BARANGKALI tidak ramai yang tahu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Japlin Haji Akim gemar memukat ikan ketika lapang sebagai salah satu terapi untuk meredakan tekanan kesibukan harian. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan ini sentiasa memastikan dapat bersama keluarga setiap hujung minggu. Sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan denyut nadi masyarakatnya, beliau adalah antara pemimpin muda yang sentiasa turun padang untuk bersama rakyat.
Anak bungsu daripada lapan adik beradik, Japlin memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Jawi-Jawi pada tahun 1973. Kemudian beliau menduduki sekolah menengah rendah di SMK Taun Gusi dan menjadi antara pelajar terbaik dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan empat dan lima di SMK Menggatal, salah satu sekolah terbaik ketika itu. Kemudian beliau memasuki program pendahuluan selama satu tahun di Universiti Pertanian Malaysia (UPM-kini Universiti Putra Malaysia) dan setelah itu, mengikuti pejaran di peringkat diploma pertanian. Tetapi kerana keputusan yang cemerlang di peringkat diploma, beliau ditawarkan mengikuti pengajian dalam bidang Perniagaan Tani di universiti yang sama.
Pada tahun 1989, ketika berusia 21 tahun, beliau dilantik sebagai Pegawai Pembangunan Sumber Manusia di Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dan kemudian dilantik sebagai Pengurus Projek KPD. Pada tahun 1994, beliau berpindah kerja di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan dilantik sebagai Ketua Unit Perniagaan Tani sehingga beliau dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya 2004 dan menang kerusi Usukan dengan majoriti 1,750 undi. Pada pilihanraya umum 2008, beliau menang lagi di kerusi DUN Usukan dengan majoriti yang bertambah tiga kali ganda iaitu 4,023 undi.
Dalam bidang politik, beliau terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Kota Belud pada tahun 2001 dan kemudian pada tahun 2004, selepas menang kerusi DUN Usukan, beliau dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Sabah. Japlin dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan kemudian pada tahun 2008, beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur sehingga sekarang.
Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk bersembang-sembang dengan beliau sambil minum petang di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, petang kelmarin. Ikuti temubual yang dilakukan secara santai mengenai pengalaman ketika bersekolah, hobinya yang gemar memukat, dan sebagainya.
UTUSAN BORNEO: Terima kasih Datuk kerana sudi ditemuramah. Boleh ceritakan sedikit latar belakang keluarga Datuk?
DATUK JAPLIN HAJI AKIM (DJHA): Saya anak bungsu dari lapan adik beradik. Anak kelapan, dalam bahasa Bajau kelapan, hampir sama bunyinya dengan kealapan.Alap ertinya baik. Jadi saya anak kelapan. Ayah saya Haji Akim Awang Hassan adalah bekas imam kariah di Kampung Kesapang Kota Belud manakala ibu saya, puan Atah bte Talib, seorang surirumah. Ayah dan ibu saya bekerja sebagai petani.
UB: Apa perbezaan kualiti pelajar dulu dengan pelajar sekarang, menurut pandangan Datuk?
DJHA: Dulu orang belajar untuk pandai. Apa yang lebih diutamakan ialah kemahiran hidup. Sekarang orang belajar untuk lulus perperiksaan. Dulu seorang pelajar mahir dalam banyak bidang kehidupan. Misalnya mereka boleh bertani, boleh menangkap kerbau, boleh memanjat kelapa, boleh mengetam padi dan sebagainya. Mereka berdikari. Yang paling ketara ialah kemahiran hidup.
Ketika itu kebanyakan ibubapa butahuruf.Jadi jarang kita dengar ibubapa bertanya anak-anak mereka dapat gred berapa? Gred 1? Gred 2? Gred 3? Jadi kejayaan anak-anak bergantung kepada kemahuan mereka untuk belajar. Walau bagaimanapun, dari aspek lain, dimana saja mereka dilepaskan, mereka boleh hidup.Mereka boleh `survive'.
UB: Sebagai anak petani, boleh kongsikan sedikit pengalaman sewaktu menuntut di Universiti?
DJHA: Ketika di universiti, mungkin kami pelajar paling miskin ketika itu. Berkat ketabahan, kegigihan, ketekunan, saya dapat juga menghabiskan pelajaran walaupun datang dari keluarga yang susah. Sewaktu di universiti, kami hanya menerima biasiswa lebih kurang RM4,000. Dengan duit itu, kami membayar yuran pengajian, makan, buku buku dan sebagainya. Kalau cuti, kami menyewa beramai-ramai kerana kadang-kadang tidak dapat balik kampung. Memang waktu belajar, pengalaman paling getir tapi kemiskinan bukan satu halangan untuk kita berjaya dan cemerlang dalam pelajaran. Asal kita punya kesungguhan, kita boleh berjaya.
Terdapat beberapa pelajar dari Sabah di UPM, Saidi Dikam, Milus Shuaib, Justina Inggihon (kini di SEDCO), Ramli Kasin (di Lembaga Koko Malaysia), Zainurin Sahat, Haji Liasin Kaloh juga, adalah rakan satu angkatan dengan saya.
UB: Apa sukan yang Datuk minati sewaktu di Universiti?
DJHA: Sewaktu di Universiti saya aktif dalam bolasepak. Selama empat tahun disana, saya sering menyertai perlawanan bolasepak. Rakan-rakan selalu meminta saya untuk menjadi goalkeeper. Jadi selama empat tahun itu, saya menjadi penjaga gol. Tapi memang posisi penjaga gol itu menjadi kegemaran saya, walaupun tidak banyak bergerak di padang tetapi memainkan peranan penting dalam sesuatu perlawanan.
