Di dunia ini tak perlu takut apa-apa, semuanya kita serah kepada Allah. Kita tak perlu gentar dan takut berhadapan dengan apa jua di dunia ini kerana ada Allah yang menjaga kita. Itulah pesan ibu yang selalu memberi semangat kepada saya agar berani menempuh apa saja cabaran dalam menjayakan perjuangan, kata Siti Khairiah S Mohamad, seorang aktivis yang gigih memperjuangkan nasib kaum wanita dan masyarakat terpinggir. Beliau juga seorang yang terkenal dengan kemampuan menguasai Bahasa Mandarin dengan fasih disamping dialek cina yang lain.
KHAIRIAH @ SITI KHAIRIAH S MOHD dilahirkan pada 28 Mac
1975 di Sandakan Sabah. Anak kedua daripada sebelas adik beradik.Ayahnya,
Sheikh Mohamad Sheikh Omar keturunan
Arab Suluk manakala ibunya , Salehah Abdullah @ Phang Choon Fah keturunan Cina
Iban. Beliau mendapat pendidikan di SRJK
(C) Chi Hwa Sandakan (1982-1987) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM
Sung Siew Sandakan (1988- 1990) Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam
tingkatan enam di SM All Saints Kota Kinabalu (1991- 1992). Beliau sempat
mengambil A Level di Sunway College sebelum terbang ke United Kingdom bagi
meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang dan Pentadbiran Awam (Law &
Public Administration) di Hull
University hingga tamat 1996.
Selesai menamatkan pengajian di luar negara, antara kerjaya
yang diceburinya selepas pulang ke tanah air ialah pernah menjadi Pengarah Impian Abadi Sdn Bhd 1998-2002, Unit
Pentadbiran OUM, Eksekutif Pentadbiran Kanan Tan Chong Holding, Cawangan
Sandakan 2005-2006. Beliau pernah menjadi Pengerusi Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia
Cawangan Sandakan 2001-2003.Beliau juga pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada mantan Ahli Parlimen
Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh selama kira-kira tujuh tahun.
Dalam politik, Siti Khairiah pernah bertanding PRN
ke-16 sebagai calon USNO di DUN N55 Elopura tetapi tidak berjaya. Kini beliau adalah
Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pusat 2021-2024.
Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN
berpeluang menemubual Siti Khairiah S Mohamad di salah sebuah restoran popular
di Jalan Pantai.
Ikuti petikan temubual
mengenai pengalaman dan misinya dalam memajukan golongan wanita:
UTUSAN BORNEO:
Boleh ceritakan sedikit latar belakang puan?
SITI KHAIRIAH: Saya
dilahirkan pada 28 Mac 1975 di Sandakan Sabah. Saya anak kedua daripada sebelas
adik beradik. Ayah saya Sheikh Mohamad
Sheikh Omar adalah keturunan Arab Suluk , seorang tokoh politik dan pernah
menjadi Setiausaha BN pada tahun 80-an, manakala ibu saya Salehah Abdullah @
Phang Choon Fah keturunan Cina Iban. Jadi saya sendiri adalah anak Borneo.
UB: Di mana puan meendapat pendidikan awal?
SITI KHAIRIAH: Saya
bersekolah rendah di SRJK (C) Chi Hwa
Sandakan (1982-1987) sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM Sung Siew
Sandakan (1988- 1990) Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran dalam tingkatan enam di
SM All Saints Kota Kinabalu (1991- 1992). Kemudian saya sempat mengambil A Level di Sunway College sebelum
terbang ke United Kingdom bagi meneruskan pelajaran dalam bidang Undang-Undang
dan Pentadbiran Awam (Law & Public Administration) di Hull University hingga tamat 1996.
UB: Mungkin
ada pengalaman menarik sewaktu di university, yang boleh dikongsikan kepada
pembaca?
SITI KHAIRIAH: Antara
pengalaman menarik ialah ketika bekerja memetik buah epal di sebuah ladang
untuk mencari duit poket semasa cuti semester. Masa itu upah memetik epal ialah
lima pound (kira-kira RM30 sehari). Pengalaman yang tidak kurang menariknya
ialah menumpang sebuah keluarga orang
Melayu yang sama-sama belajar tetapi belajar di universiti lain.
UB: Masih
ingat rakan-rakan seuniversiti dari Sabah?
SITI KHAIRIIAH: Tiada. Rakan seanglatan, seorang dari
Pulau Pinang bernama Mr Jason Chan dan seorang lagi dar I Melaka, Ms Catherine
Chua.
