Balada si Oyong, Pitas dan satu kehidupan
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com
SEWAKTU kecilnya, si Oyong hampir hilang di Sungai Bengkoka. Mujur ibunya, Puan Rahimah Japar terbangun selepas terdengar suatu bisikan, dan betapa terkejutnya dia apabila mendapati `Si Oyong' yang ketika itu masih kecil dan masih belum boleh bercakap, sudah tidak ada di sisinya. Padahal, sebelum masuk tidur, si Oyong berbaring disamping ibunya.
"Saya menengok kanan, menengok kiri, si Oyong tiada," kata emaknya. Gemparlah mereka dan setelah dicari, entah bagaimana, si Oyong yang masih berjalan tertatih tatih itu dijumpai di tepi sungai.
"Jika teringat peristiwa itu, saya merasa takut sehingga sekarang," kata ibunya kepada kami. Itulah peristiwa yang paling melekat di ingatan ibu tua itu. Kini si Oyong itu telah belayar menempuh sungai kehidupan merantau melintasi likuliku sungai yang jauh sebelum menempah namanya sebagai salah seorang sasterawan di negeri Sabah yang kita cintai ini.
Si Oyong itulah yang kini kita kenali dengan nama Juri Durabi, seorang penulis yang telah menghasilkan banyak karya seperti novel (Susuk Tingkayu,Jalan Ke Puncak,Misteru Gua Gumantong, Gadis Atlit, Benih Harapan,Dia Yang Dilupakan,Jaguh, Pahitnya Bak Hempedu, cerpen (Kumpulan Cerpen Daerah Patung-Patung, Perjalanan Ke Negeri Satu) Antologi Cerpen Bersama, Bagai Camar Di Lautan, Fenomena, sajak, drama radio dan esei kritikan. Juri Durabi juga tercatat sebagai salah seorang penulis yang sering memenangi Hadiah Sastera Sabah. Beliau telah menerbitkan kumpulan cerpen Perjalanan ke Negeri satu yang merupakan kumpulan cerpennya yang kedua.
Pada satu pagi, 10 Oktober yang lalu, sebelum pulang ke ibu kota, kami sempat singgah di kampung kelahirannya, iaitu Kampung Pondoi Pitas yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dari Pekan Pitas. Rumah tempatnya telah dirobohkan lama dahulu, mungkin kerana sering terkena banjir. Kami bertandang ke rumah kakaknya untuk menziarahi ibunya, yang sedang tak sihat.
Sehari sebelumnya, kami menghadiri acara Derau Bahasa dan Sastera yang diadakan sebagai salah satu program sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 yang diadakan di Kampung Senaja. Juri Durabi, yang merupakan salah seorang penyair besar di Pitas tampil untuk membacakan puisi. Sebenarnya, Pitas telah melahirkan ramai penulis yang berkaliber seperti Alipah JN, Jair Sulai, Mokuji Maturon, dan banyak lagi yang luput di ingatan ketika menulis catatan ini.
Juri Durabi pernah dianggap `seniman gila' di kampungnya. Setelah berpindah ke Kudat, beliau bertemu tokoh-tokoh sastera ketika itu seperti Mohd.Omar Mualam dan Musa Tampil. Minatnya menulis tumbuh kerana alam persekitarannya, di sebalik cabaran yang diterima dan galakan rakan-rakannya. Sejak di bangku sekolah, Juri memang sudah meminati bidang penulisan. Tetapi beliau menulis secara serius pada tahun 1984 setelah bertemu dengan R.Hamzah Dua, penulis yang banyak berjasa kepada dirinya.
Selain itu, beliau juga berkenalan dan bersahabat dengan arwah Saffie Haji Mukri, seorang penulis yang pernah menulis novel bersiri. Dari situ, Juri melangkah setapak demi setapak dalam dunia penulisan. Malah beliau sempat menjadi anak angkat kepada Sasterawan Negara, Datuk Haji Abdullah Hussain melalui program Penulis Anak Angkat DBP Sabah, satu program yang sangat baik tetapi sekarang telah terhenti.
Penulis ini memiliki semangat yang kental. Sibuk bekerja di waktu siang, beliau mengambil peluang menulis pada waktu malam. "Dengan keterbatasan waktu yang ada , saya hanya dapat menaip perlahan-lahan apabila ada masa terluang. Kerana saya bekerja, jadi pada waktu malamlah saya mengambil masa sejam dua jika tidak sibuk"
.
