Selasa, 19 Mei 2009

Catatan Ayer Keroh 2-Minda terpenjara

Tags

Saya membatalkan niat untuk menyertai rombongan untuk melawat Kota Melaka kerana pada pagi itu, Konvensyen Belia Kebangsaan 2009 masuk hari kedua dan hari penutupan. Semalam 14 Mei, kami sampai agak lewat.Jam 11.05 malam bas memasuki halaman D Village Ayer Keroh selepas menempuh perjalanan kira-kira dua jam dari KLIA. Kami singgah makan di Hentian Seremban, dan saya sempat mencicipi ikan keli salai dan tilapia goreng. Alangkah baiknya sekiranya ada gerai atau restoran yang menjual menu ikan air tawar di Sabah.

Saya agak lambat juga tertidur. Dalam kamar 1422, seorang diri, cuba untuk menulis tapi idea agak kurang lancar. Di Tv, tak ada rancangan yang baik. Akhirnya saya terlelap dan terburu-buru bangun mandi dan menunaikan solat subuh, yang rupa-rupanya belum masuk waktu lagi.

Selepas sarapan, kontinjen Sabah yang memakai tshirt merah pada pagi itu, merancang untuk melawat A Farmosa. Saya tidak jadi ikut kerana mendapat tahu, konvensyen masih berlangsung di MITC.

Akhirnya saya memutuskan untuk berjalan kaki dari D Village ke MITC. Ingatkan dekat, rupanya agak jauh juga dan saya kira jaraknya sama dengan jarak dari bandar KK ke Masjid negeri atau mungkin lebih jauh lagi. Suhaili, exco MBS kata, sepuluh minit boleh sampai. ternyata memakan masa kira-kira setengah jam. Saya sempat menyaksikan pembangunan Melaku Maju sedang rancak dijalankan.

Sesampainya di Konvensyen, Prof.Madya Shaharuddin Badaruddin sedang menyampaikan makalah bertajuk Menyemarakkan Perpaduan Bangsa Malaysia: Unity in Diversity.

Huraian Prof Madya Shaharuddin amat menarik.Terutamanya bila ia mengulas soal minda terpenjara.

"Ciri utama bangsa Malaysia Baru adalah rakyatnya yang berjiwa merdeka dan tinggi semangat patriotismanya.Sebuah negara merdeka adalah penting dalam mengujudkan bangsa yang bertamadun, tetapi rakyatnya yang berjiwa merdeka akan meneruskan kesinambungan ketamadunan tersebut.

"Prasyarat utama jiwa merdeka tersebt ialah rakyatnya harus berusaha keluar dari carptive mentality (minda hamba atau minda terpenjara).Negara mungkin merdeka dari segi fizikalnya, tetapi penjajahan dalam bentuk baru terutamanya dari segi pemikiran akan hanya membantutkan kreativiti dan inovasi bangsa tersebut," katanya.

Sangat menarik makalah yang disampaikan Prof.Madya itu. Juga sangat menarik kertas kerja berikutnya yang disampaikan oleh Dr.Asyraf Wajdi Dasuki mengenai liberasi kewangan. Dari situ, fahamlah saya bahawa asas ekonomi Amerika tidak sekukuh yang kita sangkakan kerana ekonominya berasaskan persepsi.Dan atas sebab itulah, mereka beria-ia menentang apabila mantan PM Tun Dr.Mahathir menggesa OIC menggunakan dinar emas.

Majlis penutupan dilakukan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek, juga seorang pemikir yang kini menteri Belia dan Sukan. Sebenarnya saya kurang minat beliau ketika menjadi menteri ini, saya mengaguminya ketika ia murni sebagai pensyarah universiti dan bukan sebagai tokoh politik. Tapi lebih baik pula, jika ramai orang sepertinya yang menjadi menteri.

Seingat saya, kami berempat belia Sabah dalam konvensyen itu. Presiden Majlis Belia Sabah, Saudara Mustapha Haji Sakmud, yang menjadi panel forum sehari sebelumnya, Saudara Afwan Ahmed dan seorang lagi yang saya kurang kenal.
Saya juga terkejut kerana Haji Shuaib Nassir, Presiden Majlis Belia Labuan ikut menyertai konvensyen itu.Kami lama tak berjumpa iaitu sejak dari Jakarta Oktober lepas iatu ketika kami sama-sama menjadi anggota delegasi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah melawat Jakarta International Expo di Kemayoran. Haji Shuaib ialah Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Islam Labuan.

Tetapi makalah Prof.Shaharuddin memang lebih menarik. Katanya antara cabaran yang kita hadapi ialah pembangunan ekonomi tanpa agenda pemerkasaan budaya, penyediaan sarana ekonomi tanpa pembinaan mentaliti ekonomi dan mengambl sains dan teknologi barat tanpa menyerasi, mengintegrasi dan mengakarkannya ke dalam budaya dan tradisi keilmuan pribumi.

Saya juga gembira apabila saudara Mustapha menyatakan hasrat untuk menganjurkan konvensyen serupa di Sabah, kali ini dari perspektif Sabah