Selasa, 16 Februari 2021

Bonsai Kelapa mampu beri pulangan lumayan

Tags

 

BONSAI KELAPA, MAMPU BERI PULANGAN LUMAYAN

Oleh ABD NADDIN BIN SHAIDDIN

 Di celah celah kesibukannya sebagai seorang usahawan dan pemimpin masyarakat, Razak Haji Rakunman masih sempat memberikan waktu untuk menyuburkan hobi barunya. Bonsai kelapa. Minatnya untuk membuat  bonsai kelapa semakin marak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu.


“Mulanya, isteri saya minta kupaskan beberapa biji kelapa dengan cermat supaya akar dan tunas yang tidak rosak atau cedera,” katanya. “Saya buat dengan baik kerana memang saya sudah biasa kupas kelapa,” kata Razak.

“Bila saya tanya untuk apa, isteri saya beritahu, ini untuk dibuat bonsai kelapa,” jelasnya ketika mengimbas semula bagaimana minat untuk membuat bonsai ini mula timbul.

Ini berlaku hujung tahun 2019. “ Tetapi ternyata, kelapa yang saya kupas, layu dan mati kerana tidak mendapat penjagaan seperti yang sepatutnya.”

Dalam bulan Disember tahun yang sama, saya pergi ke Temerloh, Pahang bersama rombongan Ahli Persatuan Graduan Iranunn Sabah (PAGISA). “Kami ke Temerloh kerana tidak mahu melepaskan peluang menikmati masakan ikan patin yang memang terkenal di sana.

“Tanpa dirancang, kawan saya bawa kami ke rumah kawan dia. Di rumah kawannya itulah, pertama kali saya nampak bonsai kelapa Tanpa segan silu, saya bertanya cara membuat bonsai kelapa itu, Saya minta tip cara membuat bonsai, Alhamdulillah, teknik itulah yang saya kembangkan.



“Saya terus usaha membuat bonsai kelapa ini sejak awal Februari 2020. Saya mencari rujukan di Youtube dan sebagainya. Alhamdulillah, kini ia semakin membuahkan hasil,” katanya.






Bonsai adalah sebuah teknik untuk mengerdilkan tanaman. Teknik ini berasal dari Jepun. Tapi sebelum Jepun, teknik ini sudah muncul di era Dinasti Han pada tahun 206 sebelum masihi. Ia tersebar ke Jepun ketika masa kecemerlangan Dinasti Yuan tahun 1280-1368 dimana ketika itu di Jepun adalah era Kamakura (1185-1333)

Berasal dari negara China, bonsai menyebar ke Jepang pada masa kejayaan dinasti Yuan tahun (1280-1368) yang pada masa itu di Jepang adalah era Kamakura (1185-1333).

Kata Bonsai adalah sebutan Jepun yang berasal dari perkataan Cina iaitu penzai yang maksudnya pokok dalam bekas. `Bon’ bererti bekas kecil manakali `sai’ bererti pokok. Meskipun seni membuat bonsai ini dikaitkan dengan masyarakat Cina dan Jepun, tetapi kini minat membuat bonsai ini juga berkembang di kalangan masyarakat tidak kira kaum.

Buktinya, Razak sendiri berasal dari sukubangsa Iranun dari Kampung Tamau Kota Belud.  Anak kampung yang lahir pada 15 Februari 1964 ini adalah anak kedua daripada enam adik beradik.

Mantan Pegawai Perhutanan Daerah Tambunan, Sook dan Keningau ini adalah lulusan Southern Illinois University (SIU) at Carbondale, Amerika Syarikat. Sebagai lulusan perhutanan, sudah pasti kehidupannya tidak boleh dipisahkan dengan kayu dan tumbuh-tumbuhan. Sebab itu, walaupun sibuk sebagai usahawan tani, selain tugasnya dalam pelbagai NGO sperti Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Presiden Bekas Pelajar SK Tamau (BETA), Pengerusi KRT Kampung Tamau Kota Belud dan Presiden Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA) kehidupan hariannya tidak dapat dipisahkan dengan tanamm-tanaman. Kini beliau juga diamanahkan dengan tugas baru sebagai Ketua Kampung Tamau, sekadar ingin berbakti untuk membantu proses pembangunan dan tata kelola di peringkat masyarakat akar umbi.

Menceritakan pengalamannya membuat bonsai kelapa, Razak selalu memilih bibit yang belum tumbuh.





“Perkara pertama yang perlu dibuat ialah bersihkan sabut kelapa pada batok atau kulit tempurungnya. Sabut perlu dibersihkan ketika mula bertunas, tetapi jangan sampai terkena tunas atau akarnya yang baru tumbuh. Batok kelapa itu juga hendaklah dihilangkan bulu halusnya supaya tampilannya lebih cantik dan menarik.

 “Selepas dua atau tiga bulan bertunas, saya melakukan pemangkasan sebelum memindahkan bonsai kelapa itu ke pasu kekal,” katanya.




Bagi memastikan bonsai kelapa itu kekal kecil, Razak memangkas selaput tumbuhan itu secara berkala untuk menghalangnya daripada membesar.

“Ini perlu dilakukan secara berhati hati kerana kalau terkena pada tunas muda, ia boleh menyebabkan bonsai kelapa itu mati.

Kini bonsai kelapa semakin popular. Ia menjadi satu hobi yang mendatangkan pulangan lumayan. Pengusaha bonsai kelapa boleh menjual bonsai kelapa bermula dari RM100 ke aras bergantung keunikan tanaman bonsai kelapa itu.

Bonsai kelapa boleh hidup belasan atau puluhan tahun bergantung kepada penjagaannya.,Bagai manapun, bonsai kelapa yang kerdil ini  tidak boleh berbuah. Namun ia tetap menarik ramai peminat. Bonsai Kelapa yang dibuat oleh Razak kini sudah dimiliki oleh pelbagai kalangan termasuk kalangan VVIP dan sudahpun dijual di seluruh Sabah.



Ramai yang membeli bonsai kelapa walaupun Razak membuatnya sekadar hobi di masa lapang. Namun kini berdasarkan permintaan yang semakin banyak, beliau menekuninya dengan lebih serius lagi. Beliau berusaha untuk menghasilkan bonsai kelapa yang unik dan memiliki nilai keindahan yang tinggi.

Bagi yang ingin memiliki bonsai kelapa, cara penjagaannya tidaklah sesukar yang dibayangkan. Siram setiap hari.Perbanyak air ketika musin kemarau supaya bonsai tidak mudah kering tapi jangan pula biarkan airnya terlampau banyak kerana ia boleh membahayakan akarnya. Berikan baja setiap 15 hari sekali, supaya tetap subuh dan terhindar dari hama penyakit.

Tanaman bonsai kelapa ini boleh tumbuh 25 hingga 100 cm. Dahulu, ramai peminat bonsai kelapa ini membelinya dari Indonesia, tetapi kini semakin ramai orang tempatan yang mampu membuat bonsai kelapa yang unik dan menarik.




Walaupun masih tergolong baru, tanaman bonsai kelapa milik Razak kini semakin mendapat perhatian penggemarnya. Setakat ini , promosi hanya melalui media sosial seperti whatsApp kerana ia mulanya sekadar hobi menghabiskan waktu tersisa di masa pandemik.

Selain memastikan tubuh badan sentiasa sihat, pemikiran lebih tenang  dan teliti, sebenarnya membuat bonsai kelapa ini memiliki potensi besar untuk dipasarkan secara lebih meluas.

Hidup ini sebenarnya hanya berlangsung singkat, namun waktu yang singkat itu, perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.


Tersiar di Utusan Borneo 16 Februari 2021