BINA KERJAYA BINA NEGARA MELALUI ABM
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
BINA kerjaya bina negara. Itulah satu-satunya ungkapan yang terpancang di kepala saya ketika melangkah masuk ke kampus baru Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah di Batu7, Inanam, Kota Kinabalu. Ketua Pegawai Eksekutif ABM Sabah, Tadzul Radim sedia menunggu di ruang pejabatnya yang selesa di Tingkat 2. Masih belum banyak perabot di pejabat itu kerana mereka baru saja berpindah dari Kolombong.
Nama ABM sudah dikenali sejak ia ditubuhkan pada bulan Mac 2001. Meskipun pada awalnya, ABM hanya menawarkan lima bidang kursus iaitu Penerapan Bata, Pelepaan dan Penjubinan, Joinery dan Formwork tetapi kini menawarkan 25 bidang kursus bagi program latihan belia.
Sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu, ABM telah melatih seramai 9,539 orang bagi program lepasan sekolah, 12,559 orang bagi program personel binaan, 3,862 orang bagi program Akreditasi Kemahiran, 5,963 orang bagi Program Latihan Customised, dan 12,009 orang bagi Program Kad Hijau CIDB.
"Tahukah anda apa bidang kerjaya yang sentiasa ada kekosongan?" . "Jawapannya ialah bidang kemahiran. Setiap hari terdapat kekosongan dalam bidang kemahiran. Bacalah suratkhabar setiap hari, pasti ada iklan yang memerlukan pekerja dalam sektor industri," katanya kepada Utusan Borneo.
"Kita perlu ubah mentaliti. Jangan anggap bidang industri ini sebagai sukar tetapi ia bidang kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan," kata Tadzul lagi.Seorang tukang paip mampu memperolehi pendapatan RM100 sehari jika mereka ada kemahiran malah lebih daripada itu, katanya. Seorang pemandu jengkaut atau jentolak menerima gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan di Semenanjung. Malah seorang pelatih lulusan ABM yang bekerja di Asia Barat menerima gaji RM25,000 sebulan kerana mempunyai kemahiran dalam bidang kimpalan.
Bidang kemahiran sentiasa ada kekosongan, katanya. Oleh sebab itu, beliau menggesa supaya para belia yang memiliki sekurang-kurangnya darjah enam hingga tingkatan lima, boleh memohon untuk menyertai program-program latihan yang ditawarkan ABM.
"Kita tidak perlu bergantung kepada pekerja asing. Kita mampu membina negara kita dengan tangan kita sendiri," kata Tadzul lagi. Beliau mengakui bahawa sambutan terdapat kursus-kursus yang ditawarkan oleh ABM amatlah menggalakkan.
Beliau berkata, kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi sentiasa memberi fokus kepada sektor pembinaan. "Sektor pembinaan mempunyai multiply effect dalam perkembangan ekonomi negara," katanya. Jika sektor pembinaan berkembang, ia turut merangsang perkembangan ekonomi sehingga tujuh rangkaian seperti ia juga merangsang munculnya restoran dan kedai makan, pengangkutan, minyak dan sebagainya.
"Jangan anggap sukar kerja dalam bidang ini, " katanya walaupun ia selalu dihubungkan dengan Tri-D iaitu dangerous (bahaya), difficult (sukar) dan dirty (kotor).
Walaupun begitu, bidang ini sentiasa ada keperluan dan permintaan malah setiap hari, terdapat permintaan di suratkhabar seperti menerlukan tukang paip, dan sebagainya.
"Saya selalu menyebut, bidang kemahiran menjanjikan kerjaya yang menarik. Bina kerjaya sambina negara," katanya sambil menyeru ibubapa untuk menceburi bidang kemahiran, yang amat diperlukan dalam industri pembinaan.
Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sabah (ABMWS) Wilayah Sabah merupakan salah satu dari enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang ditubuhkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Kini ia mempunyai cawangan di Ranau, Telupid dan Kudat.
