Sabtu, 6 Mac 2021

Haji Ag Damit, Kegigihan dan Ketabahannya Wajar Dicontohi

Tags

KEGIGIHAN dan ketabahan yang dimilikinya wajar dicontohi.  Walaupun bermula dari peringkat bawah, beliau meniti kerjaya setingkat demi setingkat hingga akhirnya bersara sebagai  Ketua Penolong Setiausaha (KPSU), suatu jawatan yang boleh dianggap tinggi. Satu ketika beliau sanggup meninggalkan jawatan kanan semata-mata mahu memenuhi cita-cita melanjutkan pelajaran di Santa Fe, New Mexico. Di celah-celah kesibukannya sebagai seorang pelajar, beliau masih sanggup bekerja sebagai pencuci piring, tukang potong rumput, menyusun buku di perpustakaan untuk menambahkan sumber pendapatan bagi menampung kekurangan kerana biasiswa tidak mencukupi. Akhirnya cita-cita untuk meningkatkan tahap pendidikan tercapai bagi membolehkannya berkhidmat dengan lebih baik kepada masyarakat.



Haji Ag Damit @ Hj Sahzain Pg Hj Abd Razak dilahirkan pada 7 Mac 1956 di Kampung Takis Papar. Anak ketiga daripada lapan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Pekan  Papar dari darjah satu hingga enam kemudian dari tingkatan satu hingga tiga di SMK Majakir Papar dan tingkatan empat dan lima di Maktab Sabah.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai pembantu kerani di Jabatan Keretapi Negeri Sabah pada 1974. Kemudian berpindah ke Jabatan Komputer Negeri Sabah sebelum bertugas sebagai Penolong Pegawai Luar Jabatan Kemajuan Negeri Sabah. Selepas itu beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Perkeso dan kemudian menjadi Ketua Kerani di Kementerian Kewangan.



Haji Awang Damit kemudian melanjutkan  pelajaran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di College of Santa Fe, New Mexico, Amerika Syarikat. Sekembalinya ke Sabah, beliau bertugas sebagai Penolong Pengarah, di Biro Pengaduan Awam Jabatan Ketua Menteri. Selepas itu, beliau dilantik sebagai  Pegawai Tadbir Jabatan Air Negeri Sabah dan selanjutnya Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok. Kerjayanya meningkat naik sebagai Ketua Penolong Setiausaha (bahagian Keusahawanan ) Kementerian Perindustrian dan kemudian sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Bahagian Kemiskinan Luar Bandar) Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada 2016.

Selain berkecimpung dalam politik dan pernah bertanding sebagai calon Usno N29 Pantai Manis dalam Pilihan raya lepas (PRN 16) tetapi kurang bernasib baik,beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Masyarakat Brunei Negeri Sabah, dan Timbalan Pengerusi koperasi Komani Berhad Sabah.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Iris Voo @ Iriza Abdullah dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Dayang Zarish Shafinaz,(akauntan di Kementerian Kewangan) Dr Dayang Zarin Nabilah, Dr Awang Jarip Aminuddin dan Awang Zahir Aimanuddin.



Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara HAJI AWANG DAMIT @ HAJI SAHZAIN PG HAJI ABD RAZAK di salah sebuah premis di Jalan Pantai Kota Kinabalu mengenai pengalamannya sejak zaman persekolahan , pengalaman dalam kerjaya hinggalah bersara. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

 

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?

HAJI AWANG DAMIT (HAD):    Saya lahir di Kampung Takis pada 7 Mac 1956. Saya anak ketiga daripada lapan orang adik beradik, seorang sudah meninggal. Ayah saya ,  Pengiran Haji Abd Razak bin Pengiran Nasaruddin manakala ibu saya Hajah Samsiah binti OKK Majakir. Nama SMK Majakir diambil sempena nama nenek lelaki kami, ayah arwah emak saya,  OKK Majakir, Ketua Daerah di Papar.

UB:     Di mana tuan haji mendapat pendidikan awal?

HAD: Saya bersekolah rendah di SRK Pekan Papar, yang terletak hanya suku batu dari rumah. Saya pergi ke sekolah dengan berjalan kaki sahaja.

