Khamis, 21 Julai 2011

Mengapa kita gentar dan Surat Tun Said

Tags


Kalau orang lain berani mempertahankan kebatilan dan kemungkaran,mengapa kita gentar mempertahankan yang benar?

Dalam surat bertarikh 25 Jamadilakhir 1400/10 Mei 1980 itu, Tun Datuk Haji Mohd.Said Keruak (ketika itu Tan Sri) bertanya kepada masyarakatnya, mengapa kita gentar mempertahankan yang benar?

Mengapa kita yang mempertahankan yang benar, harus merasa gentar? Kalau orang lain berani mempertahankan kebatilan dan kemungkaran, mengapa kita gentar mempertahankan yang benar? Saya mengulang-ulang kata-kata bijaksana yang diucapkan oleh seorang pemimpin, Tun Said, ketika itu Presiden USNO.

Beliau melihat bahawa banyak kebatilan dan kemungkaran berlaku pada ketika itu. Kebatilan dan kemungkaran yang dipertahankan dengan beraninya oleh kalangan tertentu. Mengapa kita yang mempertahankan kebenaran harus merasa takut atau gentar, tanyanya.

Cuma saya tidak pasti apakah bentuk kebatilan atau kemungkaran yang berlaku pada masa itu. Apakah kebatilan politik atau apakah kemungkaran yang dilakukan pada zaman itu.

Surat yang ditulis kira-kira 31 tahun yang lalu itu ditujukan kepada "Semua masyarakat pendudok Khas-nya dan Kota Belud Am-nya".

Mengapa surat itu ditujukan kepada semua masyarakat? Mungkin kerana pada hari itu atas kapasitinya sebagai presiden sebuah parti USNO, pembangkang di peringkat negeri dan anggota BN di peringkat Persekutuan- membuat lawatan ke Kampung Pantai Emas yang sudah tentu diramaikan oleh kehadiran dari Kg Peladuk, Kg.Bala Liang khasnya dan Kota Belud amnya dan beliau berharap lawatannya itu "Semoga mendapat sukses dalam perjuangan umat Islam dimasa yang akan datang"

"Berjuang untuk agama,berkhidmat untuk negara,kemenangan untuk umat Islam" katanya sambil menyebut bahawa "Li Allah kalimatillah".Demikianlah harapan masyarakat umat Islam Kota Belud amnya.

Saya tidak pasti apa hasil lawatan beliau pada 10 Mei 1980 itu. Menurut cerita, pada majlis perjumpaan yang diadakan pada hari itu, satu persefahaman yang dinamakan Formula 2:1:1 ditandatangani oleh Penasihat Badan Penyelaras Suku kaum Iranun, Sharif Perais Haji Sharif Baba dengan Tun Said Keruak (kini Allahyarham).

Sejauh mana kebenaran cerita itu, boleh dibuat kajian yang lebih banyak lagi .Tetapi Formula 2:1:1 itu itulah yang dikatakandiguna pakai semasa pilihanraya kecil N7 Usukan pada tahun 1982 dan Pandikar Amin Haji Mulia (kini Tan Sri) menjadi calon USNO menggantikan tempat Tun Said.

Sejarah mencatatkan yang selebihnya, Tetapi yang paling menarik bagi saya ialah kata-katanya yang menyeru agar masyarakat tidak gentar untuk memperjuangkan kebenaran. Kalau mereka yang batil pun berani memperjuangkan kebatilan dan kemungkaran mereka, kenapa pula kita kecuttakut dan gentar memperjuangkan kebenaran.

Persoalannya ialah apakah kebenaran 31 tahun lalu itu sama dengan kebenaran pada masa sekarang? Apakah yang benar dulu, benar pada masa sekarang. Tapi nilai nilai benar, adil tidak berubah.Setiap yang benar dan adil, pasti membawa kebaikan, apatah lagi kalau kita berjuang demi Allah semata-mata, demi menegakkan kalimatNya.

Surat beliau ini perlu direnung oleh generasi masa kini.Pengkaji sejarah barangkali belum terlambat untuk mengkaji latar belakang dan suasana zaman pada ketika itu sehingga Tun Said menurut satu surat yang bersifat umum kepada masyarakatnya.

Apapun, paling penting bagi kita, dan ini saya merasa yakin dan pasti bahawa kita hendaklah berani memperjuangkan yang benar. Kalau orang lain berani meperjuangkan kebatilan dan kemungkaran, mengapa harus kita gentar memperjuangkan yang benar?