Sabtu, 22 Januari 2011

Lantak paku jambatan jipun

Tags

Politik bukanlah seperti `lantak paku jambatan jipun'.
Saya sudah lama tidak mendengar ungkapan ini. Apabila seseorang berkata bahawa sesuatu perkara itu sudah `lantak paku jambatan jipun', itu bermakna tidak ada lagi perundingan atau dengan kata lain, tak ada lagi kompromi.
Seumur hidup saya, sekarang sudah 42, saya belum pernah melihat apa yang dikatakan jambatan jipun (Jepun) itu. Di Kota Belud, tempat kelahiran saya, kami hanya pernah melihat jambatan yang didirikan tentera Australia dan sekutunya, yang kini telahpun diganti dengan yang baru.
Dengan itu, saya tidak dapat membayangkan bagaimana kukuhnya paku yang dilantakkan ke jambatan jipun, atau apakah jambatan jipun itu sedemikian kuatnya sehingga tidak boleh runtuh?
`Lantak paku jambatan jipun' boleh diertikan sebagai tak ada lagi sebarang bentuk kompromi.
Tapi sejarah membuktikan bahawa dalam politik, tak ada yang namanya jambatan jipun.Kita dengan mudah dapat melihat betapa cepatnya perubahan, orang berubah atau dirubah oleh keadaan di sekililingnya.Hakikatnya bagi yang tak lebur dengan waktu akan dipatahkan oleh waktu.
Tapi politik, tegas seorang mentor saya, bukanlah `lantak paku jambatan jipun'.
Mungkin kalau jambatan lain, paku yang dipasang untuk binaan mudah dibuka, tetapi tidak begitu bagi `jambatan jipun'.
Ungkapan `lantak paku jambatan jepun' ini sangat popular di kalangan orang orang dulu atau orang dulu-dulu. Memang ada beza antara orang-orang dulu yang menekan `orang' dibandingkan dengan orang dulu-dulu yang menekankan dulu.Tapi sama ada orang-orang dulu atau orang dulu-dulu, pernah mendengar mengenai ungkapan `lantak paku jambatan jipun'.
Jika dikaji, ungkapan orang lama itu juga mengandungi keperitan dan kepayahan memukul paku di atas jambatan jipun atau dibina di zaman jepun atau dimanduri oleh tentera Jepun.
Ia bukan semata ungkapan biasa, tetapi mengandungi juga kepedihan-kepedihan dan kesakitan kesakitan.
Akibatnya, orang yang mengalaminya tak mengenal kompromi. Tapi politik sesuatu yang fleksible, sesuatu yang bermain dengan segala kemungkinan atau ada orang menyebutnya permainan segala kemungkinan.
Kerana itu, politik memang bukan lantak paku jambatan jipun.
Apakah itu juga bermakna bahawa politik adalah sesuatu yang mudah berubah, tidak boleh dipercayai,dipenuhi oleh petualang-petualang politik, tidak teguh pendirian dan sebagainya.
Lama nian saya tak mendengar ungkapan `lantak paku jambatan jipun'.
Sewaktu mentor saya mengatakan itu, saya teruja untuk mencari makna disebalik kata-katanya.