PEMUDA BERFIKIR, BERTINDAK SEBAGAI HULUBALANG UMNO
Kerajaan perlu meneruskan usaha untuk memberi ruang serta menyokong pemimpin pelapis, iaitu golongan muda, kerana pengabaian terhadap aspek ini boleh menjejaskan kesinambungan kepemimpinan Negara.
Demikianlah rumusan pendapat yang dilontarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Sabah, AZMAN HAJI RUSLAN, dalam satu wawancara eksklusif dengan wartawan Utusan Borneo, ABD NADDIN SHAIDDIN, baru-baru ini. Azman, yang menerajui Pemuda UMNO Sabah sejak Mac 2009 juga bercakap tentang harapan serta peranan Pemuda untuk membantu memperkasakan golongan muda di negeri ini. Dalam wawancara hampir satu jam itu, peguam muda itu juga menjelaskan tentang halatuju Pemuda serta peranannya untuk mempertahankan UMNO sebagai institusi yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat berbilang kaum dan agama di Negara ini.
Utusan Borneo (UB): Terima kasih kerana sudi diwawancara. Bagaimana keadaan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah sekarang?
Azman: Sama-sama. Saya juga berterima kasih kepada Utusan Borneo kerana sudi menemuramah saya. Ya, bulan ini masuk bulan ke 16 saya menerajui Pemuda UMNO Sabah. Dalam kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan UMNO Pusat, terutama sekali Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin kerana atas sokongan dan kepercayaan kedua-dua pemimpin itulah saya berada di tempat yang saya duduki sekarang. Saya juga merasa bersyukur kerana mempunyai rakan-rakan ketua Pemuda UMNO Bahagian yang sangat komited dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Saya melihat bahawa kekuatan Pemuda UMNO banyak bergantung kepada semangat kerjasama seluruh pemimpin dan anggota Pemuda UMNO. Selain itu, tugas dan peranan utama kami sebagai sayap kanan parti, juga adalah untuk mendokong, memelihara dan mempertahankan institusi kepemimpinan parti UMNO, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri mahupun kebangsaan. Pada hemat saya, Pemuda UMNO haruslah sentiasa berfikir dan bertindak secara kolektif dan proaktif mengikut tuntutan dan keperluan isu-isu semasa. Secara jujur masih banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari mengenai tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Sabah, dan saya yakin dengan pasukan (bersama ketua-ketua Pemuda UMNO Bahagian) serta sokongan para pemimpin UMNO Negeri, Pemuda UMNO Sabah boleh berfungsi selaras dengan harapan pucuk pimpinan parti.
UB: Boleh jelaskan apakah halatuju perjuangan Pemuda UMNO Sabah?
Azman: Seperti yang saya katakan tadi, peranan, tugas dan tanggungjawab utama kami ialah untuk berfungsi sebagai sayap kanan parti UMNO, terutama sekali mendokong, memelihara dan mempertahankan UMNO sebagai institusi politik yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
UB: Bagaimana dengan pencapaian Pemuda UMNO Sabah di bawah kepimpinan saudara setakat ini?
Azman: Alhamdulillah, sangat memberangsangkan tetapi adalah tidak adil jika saya mengatakan bahawa kejayaan atau pencapaian Pemuda UMNO Sabah itu adalah hasil kejayaan saya sebagai Ketua. Apa yang saya boleh katakan ialah bahawa kemantapan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah sekarang ini adalah berkat daripada kerjasama erat dan sokongan padu daripada seluruh anggota dan pemimpin Pemuda Negeri dan Pusat. Saya juga merasa bertuah kerana barisan kepimpinan Pemuda UMNO Sabah, sama ada di peringkat Ahlijawatankuasa Pemuda Negeri mahupun bahagian, adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin muda yang berani, jujur, berkebolehan dan berwawasan.