UB:     Siapa antara rakan-rakan sekolah sewaktu di sekolah rendah? Masih ingat?

HAD:  Antaranya Datuk Ahmadshah Talip, Mohd Noh Bostamam, Japarudin Haji Zulkifli ,Datuk Haji Abu Bakar Abs dan ramai lagi. Saya bersekolah dari darjah satu hingga darjah enam  di sekolah itu. Saya tamat sekolah rendah tahun 1969.

UB:     Kalau boleh tahu, berapa bekal ke sekolah ketika itu?

HAD:  Kadang-kadang 20 sen,50 sen, satu ringgit. Itu sudah cukup ketika itu. Masa itu, ayah saya bekerja di Lembaga Tabung Getah dan sering bertugas  di beberapa daerah seperti Papar, Keningau, Kudat, Kota Belud dan sebagainya.

UB:     Selepas itu, di mana tuan haji melanjutkan pelajaran menengah?

HAD:  Saya melanjutkan pelajaran di SMK Majakir Papar dari tahun 1970 hingga 1972 . Antara rakan sekolah masa itu yang saya ingat ialah Aliasah Awang, Aliudiin Musa dan Sani Matusin. Kemudian  selepas lulus SRP, saya melanjutkan pelajaran  dalam tingkiatan empat dan lima di Maktab. Di Maktab Sabah pula, antara rakan sekolah saya waktu itu ialah Abdillah Abdul Hamid, Amir Ali, Haji Ahmad Bakia, dan Datuk Siti Sapoo Ahok, Amir Manap, Saleh Mohd Noh dan Mohd Hekam Terimoh.

UB:     Sebaik tamat tingkatan lima, di mana tuan haji melanjutkan pelajaran?

HAD:  Saya bekerja dahulu sebelum melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Pada Julai 1974, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di ITM. Pada masa sama, ada panggilan temuduga untuk jawatan inspektor polis, tetapi ibu saya agak keberatan melepaskan saya. Padahal sejak kecil saya sudah meminati untuk memasuki pasukan beruniform. Akhirnya, hanya rakan saya, Datuk Awang Sahari Haji Nazir yang menjadi polis dan pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.



UB:     Jadi tuan haji tak jadi masuk perkhidmatan polis. Apa yang tuan haji lakukan selepas itu?

HAD: Saya mula bekerja sebagai pembantu kerani dengan gaji RM175.. Sebenarnya saya tidak menyangka dapat bekerja di Jabatan Keretapi. Ceritanya begini. Ada seorang pakcik saya, Pakcik Adnan namanya bekerja sebagai Timbalan Penguasa Trafik. Bila dia nampak saya, dia bertanya di mana saya bekerja. Saya jawab, saya bekerja tidak menentu. Kalau begitu lebih baik kerja daripada berjalan-jalan tak tentu hala, kata pakcik saya.Masa itu sebenarnya masih mudah untuk mendapat pekerjaan.

UB:     Sudah biasa  dengan keretapi masa itu?

HAD:  Kami berulang alik dari Papar ke Kota Kinabalu, naik keretapi. Tambangnya sekitar 70 sen masa itu, jika tidak silap saya.



UB:     Apa antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku ketika itu?

HAD:  Pada masa itu, adalah tempoh di mana jiwa anak-anak menggelora.Jiwa muda memberontak. Ketika itu, orang-orang muda tidak dibenarkan berambut panjang, bahkan ditangkapjika berambut  panjang. Sesiapa yang berambut panjang akan digunting. Kita ikut berkempen agar tindakan itu dihentikan.

UB:     Selepas Stesen keretapi Tanjung Aru, di mana tuan haji ditugaskan?

HAD:  Saya ditugaskan di Stesen Keretapi Membakut selama bebepa bulan  berpindah lagi ke Jabatan Perkhidmatan Komputer sebagai kerani. Jabatan Komputer baru ditubuhkan masa itu.

UB:     Kemudian selepas itu di mana tuan bertugas?

HAD:  Saya pernah bertugas di berbagai tempat antaranya sebagai Penolong Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Penolong Pegawai Perkeso dan kemudian Ketua Kerani di Kementerian Kewangan Negeri Sabah.



