Selasa, 16 November 2010

Catatan dari Makati

Tags

Pesawat Air Asia AK6264 mendarat dengan sempurna di Lapangan Antarabangsa Diosdado Macapagal Clark kira-kira jam 4.00 petang.
Cuaca agak cerah tetapi wajah wajah anggota rombongan dari Sabah kelihatan lebih cerah lagi.
Sebaik turun dari tangga kapal terbang, kami mengambil kesempatan untuk bergambar berlatarbelakangkan bangunan terminal Diosdado Macapagal International Airport.

Lapangan terbang itu kelihatan luas kerana ia pernah menjadi pengkalan tentera udara Amerika Syarikat ketika ia menempatkan ketumbukan tentera di rantau Asia Tenggara.

Bagi saya, inilah pertama kali menjejakkan kaki ke Filipina, negara yang pernah melahirkan seorang nasionalis bernama Dr.Jose Rizal.Beliau mati ditembak di hadapan tentera sepanyol, dan sempat mengarang puisi Mi Ultimo Adios, (selamat tinggal yang terakhir).Rizal yang dikenali sebagai doktor,seniman, arkited, enolog, sasterawan, penyair,ahli pertanian, sejarahwan,wartawan, ahli ekonomi,pendidik dan sebagainya serta menguasai 22 bahasa di dunia mati ketika berusia 35 tahun di Dapitan, Zamboanga.

Saya sedang berhadapan dengan pegawai imigresen ketika menyedari bahawa tidak mungkin lagi dapat menemui Jose Rizal,pahlawan yang mengakui dirinya patriot Melayu itu.

Sebaliknya, saya melihat Speaker Parlimen Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Pandikar Amin Haji Mulia sedang duduk berbicara dengan VIP yang menyambut kami.Turut berada di lapangan terbang ialah wakil dari kedutaan Malaysia di Manila, dan pegawai ARMM.

"Anong Pangalan mo?" Saya bertanya wanita yang menyambut kami itu.
"Kashmir", katanya.Kashmir Pangandaman, beliau anak saudara mantan senator Lininding Pangandaman. Ibunya orang ilocano, tapi ayahnya orang Maranao. Dia tidak lagi mampu berbicara dengan baik dalam bahawa Maranao sebaliknya mengajak kami berbahasa Inggeris.

Tidak lama kemudian kami meloncat ke dalam kenderaan yang disediakan.Hampir tersilap juga kerana stering kereta di Filipina terletak di sebelah kiri, dan bukan sebelah kanan seperti di negara kita.

Datu Rauf memecut laju di jalanraya dan kira-kira jam 5.30 petang kami sampai di Greenhills, San Juan City ditengah-tengah kesesakan lalulintas yang luar biasa juga.

Sepanjang jalan itu, kami sempat mendengar bayuk OKK Haji Masrin dan makin tertarik dengan keindahan bahasa Iranun.Datu Rauf memecut laju di jalanraya dan kira-kira jam 5.30 petang kami sampai di Greenhills, San Juan City ditengah-tengah kesesakan lalulintas yang luar biasa juga.

Di sana terdapat restoran orang Islam. Kami makan di Ranao Halal Food milik abdulghaffar Macabantog. Kami terus makan kerana agak lapar.Apatah lagi masakannya yang sedap. Ada Kamuh (gulai nangka), ayam, udang dan sebagainya, tetapi saya memilih makan ikan bungkaung (ikan pelihara seperti tilapia).

Tiba-tiba masuk seorang yang seperti saya kenal dan terus berjumpa dengan Tan Sri Pandikar dan kemudian pakcik Pinjaman Hassin.

Saya mengambil gambar dari dekat dan cuba memastikan siapa gerangan beliau itu.
Selepas melihat saya, barulah saya yakin bahawa beliaulah orangnya. Kami berpelukan.
Lama tidak berjumpa Prof.Dr Ahmad E Alonto Jr. Saya teringat satu peristiwa dimana saya menyambutnya di lapangan terbang KK sekembalihya dari Johor. Kami mencari hotel tetapi kebanyakan hotel penuh, tetapi beliau dengan rendah hati sudi tinggal di Rumah Tumpangan Aminah meskipun beliau itu seorang profesor dan seorang tokoh dan pernah pula menjadi orang penting di Mindanao State University (MSU).

Selepas makan, saya sempat berkenalan dengan Rashid Rosete, orang Maranaw yang pernah belajar lapan tahun di Chicago. Beliau mampu berbahasa Melayu dengan begitu baik kerana pernah tinggal di Kuala Lumpur.Uniknya, Rashid ini belajar silat gayung di Amerika.

Kami berkira-kira untuk solat aidil adha di Quiapo. Barangkali tidak selalu solat raya di negeri orang, jadi kami ingin ke Grand Mosque untuk solat aidil adha.

Namun rupa-rupanya, hari raya haji disambut awal satu hari di Filipina dan orang-orang Islam sudah menunaikan solat pagi harinya, dan sejak Presiden Aquino, sambutan hari raya haji dijadikan cuti umum.

"Di sini, tidak diperbolehkan lagi membunyikan wang-wang.Presiden Noynoy tidak mahu wang-wang atau siren dibunyikan.Presiden itu selalu ke istana presiden tanpa siren dari pasukan pengawalnya.

Itu sebabnya, kereta yang kami naiki itu berjalan agak terseok-seok. Meskipun di jalanan itu kelihatan juga jeepney dan tamaraw, yang menjadi salah satu pengangkutan utama di negara itu.

Akhirnya kami sampai di hotel Ascott Makati. Menginap di tingkat 23, menghadap kota Makati yang malamnya bergemerlapan.

Tak ada istilah malam di sini, cikgu, kata OKK Haji Masrin kepada Cikgu Ismail. Bilik yang kami tempati cukup luas, tiga bilik tidur besar, banyak pula tandasnya, lebih luas dari apartmen di Marina Court, KK dengan harga 9,000 peso satu malam.

"Tiga puluh orang pun boleh muat dalam hotel," katanya lagi, yang sudah cukup berpengalaman kerana sering berulang alik ke Manila sejak 1977.

Banyak juga ucapan Selamat Hari Raya Aidil Adha yang diterima, tapi semuanya tak dapat dijawab kerana ketiadaan kredit.Simkad di manila belum dapat dibeli kerana agak jauh tempatnya.

Diluar sana malam bergemerlapan, tapi ingatan ini hanya untukmu.

3 comments

Salam Sdra,

1. Satu pengalaman yang cukup indah dan dicatatkan dengan begitu baik pula.

2. Saya percaya sdra telah mengenali TSPA dengan akrab sejak sekian lama. Maka, barangkali ada faedahnya andai sdra dapat menulis sesuatu mengenai "TSPA yang sdra kenali"... Seorang pemimpin besar seperti TSPA amat rugi andai kita kehilangannya angkara kurangnya kefahaman masyarakat akan siapa beliau dan apa kualiti beliau yang sebenarnya.

3. Saya doakan semoga sdra sukses selalu dalam bidang yang sdra ceburi dan cintai ini..

Salam ikhlas dari
BELUM PENDEKAR

Salam sdr Naddin...kenapa tdk postkan gambar2 ketika berada di sana?..mahu tengoklah..