Isnin, 11 Oktober 2010

takut gigi patah kerana geram

Tags

SEBENARNYA saya takut gigi saya patah, terutamanya pada awal pagi tadi.Entah kenapa saya ditimpa rasa geram yang melampau, sehingga saya mengetap bibir kerana kecewa dengan kualiti sistem pengangkutan awam kita.
Saya turun dari rumah jam 5.30 pagi dan menaiki bas mini dari Kampung Likas untuk ke Likas Plaza sebelum meneruskan perjalanan ke Pitas, di utara Sabah. Saya fikir saya telah memilih bas yang terawal kerana saya perlu berada ditempat yang dijanjikan kira-kira jam 7.00 pagi. Tetapi telahan saya salah apabila bas itu hanya berangkat satu jam kemudian.
Saya berasa geram dan ternyata, geram merupakan sejenis penyakit jiwa yang patut dielakkan. Saya mulai teringat rangkaian pengalaman menaiki pengangkutan awam di negeri kita yang kebanyakannya mengecewakan.
Kualiti sistem pengangkutan awam kita, tidak syak lagi perlu ditingkatkan jika kita mahu menuju sebuah negara maju dan beradab. Banyak yang perlu diperbetulkan dan diperbaiki. Selain keadaan bas yang buruk dan kurang bersih, sikap konduktor dan pemandu juga amat menghampakan.
Kebanyakan mereka kurang berdisiplin dan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Saya berani berkata demikian kerana saya memiliki pengalaman yang hampir tidak boleh dicabar kerana saya merupakan pengguna sistem pengangkutan awam kita yang paling setia sejak hampir 20 tahun lalu.
Saya sebenarnya lebih suka berpergian dengan bas awam. Tetapi malangnya, saya jarang menemui pengalaman yang menggembirakan. Suasana dalam sistem pengangkutan awam kita sepatutnya dipertingkatkan lagi jika kita tidak ingin malu kepada orang luar.
Selain bas, perkhidmatan teksi juga wajar ditingkatkan lagi. Perkhidmatan teksi di negeri kita masih kurang baik jika dibandingkan dengan bandaraya lain seperi Kuala Lumpur dan Jakarta.
Di Jakarta, sistem perkhidmatan teksinya amat terpuji.Selain menggunakan kereta yang baru dan selamat digunakan, pemandunya juga bersopan dan berdisiplin tinggi.
Itulah sebabnya, satu ketika pernah diusulkan supaya sistem perkhidmatan teksi kita mencontohi perkhidmatan teksi BlueBird di Jakarta yang mempunyai perkhidmatan yang efesyen dan memuaskan.
Pengalaman berada dalam bas mini di Likas selama kira-kira satu jam, bahkan sempat membuat saya terlelap, boleh dielakkan sekiranya pemandu kita mementingkan pengguna.
Sudah tiba masanya, kerajaan memfokuskan perhatian terhadap usaha-usaha meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam yang kita yang masih ketinggalan. Jika selama ini kita sering mengeluh kerana masalah kesesakan lalulintas, ia boleh diatasi jika kita meningkatkan kualiti sistem pengangkutan awam kita dengan mengambil contoh negara maju perkhidmatan pengangkutan awam di Perancis atau Jepun.
Jika teringat peristiwa menaiki bas pagi tadi, saya berasa geram dan mengetapkan gigi. Walaupun gigi tidak begitu cantik, tapi saya takut gigi saya patah.Jika patah, tidak mungkin saya dapat mengetapkan gigi lagi.