Setakat ini Pemuda UMNO telahpun menjalankan beberapa program seperti mengadakan kempen pendaftaran pemilih dan keanggotaan parti UMNO serta mengadakan program perjumpaan dengan pemimpin dan anggota parti di peringkat akar umbi, yang dinamakan program ‘Rakan Pembela Rakyat’. Kita juga telah menganjurkan program-program ke arah penyatuan dan permuafakatan antara Pemuda UMNO dengan Pemuda komponen BN yang lain, khususnya untuk merangka persediaan dan strategi untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13. Selain itu, Pemuda UMNO juga telah mengambil inisitiaf untuk merapatkan hubungan dengan pihak NGO-NGO belia, para penjawat awam, badan-badan berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta. Kebetulan saya juga adalah Pengerusi Pemuda BN Sabah.
UB: Sebagai sayap kanan parti politik terkemuka di Malaysia, bagaimanakah Pemuda UMNO dapat memainkan peranan berkesan untuk memperkasakan golongan belia atau generasi muda, khususnya di peringkat negeri Sabah?
Azman: Sebelum menerajui Pemuda UMNO Sabah, saya pernah terfikir mengenai perkara itu. Yang saya fikirkan ialah apakah persepsi umum terhadap parti UMNO? Memanglah UMNO itu sebuah institusi politik tetapi kita juga lihat bahawa peranan dan tanggungjawab UMNO itu bukanlah tertumpu kepada aktiviti politik atau politiking semata-mata, kerana sebagai parti politik yang menjadi tunjang kepada pemerintahan Negara, maka UMNO itu juga adalah nadi dan jentera penggerak kepada agenda pembangunan bangsa dan negara.
Justeru, sebagai sayap kanan parti UMNO, saya lebih cenderung untuk melihat supaya Pemuda UMNO dapat memahami dan menyelami isu-isu yang melibatkan kepentingan dan keperluan generasi muda. Pada waktu yang sama saya juga ingin melihat supaya Pemuda UMNO dapat menampilkan imej dan pemikiran di luar kotak politik, iaitu dari segi fungsi dan sumbangannya kepada masyarakat umum. Contohnya, saya ingin melihat pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO menyertai dan melibatkan diri secara aktif dalam badan-badan sukarela, institusi-institusi awam atau badan-badan bukan kerajaan (NGO). Dengan cara itu, pemimpin dan anggota Pemuda UMNO bukan sahaja dapat memahami isu-isu relevan berkaitan badan-badan atau institusi-institusi berkenaan tetapi dapat pula menyumbang tenaga dan idea-idea bagi memantapkan peranan dan fungsi badan-badan tersebut.
Justeru, saya berpendapat bahawa salah satu cara untuk memperkasakan golongan muda ialah dengan menerima dan melibatkan mereka dalam hal-hal yang berkaitan dengan pembuatan atau penggubalan dasar-dasar. Saya percaya dengan penglibatan mereka itu, mereka boleh menimba pengalaman serta menjadi golongan yang lebih prihatin tentang hak-hak mereka serta akan menjadi golongan yang lebih bertanggungjawab, dimana pada akhirnya ia akan menjadi satu pelaburan yang memberi manfaat kepada masyarakat pada keseluruhannya. Dengan kata lain, usaha memperkasakan golongan muda memerlukan mereka memainkan peranan aktif dalam soal-soal kemasyarakatan. Secara amnya, golongan muda merasakan bahawa kerajaan memang mengambil perhatian berat tentang isu-isu yang melibatkan kepentingan generasi muda, namun mereka mungkin kurang pengetahuan tentang program-program kerajaan yang disasarkan khusus untuk mereka. Kurang pengetahuan inilah yang mungkin menyebabkan tentang perlunya meningkatkan penyebaran maklumat yang lebih berkesan tentang usaha-usaha kerajaan membangun dan memperkasakan belia. Dalam hubungan yang sama, adalah menjadi harapan kami supaya kepimpinan Negeri dan Persekutuan meneruskan usaha untuk memberi ruang serta menyokong golongan atau pemimpin pelapis, kerana pengabaian terhadap aspek ini bleh menjejaskan kesinambungan kepemimpinan Negara.
UB: Persoalannya, apakah generasi muda berminat atau mempunyai kesedaran tentang perkara yang saudara sebutkan itu?