Juri yang berumah tangga dengan Amisiang Dali mempunyai tujuh orang anak, Mohd.Adzmadi, Mohd.Azwan, Mohd.Nazri,Mohd.Faizan, Nurul Hidayah, Nur Halidah dan Mohd.Zahrul Fahmi yang dianggapnya permata yang bersinar. "Terangilah jalan kehidupan ini dengan pelita iman untuk dunia dan akhirat," begitu pesannya kepada anak-anaknya. Kebetulan pula, Juri dilahirkan dalam keluarga tujuh adik beradik dari pasangan arwah Durabi Atong dan Puan Rahimah Japar. Adik beradiknya terdiri daripada Puan Tiarah Durabi, Allahyarham Tetayu Durabi, Basri Durabi, Tirakmat Durabi, Jumri Durabi dan Harun Durabi.
"Inilah manusia-manusia yang paling dekat dengan saya, yang tahu dan faham tentang kedegilan, kejahatan dan kenakalan saya semasa kecil.Mereka juga menjadi inspirasi saya ketika berkarya," kata Juri kepada kami yang mengikuti beliau ke rumahnya. Dalam rombongan itu, selain saya, terdapat juga Pegawai Bahasa DBP Sabah, Abd.Nassir Said dan `pilot' kami, Firdaus Petrus Abdullah.
Kami sempat menolak kereta yang masuk lumpur kerana tanah lembab di kampung Pondoi. Selepas itu kami berangkat pulang ke Kota Kinabalu dan sepanjang perjalanan itu banyaklah kisah suka dan duka yang diceritakan.
"Walaupun kampung saya agak teruk," kata Juri, "tetapi saya tetap berbangga dengan kampung saya," katanya. Malahan menurut Juri, banyak perkara di kampungnya itu menjadi sumber idea dalam karya-karya sasteranya. Melalui pengalaman yang ditinggalkannya, membekas kenangan yang menjadi butir butir ilham yang membentuk karya yang bermutu. Sebab itu, Juri mampu tampil dengan karya-karya yang bermutu.
Pitas merupakan sebuah daerah yang terletak jauh di utara, kebanyakan penduduknya hidup bertani dan menjadi nelayan. Pitas terletak kira-kira 195 kilometer dari ibu negeri dan 132 Km dari Kudat. Penduduknya terdiri dari masyarakat Sungai, Bajau, Suluk, Ubian yang membentuk kira-kira 49 peratus penduduk yang beragama Islam. Kira-kira 51 peratus penduduknya yang lain terdiri dari suku kaum Rungus, Kimaragang, Tambanua dan Sonsogon dan 10 keluarga cina yang menjadi pekebun.
Kampung Pondoi merupakan salah satu daripada 133 buah kampung di Pitas, yang dulunya daerah termiskin tetapi kini sedikit demi sedikit mulai makmur dengan pelbagai projek pembangunan yang dibina oleh kerajaan.
Dalam perjalanan itu, kami sempat berhenti untuk bergambar bersama replika udang, ikan di bulatan Pitas. Ia merupakan antara hasil utama daerah itu, yang baru memiliki Majlis Daerah tahun ini walaupun daerah itu menjadi sebuah daerah pada tahun 1971.
Sepanjang pesisiran pantai kami menghayati pemandangan yang indah dan mengilhamkan. Walaupun sesekali terserempak dengan `batu-batu di jalan' ikut istilah Firdaus untuk najis lembu, namun keindahan dan keramahan penduduk Pitas tidak berkurang. Selain itu terdapat juga beberapa restoran di pinggir jalan, yang dibina menganjur ke laut. Keindahan lanskapnya memukau pandangan mata. Sebenarnya banyak lagi, keindahan yang boleh dieksploitasi.
Di Mempakad Laut, masyarakat yang tinggal di pinggir pantai mengusahakan jualan ikan salai. Ada juga yang menjual ikan dan makanan laut yang lain. Tetapi sepanjang perjalanan di Pitas hingga ke Marasimsim, pemandangan daerah Pitas sesungguhnya sangat menarik.
Barangkali yang paling menarik ialah sikap penduduknya yang ramai dan baik budi. Sentiasa menghulurkan bantuan jika diperlukan malah dalam banyak acara sastera atau program kemasyarakatan yang diadakan, sambutan penduduk kampung agak luar biasa.
Ketika saya bertanya, bagaimana masyarakat Sungai mengucapkan `terima kasih', Juri tidak dapat mengingat suatu kata yang dapat menterjemahkan ucapan terima kasih itu. Di Pitas, ungkapan terima kasih dapat diucapkan dan digambarkan dengan banyak cara. Tapi kita wajar mengucapkan terima kasih kepada Pitas yang telah memberikan kita satu kesempatan untuk memahami beberapa kata seperti kemiskinan, keterpencilan, ketertinggalan, juga keindahan, kebaikan, keramahan, kebersamaan, dan denyut kehidupan.
Khamis, 21 Oktober 2010
Balada Si Oyong,Pitas dan sebuah kehidupan
✔
abd naddin
Diterbitkan 10:04 PTG
Tags
Catat Ulasan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)