LARAPAN YANG PENUH HARAPAN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
MATAHARI sedang tegak di atas ubun-ubun ketika kami singgah sebentar di Paglatunan eLarapan. Pusat telecentre yang menghubungkan penduduk pulau Larapan dengan komuniti global itu, mungkin merupakan salah satu pusat internet desa yang dibina di negeri ini.Pusat itu membolehkan masyarakat pulau itu mengakses internet 24 jam secara percuma dengan menggunakan tenaga solar.
"Ai habbal?" saya bertanya khabar kepada anak remaja yang sedang sibuk mencari Ronaldinho menggunakan enjin carian google. "Alap", katanya yang bermaksud baik dalam bahasa Bajau. Hampir keseluruhan 1,365 penduduk pulau itu terdiri daripada etnik Bajau Kubang, yang merupakan salah satu etnik Bajau yang berasal dari Semporna.
Pulau Larapan merupakan salah satu daripada 49 buah pulau yang terletak di daerah Semporna. Ia boleh dihubungi menggunakan bot kira-kira 15 hingga 20 minit dari pekan Semporna. "Itu kalau kita menggunakan enjin 40 hp," kata Penghalapan Haji Abdul Rahman Labatan, salah seorang ketua masyarakat di pulau itu. "Tapi kalau kita menggunakan enjin 70 kuasa kuda, tempoh perjalanan yang ditempuh hanya 7 hingga 10 minit," katanya lagi.
Penghalapan Haji Abdul Rahman merupakan salah seorang penduduk asal di pulau itu. Beliau merupakan anak kepada Penghalapan Labatan. Penghalapan Labatan adalah anak Penghalapan Musta'bal. Atuknya, Penghalapan Musta'bal merupakan anak kepada Penghalapan Asbarang manakala Penghalapan Asbarang adalah anak kepada Penghalapan Kayamin.
Gelaran Penghalapan diberikan kepada Kayamin oleh Sultan Sulu ketika sebahagian wilayah Sabah berada di bawah kuasa kesultanan itu. Penghalapan yang bermaksud `orang yang boleh dipercayai' dan diberikan kepada ketua masyarakat di Pulau Larapan, yang didiami pada mulanya oleh hanya lapan keluarga.
Sejak itulah keturunan Haji Abdul Rahman dipanggil Penghalapan. Barangkali kerana gelar Penghalapan atau orang kepercayaan itu, beliau merasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan nama Pulau Larapan beserta segala cerita kisah kehidupan masyarakat di pulau yang agak terpencil itu.
Beliaulah yang mengajak Utusan Borneo untuk datang melihat proses pembangunan yang sedang berjalan lancar di pulau itu.Sebaik mendarat, beliau membawa saya melihat dewan serbaguna yang baru siap dua minggu sebelum itu.
Dewan yang tersergam megah itu, tidak syak lagi merupakan salah satu mercutanda di pulau itu. Penduduk kampung kini gembira kerana inilah pertama kami mereka menikmati kemudahan dewan serbaguna yang bernilai RM360,850.
Haji Abdul Rahman kemudian membawa saya melihat jeti pendaratan yang hampir siap. Jti sepanjang 1,500 kaki itu berharga RM580,594. Saya dapat membayangkan suasana senja yang romantik jika duduk di penghujung jambatan sambil memancing ikan. Alangkah baiknya jika diadakan program inap desa di pulau yang cantik itu. Kepada saya, Haji Abdul Rahman memberitahu bahawa beliau sedang merancang untuk memajukan industri inap desa (homestay) di kampung itu.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 10 buah rumah untuk rakyat termiskin berharga RM475,000 sedang dibina dan dijangka siap tidak lama lagi.Pembinaannya sedang rancak dijalankan sementara lorong pejalan kaki berharga RM95,000 juga dibina untuk meningkatkan kemudahan perhubungan di pulau Larapan.
"Semua ini adalah berkat keprihatinan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd.Shafie Apdal yang meluluskan peruntukan untuk meningkatkan kemudahan prasarana di pulau Larapan," kata Haji Abdul Rahman sambil menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Parlimen Semporna itu. Beliau berkata, Datuk Shafie menunjukkan komitmen yang tinggi untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan penduduk bukan saja di pulaun itu, malah di kawasan-kawasan luar bandar di seluruh negeri.
