SABAH NEGERI YANG INDAH DAN MENARIK, KATA RIMA DIAH PRAMUDYAWATI
JANGAN TAKUT mencuba. Jalani hidup dengan sepenuhnya, live life to the fullest, kata Ibu Rima Diah Pramudyawati,Konsul Fungsi Ekonomi di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Beliau yang menghabiskan masa tugasnya selama tiga tahun empat bulan di Sabah bersyukur kerana memiliki pelbagai pengalaman dan kenangan manis ketika bertugas di Negeri di Bawah Bayu ini. Ibu Rima pernah bertugas di bahagian konsuler, protokol dan terakhir sebagai konsul fungsi ekonomi sebelum kembali semula ke Jakarta pada 1 Ogos 2020.
Rima Diah Pramudyawati di Madiun Jawa Timur pada 17 April 1983. Anak pertama dari dua bersaudara ini lahir dalam lingkungan tentera. Ayahnya, Marsekal Muda TNI (Purn) Rodi Suprasodjo pernah menjadi Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Indonesia di Washington DC sementara ibunya, Ibu Emmy Setyowati, seorang ibu rumah tangga yang aktif dalam Dharma Wanita Persatuan. Rima mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar (SD) Angkasa 4 Madiun dan kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sekolah Menengah Pertama (SMP) juga di Madiun, sebuah kota antara Surabaya Jogjakarta yang terkenal dengan pebagai banyak jolokan, kota Budaya, Kota Industri dan Kota Pecel dengan cita rasa pecel yang khas. Selepas itu, ibu Rima meneruskan pengajian di Walt Whitman High School di Washington, Amerika Syarikat ketika ayahnya bertugas di sana. Kemudian, ibu Rima melanjutkan kuliah di Universitas Islam Yogyakarta (UIY) dan bidang Hukum dan Hubungan Antarabangsa dari tahun 2001 hingga 2005. Sebaik tamat kuliah, wanita yang gemar mendaki gunung ini, terpilih memasuki Sekolah Dinas Luar Negeri, untuk berkhidmat di Kementerian Luar Negeri. Beliau bertugas selama sembilan tahun di Jakarta sebelum ditugaskan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI) sebagai Konsul. Selepas bertugas selama 3 tahun empat bulan di ibu negeri Sabah, beliau kembali semula ke Jakarta. Ibu Rima Diah Pramudyawati mendirikan rumah tangga dengan Andy Milova Mauna, juga seorang diplomat dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azyvanka Loverind Mauna, 11 tahun dan Zarabelle Lovrensya Mauna, 9 tahun.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewawancara Ibu Rima Diah Pramudyawati di ruang pejabatnya di KJRI KK mengenai pengalamannya sepanjang bertugas di Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang bu Rima? Dilahirkan di mana? Anak keberapa dalam keluarga?
IBU RIMA: Saya lahir di Madiun pada 17 April 1983. Kota Madiun adalah sebuah kota di Jawa Timur yang terkenal dengan pelbagai jolokan Jawa Timur. Ia terletak antara Surabaya dan Jogjakarta. Saya lahir dalam lingkungan keluarga tentera.Saya anak pertama daripada dua bersaudara. Ayah saya Rodi Suprasodjo, perwira angkatan udara (AU) yang pernah menerbangkan pesawat pejuang Jet F16. Jawatan terakhirnya sebelum bersara dari Markas Besar Angkatan Udara ialah Marsekal Muda TNI.
UB: Dimana bu rima mendapat pendidikan awal dan menengah?
IBU RIMA: Saya mendapat pendidikan awal di SD Angkasa 4 Madiun. Pendidikan SMP juga saya tempuhi di Madiun. Kemudian saya meneruskan pendidikan di Walt Whitman High School di Washington Amerika Syarikat ketika ayah saya ditugaskan sebagai Atase Pertahanan di KBRI Washington. Selepas itu, saya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Yogyakarta dan belajar bidang Hukum Internasional tahun 2001 hingga 2005. Kemudian langsung bekerja di Kementerian Luar Negeri, mulai 2006.Sebelum itu sekolah dinas luar negeri , kami dari Angkatan 31.
UB: Dimana bu Rima ditugaskan sebelum berkhidmat di Sabah?
