Sabtu, 16 Januari 2021

Bateri habis, cerita hari ini dan hujan yang turun

Tags

 Di tengah-tengah kesesakan jalan raya itu, kereta tiba-tiba tidak bergerak. Baterinya mati. Kira-kira 300 meter di hadapan ada sekatan jalan raya, tidak jauh dari lampu trafik Taman Putrajaya, Telipok. Itu sebabnya kenderaan bergerak perlahan-lahan, terpaksa beringsut ingsut seperti kura-kura..

Isteri sedang dalam perjalanan membeli juadah sarapan sekaligus mencari tempat fotokopi. Makanan terpaksa dibeli dari kedai-harap-harap ada yang buka-kerana masing masing kami sibuk menghadiri kelas dalam talian.

Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 pagi. Saya sedang sibuk menyiapkan bahan untuk tulisan ketika anak memberitahu bahawa kereta tidak dapat dihidupkan. Mujurlah lokasi kejadian tidak jauh dari rumah. Saya menghubungi pembekal bateri,yang kebetulan sedang berada di Penampang. Agak jauh dari tempat kami.Kakitangannya pula bercuti. 

Sambil berjalan kaki ke tempat kereta, saya sempat bertanya pekerja di tempat cuci kereta. Mereka mencadangkan saya beli di kedai  dekat CKS Telipok. Itu yang paling dekat. Dan yang paling praktikal. Kalau tempah grab ke sana, sekarang musim kesesakan lalu lintas. Kalau ada motosikal mungkin lebih baik.

Kebetulan Afiq, nama pemuda itu adalah juga pemandu grab. Dia menawarkan untuk menemani membeli bateri. Mujurlah sesampainya di lokasi kejadian, seorang pemuda yang baik hati sudah menolong menolak kereta itu ke tepi jalan. Setelah berfikir panjang, naik grab untuk membeli bateri ketika itu adalah tidak sesuai.

Saya pula sudah menghubungi sauudara sekampung, saudara Aningan, minta bantuan untuk cari bateri. Tapi terpaksa tunggu lama sedikit kerana beliau baru bersiap dan kebetulan pula jalan raya agak sesak.

Selepas itu, kami mencari bateri di Telipok. Di kedai Lagenda Tyres. Harga RM190, dapat diskaun RM10 dari harga asal. Kemudian kami bergegas  ke tempat kereta diletakkan untuk memasang bateri. Saudara Aningan, yang berpengalaman dalam bidang mekanik, membantu memasang bateri.

Syukurlah kerana beliau berada di rumah ketika dihubungi. Beliau sedang sibuk menyiapkan tesis mengenai taksonomi semut di peringkat PhD di Universiti Malaysia Sabah.Selain itu, beliau turut memberi tip mengenai penjagaan kereta dan kami sangat berterima kasih. Sebelum berpisah, beliau sempat menghadiahkan minuman kopi Arabica yang dibeli dari Atomy.

Kami terpaksa berpatah balik ke rumah kerana bahan-bahan sastera dan budaya untuk siaran akhbar keesokannya belum disediakan.

Sesampainya di rumah, kira-kira jam 2.00 petang, saya terus menyunting bahan cerpen dan puisi dan diemelkan kira-kira satu jam kemudian.

Sementara itu, seorang rakan, Marjan S (Marjan Yaacob) mantan posmen, seorang penyair dan penjual buku kembali ke rahmatullah. Walaupun sesekali  bertemu di Rumah Pena tetapi Allahyarham seorang yang ramah dan udah mesra. Kami selalu bercakap mengenai buku, lalu lintas buku antara Malaysia Indonesia, karya-karya sastera dan buku apa yang laku di pasaran.

 Ketua Hakim Negara (1984-1988), Tun Dr Mohammed Salleh Abas,91, menghembuskan nafas terakhir akibat pneumonia di Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu.

Banyak khabar duka yang diterima termasuk kes baru Covid-19 yang melonjak melepasi angka 4,000, rekod tertinggi. Lapan kematian direkodkan menjadikan jumlah kumulatif korban Covid-19 kini sebanyak 594 orang.

Ketika bersiap-siap untuk keluar lagi kira-kira jam 5,00 , hujan yang turun sejak jam 3.00 petang belum  berrhenti bahkan bertambah lebat lagi.

Kami tidak jadi keluar kerana firasat yang kurang baik. Saya sempat menghadiri webinar "Refleksi Budaya & Spiritual Nusantara, yang salah seorang pembicaranya ialah KGPH Dipokusumo dari Keraton Surakarta Hadiningrat. Kami memanggilnya Gusti Dipo. Ketika berkunjung ke kota Solo, beberapa tahun yang lalu, putera raja yang budiman ini sempat membawa kami makan di Warung Wongso Lemo, bersama Pak Andhika BS, ketika itu Konsul Sosbud di KJRI Kota Kinabalu. Selepas itu, Gusti Dipo sempat membawa kami ke rumahnya di kawasan Keraton Surakarta, Gusti Dipo juga adalah Dosen Hubungan Internasional UniversitasSlamet Riyadi.

Pembicara lain dalam webinar itu ialah Ida Rsi Wisesanatha, Pandita dan Ketua Forum Studi Majapahit dan Ida Widyastuti, pendiri Paguyuban Hening Sambung Rasa manakala moderator Sumanto Al Qurtuby, Direktur Nusantara Studies. Kerana webinar penuh, terpaksa menunggu orang keluar sebelum dapat masuk sebagai peserta.

Melalui aplikasi whatsApp, gambar-gambar tempat yang dilanda banjir mulai viral.Pekan Manggatal dinaiki air. Juga di beberapa kampung, seperti Gudon, menurut yang dicatatkan Hasyuda Abadi....dan banjir kembali di kampung kami.Di Rupha alhamdulillah sebab di tanah tinggi. Kasihan jiran-jiran yang sering mengalami, catatnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran bahaya peringkat merah dengan hujan sangat lebat yang dijangka berterusan membabitkan beberapa kawasan di Sabah sehingga esok.

Antara kawasan yang dikatakan di peringkat bahaya adalah kawasan Pantai Barat Sabah (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

Bos pula menghantar gambar kilang cetak suratkhabar kami yang ditenggelami air di Kolombong .. Mungkin terpaksa baca suratkhabar versi digital atau Epaper. Harap-harap jangan lah hujan sampai ke pagi, kata seorang rakan sepejabat sambil menyatakan kerisauannya.

Tiba tiba saya teringat peribahasa `kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari'. Mungkin kurang relevan lagi kerana Sekarang hujan turun hampir sepanjang hari.





Artikel Terkait