UB: Di mana
puan bekerja selepas pulang ke tanah air?
SITI KHAIRIAH: Selepas enamatkan pengajian di luar negara,saya
pulang ke Sabah. Saya pernah bekerja sebagai
Pengarah Impian Abadi Sdn Bhd 1998-2002, Unit Pentadbiran OUM, Eksekutif
Pentadbiran Kanan Tan Chong Holding, Cawangan Sandakan 2005-2006. Selain itu,
saya juga pernah menjadi Pengerusi Pusat Amanah Ikhtiar Malaysia Cawangan
Sandakan 2001-2003.Saya juga pernah bertugas sebagai pegawai khas kepada mantan Ahli Parlimen
Kalabakan, Datuk Seri Panglima Ghapur Salleh selama kira-kira tujuh tahun. Ia
memberikan banyak pengalaman kepada saya untuk mengetahui selok belok proses
parlimen dan lebih tahu mengenai permasalahan rakyat di lapangan.
UB: Apa
cita-cita puan ketika kecil? Pernah terlintas menceburi bidang politik?
SITI KHAIRIAH: Mulanya saya bercita-cita menjadi
seorang peguam, tetapi kemudian berubah fikiran. Ketika di UK saya mengambil
jurusan Law & Public Adminisration. Tak pernah terlintas di hati saya untuk
menceburi bidang politik. Minat saya suka memberi khidmat kepada rakyat, minat
dalam menganjurkan program amal kebajikan.
UB: Apa yang
membuat puan berubah fikiran?
SITI KHAIRIAH: Selepas
melihat masih terlalu banyak yang perlu diperjuangkan. Kita lihat masih banyak
masyarakat luar Bandar yang terpinggir dalam arus pembangunan. Ramai yang masih
ketinggalan dari sudut ilmu pengetahuan dan maklumat seperti celik IT. Kita
juga berhadapan dengan banyak isu-isu diskriminasi gender penderaaan dan
sebagainya. Agensi-agensi kerajaan berkaitan perlu bekerja kuat memastikan
isu-isu berkaitan keterbelakangan kaum wanita diberikan solusi yang tepat.
UB: Oh ya.
Baru-baru ini puan dipilih sebagai Ketua Wanita Pertubuhan Kebangsaan Sabah
Bersatu (USNO) sesi 2021-2024. Mungkin puan boleh ceritakan apa antara misi
puan sebagai Ketua Wanita?
SITI KHAIRIAH: Antara misi saya sebagai Ketua Wanita ialah
ingin meningkatkan tahap pendapatan ekonomi wanita dan berdaya saing baik di
peringkat daerah mahupun negeri.
Kedua, kita juga ingin membuka minda wanita, ibu-ibu dan juga generasi muda wanita untuk melihat
teknologi masa kini selain perniagaan berbentuk fizikal, tetapi perniagaan
berasaskan teknologi digital juga bole meraih pendapatan lumayan. Contoh
platform trading emas digital, boleh mendatangkan hasil pendapatan pasif setiap
bulan. Emas adalah satu aset yang mana harga tidak mudah jatuh.
UB: Menurut
puan, apa antara cabaran yang dihadapi golongan wanita masa kini?
SITI KHAIRIAH:
Antara cabaran yang dihadapi wanita masa kini ialah mudah terpengaruh dengan
isu-isu di sekeliling tanpa usul periksa
akan kesahihannya. Ketakutan masih menebal dalam diri. Tidak berani menerokai peluang-peluang baru. Kebergantungan masih utuh walaupun masih
berada di tampuk kesusahan.
Sebenarnya banyak cara boleh yang boleh diterokai
untuk meningkatkan ekonomi, termasuk apa yang saya katakan tadi iaitu kaum
wanita perlu berani menjalankan peniagaan berasaskan teknologi digital
terutamanya ketika era pandemik ini.
Kita lihat banyak kes keganasan rumah tangga, kes-kes
penderaan, rumah tangga tidak stabil, antaranya
disebabkan tekanan dari segi ekonomi dan mental, ramai kehilangan kerja.
Oleh sebab itu, kita mesti berani meneroka peluang baru. Kita perlu ubah
pendekatan, jika selama ini kita cenderung untuk memberi ikan, seperti kata perumpamaan,
kita beri mereka pancing, supaya mereka dapat menangkap ikan tanpa mengharap
orang lain.
