Kami sempat berbuka puasa di Restoran Yassin Curry House di Batu 10 sebelum pulang ke Kota Kinabalu menaiki Bas Tung Ma. Selain menghindari kesesakan lalulintas, kami sengaja datang awal agar tidak terlalu terburu-buru memesan makanan. Maklumlah, restoran sentiasa sibuk untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada pelanggan.
Alhamdulillah, sepanjang dua hari di Tawau, waktu terisi dengan baik. Dapat juga keluar ke bandar sebentar, menikmati suasana sambil mencari buku baru di gerai buku Pakcik Abdullah.
Tak ada buku baru, katanya kerana sejak pandemik, beliau belum ke luar negeri, walaupun ada keinginan untuk ke Surabaya. Pakcik Abdullah yang sudah lama berniaga buku buku bermutu, memiliki selera membaca buku yang tinggi.
Hari pertama di Tawau, sempat bertemu Amai Shafiq yang kebetulan sedang berurusan di Tawau. Sempat membawanya ke Kampung Titingan Hujung. Rupanya beliau tidak ikut rombongan sewaktu majlis perkahwinan kami pada 4 September 1999 dulu.
Kampung Titingan Hujung jauh berubah. Dulu di depan rumah, ada jambatan panjang yang dijadikan laluan penduduk kampung. Sekarang tidak ada lagi. Kereta boleh di parkir di depan rumah. Sejak peristiwa kebakaran beberapa tahun lalu, banyak sekali perubahan. Rumah-rumah yang terbakar itu tidak lagi didirikan semula.
Mama Mehran sempat berkunjung ke tempat pakcik Majid. Saya cuba menyiapkan beberapa tulisan tetapi mungkin kerana letih, terlelap di kerusi. Sempat menonton sinetron Para Pencari Tuhan jilid 1 bersama Shaari sambil menunggu waktu berbuka.
Kami berbuka di Flat Sri Titingan. Rasa gembira kerana dapat bersama bersungkai. Alhamdulillah. Selepas itu sempat kupi kupi di Bahzong dengan Sam ketika mengambil beg di rumah di Titingan Hujung kerana kami tidak jadi bermalam di sana.
Bahzong kini menjadi salah satu tempat kupi kupi popular di Tawau tetapi ketika kami datang itu, orang tidak begitu ramai. Selain di Bahzong banyak lagi tempat lain di Tawau yang jadi tumpuan, salah satunya di Muhibbah, kata Sam.
Sekadar kupi kupi, saya memesan jus avocado yang ternyata ada di jual di sana. Jadinya saya memesan jus avocado walaupun tujuan asalnya kupi kupi saja.
Sabtu pagi kami tiba sebelum Subuh, hari Ahad selepas Isya kami berangkat pulang ke Kota Kinabalu.