Azman: Ini bukan soal mereka berminat atau tidak. Saya percaya golongan muda juga ada visi dan misi dalam hidup mereka. Saya percaya mereka juga mahu terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dalam hal-ehwal Negara, terutama sekali mengenai isu-isu atau perkara-perkara yang bersangkut paut dengan hak-hak dan kepentingan mereka, kerana saya percaya lambat laun mereka juga akan sedar, malah tiada pilihan, bahawa mereka akan mewarisi dunia yang akan ditinggalkan oleh ibu bapa mereka. Kerana itu, seperti yang saya nyatakan tadi, adalah penting supaya golongan muda diberi ruang dan peluang untuk sama-sama membina dunia masa depan yang bakal mereka warisi nanti.
UB: Ada sesetengah pendapat mengatakan generasi muda masakini nampak tidak begitu ghairah dengan dengan trend politik yang bersifat tradisional atau konvensional? Betulkah?
Azman: Ya, saya terbaca satu kajian Merdeka Center dan The Asia Foundation mengenai pandangan dan harapan pemilih muda di Malaysia. Menurut kajian itu, walaupun golongan muda di Negara agak jahil (ignorant) tentang isu-isu politik Negara, namun golongan muda – berusia antara 21 hingga 35 – merupakan hampir 45% daripada jumlah pemilih yang layak di Negara ini, dan angka ini boleh dilihat sebagai satu kuasa baru yang boleh membahaskan isu-isu berkaitan dasar-dasar awam di Negara ini. Kajian itu seterusnya mendedahkan bahawa walaupun kemudahan Internet semakin popular sebagai wadah untuk menyuarakan pandangan serta sebagai sumber berita di Negara ini, namun kajian itu menyatakan bahawa golongan muda itu tidak menggunakan kemudahan itu sebagai alat untuk meningkatkan pengetahuan atau melibatkan diri dalam isu-isu politik dan sosial.
Untuk menjawab soalan tadi, saya lihat golongan muda sekarang mempunyai cara tersendiri untuk menilai parti-parti politik. Maksud saya, mereka lebih terbuka dari segi memilih atau menyokong mana-mana parti politik, tambahan pula mereka sentiasa akses kepada pelbagai sumber maklumat yang disalurkan atau disampaikan melalui pelbagai sumber, terutama sekali media-media alternatif Nampaknya, kecanggihan ICT memberi impak besar kepada pembentukan mood dan perwatakan golongan muda masa kini dan dalam aspek tertentu tidak hairanlah jika mereka mempunyai cara pemikiran politik yang berbeza daripada yang berlaku sekarang. Selain itu, hasil kajian makmal Pemuda BN juga mendapati bahawa 62% pemilih anak muda masih belum membuat keputusan atau pemilih atas pagar. Hasil dan candangan daripada kajian itu telah dibentang kepada YAB Perdana Menteri. Kita percaya anak muda atas pagar ini akan menyokong kita (BN) kerana kerajaan akan melihat kepentingan belia dan akan menawarkan keperluan untuk belia.
UB: Mungkinkah kesedaran dan penglibatan belia secara aktif dalam politik akan mencetuskan satu transformasi politik yang lebih fundamental, iaitu berbeza dengan trend dan amalan demokrasi sekarang?
Azman: Ini satu soalan bagus. Pertama sekali kita mestilah menerima hakikat bahawa dunia masakini adalah zaman teknologi dan kemajuan ICT. Ia sekaligus mencetuskan satu kejutan budaya di kalangan masyarakat, bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Kini kita boleh berkomunikasi atau memperolehi maklumat mengenai isu-isu dan perkembangan di seluruh dunia melalui kecanggihan internet. Kita juga boleh membaca pandangan atau posting orang ramai mengenai pelbagai isu melalui portal berita, laman web, blog dan facebook, selain kita juga boleh menerima, menghantar atau bertukar-tukar maklumat terkini melalui SMS.
Yang membimbangkan saya ialah mampukah golongan muda ‘menapis’ ledakan dan serangan maklumat atau bahan-bahan bacaan melalui alam siber itu, kerana kalau kita teliti bukan semua hujah yang dikemukakan itu bersifat konstruktif. Mungkin kita boleh mengatakan bahawa inilah kebebasan bersuara, tetapi yang kita persoalkan ialah apakah kebebasan yang diagung-agungkan itu boleh membina atau meruntuhkan ketamadunan manusia? Dalam hal ini, saya mendoakan agar generasi muda mempunyai kekuatan dan kebebasan untuk menilai yang mana baik dan buruk untuk mereka. Oleh kerana itu peranan golongan muda untuk mentransformasi trend politik banyak bergantung kepada kesediaan, kekuatan dan kematangan mereka untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut.