"Tidak lupa, masyarakat Pulau Larapan juga mengucapkan terima kasih kepada Haji Razak Tun Sakaran yang bersusahpayah membantu penduduk pulau dengan mengajukan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat Pulau untuk perhatian Datuk Shafie," kata Haji Abdul Rahman lagi.
Menurutnya, jika tidak ada aral melintang, semua kemudahan prasarana itu akan dirasmikan secara serentak, mungkin satu atau dua bulan lagi sebaik siap sepenuhnya.
Selain itu, di Pulau Larapan juga dibina perpustakaan desa sejak 8 tahun lalu.Bagaimanapun, perpustakaan itu belum dapat digunakan oleh penduduk kampung. Namun Pusat Telecentre yang menggunakan tenaga solar hibrid kini sudah berfungsi.
Kemudahan itu dihasilkan menerusi penyelidikan Pusat Kecemerlangan Informatik Luar Bandar UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak), dengan pembiayaan Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi manakala sistem tenaga surianya dibiayai oleh Kerajaan Jepun, kata Pengarah Projek, Dr.Mohd.Faizal Syam Abdol Hazis ketika dihubungi Utusan Borneo melalui telefon.
"Pusat Telecentre yang menggunakan tenaga solar di Pulau Larapan ini membolehkan penduduk setempat mengakses Internet secara percuma," katanya.
Kemudahan tersebut dihasilkan menerusi penyelidikan Pusat Kecemerlangan Informatik Luar Bandar Unimas, dengan pembiayaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala sistem tenaga surianya dibiayai oleh kerajaan Jepun.
Dr.Mohd.Faizal berkata menerusi kemudahan itu penduduk Larapan boleh berhubung dengan dunia luar setiap ketika. Menurutnya selain Paglatunan eLarapan, tiga telecentre juga dibina dalam Rancangan Malaysia ke-10 iaitu di Bario (eBario), di Lamai (eLamai) kedua-duanya di Sarawak dan di Buayan (eBuayan) di Sabah.
Meskipun Larapan memiliki lanskap yang menakjubkan tetapi pulau itu masih merupakan salah satu pulau termiskini di Semporna. Terdapat dua kampung di Pulau itu iaitu Kampung Larapan Hujung dan Kampung Larapan Tengah.
Kegiatan ekonomi utamanya ialah aktiviti perikanan. Sebahagian bekerja di ladang penternakan mutiara manakala ada diantara kaum wanitanya mengusahakan IKS untuk membantu keluarga.
Memang masih banyak permasalahan yang dihadapi penduduk di kampung itu. Haji Abdul Rahman memberitahu pada selain tidak adanya pusat kesihatan, penduduk juga masih bergantung kepada generator untuk tenaga elektrik kerana tenaga solar belum dapat berfungsi sepenuhnya.
Beliau juga memberitahu, penduduk-penduduk kampung pulau Larapan terpaksa membeli air untuk keperluan harian mereka.Mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk membeli air, dan dengan pendapatan yang terhad itu, penduduk Larapan mengharapkan kerajaan untuk membantu meringankan masalah yang mereka hadapi.
Utusan Borneo menyaksikan anak-anak prasekolah belajar dengan tekun di beranda sebuah rumah yang diubahsuai untuk kelas KEMAS.Guru mereka, Marlina Bulkani mengajar anak-anak itu sehingga mampu menulis,mengira dan membaca, sementara pelajar-pelajar kelas KAFA juga masih belum dapat bangunan sendiri.
Paling mengejutkan barangkali ialah jumlah anak-anak yang tercicir dalam menduduki bangku persekolahan yang semakin bertambah. "Tuan, tulislah mengenai masalah kami, banyak budak-budak kami yang `menganggur'", kata Puan Rosnah Pagtal. Rakannya, Puan Rafiah Talgit mengiakan. Mulanya saya fikir, istilah menganggur itu ditujukan kepada para belia menganggur sebagaimana lazimnya yang kita fahami.
Tetapi beliau memberitahu ramai anak-anak berusia 10 hingga 12 tahun ke atas terpaksa `menganggur' kerana terpaksa menghentikan persekolahan mereka di tengah jalan.