UB:     Banyak sekali pengalaman tuan haji. Apa cerita seterusnya?

HAD:  Lepas itu saya memohon biasiswa kerajaan negeri. Akhirnya saya dapat melanjutkan pelajaran sehingga lulus Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di College of Santa Fe New Mexico, Amerika Syarikat.



UB:     Apa yang mendorong tuan haji belajar lagi sehingga sanggup tinggalkan gaji yang tinggi sedangkan masa itu tuan haji  sudah memegang jawatan yang boleh dikatakan baik?

HAD:  Saya fikir masa depan yang baik dapat diraih dengan ilmu dan pelajaran. Saya terdorong untuk belajar lagi apabila melihat ada rakan rakan sekolah yang berpendidikan tinggi. Saya terdorong untuk belajar lagi, apatah lagi masa itu masih agak mudah untuk mendapatkan biasiswa ke luar negeri.

UB:     Siapa antara rakan seuniversiti masa itu?

HAD:  Antara yang saya ingt, Haji Arif Hassan, Azd Aziz Haji Wasli, Tahir Mohd Talip, Suhaimi Haji Matdon, Shaufi Miraj Datuk Haji Musali.

 

UB:     Mungkin ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan  ketika belajar di Amerika Syarikat?

HAD:  Banyak sekali. Saya pernah bekerja di sebuah restoran Cina sebagai pencuci piring. Upahnya agak lumayan masa itu iaitu USD1.75 sejam. Sesi bekerja dari jam 11.00 pagi hingga 6.00 petang dan darijam 7..00 petang hingga 12.00 malam. Saya tidak pernah memilih kerja. Saya cuci tandas dan sebagainya.

Saya pernah jadi tukang potong rumput. Upah potong rumput ialah  USD6.00 dolar sejam. Bolehlah menampung perbelanjaan sepanjang belajar di Amerika.





Saya sempat juga bekerja susun buku di perpustakaan. Apa saja yang boleh mendatangkan pendapatan terutamanya di musim cuti sekolah.Ini semua dilakukan untuk menambah pendapatan kerana duit biasiswa tidak mencukupi. Terlebih lagi bagi kami yang membawa keluarga. Saya mendirikan rumah tangga pada bulan November 1983. Namun selepas itu, saya terpaksa berangkat ke Amerika Syarikat untuk belajar. Isteri saya menyusul kemudian untuk belajar perakaunan.

UB:     Selepas pulang dari Amderika dimana tuan haji ditugaskan?

HAD:  Sekembalinya ke Sabah, saya ditugaskan sebagai Penolong Pengarah..Biro Pengaduan Awam Jabatan Ketua Menteri, kemudian dilantik sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Air Sabah.

UB:     Seterusnya?

HAD:  Seterusnya saya dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu dari tahun 2001 hingga 2003, kemudian  Penolong Pegawai Daerah , Daerah Kecil Menumbok.  Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Keusahawanan, Kementerian Perindustrian  dari 2004 hingga 2011 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kemiskinan Luar Bandar.Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah dari tahun 2011 hingga saya bersara tahun  2016.

UB:     Apa hobi tuan jika ada kelapangan?

HAD:  Hobi saya jika ada masa lapang ialah melancong. Saya pergi melancong bersama keluarga ke luar Negara seperti Jordan, Turki, India, Mesir dan sebagainya. Cuma sekarang agak terhenti kerana wabak Covid-19 yang menghalang pergerakan kita.

 


UB:     Apa pesan ibu bapa yang masih diingati?

HAD:  Ayah saya berpesan agar bekerja dengan baik, ikut peraturan, sentiasa bersikap baik, jangan menyakiti orang. Kalau sudah memegang jawatan, jangan mengecilkan hati orang. Jangan berjanji jika tidak boleh ditepati.

UB:     Apa kegiatan selepas bersara?

HAD:  Saya banyak menumpukan dalam kegiatan kemasyarakatan. Selain itu, saya berkecimpung dalam kegiatan politik secara aktif kerana mahu memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat yang masih belum terbela sepenuhnya.

UB:     Terima kasih banyak kerana sudi berkongsi pengalaman bersama pembaca Utusan Borneo.

HAD:  Terima kasih banyak

 

 

Artikel Terkait