Sabtu, 20 Ogos 2011

Datuk Harman berperahu untuk temui rakyat di Sulabayan

Tags



DATUK HARMAN BERPERAHU TINJAU MASALAH RAKYAT DI SULABAYAN

Datuk Haji Harman Mohammad dilahirkan di Kampung Igang Igang Melanu, sebuah kampung nelayan di Pulau Bum Bum. Beliau bersekolah rendah di SK Sisipan, yang terletak kira-kira satu jam berjalan kaki dari rumahnya. "Kadang-kadang sampai rumah, sudah masuk waktu Isyak", katanya mengenang. Anak ke-12 daripada 15 adik beradik ini kemudian meneruskan pelajaran di SMK Abdullah dalam aliran Inggeris hingga lulus MCE. Selepas itu, beliau pernah bertugas di Telekom Malaysia sebelum berkecimpung dalam bidang politik. Beliau pernah terpilih sebagai Exco Pemuda USNO ketika parti itu menjadi pembangkang di peringkat negeri dan anggota BN di peringkat persekutuan. Di Zaman pemerintahan PBS, beliau dilantik sebagai Ketua Anak Negeri (KAN) selama tujuh tahun. Ketika UMNO mengembangkan sayapnya di Sabah, Haji Harman meletakkan jawatan untuk menyertai UMNO. Beliau pernah menjadi AJK Bahagian UMNO Semporna. Selepas itu, pada tahun 2008, atas komitmen dan sikap konsisten dalam perjuangan, beliau terpilih sebagai calon BN bagi DUN Sulabayan dan berjaya memenangi kawasan itu dengan selesa. Selain tugasnya sebagai ADUN Sulabayan, beliau juga adalah Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).

Sejak zaman persekolahannya, beliau berkecimpung dalam bidang kebudayaan, seni dan tarian, drama dan syair dan seorang yang aktif dalam Kelab Bahasa Melayu.Haji Harman juga seorang pembahas dan pemidato yang handal.
"Dalam satu pertandingan pidato di peringkat daerah, saya pernah menjadi johan dan mengalahkan bekas guru saya," katanya dalam temubual dengan wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Ikuti temubual Utusan Borneo bersama beliau mengenai tugasnya sebagai wakil rakyat, sebagai ketua keluarga, hobi dan harapannya terhadap generasi muda.


UB: Pernahkah Datuk terfikir menjadi YB?
DHHM: Sejak dibangku sekolah lagi, saya memang mengikuti perkembangan politik. Setiap kali ada perjumpaan politik, saya akan hadir. Ketika itu zaman pemerintahan USNO. Saya sering mendengar ucapan-ucapan Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun dan Tun Sakaran ketika itu. Saya tertarik dengan isi-isu ucapan dan pidato yang mereka sampaikan, yang meniupkan semangat untuk membela nasib rakyat dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Dari situlah timbul minat saya dalam politik. Bila saja ada perjumpaan politik di Semporna, saya pasti akan menghadirikan diri.Waktu itu saya masih di sekolah menengah Form 4-Form 5 (Tingkatan 4-Tingkatan 5).

UB: Apa kegiatan Datuk selepas tamat sekolah?
DHHM: Saya bekerja di Telekom. Kemudian aktif politik, waktu itu masih pembangkang. Saya pernah menjawat jawatan Exco Pemuda USNO Pusat selama dua penggal. Saya berjuang bersama rakyat, walapun ketika itu kita masih pembangkang, tetapi ia tidak melunturkan semangat saya. Apabila PBS memerintah, saya dilantik pula sebagai Ketua Anak Negeri (KAN). Tujuh tahun saya menjadi Ketua Anak Negeri. Apabila UMNO bertapak di Sabah, saya terus meletak jawatan dan aktif dalam UMNO sehingga sekarang. Mula-mula saya menjadi AJK Bahagian, pernah tanding jawatan Timbalan Ketua Bahagian tetapi kurang bernasib baik. Walaupun nama saya disebut-sebut menjadi calon sejak 1994, tetapi saya terpilih menjadi calon pada tahun 2008. Saya amat menghargai dan berterima kasih dengan keyakinan Presiden UMNO dan Pengerusi BN, juga kepercayaan yang diberikan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Musa Haji Aman yang memungkinkan saya, dengan kehendak Allah, menjadi wakil rakyat di Sulabayan.

UB: Saya melihat Datuk seorang yang family-oriented. Seorang yang rapat dengan keluarga. Saya fikir ia suatu menarik.
DHHM: Saya rapat bukan saja dengan keluarga yang dekat, malah kerabat yang jauh. Saya rapat dengan seluruh lapisan masyarakat,belianya..., hajinya..., orangtuanya..., semua saya cukup rapat. Itu memang budaya masyarakat di Semporna, yang rapat dengan keluarga mereka, sebagai unit yang tak dapat dipisahkan.Apatahlagi sebenarnya tidak ada orang lain di Semporna, kerana kebanyakan mereka mempunyai pertalian keluarga dan sebagainya.