IBU RIMA: Sebelum ini saya bertugas di Pusat Pengkajian dan Pengembangan Kebijakan Kawasan Asia Pasifik di Kementerian Luar selama sembilan tahun.
UB: Pertama kali ke Sabah?
IBU RIMA: Sebelum ini saya pernah ke Sabah pada tahun 2009 untuk menghadiri Mesyuarat BIMP-EAGA. Ketika mula-mula datang dulu, keadaannya tidak seperti sekarang. Waktu itu, belum ada Imago, belum ada Harbour City dan banyak lagi yang dalam proses pembangunan.
UB: Sebelum datang ke Sabah, apa yang bu Rima bayangkan mengenai Sabah?
IBU RIMA: Dulu saya cuma tahu bahawa di Sabah, ada pelabuhan. Sabah masih satu pulau dengan Kalimantan. Tetapi selepas bertugas selama tiga tahun empat bulan di Sabah, saya dapati Sabah sebuah negeri yang cantik dan sedang membangun. Saya menyaksikan proses pembangunan yang pesat. Dulu di hadapan KJRI KK, belum ada jambatan, hanya tempat parkir teksi, sekarang sudah ada jambatan.
UB: Menurut ibu Rima apa yang menarik di Sabah?
IBU RIMA: Di Sabah, ada gunung, ada pantai yang cantik dan indah. Kualiti udara juga sangat baik.Langit biru dan cerah.Jalan masih kurang sibuk berbanding Jakarta yang selalu macet atau kesesakan lalu lintas. Di sini banyak urusan yang kita boleh buat dalam satu hari kerana jalanannya tidak sesibuk Jakarta.
UB: Mungkin ada pengalaman menarik sepanjang bertugas di Sabah?
IBU RIMA: Antara yang paling mengesankan ialah pengalaman saya sewaktu pemilihan umum (PEMILU) atau kalau di sini disebut pilihan raya umum pada 17 April 2019. Saya dilantik dalam panitia, iaitu sebagai sekretaris atau setiausaha. Kami menguruskan jumlah pengundi sebanyak 150,000 warga Indonesia yang bekerja di Sabah dan tersebar di seluruh Sabah. Sebanyak 88,000 pemilih keluar memilih pada pemilu pada masa itu.
Satu lagi pengalaman menarik ialah sewaktu mengiringi lawatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal ke Indonesia. Saya mengatur lawatan beliau dan rombongan ke Tarakan manakala Pak Sartono Hendrarso di Balikpapan. Bagi saya ini adalah satu great moment, saat yang istimewa. Kunjungan itu sangat signifikan untuk mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua negara. Apatah lagi, ibu negara Indonesia akan dipindahkan ke Penajam, Kalimantan Timur. Semoga pembinaan jalan raya menghubungkan Simanggaris di Kalimantan Utara Indonesia dan Serudong di Kalabakan yang direalisasikan. Ia akan membuka peluang ekonomi, perdagangan dan pariwisata (pelancongan) antara kedua negara.
UB: Oh ya, sepanjang tiga tahun bertugas di Sabah, mana daerah yang pernah dikunjungi?
IBU RIMA: Hampir semua daerah di Sabah pernah saya kunjungi. Antaranya Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Beaufort, Sipitang, Keningau, Tenom, Ranau, Tawau, Sandakan, Beluran, semua saya pernah kunjungi.Kecuali mungkin Kinabatangan yang belum. Sewaktu berkhidmat di Sabah ini juga, saya pertama kali melawat ladang sawit. Sebelum itu belum pernah. Di Sabah, kami ke ladang Sawit untuk menemui warga negara Indonesia yang bekerja di ladang-ladang dan membantu mereka menguruskan surat kelahiran. Kebanyakan mereka tidak ada surat lahir, dan ini tentu akan menyukarkan mereka di kemudian hari. Kami membantu menguruskan agar mereka mendapat surat lahir. Sebanyak 13,449 surat lahir warga Indonesia kita uruskan sepanjang saya bertugas di sini. Kami juga membantu menguruskan isbat nikah (pengesahan nikah) seramai 2,030 pasangan agar mereka mendapat buku nikah sebagai bukti autentik bahawa mereka pasangan yang sah.