Matlamat penubuhannya adalah untuk menyediakan latihan kemahiran di dalam bidang pembinaan bagi mengeluarkan personel binaan yang berkemahiran, berketrampilan, berkualiti dan produktif mengikut standard kemahiran yang ditetapkan, katanya.
Menurutnya, melalui program latihan yang diadakan mereka akan diperlengkapkan dengan perkembangan dan kehendak terkini industri bagi membolehkan mereka meningkatkan kerjaya dan daya saing mereka di dalam industeri pembinaan.
Antara objektif ABM ialah mengeluarkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir tempatan dalam industri pembinaan bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
"Kita boleh bangunkan negara kita menggunakan tangan kita sendiri," katanya sambil menambah, ia dapat menambah kebanggaan kita kepada negara.
Katanya, ABM menyediakan latihan peningkatan kemahiran yang terancang, berkualiti dan diiktiraf yang dilaksanakan secara profesional oleh pengajar yang terlatih, mengeluarkan pekerja binaan yang produktif, berorinetasikan kualiti, berketrampilan dan mengamalkan keselamatan selaras dengan kehendak semasa industri pembinaan, menyediakan peluang untuk pekerja binaan meningkatkan kemahiran dari masa ke semasa, membangun dan menyediakan laluan bagi mengeksport pekerja tempatan yang terlatih ke pasaran tenaga kerja antarabangsa dan melaksanakan program akreditasi kemahiran.
Beberapa program dilaksanakan oleh ABM iaitu Program Latihan Kemahiran Pekerja Binaan, Program Latihan Kemahiran Belia, Program Akreditasi Kemahiran Pekerja Binaan, Program Latihan Kontraktor Tred dan Program Kad Hijau CIDB.
Bagi Program Latihan Kemahiran Pekerja Binaan, kata Tadzul, ia ditawarkan kepada semua pekerja binaan tempatan dan asing.
"Ianya bertujuan untuk memberi latihan secara formal kepada pekerja binaan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan pengetahuan mereka di dalam bidang kemahiran yang diceburi. Selain dari itu, program ini juga menyediakan peluang kepada pekerja binaan bagi menambahkan bidang kemahiran mereka dalam bidang baru yang mereka minati," katanya.
Ini akan dapat melahirkan pekerja binaan yang mempunyai kemahiran pelbagai (multi skill) yang akan dapat memperkembangkan kerjaya pekerja binaan. Tempoh latihan di bawah program ini adalah selama 4-6 hari, katanya,
Untuk pekerja tempatan, latihan ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh CIDB.Bagi pekerja asing mereka perlu membayar yuran seperti yang ditetapkan, katanya.
Mereka yang telah berjaya mencapai tahap kecekapan yang ditetapkan akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB dan boleh berdaftar dengan CIDB sebagai pekerja mahir.
Bidang kursus Penerapan bata (bricklaying), pelepaan (plastering), penjubinan (tiling), perpaipan (Bangunan dan Kelengkapan sanitari (Plumbing (building & sanitary fitting), Perpaipan )retikulasi air), Plumbing (water reticulation)Pertukangan kayu (Acuan), Carpentary, Tanggam (Joinery) Pemasangan Pendawaian bangunan, Penyelenggaraan dan operasi bangunan awam. Operasi Excavator Hodraylik, Operasi Backhoe Loader, Operasi Kren Bergerak, Pemancangan Perancah (Prefabricated)(Scaffolding, Pemasangan Perancah (Tubular).
Bagi Program Latihan Kemahiran Belia, ia ditawarkan kepada semua golongan belia tempatan berumur 16 tahun tahun ke atas. Ianya bertujuan untuk memberikan latihan kemahiran kepada belia tempatan di dalam bidang kemahiran industri pembinaan.
"Matlamatnya adalah untuk mengeluarkan pekerja mahir tempatan yang mampu memulakan kerjaya di dalam industri pembinaan untuk perkembangan kerjaya mereka.," katanya.
Selain itu, melalui program ini jumlah pekerja binaan tempatan akan dapat ditambah dan ini akan mengurangkan penggantungan negara kepada tenaga kerja asing, katanya lagi sambil menambah, tempoh latihan di bawah program ini adalah dari dua hingga 12 bulan bergantung kepada bidang kursus yang diikuti.
