil orang dengan panggilan “kau” yang baginya agak kasar. Tapi di Sabah, sebenarnya panggilan kau itu agak lazim,kadang untuk menunjukkan keakraban.
Katanya, purata dua trip atau paling banyak tiga trip dalam satu hari.Jumlah teksi di airport juga agak banyak,42 kesemuanya. Kebetulan tidak banyak orang.Perwakilan UMNO baru balik dari menghadiri persidangan.
“Tidak banyak penumpang,” katanya. Biasanya, hari bekerja lebih ramai yang menumpang teksi.
Kalau harap teksi, kadang duit habis bayar sewa saja, katanya.Mujurlah kerajaan beri bantuan KWAPM,katanya. Tapi anaknya yang belajar di sekolah menengah tidak dapat lagi kemudahan itu.
Menurut Amir, anak-anaknya sudah mendapar RM100 bantuan. Syukurlah untuk bayar sekolah anak-anak.
Cuma beliau merungut, kerana anaknya belum dapat Komputer Laptop 1Malaysia.Beliaupun tidak faham mengapa anaknya tidak dapat laptop sedangkan yang lain dapat.
Beliau juga merungut mengenai pemberian rumah PPR.Katanya, mereka yang sudah memiliki rumah diberikan rumah, sedangkan mereka yang perlukan rumah tidak dapat.
Bagaimana mereka yang tinggal di setinggan? Kalau mereka tidak kenal YB atau Datuk-datuk, mereka tidak dapat rumah.
Amir tinggal di kawasan Hilltop.
Menurutnya, ada yang lebih layak untuk dapat rumah PPR tetapi orang lain yang punya kabel atau hubungan dengan orang `datuk datuk’ itu yang dapat.
Kerajaan haruslah menjaga golongan berpendapatan rendah, katanya. Beliau bersyukur kerana kerajaan mengagihkan RM500 untuk mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.
Bagaimana prosesnya? Bagaimana boleh dapat?
Saya kurang pasti juga.Saya sekadar mencadangkan supaya beliau mengambil dan mengisi borang di LHDN.
Sepatutnya lebih banyak penerangan dan penyebaran maklumat diberikan kepada orang ramai, akhirnya saya berkata begitu.
Saya fikir, jika mahu memenangi hati rakyat, kerajaan perlu memberikan perhatian terhadap orang-orang seperti Amir, penyokong kerajaan tetapi tidak mendapat maklumat yang tepat mengenai projek dan bantuan kerajaan.
“Balik lagi ke aiport?” Saya bertanya kepada Amir. Beliau menggeleng walaupun terdapat satu lagi, penerbangan lewat dari Kuala Lumpur yang tiba jam 10.50 malam.
Katanya, dia terus balik kerana sejak pagi lagi belum balik ke rumah.
Tiba-tiba saya terfikir, betapa peritnya kehidupan yang dijalaninya.Kadang-kadang tidak dapat penumpang, kadang-kadang pendapatan hanya untuk membayar sewa teksi,kadang-kadang mendapat pendapatan yang tidak seberapa.
“Tapi hidup ini perlu diperjuangkan,” katanya.”Kita tidak boleh berputus asa.”
Kalau kita sudah berusaha, kita serahkan padaNya.