Dalam menjayakan misi memperkasa wanita,, semua pihak
perlu berganding bahu. NGO, kerajaan, pertubuhan siasah dan semua sektor dalam
masyarakat. Sampai bila, kita kaum wanita berdiam diri. Zaman sekarang zaman
teknologi, di mana cabaran hebat menanti kita. Masih banyak yang perlu
diterokai misalnya blockchain masih
kurang diterokai. Penerimaan masih kurang terhadap ekonomi digital. Kita sebut
ekonomi digital, dimana pengetahuan pun boleh jadi duit.
UB: Mungkin
puan boleh jelaskan sedikit mengenai teknologi blockchain?
SITI KHAIRIAH: Teknologi Blockchain sudahpun diiktiraf
oleh pelbagai industri sebagai suatu teknologi hebat yang dilahirkan selepas
penciptaan internet. Salah satu produknya ialah Bitcoin. Bitcoin dibangunkan
dan dibina untuk tujuan kewangan tetapi teknologi blockchain ini boleh
diaplikasikan dalam pelbagai bidang. Berdasarkan perkembangan pesat jalur lebar
yang dijangka meliputi semua isi rumah, penduduk digital Malaysia sudah pasti
memainkan peranan yang semakin penting dalam pembangunan sosioekonomi negara
Saya fikir, dalam
mengorak langkah ke hadapan, kita memerlukan usaha ke arah ekonomi digital yang
inovatif. Sejak beberapa tahun ini, jika kita lihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi
digital menyaksikan perkembamgan yang menakjubkan. Kita boleh saksikan sendiri
dengan melihat data-data ekonomi yang ada. Kita perlu melonjakkan daya saing
dalam ekonomi digital global. Ekonomi
digital mampu merangsang kreativiti manusia dengan teknologi baru, pasaran baru
dan peluang-peluang baru.
Kerajaan perlu membuat perancangan rapi dan penggunaan
stategi digital bagi memastikan negara terus berdaya saing dan berjaya di
peringkat antarabangsa. Kita juga boleh mewujudkan
platform untuk mendapatkan pendapatan pasif, untuk meningkatkan pendapatan dan
ekonomi rakyat setempat.
Perkembangan dan kemajuan teknologi informasi dan
komunikasi tidak dapat lagi dipisahkan dengan aspek kehidupan masyarakat.
Kemajuan internet berkembang mencipta dunia atau ruang maya atau cyber-space,
menjadi sebuah tempat untuk berkomunikasi,
melakukan berbagai aktiviti ekonomi hingga melahirkan masyarakat
informasi (information society), masyarakat berpengetahuan (knowledge society)
dimana teori ekonomi fundamental yang lama berdasarkan faktor fizik, tenaga
kerja dan modal semakin ditinggalkan. Sekarang kehidupan bergantung fator
intelektual berupa ilmu pengetahuan dan teknologi, kreativiiti dan pelbagai
inovasi lain.
UB: Oh ya, mengenai isu atau masalah keciciran
pelajar. Saya pernah dengar puan bercakap mengenainya. Boleh ulas sedikit?
SITI KHAIRIAH: Ramai kanak-kanak yang berstatus tempatan di mana samada salah
seorang ibu atau bapa orang tempatan atau kedua-dua orang tua mereka orang
tempatan tetapi mereka tidak mempunyai dokumen sijil lahir yang teratur atau
diabaikan oleh orang tua mereka, mereka tercicir tidak dapat bersekolah.
Ada juga anak-anak yang tinggal di luar bandar dimana ibu bapa mereka
tidak begitu bijak mengurus urusan sijil
lahir daftar lewat akibat sistem yang agak rumit yang membuatkan orang tua
mereka merasa susah dan meninggalkan urusan tersebut tanpa penyelesaian.
Anak-anak ini
adalah generasi pelapis yang sepatutnya tidak dibiarkan. Kita harus membantu
untuk menyelesaikan urusan dokumen
mereka. Mungkin sebagai pengantara bagi membantu mereka menangani masalah.
UB: Soalan
terakhir sebelum kita menamatkan sesi temubual untuk ruangan Sembang Sabtu
minggu. Apa agaknya pesan orang tua yang masih puang ingat dan amalkan?
SITI KHAIRIAH: Banyak. Tapi yang sangat berkesan ialah
pesanan atau nasihat ibu saya. Katanya, di dunia ini tak perlu takut apa-apa,
semuanya kita serah kepada Allah. Kita tak perlu gentar dan takut berhadapan
dengan apa jua di dunia ini kerana
ada Allah yang menjaga kita.