Sabtu, 13 Februari 2021

SEKADAR BERKHABAR, DR BUKHARI DAUD SUDAH PERGI MENDAHULUI KITA

Tags

 

****Petang tadi saya sempat berhubung dengan Cikgu Hajat Haji Lassin yang menanyakan khabar apakah benar Dr Bukhari Daud sudah meninggal. Dr Bukhari adalah antara kerabat keluarga kami di Aceh.

 Alkisah, moyang kami yang bernama Duaming, merantau dari Lamparu? Aceh Besar untuk berdagang dan menyampaikan dakwah Islam di Kota Belud yang lebih dikenali sebagai Tempasuk ketika itu. Mungkin sezaman dengan  perlawanan Cut Nya Dien menentang Belanda. Duaming berkahwin dengan wanita tempatan lalu lahirnya anaknya Abdullah dan Abdul Laham. 

Abdullah pula antara anaknya ialah Abbas. Anak Abbas pula ialah Miri, Jami, Uyu, Rakah, Tundu, Momo, Ismail (mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Kibong. Anak kepada Kibong, salah seorannya ialah Datuk Hamzah Sundang, mantan Pengarah Kastam Negeri Sabah. Kebanyakan mereka menetap di kampung Pirasan, Sungai Damit, dan Likas.

Abdul Laham adalah ayah kepada Siti Aisyah.Siti Aisyah adalah ibu kepada Haji Mohd Hashim @ Markasham. Haji Mohd Hasyim adalah ayah kepada ayah saya, Haji Shaiddin. Saya generasi yang ke enam.  Kebanyakannya menetap di Kampung Linau,

Antara pemimpin keluarga yang sungguh-sungguh menjejaki, menelusuri dan menyusun susur galur atau silsilah keluarga, ialah cikgu Haji Hajat Haji Lassin. Beliau berusaha untuk mengumpulkan dan menghimpunkan keluarga untuk mengukuhkan silaturrahim antara sesama.

Ituah sebabnya beliau sanggup terbang ke Aceh, mencari keluarga, mana tahu ada yang mengenal mengenai Duaming yang merantau ke Sabah Borneo, ratusan tahun yang lalu itu.

Sewaktu menjejaki keluarga di Aceh ini, pakcik Hajat  Haji Lassin bertemu dengan Dr Bukhari Daud Salah seorang kerabat keluarga kami  di Aceh. Inilah titik permulaan hubungan silaturrahim itu.

Saya agak terkejut kerana pakcik Cikgu Hajat tiba-tiba menelefon dan bertanya khabar mengenai Dr Bukhari.  Saya minta sedikit waktu untuk mengkorfirmasi dengan saudara saudara yang ada di Aceh. Chik Rini tak dapat dihubungi kerana hilang no hp. Yang ada hanya alamat twitternya, itupun aktif tiga hari lalu. Syukurlah saya sempat bercakap dengan pak TA Sakti, mantan pensyarah Unsyiah Kuala yang katanya sudah bersara kira-kira 15 bulan yang lalu. Pak TA inilah yang banyak membantu, melalui karya dan kajiannya mengenai Tengku Panglima Besar Sulong yang terlibat dalam Perang Reteh.

“Ya benar, “ katanya. Kelmarin beredar ucapan belasungkawa di banyak grup WA yang mengkhabarkan berita meninggalnya pak Bukhari Daud. Meninggal di rumahnya , Cuma belum diketahui ada penyebab kematiannya, kata Pak TA. Kalau begitu, benarlah khabar duka itu.

Serambi News melaporkan Dr H Bukhari Daud MEd, mantan Bupati Aceh Besar 2007-2012 meninggal di rumahnya di kawasan Lampeuneurut Aceh Besar dalam usia 61 tahun. Dosen Program Studi Bahasa Inggeris FKIP Universitas Syiah Kuala (USK) meninggalkan isteri Dra Hajah Maslaila, tiga puteri dan satu putra.

Menurut laporan Serambi News, almarhum memang mengalami gangguan jantung sejak akhir-akhir ini.

"Sudah pernah di opname di rumah sakit kemudian kondisinya membaik.Diperbolehkan pulang ke rumah oleh dokter dan dianjurkan cukup minum obat saja.

"Jadi, menjelang mengembuskan napas terakhir dini hari tadi, (pukul 2.00 WIB khamis 11 Feb), kondisi fisik Dr Bukhari dalam keadaan normal.Itu sebab ia tidak sempat dibawa ke rumah sakit terdekat untuk penanganan darurat medis," kata isterinya seperti yang dikutip Serambi News.

Kami rasa kehilangan kerana hilang kontak keluarga di Aceh. Dr Bukhari adalah salah seorang kontak penting keluarga kami di Aceh. Beliau pernah berkunjung ke Sabah beberapa tahun lalu, tepatnya April 2012 bagi menyambung silaturrahmi antara keluarga.













Dalam kunjungannya ke Sabah, beliau sempat bertemu dengan keluarga besar Duaming di Kota Kinabalu. Saya sempat menemani beliau untuk bertemu dengan Prof Madya Dr Haji Inon Shaharudin Abdul Rahman, ketika itu masih bertugas sebagai salah seorang dekan di Universiti Malaysia Sabah.

Berita pemergian beliau ke alam baqa sangat mengejutkan keluarga di Sabah. Kunjungan beliau ke Sabah memperkukuhkan ikatan silaturrahim dan menunjukkan bahawasanya kami mempunyai sedikit darah keturunan Aceh, sesuatu yang dulunya tidak kami sedari.

Mati adalah akhir bagi setiap perjalanan hidup. Kita pun mati kerana mati adalah sebahagian dari kehidupan itu sendiri. Semua husnul khotimah, semoga kehidupan kita berakhir baik baik baik saja. Salam takziah dan belasungkawa untuk semua keluarga. Kami turut  berdukacita dan mendoakan semoga rohnya dicurahkan rahmat, dan segala amal baiknya diterima oleh Allah. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.