Jumaat, 2 Julai 2010

Sejenak di Kelas KAFA Pulau Gaya

Tags







CATATAN KUNJUNGAN KE KELAS KAFA PULAU GAYA



Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

SEBAIK-BAIK rombongan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tiba di jeti, murid-murid Kelas KAFA Pulau Gaya secara serentak mengucapkan salam yang mulia itu.
"Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh". Wajah mereka ceria menyambut kunjungan Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah JAKIM yang sudah lama berhasrat untuk menjejakkan kaki di pulau itu.
"Setiap kali ke Kota Kinabalu, hati saya teringin untuk singgah," katanya. Ketua Kampung Pulau Gaya, Puan Saimah Salam bersama Wakil Ketua Anak Negeri, OT Lait Abat sudah lama menanti ketibaan Ketua Pengarah dan rombongan yang ingin meninjau Kelas Kafa Pulau Gaya.
Pulau Gaya, sebuah pulau yang terletak berhampiran ibu negeri, sering disalahtanggapi. Kebanyakan orang selalu menghubungkan pulau Gaya dengan imigran asing padahal pulau yang mempunyai empat kampung itu, juga didiami oleh masyarakat tempatan yang sudah menetap di pulau itu sejak awal abad yang lalu.Pulau Gaya boleh dihubungi kira-kira 15 minit perjalanan menggunakan bot dari bandaraya Kota Kinabalu.
Di pulau yang menyimpan sejarah itulah, JAKIM mengadakan Kelas KAFA untuk mendidik anak-anak pulau dalam bidang pendidikan agama khususnya dalam pendidikan al-Quran dan fardu ain.
Tetapi khabarnya, Kelas KAFA yang dilaksanakan di sebuah balai raya itu hanya memiliki seorang guru.Padahal muridnya mencecah 80 orang. Kelas itu memerlukan keprihatinan kerajaan supaya membantu mereka meningkatkan lagi kemudahan pembelajaran di kelas itu.
Perkara ini turut disentuh oleh Ketua Kampung, Puan Saimah dalam ucapannya. Beliau meminta supaya JAKIM berusaha menambahkan guru untuk mendidik lebih ramai lagi anak-anak di pulau itu.
"Dulu Kelas KAFA ini pernah menerima murid seramai 200 orang," katanya Pengerusi JKKK, Haji Idris Dakum. "Tetapi jumlah murid berkurangan kerana tenaga pengajar tidak mencukupi," katanya yang juga penasihat Kelas KAFA itu.
Permasalahan yang dikemukakan itu mendapat tanggapan positif daripada Ketua Pengarah JAKIM Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz.
Beliau berkata, JAKIM akan memastikan Kelas KAFA Pulau Gaya itu memiliki tiga guru. Mengenai peralatan kerusi meja dan peralatan lain, beliau meminta tempoh dua bulan untuk menyediakan peralatan untuk kegunaan murid.
"Insha Allah, saya akan ikhtiarkan peruntukan yang munasabah untuk membekal peralatan ke kelas ini,," katanya.
Bagaimanapun, mengulas mengenai Kelas KAFA yang diadakan di balai raya itu, Dato' wan Mohamad berkata beliau akan merundingkan perkara itu dengan rakan-rakan sejawatnya di peringkat negeri dalam usaha menyediakan kelas yang lebih baik untuk murid-murid Kafa.
"Pelajaran agama amat penting bagi memastikan anak-anak tidak ditelan budaya barat," katanya sambil menambah, gejala sosial meningkat kerana kanak-kanak tidak diberi asas agama.
"Anak-anak selalu disebut aset. Aset maknanya harta. Tetapi saya fikir anak-anak jauh lebih berharga daripada harta. Dalam budaya kita, anak-anak selalu dirujuk sebagai nyawa," katanya.
"Nyawa lebih penting daripada harta, dan kita perlu memberikan asas pendidikan agama kepada anak-anak kita," katanya lagi.
"Mari kita jaga anak kita seperti kita menjaga nyawa kita," katanya di hadapan masyarakat kampung Pulau Gaya. Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah JAKIM Cawangan Sabah, Ustaz Aziz Haji Mohamad, Penyelia KAFA Negeri, Ustaz Saiful Muharam, dan penyelia KAFA Daerah, ustaz Mursyid @ Muhd.Sulaiman Mohd.Sidek dan Guru KAFA, Ustazah Siti Norita Nurkassam.
Beliau juga menasihatkan murid-murid kafa supaya sentiasa mendoakan ibubapa, guru guru mereka dan sentiasa mengamalkan ilmu yang bermanfaat.
"Apa saja ilmu yang dimanfaatkan memberi kebaikan," katanya sambil menambah, orang yang sentiasa membuat kebajikan, sentiasa mendapat kebajikan.
Barangkali itulah kata-kata yang mampu memberikan perangsang kepada murid-murid KAFA.Kumpulan nasyid Kelas Kafa Pulau Gaya tampil membuat persembahan yang memikat. Adik Ifwat Razak dan Nursyafieqah Samsol menyanyikan lagu nasyid, yang jika dihayati memberi keinsafan.
"Siapakah di antara kita, yang suka bersyukur kepadanya," demikian salah satu ungkapan lagu nasyid itu."Sembahyanglah sembahyang sebelum disembahyangkan.Jalankan perintah Allah, dengan hati yang ikhlas". Bait-bait yang dicipta Ustazah Siti Nurita sungguh mencengkam jiwa.
Selepas majlis jamuan dan bergambar, rombongan dibawa berkeliling pulau bagi melihat keindahan ciptaan ilahi.