Rabu, 27 September 2023

Kalau ada tempat yang sentiasa menggamit untuk dikunjungi, ia tentulah Barira

Tags

 

KALAU ada tempat yang sentiasa menggamit untuk dikunjungi di Maguindanao, ia tentulah Barira. Ada apa di Barira?

Barira adalah sebuah municipality Iranun di Maguindanao del Norte. Jangan silap. Benar bahawa istilah municipality merujuk kepada perbandaran tetapi tidak nampak bandar besar di Barira. Tempat itu sangat bersejarah. Terletak di sempadan Maguindanao, Lanao del Sur dan North Cotabato, Barira pernah menjadi kubu pertahanan terkuat dan terbesar Bangsamoro. Di situlah terletaknya Kem Abubakar Al Siddique, kem penempatan MILF yang terbesar sejak 1980, terletak di kawasan seluas kira-kira 40 km persegi, mempunyai masjid, madrasah, Kawasan perumahan dan perdagangan , mempunyai system tenaga solar sendiri, dan pelbagai kemudahan  lain dan  sehingga ia ditawan dalam satu serangan besar-besaran oleh tentera Filipina pada tahun 2000.  Tempat yang menyimpan Sejarah perjuangan Bangsamoro kini kembali aman selepas Kerajaan menandatangani perjanjian  Framework Agreement on the Bangsamoro (FAB) pada 2012 dan seterusnya Comprehensive Agreement on the Bangsamoro (CAB) pada 2014. Kini Barira termasuk dalam wilayah pentadbiran BARMM (Bangsamoro Autonomous Region of Muslim Mindanao).

Selepas itu, Kem Abubakar Al Siddique diberi nama Kem Iranun dan kini menjadi pengkalan tentera Filipina.

Jangan ditanya berapa mujahidin yang gugur di Barira. Luka dan pahit perjuangan itu masih tersimpan kukuh di dada pejuang dan Masyarakat di Barira.

Sekarang Barira adalah sebuah daerah yang kaya dengan hasil pertanian seperti kelapa,, pisang, nenas, jagung, mangga, tanaman kopi, dan terkenal pula dengan hasil kraftangan penduduknya berpotensi untuk menjadi sebuah daerah yang maju dan membangun jika keamanan dan keharmonian terus dikecapi.

Barira terletak kira-kira 30.18 kilometer ke arah barat laut Cotabato City. Selepas menempuh perjalanan selama kira-kira satu jam setengah, delegasi 68 orang anggota rombongan  dari BIMP-EAGA Sabah  tiba di Barira , disambut dengan penuh sukacita oleh Masyarakat Barira yang kebetulan sedang menyambut ulangtahun ke 46 Municipality Barira.



Kelihatan banyak bendera sambulayang, dan hiasan pandara untuk menyambut kami.





Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, Special Envoy BIMP-EAGA Sabah agak teruja dengan sambutan yang diberikan itu.

Beliau bertanya apa makna Barira dalam Bahasa Iranun? Apakah ia istilah untuk alat tenunan Iranun atau sejenis ikan yang dinamakan Barira.



Barira lebih merujuk  kepada  sejenis peralatan dalam alat tenunan  berbentuk pipih dan Panjang untuk memastikan benang lebih padat dan kemas. Tempat itu terkenal sebagai sebuah daerah pengeluar produk tenunan Iranun yang terkenal .

Beliau juga memuji Mayor Barira, Hon. Abdulraof  DTomawis kerana dalam usia mudanya sudah terpilih sebagai Mayor. Beliau membandingkan dirinya yang terpilih sebagai wakil rakyat dalam usia 27 tahun. Abdulraof terpilih sebagai mayor dan usia yang jauh lebih muda 23 tahun. Ini sudah tentu berkat  sokongan dan dukungan rakyat dan keluarga besarnya di Barira.




Dalam ucapannya yang menarik hati, Pandikar menceritakan bagaimana seharusnya Masyarakat di Barira dan Maguindanao del Norte khususnya mengambil peranan aktif dalam kerangka BIMP-EAGA untuk memajukan masyarakatnya yang masih ketinggalan. Barira mempunyai penduduk seramai 36,143 orang (banci 2020) dengan keluasan 392.61 kilometer persegi dan memiliki 14 Barangay atau kampung.



Beliau memberitahu, pemimpin dan Masyarakat di Maguindanao del Norte perlu mengambil peluang yang ditawarkan. Mereka yang ingin meneruskan pengajian, boleh memohon untuk memasuki Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kassim Haji Mansur turut serta dalam rombongan. Begitu juga jika ada Masyarakat peniaga yang  mahu menjalin Kerjasama dalam bidang makanan halal, pihak pengurusan BATARAS ikut serta untuk melihat Kerjasama yang  boleh dibina.

Dalam ucapannya yang bersemangat dan sepenuh hati, beliau menasihatkan pemimpin Barira untuk terus berjuang mengangkat martabat bangsanya.

Kalau dipilih jadi pemimpin, jadilah pemimpin yang sebenar, katanya. Jika tak mampu jadi pemimpin, jadilah pengikut. Kalau ada kuasa, gunakan kuasa itu sebaiknya untuk Masyarakat, sebab jika ada kuasa tetapi tidak menggunakan kuasa, ia sama seperti memperbodoh diri sendiri.

Ucapannya yang diselang seli dalam Bahasa Iranun menarik perhatian Masyarakat yang hadir. Kadang serius , kadang diselangi dengan jenaka dan gurauan, beliau bahkan digelar seorang pemidato yang `mamori’, iaitu ucapan yang serius diselangi dengan jenaka sehingga ucapan itu tidak mungkin dilupakan Masyarakat di Barira.

Walaupun ucapannya sedikit terganggu kerana masalah PA system, tetapi tidak ada seorangpun yang berganjak untuk mendengar ucapannya. Dalam majlis di Barira itu, King of Moro Song, Datu Khomeini Camsa Bansuan turut mempersembahkan beberapa buah lagi untuk hadirin. Sebelum itu, hadirin juga dihiburkan dalam persembahan tarian Iranun di Barira.












Selepas jamuan makan , kami sempat singgah melihat Kawasan air terjun Bubuludtua Falls di Barangay Nabalawag di Barira.