Ahad, 13 September 2009

Lurus dan rapatkan saf

Tags

Di dinding masjid At Takwa, Kota Marudu tertampal satu tulisan dalam tulisan rumi dan jawi yang berbunyi "Lurus dan rapatkan saf". Ketika bersimpuh di dalam masjid itu, tiba-tiba saya terfikir akan maksud ayat itu.

Sebentar tadi , ketika solat maghrib dan solat isya' berjemaah, Tuan Imam tidak lupa menoleh ke kanan dan sebelah kirinya, mengingatkan jemaah supaya "Lurus dan rapatkan saf".
Saya teringat maksud perkataan lurus itu. Lurus ertinya tidak bengkok.Lurus ertinya tegak betul.Lurus juga boleh membawa maksud benar, jujur dan sebagainya.

Lurus, kata imam, maksudnya dia meminta jemaah supaya memastikan saf sentiasa lurus. Rapatkan saf, katanya. Rapat maksudnya tidak renggang yakni memastikan tiada celah-celah yang menurut pakcik saya, tiada celah yang membolehkan syaitan masuk mencelah.

Rapat maknanya juga dekat, erat, dan sebagainya manakala saf ertinya baris. Pelurusan saf itu sendiri perlukan proses dimana setiap jemaah perlu melihat kanan dan kiranya untuk memastikan mereka berdiri lurus dan rapat di belakang Tuan Imam.

Berdiri di belakang Imam bererti kita menjadi makmum. Sebenarnya ada adab kita menjadi makmum ini. Menjadi makmum dalam solat berjemaah ertinya kita mesti mengikuti Tuan Imam dan tidak dibenarkan mendahului bacaan imam. Jika kita mendahului bacaan imam, solat kita boleh dikira tidak sah. Kita perlu mengikuti setiap gerak imam dan kita tidak boleh mendahuluinya.Jika imam rukuk, kita mestilah rokok.Jika imam sujud, kita mestilah sujud.Ertinya setiap gerakan kita mestilah mengikuti imam.

Seseorang yang terlambat masuk solat juga ada adabnya, untuk ikut dalam jemaah itu. Ertinya dia mesti tahu untuk menjadi makmum yang terlambat masuk ketika solat sedang berlangsung.

Menjadi imam pun ada adabnya. Sang Imam hendaklah memastikan bacaannya betul, jelas dan dapat didengar jemaah keseluruhannya.Seorang imam yang dipilih menjadi imam juga mestilah mempunyai kriteria dan syarat tertentu untuk membolehkannya menjadi imam. Imam yang dipilih hendaklah yang terbaik di antara jemaah masjid itu.

Bagaimana jika seseorang makmum merasakan bahawa imam melakukan kesilapan ketika membaca surah. Mereka pun ada adab untuk menegur imam itu.

Dalam sesetengah keadaan, seseorang makmum juga dibenarkan `berpisah dengan imam' atau mengasingkan dirinya dengan imam sekiranya dia mendapati misalnya, bacaan fatihah imam tidak betul sebutannya.
Wallahu alam