UB: Bagaimana ibu melihat keadaan hidup mereka di ladang?
IBU RIMA: Saya lihat walaupun keadaan hidup mereka serba terbatas tetapi mereka sentiasa gembira dan mesyukuri kehidupan yang mereka jalani.
UB: Bagaimana pula tahap kerjasama dengan counterpart di Sabah?
IBU RIMA: Pertemanan dengan mereka sangat genuine.Kerjasama dengan rakan-rakan sejawat di Sabah, sangat baik sekali. Mereka selalu membantu. Very helpful. Sepanjang bertugas di KJRI Kota Kinabalu di bahagian konsuler, protokol dan ekonomi, kerjasama dan pertolongan yang diberikan amat baik sekali. Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada mereka.
UB: Apa sisi menarik sepanjang pemerhatian ibu mengenai orang Sabah?
IBU RIMA: Orang orang disini sangat mementingkan kesihatan. Suka mengambil makanan dan minuman yang sihat. Kehidupan lagi dekat sama keluarga, itu yang saya lihat, di jakarta mungkin nilai kekeluargaan makin kurang.
UB: Apa makanan favourite ibu?
IBU RIMA: Saya suka mee rebus jawa. Kalau di Madiun, saya suka pecal.Pecal di Madiun mungkin yang satu kulinari paling baik , khas dan punya daya tarik tersendiri di Indonesia. Bahkan Madiun sendiri dijuluki kota pecal.
UB: Sering pulang ke Madiun?
IBU RIMA: Di Madiun, saya masih ada saudara. Selalu pulang sewaktu lebaran.Madiun adalah sebuah kota di Jawa Timur yang terletak antara Surabaya dan Jogjakarta.
UB: Apa destinasi menarik yang pernah dikunjungi di Sabah?
IBU RIMA: Saya sempat naik gunung Kinabalu, mendaki hingga ke puncaknya. Rasa bangga membawa bendera Merah Putih. Ia memberi saya semangat hingga sampai ke kemuncaknya. Gunung Kinabalu adalah gunung tertinggi di Asia Tenggara. Sebelum kembali ke Jakarta, saya sempat juga ke pulau Mantanani,destinasi pelancongan menarik di Kota Belud. Saya juga sempat ke Semporna, ke pulau Sipadan dan Pulau Mabul, yang terkenal. Snorkeling dan berenang.Sabah adalah sebuah negeri yang indah, ada gunung, ada pantai, dan sebagainya.
UB: Apa hobi bu Rima di masa lapang?
IBU RIMA: Saya suka jogging,suka hiking di bukit Padang.
UB: Apa yang mungkin bu Rima rindukan di sabah? Makanan?
IBU RIMA: Rasa teh tarik di Sabah ini luar biasa. Berbeza dengan tempat lain.
UB: Ohya, ketika kecil apa cita cita bu Rima?
UB: Sejak kecil saya memang suka jalan-jalan. Ia jadi hobi saya. Apatah lagi, kami sering mengikut ayah bekerja di luar negeri.Di Madiun, kami pernah tinggal dari perumahan pangkat rendah hingga pangkat tinggi. Di luar negeri, saya pernah sekolah SMA di Washington ikur ayah saya. Saya juga pernah tinggal di Marseille selama tiga tahun, ikut suami yang bertugas sebagai diplomat di sana.
UB: Apa pesan orang tua yang masih diingati?
IBU RIMA: Pesan ayah, jaga nama baik keluarga. Pesan ibu, jangan lupa solat, pesan sederhana.
UB: Suka baca buku? Apa buku terkini yang dibaca?
IBU RIMA: Buku Becoming oleh Michelle Obama . Saya baca buku apa saja, jika ada masa terluang.
UB: Apa motto atau tagline ibu?
IBU RIMA: Jangan takut mencuba. Live life to the fullest. Lakukan apa saja yang membuat hidup kita penuh dengan hal-hal positif. Jalani hidup dengan sepenuhnya.
UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk Ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Semoga terus sukses, sejahtera sepanjang meniti kerjaya. Salam takzim
IBU RIMA: Terima kasih banyak.Moga bermanfaat.