UB: Menyentuh tentang perkembangan politik tempatan, saya terbaca satu komen dalam portal yang mendakwa kepimpinan UMNO Sabah sedang menghadapi pergolakan serius dan bagaikan retak menunggu belah, betulkah?
Azman: (Ketawa). Dalam politik, tuduhan seperti ini adalah lumrah. Saya tidak mengatakan UMNO itu sempurna seratus peratus atau langsung tiada cacat cela. Kita mesti ingat bahawa yang menghidupkan atau menggerakkan sesebuah organisasi politik adalah manusia. Kalau saudara ikuti sejarah perjuangan UMNO maka saudara akan dapati bahawa parti UMNO pernah menghadapi detik-detik sejarah yang sangat mencabar, tetapi semua itu telah dapat diatasi berkat kebijaksanaan dan kematangan para pemimpin UMNO dahulu dan sekarang.
Justeru, tuduhan penulis yang mengatakan kononnya UMNO Sabah retak menunggu belah hanyalah satu andaian dan pandangan sepintas lalu penulis berkenaan. Malahan tuduhan itu, pada pendapat saya, akan lebih mengukuhkan kedudukan dan perjuangan UMNO di Sabah khususnya dan di Malaysia amnya. Saya amat yakin bahawa kepimpinan UMNO di negeri ini tidak akan mengambil pendekatan ‘api lawan api’ dalam merungkai apa jua masalah dalaman parti. Yang saya nampak, pucuk pimpinan UMNO Sabah sekarang lebih bersikap akomodatif dalam menerima teguran dan pandangan daripada pemimpin dan anggota akar umbi, termasuklah daripada pemimpin-pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain.
Bagi pendapat saya, yang penting sekali ialah suara akar umbi mestilah sentiasa didengar dan diambil perhatian kerana ‘suara-suara’ itulah sebenarnya yang menjadi asas kepada kekuatan parti. Setiap pemimpin parti juga tidak perlu ‘terlalu risau’ memikirkan survival politiknya kerana dalam soal berparti, yang sewajarnya dipelihara dan dipertahankan ialah falsafah dan nilai perjuangan parti itu.
UB: Andainya tuduhan itu berasas, apakah pendirian Pemuda UMNO Sabah?
Azman: Itu bukan satu masalah kerana pemuda itu adalah sayap kanan UMNO. Sikap dan pendirian kami adalah sangat jelas, kerana hubungan Pemuda dengan pucuk pimpinan parti tidak boleh lari daripada maksud pepatah ‘bagaikan aur dengan tebing’. Dalam apa situasi sekalipun, Pemuda UMNO kenalah berfikir dan bertindak sebagai pendekar atau hulubalang parti. Dengan kata lain, Pemuda mestilah berjuang untuk memelihara dan mempertahankan UMNO sebagai institusi politik yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan semua kaum di Negara ini, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Pemuda juga mestilah sentiasa menghormati dan menyokong pucuk pimpinan parti, sama ada di peringkat bahagian, negeri mahupun Persekutuan. Kerana pada pandangan saya, sesiapa juga yang memegang jawatan penting dalam parti, sama ada di peringkat Negeri mahupun Persekutuan, maka orang itu sebenarnya mewakili institusi politik, iaitu UMNO. Saya percaya semua pemimpin UMNO mempunyai harapan dan cita-cita untuk meninggalkan legasi perjuangan politik yang boleh membina banyak terowong yang dihujungnya ada cahaya, supaya perjalanan generasi yang bakal mewarisi perjuangan UMNO dan kepemimpinan Negara dapat melihat apa yang ada di hujung terowong-terowong itu.
Rabu, 20 Oktober 2010
Pemuda berfikir, bertindak sebagai hulubalang UMNO
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:44 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)