Dalam kamar yang digelapkan, saya cuba menulis entri ini.Di sebelah saya, ialah anak perempuan kesayangan saya, Sitti Mehran Yasmine sedang memerhati dan membetulkan ayat dan ejaan. Dua orang lagi wira, Ahmad Fawzan dan Ahmad Aliff Farhan cuba ditidurkan oleh ibu mereka, isteri saya yang seharian ini agak sibuk dan kelihatan letih. Tapi esok AidilFitri.Emak mertua saya sedang sibuk memasak,sementara isteri sebentar lagi bangun untuk menjahit langsir.
Saya sengaja menulis blog. Buku Novel Naratif Ogonshoto karya Sasterawan Negara, Anwar Ridhwan itu telahpun selesai dibaca. Saya sebenarnya ingin menyiapkan sebuah esei mengenai signifikan Hari Malaysia dengan Pembangunan Negara Bangsa, tajuk yang diberikan oleh editor eksekutif kami untuk disiapkan untuk siaran hari Rabu tapi talian broadband tersekat sekat.
Saya teringat betapa sukarnya mencari bas untuk pulang ke Tawau ketika musim perayaan. Saya tak menempah lebih awal kerana sudah berjanji dengan Haji Hakim untuk pulang bersama ke pantai timur tetapi entah kenapa saya tergamit untuk ke terminal utara awal pagi itu selepas subuh.
Sesampainya di sana, semua bas yang akan ke Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan semuanya penuh. Tapi saya tetap optimis dan yakin dapat tempat pada pagi itu
Dan benar, sewaktu tauke bas itu mengatakan semua bas penuh,saya bertanya juga jikalau-manalah tahu ada orang yang tak jadi berangkat.
Alhamdulillah, kebetulan ada kerusi, no.43, di belakang sekali, yang entah kenapa orangnya tak datang.
Setelah membayar tambang RM75, kemudian saya menaiki bas Manis Liner jam 7.30 pagi menuju Semporna.
Semporna? Kerana bas ke Tawau dah penuh, saya berfikir sesampainya saya di Semporna, saya akan menyambung perjalanan lagi ke Tawau.
Dalam separuh masa perjalanan itu saya sengaja tidur. Jarang sekali saya memilih waktu pagi hari untuk ke Tawau. Biasanya saya suka perjalanan malam atau kalau tidak pun penerbangan akhir Air Asia. Saya terlepas melihat puncak gunung Kinabalu, yang tersergam, luar biasa indahnya itu.
Setibanya di Telupid, dan setelah bas berhenti, saya mengambil kesempatan ke tandas. Biasanya ada makan tengahari untuk penumpang, tetapi kebanyakan orang berpuasa. Selepas itu, dalam sisa perjalanan itu saya menghabiskan novel Naratif Ogonshoto itu.
Orang sentiasa mencari api walaupun api panas.Orang sentiasa mencari mawar walaupun tangkainya berduri. Itu adalah antara kata-kata dalam novel Dr.Anwar Ridhwan, novel sasterawan negara yang memenangi tiga hadiah itu.
Isnin, 29 Ogos 2011
catatan malam raya 1432 1
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:14 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)