Penyebabnya ialah kerana arahan Jabatan Pelajaran yang meminta supaya anak-anak yang memasuki tahap dua atau tahun empat ditempatkan di Sekolah Berpusat Di Pulau Bum-Bum.
Akibatnya, menurut satu sumber, daripada 25 murid yang sepatutnya menduduki tahun empat di sekolah berpusat itu, hanya tiga orang yang mendaftarkan diri.
Sejak anak-anak pulau Larapan dikehendaki menduduki tahap dua di Sekolah Berpusat di Pulau Bum-Bum kira-kira lapan tahun lalu, semakin banyak anak-anak pulau itu terpaksa menghentikan persekolahan setakat tahun tiga.
Di Pulau Larapan, terdapat sebuah sekolah yang cantik dan mempunyai kelengkapan yang memadai. Tetapi hanya pelajar tahap satu iaitu dari tahun satu hingga tiga yang menduduki bangku sekolah di Pulau Larapan.
Sebaik memasuki tahun empat, pelajar-pelajar dikehendaki menyambung persekolahan ke Pulau Bum-Bum. Terbukti kemudian, langkah yang diambil itu amat membebankan ibubapa. Mereka tidak sanggup menghantar anak mereka yang masih kecil untuk berjauhan dengan ibubapa.
"Mereka masih kecil tuan. Ada diantaranya masih kencing di tilam.Mereka tidak mendapat penjagaan rapi di sana," kata Puan Rosnah. Selain usia yang masih kecil, kanak-kanak itu masih belum mampu mengurus diri sendiri.
Menurut Puan Rosnah, ibubapa juga tidak mampu menghantar anak mereka ke Pulau Bum-Bum.Sebabnya kerana mereka terpaksa mengeluarkan RM60.00 untuk tambang bot ke sana."Lain lagi tambang kereta dari jeti di Balimbang hingga ke SK Bum Bum iaitu RM40.00", katanya. Pernah beberapa kali, ketika mengambil anak mereka di Pulau Bum-Bum pada perang Jumaat, mereka terpaksa berjalan kaki ke Tundun.Sampai di Tundun mereka meminta ihsan untuk dihantar ke Balimbang dan sampai hampir tengah malam di Pulau Larapan.
"Keadaan begitu, amat menjejaskan kehidupan kami," katanya. Anak-anak takut dan ibubapa bimbang kerana setiap kali anak-anak itu terdedah kepada bahaya dilambung ombak kuat, yang sesekali melanda daerah kepulauan itu.
Guru Besar SK Larapan, Abdul Maid Hamzah mengakui sering menerima keluhan ibubapa yang mahukan anak-anak mereka diberi peluang melanjutkan persekolahan hingga tahun enam di sekolah itu seperti dahulu. "Kami juga telah menghantar surat untuk memaklumkan pihak kementerian mengenai permintaan ibubapa tetapi setakat ini belum ada jawapan," katanya.
Jumlah anak-anak yang tidak dapat meneruskan persekolahan di Pulau Larapan bertambah dari tahun ke tahun. Sejak lapan tahun lalu, ibubapa telah menyatakan keberatan mereka terhadap langkah kerajaan itu kerana bagi mereka ia tidak banyak membantu meningkatkan kecemerlangan.
"Apa yang pasti keputusan kerajaan itu telah menyebabkan ramai anak-anak tercicir dari pelajaran," kata salah seorang ibubapa yang berhimpun di bawah pokok kelapa meminta agar masalah mereka dapat dibaca dan diketahui oleh pihak atasan. "Kalau boleh kami merayu anak-anak kami dibenarkan bersekolah di SK Larapan kerana kami agak sedih melihat mereka `menganggur' dalam usia yang begitu muda iaitu 10 tahun," katanya.
Larapan memang sebuah sebuah pulau agak terpencil tetapi penuh harapan. Harapan untuk kemajuan dan pembangunan.Harapan untuk masa depan yang cerah dan kehidupan yang sejahtera. Tetapi bagi anak-anak yang tercicir daripada pelajaran itu, mungkin mereka tidak berpeluang mengeja harapan dan masa depan di Pulau Larapan.
Utusan Borneo 20/1/2011