SATU MALAYSIA TIDAK MUNGKIN TERBINA TANPA SABAH
Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN
KOTA KINABALU: Gagasan Satu Malaysia tidak mungkin terbina tanpa penglibatan golongan belia dari Sabah dan Sarawak, kata Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Mustapha Haji Sakmud.
Beliau berkata, golongan belia di Sabah dan Sarawak perlu diberikan perhatian kerana walaupun hampir 46 tahun pembentukan Malaysia, "amat menyedihkan apabila rakyat Malaysia khususnya belia masih belum setanding dengan rakan-rakan sebaya lain di seluruh negara".
Katanya, pembangunan fizikal di Sabah masih jauh ketinggalan terutama di luar bandar dan prasarana asas seperti air, bekalan elektrik dan jalanraya masih kurang dan perlu pembelaan sewajarnya.
"Prasarana asas mendidik anak-anak Malaysia di negeri sabah juga amat dhaif terutama di luar bandar. Masih banyak lagi sekolah usang yang memerlukan perhatian segera.
"Keadaan pakaian para pelajar amat menyedihkan dan perlu ke sekolah berjalan kaki melalui cerun bukit dan jalanraya yang becak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan," katanya ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Belia Kebangsaan 2009 di MITC, Ayer Keroh Melaka.
Katanya, jurang yang wujud dari segi lokasi kerana Sabah dan Sarawak negeri yang luas, perbezaan kaum, taraf sosio-ekonomi dan tahap keupayaan pelajar menyebabkan berlakunya jurang perbezaan prestasi pelajar, penyediaan kemudahan fizikal dan keciciran pelajar agak serius berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
"Jika keadaan ini berterusan, mana mungkin para pelajar di sabah yang akan menjadi warga belia dapat bersaing dengan rakan sebaya di negeri-negeri lain yang mempunyai prasarana yang lengkap.
"Ini akan melebarkan lagi jurang capaian pendidikan, jurang digital, kemahiran dan akhirnya daya kepimpinan," kata Mustapha lagi.
"Jika perkara ini tidak ditangani, kita khuatir, belia Sabah berasa dianaktirikan dan ini tidak akan menepati gagasan 1 Malaysia yang tidak mungkin terbina tanpa penglibatan Sabah dan Sarawak," katanya.
Beliau berkata, Majlis Belia Sabah (MBS) secara prinsipnya bersetuju dan menyokong gagasan tersebut termasuk lapan nilai teras yang sedang dalam peringkat pendefinisian.
Walau bagaimanapun, pendefinisian gagasan tersebut mesti berakarkan sejarah Negara ini dan pembentukan Malaysia itu sendiri.
Belia Malaysia di sabah tidak mahu ada mana-mana pihak yang cuba menafikan sejarah ini dan cuba merungkai asas-asas Perlembagaan Negara atas nama kesaksamaan dan keadilan sosial.
"Kita tidak mahu melihat setiap gagasan yang diutarakan oleh pimpinan negara ditakrifkan hanya mengikut kefahaman terkini akibat rasa terdesak untuk mengekalkan kuasa pemerintahan tanpa merujuk asas dan syarat pembentukan negara ini," katanya.
Isu-isu penting seperti kontrak sosial terutamanya hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera tidak wajar dipersoalkan atas nama kesaksamaan dan keadilan.
Kedudukan Sabah dan Sarawaj dan keistimewaan yang diberikan seperti yang termaktub dalam Perkara 20 dalam Perlembagaan perlu dipertahankan.
"Sepatutnya kita menghormati kesepakatan pimpinan lampau, memperkukuhkannya lagi pada hari ini untuk kebaikan hari muka,"katanya.
Gagasan 1 Malaysia ini mesti memastikan bahawa titik-titik persamaan perlu disuburkan dan titik-titik perbezaan perlu dihormati.
Masyarakat Malaysia bernasib baik kerana menjadi saksi kepada kesemua agama dan sistem akhlak yang terbesar di dunia seperti agama Hindu, Buddha, Kristian dan Islam.Persamaan dalam dasar-dasar asas akhlak dan kemasyarakatan wajar diketengahkan dalam penggubalan konsep 1 Malaysia ini untuk melahirkan insan dan warganegara yang baik.
Katanya, belia Malaysia di Sabah perlu dibezakan dari segi pendekatan dalam pergerakan belia kerana terdapat perbezaan yang ketara dari segi sejarah pergolakan politik, kepelbagaian suku kaum dan agama.
Mustapha berkata, menurut statistik Jabatan Perangkaan pada tahun 2007, lebih kurang 1.4 juta penduduk negeri Sabah berada dalam kategori belia dan semuanya layak untuk menjadi pengundi pada pilihanraya Umum ke-13.
Oleh yang demikian, peranan belia Sabah untuk menentukan kepimpinan masa depan, sebagaimana juga negeri-negeri lain tidak wajar diperkecilkan.
"Maknanya pendekatan 1 Malaysia perlu mengambilkira dan menghormati pandangan belia Sabah dan Sarawak, lebih-lebih lagi kemampuan dua negeri itu menjadi penentu corak landskap politik negara," katanya.