Pelatih-pelatih yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB, katanya manakala ermohonan boleh dibuat dengan mengisi dengan lengkap borang permohonan yang boleh didapati dari pejabat CIDB Wilayah Sabah atau ABM Wilayah Sabah
Pengambilan adalah dibuat berdasarkan bidang kursus dan tempoh. Pelatih baru, yang berumur sekurang-kurangnya 16 tahun ke atas dan tamat darjah enam akan diambil sebaik sahaja latihan sebelumnya menamatkan latihan. Antara bidang yang ditawarkan ialah Penerapan Bata, Pelepaan & Penjubinan,Pertukangan Kayu, Kerja Konkrit & Membongkok Besi,Pemasangan Sesekat,Perpaipan, Pemasangan Pendawaian Bangunan,Wireman Fasa Tunggal. Penyelenggaran & Operasi Bangunan, Operasi Excavator Hidarulik, Operasi Kren Bergerak dan Lukisan Seni Bina
Menurutnya, yuran kursus dibiayai sepenuhnya CIDB,makan minum disediakan,elaun poket bulanan diberikan,penginapan disediakan kepada pelatih yang jauh secara percuma,pakaian keselamatan dan baju latihan disediakan secara percuma.
Sementara itu, CIDB telah menetapkan kerja-kerja yang memerlukan kemahiran dan kepakaran perlulah dilaksanakan oleh pekerja mahir yang telah diiktiraf oleh CIDB.Untuk tujuan itu, program Akreditasi Kemahiran telah diperkenalkan bertujuan untuk mengesahkan kemahiran pekerja binaan tanpa menghadiri latihan kemahiran.
Program ini ditawarkan kepada semua pekerja tempatan yang inginkan kemahiran mereka ditauliahkan tanpa mengikuti latihan dan pekerja asing yang ingin mentauliahkan kecekapan kemahiran mereka bagi tujuan menyambung permit kerja.
Program ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh CIDB untuk pekerja tempatan. Bagi pekerja asing, yuran adalah dikenakan dan perlu dibayar kepada CIDB, katanya.
Mereka yang telah berjaya mencapai tahap kecekapan yang ditetapkan akan dianugerahkan Sijil Kecekapan CIDB dan boleh berdaftar dengan CIDB sebagai pekerja mahir.
Satu lagi program ialah Program Latihan Kontraktor Tred. "Program ini adalah ditawarkan kepada semua kontraktor yang berminat untuk mendaftar dengan CIDB sebagai kontraktor tred," katanya.Program yang ditawarkan di ABM Wilayah Sabah adalah merupakansalah satu modul dari tiga jenis modul kemahiran yang perlu diikuti oleh kontraktor untuk mendaftar sebagai kontraktor tred dengan CIDB. "Modul tersebut ialah Modul Kemahiran Tred yang mana latihannya adalah sama dengan latihan yang ditawarkan di bawah Program Latihan Pekerja Binaan," katanya sambil menambah, tempoh latihan adalah 4-6 hari.
Program Kad Hijau pula ditawarkan kepada semua pekerja binaan yang masih tidak mengikuti program Kad Hijau dengan cara mengikuti Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan Untuk Pekerja Binaan
Menurut Tadzul, beberapa program ABM diiktiraf oleh The Wielding Institute (TWI) bagi kursus kimpalan, Suruhanjaya Tenaga Malaysia bagi kursus elektrik PW2 dan PW4 dan lesen plumbing pula diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
ABM berperanan untuk memastikan kerja pembinaan yang dihasilkan adalah berkualiti, dijalankan secara produktif dan cekap. Oleh sebab itu, kita menggalakkan semua pekerja binaan sedia ada supaya menjalani latihan kemahiran untuk memenuhi tahap kecekapan kemahiran yang diperlukan dalam industri pembinaan negara
Rabu, 20 Oktober 2010
Bina Kerjaya bina negara melalui ABM
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:38 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)