UB: Pernahkah Datuk terfikir menjadi YB (Yang Berhormat)?
DJHA: Menjadi wakil rakyat langsung tidak pernah terlintas di benak saya. Saya tidak pernah terbayang menjadi YB. Ketika remaja dulu, saya seorang pendiam, tidak banyak bercakap, ada juga unsur-unsur pemalu, jadi saya tak pernah terfikir. Tetapi saya telah menetapkan matlamat bahawa pada usia 35 tahun saya memasuki dunia keusahawanan atau perniagaan. Ketika berusia 21 tahun, saya telah menjadi pegawai divisyen A, antara yang termuda waktu itu. Jadi saya hanya terfikir untuk menjadi peniaga atau pengusaha. Tapi entah bagaimana, saya ditakdirkan menjadi wakil rakyat, memikul amanah untuk berkhidmat kepada rakyat sebaik-baiknya.
UB: Apa cita-cita Datuk sewaktu kecil dulu?
DJHA: Saya tak ingat.saya hanya ingin bersekolah di luar Sabah.Anehnya, tempat yang ingin saya pergi ialah Sarawak.Barangkali itulah keinginan saya ketika kecil. Tetapi saya percaya jika kita memiliki cita-cita, cepat atau lambat kita akan dapat mencapainya.Kalau kita ingin mencapai sesuatu, mungkin tidak sekarang, tapi lambat laun kita akan mencapainya.
UB: Tentu sebagai seorang pembantu menteri, seorang wakil rakyat, Datuk sentiasa sibuk? Apa yang datuk lakukan jika ada masa lapang?
DJHA: Jika difikir betul, hampir tidak ada masa lapang. Kebanyakan masa digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat di kawasan. Bagaimanapun, saya menentukan bahawa dalam satu minggu saya mesti bersama keluarga. Itu peraturan diri sendiri, satu disiplin agar dapat bersama keluarga.
UB: Ini bermakna setiap minggu Datuk bersama keluarga. Berapa anak Datuk? Yang sulung tingkatan berapa?
DJHA: Anak saya yang sulung, Farwizah Adawiah bersekolah di SMK Kolombong, menduduki SPM tahun ini. Farwizah mendapat 8A dalam PMR dan 5A dalam UPSR. Yang kedua, Mohd.Hafif, 4A dalam UPSR, Syazwani, Tahun 5 dan Hamizah, tahun 4. Saya berumahtangga dengan Datin Wini Ah Chai.
UB: Ada hobi yang lain?
DJHA: Ya, jika ada masa lapang, saya gemar memancing ikan. Itu cara saya untuk berehat. Kalau tidakpun, saya sembunyi-sembunyi `ngeringgi' atau memukat ikan, yang saya minat sejak dulu. Ngeringgi atau memukat ikan, walaupun dapat ikan yang kecil tetapi amat melegakan.
UB: Siapa pemimpin yang Datuk kagumi sewaktu dulu?
DJHA: Antaranya Datuk Seri Utama Dr.Rais Yatim. Saya juga mengkagumi ketokohan Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia kerana kepimpinan dan keberaniannya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohammad, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, juga Datuk Musa Haji Aman sendiri kerana kebijakannya mengurus ekonomi negeri, dan banyak lagi yang lain.
UB: Ketika sekolah dulu, siapa cikgu yang menjadi idola?
DJHA: Cikgu yang tidak boleh saya lupa ialah Cikgu Nurajim kerana beliau rajin bercerita. salah satu ceritanya yang menarik ialah cerita awang pantat tajam, awang keras kaki, awang tahi mata segantang menaiki perahu. Cerita itu sangat menarik bagi kami yang waktu itu masih dalam sekolah rendah.Kami tertarik kerana kelucuan dan juga kerana cerita itu, walaupun lucu mengandungi iktibar untuk direnungkan. Itu sewaktu sekolah rendah di SK Jawi-Jawi. Kemudian di Sekolah Menengah Rendah (SMRK Taun Gusi), antara cikgu yang saya ingat ialah arwah Cikgu Matlin Jadi yang terkenal kerana ketegasannya, Cikgu Mansor Daud yang mendidik dengan penuh disiplin dan Cikgu Ricky Soh. Ketika melanjutkan pelajaran di SMK Menggatal, ketika itu antara sekolah terbaik, saya ingat Puan Hamidah, penolong pengetua, juga Dr.Hamdan Haji Mohammad, ketika itu pengetua SMK Menggatal. Di Universiti Pertanian Malaysia, antara pensyarah yang saya ingat ialah Prof.Dr.Kamaruddin Kachar, Dr.Nordin Kardi juga pernah menjadi guru kami.
UB: Apa nasihat ayah Datuk yang masih dipegang sampai sekarang?
DJHA: Beliau menasihatkan agar kami sentiasa berbuat baik pada orang. Jadilah orang yang baik. Jangan cari musuh.
UB: Apa komen Datuk terhadap golongan belia yang memilih kerja?
DJHA: Peluang terbuka luas.Kerja ada dimana-mana.Rezeki bertebaran di bumi Allah ini.Cuma tinggal kita saja untuk mencari jalan dengan berusaha. Mesti ada keinginan, ketekunan, kegigihan mencari peluang yang ada.Jangan cepat berputus asa. Tak semestinya keraja dengan kerajaan.Menerokai bidang keusahawanan, perniagaan, pertanian boleh juga mendatangkan rezeki yang lumayan. Saya tidak percaya tiada peluang kerana kalau tidak ada peluang untuk kehidupan atau masa depan yang lebih baik, takkanlah orang luar atau orang asing datang bekerja dan mencari rezeki di sini.