UB: Bagaimana Datuk mengagihkan masa sebagai ahli politik, wakil rakyat dan ketua keluarga?
DHHM: Saya menetapkan dalam sebulan, dua minggu saya berada bersama rakyat di kawasan saya di Sulabayan. Satu minggu dengan keluarga dan satu minggu lagi adalah masa yang saya peruntukkan untuk berurusan, sama ada di KK atau di KL, yang berkaitan dengan urusan dan kepentingan rakyat. Tiap minggu saya berada di kawasan saya untuk bersama rakyat yang saya wakili.

UB: Bagaimana pula kesibukan dalam bulan Ramadan ini?
DHHM: Sepanjang bulan puasa ini, memang kesibukan saya bertambah.Saya mengunjungi rakyat di enam zon di kawasan saya. Dalam masa yang sama, saya menyampaikan sumbangan peribadi kepada anak yatim, ibu tunggal, golongan fakir miskin...Kira-kira seribu orang.Sebahagiannya merupakan sumbangan Baitulmal . Saya berusaha untuk memastikan semua rakyat yang memerlukan bantuan diberikan bantuan.Mungkin ada yang tercicir tetapi saya cuba untuk memberikan bantuan yang terdaya untuk meringankan bebanan mereka.

UB: Sebagai wakil rakyat, apakah Datuk tidak rasa tertekan dengan pelbagai masalah rakyat?
DHHM: Tanggungjawab sebagai wakil rakyat memang berat, tapi saya tidak pernah merasa tertekan sebaliknya saya berasa seronok melayan mereka. Mereka boleh menghubungi saya 24 jam. Telefon saya sentiasa terbuka.Saya seronok bersama rakyat.

UB: Mungkin Datuk boleh ceritakan apa program-program yang Datuk jalankan di kawasan?
DHHM: Saya telah mengadakan program jelajah kampung. Semua kampung di kawasan saya, saya kunjungi dengan tujuan untuk mendekati rakyat, menyelami masalah-masalah rakyat dan cuba menangani permasalahan yang mereka hadapi. Selain itu, saya dapati rakyat di kawasan saya menerima kepimpinan kerajaan BN.Hasil dari lawatan saya di kawasan Sulabayan, saya mendapati rakyat sepenuhnya menyokong kerajaan yang sedia ada.

UB: Saya difahamkan kawasan Sulabayan adalah kawasan DUN yang terdiri daripada pulau-pulau? Sejauhmana kebenarannya Datuk? Datuk tidak takut jika ada ombak?
DHHM: Saya sudah biasa dengan ombak kerana kawasan Sulabayan adalah sebuah kawasan DUN yang terdiri daripada lebih 100 pulau, yang hanya boleh dihubungi menggunakan perahu atau bot. Ia mungkin satu-satunya kawasan di Malaysia yang terdiri daripada pulau-pulau.Naik bot satu atau dua jam untuk melawat kawasan adalah perkara biasa. Tiada jenis pengangkutan lain kecuali dengan perahu atau botHanya bila ada program di pulau waktu malam, saya meminta bantuan pasukan keselamatan untuk mengiringi rombongan.

UB: Oh ya. Berapa orang anak Datuk? Sudah punya cucu?
DHHM: Dari isteri pertama, Datin Hajah Kamariah bte Sappal, saya dikurnikan enam orang anak, tiga daripadanya sudah berumahtangga. Saya memiliki 10 cucu daripada anak-anak saya. Dengan isteri kedua, Ustazah Nik Norhusnawati Wan Yusof saya dikurniakan seorang anak.

UB: Apa hobi Datuk jika ada masa kelapangan masa?
DHHM: Saya sebenarnya suka bersiar-siar bersama-sama sahabat.Saya membawa sahabat dan rakan-rakan terdekat, berkunjung ke pulau-pulau, berkelah dan sebagainya. Kedua, saya suka membawa keluarga berjalan, melancong ke suatu tempat dan ketiga saya suka membaca buku.

UB: Apa jenis buku yang Datuk suka baca?
DHHM: Saya suka membaca buku buku berkaitan agama, sosio politik dan kemasyarakatan.Saya sentiasa membaca untuk menambahkan pengetahuan jikalau ada masa.

UB: Bagaimana Datuk melihat kepimpinan hari ini?
DHHM: Saya melihat kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan rakyat. Beberapa perubahan yang diperkenalkan mendapat tanggapan positif, sesuai dengan kehendak masa dan keadaan. Manakala kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman pula telah memperlihatkan kemajuan dari segi perkembangan ekonomi. Banyak pembangunan yang telah dibawa. Selain itu, ia juga telah berjaya menanamkan rasa muhibbah, persefahaman, perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Semua ini penting untuk memastikan pembangunan yang berterusan. Rakyat di kawasan Sulabayan menyambut kepimpinan Datuk Najib dan Datuk Musa.

UB: Apa komen Datuk terhadap generasi muda sekarang? Apa harapan Datuk kepada mereka?
DHHM: Generasi muda sekarang berbeza dengan generasi terdahulu.Bagaimanapun, saya yakin mereka peka melihat keadaan. Mereka dapat membezakan mana pemimpin yang betul-betul beramanah dan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat. Saya juga yakin mereka akan terus menyokong kerajaan.